Usai semester ke 3 untuk kursus Master ini, saya pulang ke kampung seperti biasa menaiki bas dari Puduraya ke Teluk Intan. Sudah biasa bersendirian, alhamdulillah dilindungi Allah dari bahaya yang pelbagai.
Memilih duduk di tepi tingkap, dalam perjalanan awan-awan berkepul-kepul seakan berirama menyampaikan mesej ketenangan. SubhanAllah, tenang saat melihat langit yang cantik. Namun lama merenung, sungguh ada manik jernih yang hampir luruh dari kelopak mata sendiri. Tuhan Yang Maha Tahu apa yang bersisa di hati ini, seakan rasa dihempap gunung.
Teringat masa-masa lalu yang pernah jauh dari-Nya, penyesalan ini tiada sudahnya. kerana itu setiap kali melihat langit, saya akan selalu teringat Allah itu Sangat Baik, Sangat Penyayang. Umur ini Allah masih pinjamkan, untuk bertaubat, mencari-Nya, kembali pada-Nya.
Saya teringat ustaz Pahrol Mohd Juoi pernah mengatakan: Mengapa langit itu dan alam ini bila kita renung dan lihatnya, kita akan tenang?
"Kerana alam ini dekat dengan Allah"
SubhanAllah.. Benarlah, bila kita jauh dengan Allah, orang lain melihat kita dengan pandangan yang serabut. Hati kita kacau-bilau, hilang rasa tenang dan rasa tidak selamatnya hidup ini.
Allah.. Aku tidak mahu walaupun dunia ini terkadang terlalu menyeronokkan bagiku. Tapi sungguh ia tidak menenangkan tika terlalu jauh dari-Mu.
Ada bingkisan yang terlalu ingin diluahkan, namun hanya pada Allah tempat mengadu rasa. Terlalu menghimpit rasa hati seorang hamba yang pernah melanggar batas dosa.
Pagi ini, sungguh saya terbaca sebuah puisi karangan hilal asyraf, dan saya sampai kepada satu kesimpulan:
" Janganlah cinta kita terbatas hanya di dunia, lantas berbalahan di hadapan Allah SWT. kerana ia terlalu berharga untuk hanya sekadar dilempar ke neraka"
Allah.. Jangan jadikan manusia yang aku kasihi dan manusia yang mengasihi aku hanya terbatas kasihnya di dunia sahaja. Aku tidak mahu berbalahan di depan-Mu kelak. sepertimana firman-Mu yang bermaksud:
"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa"~surah az-Zukhruf: ayat67
Dan sandarannya ada taqwa. Buat apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah larang. Jikalah dengan mengasihi manusia itu terkandung padanya murka Allah swt, maka berpisahlah darinya.
Jika perpisahan itu menjanjikan damai hati, menjemput redha ilahi, dan juga mengundang ke syurga ilahi, maka terimalah ia walaupun perit. Kerana takkan mungkin Tuhan yang kasihkan kita itu mahu mentakdirkan yang buruk buat kita. Hakikatnya, kita sendiri memilih sama ada mahu memilih yang baik ataupun buruk.
Sukar untuk memadam dosa lalu walaupun kita dipujuk dengan pengampunan dan penerimaan taubat oleh Allah SWT. Kerana hakikat orang beriman itu bila dia melakukan dosa seperti ibarat ada gunung yang akan menghempapnya. Lalu takutlah jika melakukan dosa tetapi merasa dosa itu seperti lalat yang hinggap di hidung, terasa kecil sahaja.
Maka syukurlah dengan nikmat iman dan Islam, dan nikmat ketiga adalah apabila Allah tutup aib kita daripada pengetahuan manusia.
Alhamdulillah..
Berusaha menambah rasa syukur, hati terus ingin bermujahadah walaupun payah.. Jangan jadikan kami orang yang rugi Ya Allah..
No comments:
Post a Comment