Pages

Sunday, November 22, 2009

Hadith Ummu Zar'in: kisah disebalik sebuah hadith (REPOST)

Terdapat sebuah hadith yang masyhur dikenali sebagai hadith “Ummu Zar’in”. Pertama kali mengetahui kewujudan hadith ini melalui Dr Moghtaba, seorang pensyarah hadith dari Jabatan al-Quran dan as-Sunnah UIAM. Beliau berasal dari Sudan dan mengajar kami madah ‘Naqdul Hadith’ (kritik hadith). Kami disuruh menghafal beberapa potong hadith dan hadith ummu zar’in inilah menarik minat saya kerana ‘promotion’ dari ustaz mengatakan tentang keistimewan kisah hadith ini. Namun saya masih belum melihat duduk sebenar matan hadith tersebut. . Amat terkejut apabila menemui hadith ini di maktabah, matannya tersangat panjang. Bukan saya sahaja yang perasan begitu, sahabat-sahabat yang lain pun begitu.

“ Ustaz ni biar betul”.

Kami mengerut kening tanda susahnya tugasan yang diberi. Kami meminta ihsan dari ustaz untuk menggantikannya dengan potongan hadith lain, ternyata ustaz tetap mahukan kami menghafal hadith ini. MasyaAllah.

Terkulat-kulat juga la saya nak menghafal. Tetapi satu yang seronok bila hafal hadith ni adalah lafaznya yang seakan sedap untuk diulang. Entahlah, mungkin saya terperasan sendiri. Saya hampir menghabiskan hafalan hadith yang satu ini. Tetapi sampai masa tasmi’, sahabat saya pun ke depan, dia beritahu kepada ustaz tak dapat hafal lagi hadith ni, last-last ustaz kata:

“hal tafhamin hazal hadith?” (adakah kamu faham hadith ini?)

“na’am” (ya).

Kemudian ustaz hanya meminta kami mensyarahkan sahaja mafhum hadith tersebut.


Kami pernah tanya macam mana ustaz boleh hafal hadith yang panjang ni?

Ustaz beritahu dia ulang banyak-banyak kali. Kami amat menyenangi cara ustaz kerana beliau selalu bagi kata-kata semangat dan nasihat yang membekas.

Dan lagi beliau kata, hadith ni bagus kerana isi kandungannya punya banyak pelajaran dan pengajaran. Nanti kita keluarkan sedikit fawaid yang saya ambil hasil pemahaman dari kitab syarah sahih muslim insyaAllah.

Dan lagi, hadith ni banyak memberi ingatan kepada saya dengan sahabat-sahabat sekelas sebab bila saya diminta seorang teman memberikan maksud hadith yang telah diterangkan oleh ustaz pada kelas yang lepas, dia ketawa sebab ada antara 11 isteri tersebut menyifatkan suami mereka dengan perkara yang keterlaluan. Ada yang puji berlebihan, dan ada juga yang mengutuk secara berlebihan.


Di sini saya hanya lampirkan maksud hadith yang ertinya saya copy paste dari laman ustaz Hasrizal di sini:

Daripada Urwah r.hu daripada A’isyah r.ha telah bercerita bahawa sebelas orang wanita telah bersepakat dan berjanji untuk menceritakan perihal suami mereka.

Wanita pertama berkata: Suamiku seperti daging unta yang busuk yang berada di puncak bukit yang tinggi yang tidak dapat untuk didaki. Beliau tidak berlemak dan mudah untuk bergerak.

Wanita kedua berkata: Aku tidak boleh menceritakan mengenai suamiku. Aku takut dan aku tidak boleh memberitahu mengenainya. Sekiranya aku memberitahu mengenainya, bermakna aku membuka aibnya.

Wanita ketiga berkata: Suamiku telah membuat syarat, sekiranya aku bercerita, aku akan diceraikan dan sekiranya aku diam, aku akan dikasihi.

Wanita keempat berkata: Suamiku seperti cuaca di daerah Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), tidak menakutkan dan tidak menjemukan.

Wanita kelima berkata: Suamiku, ketika memasuki rumah seperti seekor harimau bintang (kerana banyak tidur dan malas bertanya), tetapi apabila beliau keluar seperti seekor singa. Beliau tidak akan bertanya perkara-perkara yang bukan urusannya.

Wanita keenam berkata: Suamiku apabila makan, beliau akan menghabiskan makanannya. Sekiranya beliau minum, beliau akan menghabiskan minumannya. Sekiranya beliau tidur, beliau akan berselimut dan tidak memasukkan telapak tangannya kerana beliau tahu akan kesusahannya.

Wanita ketujuh berkata: Suamiku adalah seorang yang lemah syahwat. Walaupun telah berubat tetapi belum juga sembuh. Di samping itu beliau mudah menjatuhkan tangannya.

Wanita kelapan berkata: Suamiku berbau seperti bau Zarnab (sejenis bauan) dan sentuhannya selembut sentuhan seekor arnab.

Wanita kesembilan berkata: Suamiku berkedudukan tinggi, seorang yang berjaya, dermawan dan rumahnya berhampiran dengan tempat permainan.

Wanita kesepuluh berkata: Suamiku seorang pembesar dan banyak memiliki harta, sebahagian dari hartanya, beliau memiliki banyak unta. Sebahagian besar unta-untanya pula dibiarkan di halaman rumah, kerana itulah untanya yang hamil sedikit sahaja. Sekiranya unta-unta itu mendengar tiupan seruling mereka mengetahui bahawa mereka akan disembelih.

Wanita kesebelas berkata: Suamiku bernama Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah Abu Zar’in? Beliaulah yang memberikan aku anting-anting pada sepasang telingaku. Beliaulah yang memberiku makanan-makanan berzat sehingga aku kelihatan sihat. beliau suka memuji aku, beliau mengambil aku dari keluarga susah dan menjadikan aku salah seorang anggota keluarga yang kaya. Beliau tidak pernah mencaci aku, sehinggakan aku dapat tidur dengan nyenyak sampai ke pagi dan aku dapat minum dengan tenang.

Selepas itu bagaimana pula bonda Abu Zar’in. Tahukah kamu siapa bonda Abu Zar’in? Beliau memiliki harta simpanan dan rumahnya sangat luas.

Maka bagaimana pula anak lelaki Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak lelaki Abu Zar’in. Tempat tidurnya seperti pelepah tamar. Beliau merasa kenyang dengan makan sebelah kaki kambing.

Maka bagaimana pula anak perempuan Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak perempuan Abu Zar’in beliau sangat mentaati kedua orang tuanya. Tubuhnya montel dan sering menjadi kecemburuan jirannya.

Maka bagaimana pula Jariah Abu Zar’in, tahukah kamu siapakah Jariah Abu Zar’in? Beliau tidak pernah menyebarkan rahsia kami dan sangat jujur sekalipun dalam soal makanan. Beliau tidak pernah membiarkan rumahku kotor.

Setelah itu beliau berkata: Satu hari Abu Zar’in keluar dengan membawa satu bekas daripada kulit yang diisi dengan susu. Beliau bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak. Kedua anaknya itu seperti dua ekor harimau kumbang. Mereka bermain dengan dua biji buah delima di bawah pinggang ibunya. Maka beliau menceraikan aku dan mengahwini wanita itu.

Setelah itu aku berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dan kaya. Tunggangannya adalah seekor kuda terpilih. Beliau membawa aku ke kandang yang penuh dengan binatang ternakan. Kemudian dia berkata: Makanlah wahai Ummu Zar’in dan berehatlah supaya hilang penat lelah. Beliau berkata: Sekiranya aku kumpulkan pemberiannya dengan pemberian Abu Zar’in, nescaya pemberiannya tidak akan sama dengan pemberian Abu Zar’in yang paling sedikit.

Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda kepadaku: Perhubungan aku denganmu seperti Abu Zar’in dengan Ummu Zar’in.

Aisyah radhiyallahu ‘anha membalas: Bahkan engkau lebih baik dari Abu Zar’in.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab: Benar! Abu Zar’in menceraikan Ummu Zar’in sedangkan aku tidak menceraikan engkau”
[1]

]Sahih muslim: 12/199 -Bab mneyebut Hadith Ummu Zar’in]

____________

Terdapat beberapa faedah ataupun pengajaran daripada Hadith ini.

1- Berlaku baik dengan isteri

Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah s.aw mendengar dengan sabar mendengar apa yang saidatina Aisyah mahu ceritakan tanpa berkata bosan ataupun tidak melayaninya. Begitulah teladannya baginda kepada para suami kini agar berbuat baik dengan isteri masing-masing.

2- Lafaz kinayah:

Lafaz kinayah dalam talak memerlukan kepada niat berdasarkan apa yang Rasulullah s.a.w katakan kepada Aisyah: “Aku kepada kamu seperti Abu zar’in kepada ummu zar’in. Sedangkan abu zar’in mentalakkan isterinya” tetapi Rasulullah s.a.w tidak mentalakkan saidatina Aisyah. Oleh itu, istinbat dari hadith ini bahawa lafaz kinayah memerlukan kepada niat untuk menjadikan talak itu jatuh sah.

3- Ghibah: Mengumpat

Al-Marizi mengatakan: telah berkata sebahagaian mereka (tanpa menyatakan siapa) : sebahagian daripada wanita tersebut ada yang menceritakan tentang keburukan suami mereka. Perbuatan ini tidak dinamakan ‘umpat’ kerana mereka masing-masing tidak tahu siapa dan nama suami yang diceritakan oleh si isteri tadi.

Umpat yang diharamkan adalah menceritakan tentang seseorang yang diketahui perihal (nama) dan dirinya. Adapun sekiranya orang yang mendengar tidak mengenali seseorang yang diceritakan maka ianya tidak dikira umpat.

Sebagaimana apa yang berlaku antara Rasulullah s.a.w dengan Aisyah r.ha: Aisyah r.ha menceritakan tentang 11wanita yang a’in ataupun perihal nama dan diri wanita-wanita tadi tidak diketahui oleh Rasulullah s.aw. Adapun apa yang berlaku sekarang, para isteri yang menceritakan tentang keburukan suami mereka sedangkan orang yang mendengar tersebut mengenali suami wanita tersebut maka inilah dinamakan ‘umpat’. Tetapi sekiranya tidak dikenali maka tidak dinamakan ‘umpat’.


Rujuk:

Syarah nawawi a’la muslim: Juz8:m/s198 (bab membincangkan hadith ummu zar’in))

_____________________

Memetik nilaian dari ustaz Hasrizal tentang hadith ini:

“Sabarnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendengar celoteh isterinya Aisyah! Dalam kesibukan dan kegentingan pelbagai isu ummah, sabarnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam melayan kisah 11 perempuan Jahiliyyah yang entah di mana faedahnya itu! Tidak langsung diperlekeh kisah Aisyah. Tidak langsung dimuncungkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mulutnya dengan kisah panjaaaaang lebar isteri kesayangannya itu.

Bahkan setelah berakhirnya kisah 11 wanita Jahiliyyah itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengulas dengan komen yang paling bersahaja lagi romantik, sebagai seorang suami yang terbaik kepada ahli keluarganya”.

Mungkin kita semua mesti menghadami i’brah dari sebalik hadith ummu zar’in zahirnya dan isinya. Indahnya Islam dalam membuktikan berbuat baik dengan isteri sangat dititik beratkan oleh sang suami. Diajar pula adab-adab dalam mua’malat dalam bermasyarakat.

Untuk lebih mendalam dalam memahami hadith ini, sila layari website ukhti Sumayyah di sini untuk ta’liq hadith ummu zar’in.

Wallahu a’lam..



[1] Lafaz penuh boleh rujuk di:

1- Sahih al-Bukhari: bab حسن المعاشرة مع الأهل

2- Sahih muslim: bab ذكر حديث أم زرع

3- Sunan kubra linnasa’i (bab 5/17)

4- As-syamail almuhammadiah li attirmizi (bab كنت لك كأبي زرع لأم زرع )

5- Mu’jam alkabir li attabrani

6- Sahih ibn Hibban (bab ذكر قول المصطفى صلى الله عليه وسلم

Saturday, November 21, 2009

Mana Milik Kita


Mengapa menangis

‘Dia ambil milikku’

Terpanah hati sendiri


Milikmu??
Mana...Siapa...

Kau memilikinya?

‘Ya, kasihnya milikku’

Mudahnya diri terhina
Tika buta dengan kasih manusia
Palsunya tersembunyi
Tapi bila nyata
Amat menyakitkan

Tiada yang milikmu

‘Mengapa? Bukankah dia berganding bersamaku
Juga mengambil hatiku seketika tadi’

Angguk tidak menggeleng pun tidak


Kau tidak memilikinya
Dia juga bukan milikmu
Kau bukan miliknya
Dan dia juga bukan milikmu


Embun hitam menutup hati rupanya
Cuba sedaya disapu dengan hakikat
Agar terang suci kembali

Kau milik Yang Maha Satu
Dia juga milik Yang Maha Satu
Si dia pinjaman untukmu
Dirimu juga pinjaman untuknya
Bila-bila Tuhan mahu
Pasti diambil kembali
Tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu


‘Pasti... Saya memang tidak memiliki’


Dia mengangguk
Menerima hakikat
Diri tidak memiliki
Yang diberi hanyalah pinjaman
Namun diri tetap dimiliki
Allahu Rabbul a’lamin...


‘Mana milik kita.... tiada yang milik kita... semua yang ada.. Allah yang punya’- sebahagian lirik nyanyian RABBANI

Wednesday, November 18, 2009

Hanya Sebuah KISAH

Alhamdulillah.. selesai juga imtihan nihaie.. tahriri dan syafawi.. semuanya lengkap.. memang inilah kesabaran agaknya. Kesabaran bukan menunggu sesuatu sahaja, tetapi mujahadah. Melihat teman-teman mula beransur balik, diri ini terpaksa menahan rindu yang membungkam pada kampung halaman.





“Anti semester last ke?”

“Tak ustaz, ada lagi satu semester insyaAllah”.


Seusai imtihan syafawi, ustaz bertanya saya soalan tersebut. Familiar benar soalan itu untuk saya dan sahabat-sahabat seangkatan dengan saya. InsyaAllah ini tahun terakhir di UIAM demi mendapat segulung Ijazah. Tapi yang lebih penting dari itu sebenarnya adalah menutip mutiara-mutiara ilmu yang bertaburan di sini. Kesempatan yang tak boleh dilepaskan oleh sesiapa pun.

Dulu ketika mula menjejak di UIAM ini, seronok mendengar kakak-kakak sudah mahu ‘grad’ sedang diri ini termanggu-manggu menjadi sebahagian pelajar di CELPAD. Tahun pertama begitu menguji kesabaran. Bosan?? Itu sudah tidak dihiraukan, hanya kerana terpaksa menjadi sebahagian pelajar di CELPAD.

Namun di sebalik nama CELPAD atau dikenali sebagai Pusat bahasa, saya bersyukur kerana ditakdirkan untuk menjadi sebagai penghuni walaupun hanya dalam tempoh setahun. Di sana, saya mengenali dan belajar banyak perkara. Di sana saya belajar erti keyakinan dan perkenalan. Mengenal sahabat-sahabat yang sama perasaan dengan saya. Alhamdulillah..

Kini, setiap kali menjejak bangunan CELPAD, pasti saya teringat kepada guru bahasa arab kami. Ustaz pertama saya di UIAM iaitu Ustaz Abdul Halim bin Salleh. Beliau mengajar kami matapelajaran Bahasa Arab untuk Level2. Beliau banyak berjasa kepada kami. Sabar dan tekun mengajar kami tanpa lelah.

Naik dari satu semester ke semester semakin ramai lecturer yang saya kenali. Masing-masing punya perwatakan berbeza. Ada yang boleh buat saya kecut-perut, ada juga yang boleh buat saya tersenyum sahaja.

Sungguh saya sayang mahu tinggalkan semua ini. Tapi hakikatnya,

“Semua yang kamu sayang, pasti akan meninggalkan kamu suatu hari nanti”.

Saya mendapat kata-kata ini dari buku kisah hidup Hassan al-Banna. Saya kurang pasti ia hadith ataupun kata hikmah. Yang pasti itulah hakikat kehidupan. Saya pasti akan meninggalkan salah satu tempat yang saya kasihi ini.




Untuk menghargai jasa-jasa mereka, saya tiada apa yang mampu untuk diberi, melainkan hanya doa semoga Allah membalas dan melimpahkan keberkatan kepada semua pensyarah-pensyarah saya.

Selamat Tinggal uiam untuk tempoh 2minggu.. insyaAllah, jika diberi keizinan saya akan kembali lagi sebagai pelajar semester akhir di UIAM. BIIZNILLAH..


al-misk
'Haza Min Fadli Rabbi'

laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

Monday, November 9, 2009

Ku Mohon Kau Hulurkan




Berteleku sendiri
Tenggelam dalam uzlah
Mengharap dan meminta
Jiwa yang keresahan
Nanar semalam yang kebingungan
Kumohon Kau susurkan cahaya
Jalan pulang kembali pada-Mu

Ku meminta setiap masa
Kau bebaskan penjara jiwa
Yang menelan ketenangan rasa
Bimbang hilangnya cinta

Kumeminta Kau hulurkan
Penawar hatiku yang duka
Bimbang jiwaku kan hambar
Dalam tipu daya pentas dunia

Kumohon Kau redakan
Gusar hatiku yang rawan
Bimbang Kau singkir diriku
Dari keampunan-Mu

Kurayu Kau terima
Huluran taubatku yang hina
Dalam sujud dan khulwahku
Telah kuzalimi diriku

Janjiku pada-Mu
Abdikan sepenuh jiwa
Sehingga masanya
Kau seru nyawaku

Andai Kau izinkan
Mekar cinta untuk insan
Biarkan cinta-Mu bertahan
Dalam keutamaan
Kerna segalanya adalah kiasan
Lambang kasih sayang-Mu Tuhan

Kini kian ku mengerti
Makna huluran-Mu

wardah@ummu sulaim
mahallah maryam



© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

Friday, November 6, 2009

KEMUDI HATI seorang TEMAN

“ Wa, macam mana nak kuatkan hati bila difitnah”

Satu SMS saya terima dari seorang teman. Panggilan ‘Wa’ itu sudah cukup buat saya terimbau kenangan dengan teman yang seorang ini. ‘Wa’, hanya dia yang memanggil saya dengan nama begitu. Terasa janggal jika ada teman lain yang cuba ‘meniru-niru’ panggilan tersebut.

Saya menggaru kepala yang tidak gatal. Terasa gadis yang baru mendirikan ‘masjid cinta’nya seperti punya masalah. Dia membalas lagi,

“Bukan apa, maklumlah hidup ni penuh dengan persoalan yang tidak dijangka”. Dia menjawab ringkas.

Saya fikir orang yang sudah berkahwin pastinya terhindar dari fitnah ‘ANDARTU’ dan ‘ANDALUSIA’ dan sebagainya hasil dari penggabungkata yang sangat memilukan hati nurani wanita yang ingin mencari ‘afifat’ dalam kehidupan.



Allahu Akbar.
Saya termenung. Tentu banyak masalah teman saya ini. Dia seorang yang gembira dan periang. Mendengarkan suaranya di corong telefon sahaja mampu mengembalikan riak senyuman di wajah saya. Dia teman yang pernah sudi berjalan ke kelas, kantin dan ke mana sahaja ketika saya masih baru mengenal erti ‘asrama’ di tingkatan 1 dahulu. Walaupun sudah hampir 10tahun berlalu, saya masih mengingati jasa dan kebaikannya. Walaupun dia ada kelemahan dari sudut lain, bagi saya dia antara teman yang sangat baik yang Allah izinkan buat saya.

Saya tidak tahu ‘api fitnah’ apa yang menyambar hidupnya. Adakah ia hanya sekadar andaiannya ataupun sebagai persediaan menghadapi api fitnah yang bila-bila masa sahaja akan menghujam.

Saya teringat Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“ Dan Kami jadikan sebahagian kamu sebagai ujian bagi sebahagian yang lain,
mahukah kamu bersabar”-surah al-Furqan: ayat 20.

Saya selalu ingat ayat ini apabila diri sendiri mengalami ujian. FITNAH itu bagi saya juga adalah ujian. Mungkin dengan fitnah itu akan menjadikan diri kita mula memuhasabah kembali apa yang telah kita lakukan. Jika berlaku kekurangan dalam ‘ta’abbud’ kita kepada Allah, maka seharusnya kita perbaiki. Inilah cara Allah menegur kesalahan kita.

Dan juga ganjaran terbesar adalah keSABARan. Sukar untuk meiliki sifat SABAR. Kerana itu, apabila Allah berikan ujian, sesungnya DIA mahu memberikan kita ganjaran yang hebat.
Sekali lagi, “mahukah kamu bersabar?”




Saya berhati-hati menaip. Saya tidak layak memberi nasihat kerana saya bukanlah ‘advisor’ ataupun ‘kaunselor’. Namun, disebabkan ia adalah hak saudara seislam yang perlu dipenuhi apabila diminta nasihat, saya membalas sekadarnya dengan harapan mendung dan kusut hatinya mungkin akan reda.

“ Fitnah itu kadang-kadang ujian untuk kita memuhasabah kekurangan dan kesilapan kita. Mohonlah semoga Allah padamkan dan bersihkan diri kita dari api fitnah”.

Itu lebih kurang balasan saya untuk teman ini. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu apa sebenarnya yang sedang dia lalui dan saya memohon andai memang dia melalui saat-saat dihambur api fitnah, semoga Allah membersihkan dirinya dari semua itu.

“ Ya Allah, Aku memohon perlindungan-Mu dari fitnah kehidupan dan juga fitnah kematian”.

Doa yang seharusnya mengiringi kehidupan kita. Memohon perlindungan hanya kepada Allah s.w.t. Dia Maha Menjaga kerana Dia Yang Mencipta dan hanya dia Yang Maha Menyayangi kita.
wallahu a'lam

© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

Thursday, November 5, 2009

BIDADARI untuk Syuhada'

Andai ditanya kepada seorang lelaki, isteri bagaimana yang diimpikan. Tentu antara ciri-ciri pilihan adalah wanita yang cantik. Cantik bagaimana agaknya? Saya bukan mahu mengulas tentang apa itu cantik, kerana cantik itu bersifat relatif. Masing-masing punya terjemahan berbeza.

Sebenarnya saya tertarik dengan sebuah kisah bidadari syurga yang menunggu seorang pemuda. Siapa pemuda yang ditunggu oleh beliau?



Saya naqalkan dari sebuah buku tulisan Munif Ahmad “Riwayat Bidadari Syurga” tentang kisah “Ainul Mardhiah”. Mudah-mudahan menambah rasa cinta pemuda-pemuda untuk merebut tempat di syurga-Nya. Juga untuk diri ini mengejar syahid di jalan-Nya juga. Insya-Allah..

Dengarkan kisah ini ya...

_______________

Ainul mardhiah yang bererti ‘mata yang diredhai’ adalah bidadari yang sangat rupawan di kalangan bidadari-bidadari yang lain. Dia telah diciptakan oleh Allah s.w.t untuk seorang pemuda yang mati syahid.

Suatu pagi di bulan Ramadhan, Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam telah memberi targhib (ucapan-ucapan sebagai penyuntik semangat untuk sahabat-sahabat berjihad pada agama Allah). Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam telah berkata bahawa sesiapa sahaja yang keluar untuk berjihad di jalan Allah dan tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dikurniakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga iaitu Ainul Mardhiah.

Apabila mendengar ucapan Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam itu, seorang pemuda yang masih muda ingin mengetahui bagaimana cantiknya bidadari yang telah Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam sebutkan itu. Oleh kerana pemuda itu merasa malu kepada sahabat-sahabatnya yang lain, dia agak keberatan untuk bertanyakan hal ini kepada Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam. Walaubagaimanapun dia tetap akan keluar berjihad bersama-sama Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam.

Telah menjadi sunnah Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam untuk tidur sebentar sebelum tiba waktu Zohor. Maka pemuda itupun tidur bersama-sama jemaah tadi. Di dalam tidurnya, pemuda itu telah bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lebih cantik dengan muka yang berseri-seri, di suatu tempat yang sungguh indah. Pemuda itupun bertanya, “Di manakah aku sekarang ini?”
Lalu lelaki itupun menjawab,“Inilah syurga”.

Kemudian pemuda itu menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan Ainul mardhiah. Lelaki itupun menunjukkan ke suatu arah. Maka berjalanlah pemuda itu mengikut arah yang ditunjukkan, lalu bertemu dengan sebatang pohon dan seorang wanita yang amat cantik. Pemuda itu tidak pernah melihat kecantikan seorang wanita seperti itu di dunia. Dia pun memberi salam lalu bertanya,“Adakah kamu ini Ainul mardhiah?”
Wanita itupun menjawab, “Bukan, saya adalah khadamnya. Ainul mardhiah ada di dalam singgahsana”.

Pemuda itupun berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan bertemu dengan seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari wanita yang pertama tadi. Wanita itu sedang mengelap permata-permata hiasan di mahligai itu. Lalu pemuda itu memberi salam dan bertanya lagi, “Adakah kamu ini Ainul mardhiah?”.

Lalu wanita itupun menjawab, “Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul mardhiah ada di atas mahligai sana”.

Lalu pemuda itupun menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kemudian sampai ke satu mahligai.Di situ, dia melihat seorang wanita yang berganda-ganda cantiknya dari wanita yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari wanita yang kedua. Wanita itupun berkata kepada pemuda itu, “Akulah Ainul Mardhiah. Aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku”.

Pemuda itu cuba mendekati Ainul mardhiah, namun Ainul Mardhiah berkata kepada pemuda itu, “Kamu tidak boleh mendekati diriku kerana kamu masih belum syahid lagi”.
Pemuda itu tersentak dan terjaga dari tidurnya. Dia lalu menceritakan segala yang dimimpikan itu kepada sahabatnya, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan mimpinya kepada Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam.

Di sebelah petangnya, pemuda itu telah keluar untuk berjihad bersama-sama dengan Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam dan sahabat-sahabat yang lain. Takdir telah menentukan pemuda tadi gugur syahid. Ketika semua jemaah pulang ke masjid menantikan waktu berbuka puasa, sahabat pemuda yang gugur syahid itupun bangun dan merapati Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam. Dia telah menceritakan kepada Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam perihal sahabatnya yang gugur syahid itu. Ketika sahabat itu bercerita, Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam hanya menjawab, “Benar”.

Kemudian setelah sahabat itu selesai, Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam pun berkata kepadanya, “Memang benar apa yang kamu ceritakan tadi. Sahabatmu itu sedang menunggu untuk berbuka puasa di dalam syurga”.

_________________

Subhanallah.. Bagaimana agaknya kecantikan bidadari-bidadari syurga sehingga pemuda tersebut tidak pernah melihat wanita secantik mereka di dunia ini. Allahu A’lam.

Maksud firman Allah s.w.t:
“Demikianlah, kemudian Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata indah” (surah ad-Dukhan: ayat 54)


Wallahu a’alam

Tuesday, November 3, 2009

Bukan Yang Terakhir


Noktah ini bukan yang terakhir
Hanya mengakhiri barisan ayat
Menutup simpulan butir kalimah
Untuk melahirkan sebuah pengertian

Noktah ini bukan yang terakhir
Kerna terkadang ia mengakhiri kisah
Terkadang menjadi penyambung kisah
Untuk menghasilkan sebuah cereka kehidupan yang indah

Noktah ini bukan yang terakhir
Ia penyambung kepada sebuah kisah
Memindahkan duka kepada gembira
Memindahkan luka kepada bahagia

Noktah ini bukan yang terakhir
Ia bukan juga barisan biasa
Tetapi ia menghadiahkan genta jiwa
Untuk terus menyimpul kalimah rasa

Kerana noktah ini bukan yang terakhir
Segala yang manis jangan terus ditelan
Yang pahit jangan terus dibuang

Jangan ditanya lagi... kerana
Hanya apabila bercerai jasad dari nyawa
Itulah noktah akhir kehidupan...

Nukilan: wardah


“Haza min fadli rabbi”
© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

Saturday, October 31, 2009

Dalam Melangkah


melangkah mencari arah
berlari mengejar pelangi
mengharung menongkah arus

kesekian semua hakikat
apa yang tersirat
apa juga tersurat
rentetan perjalanan
hayat insan
semua mengatasi takdir
walau rapinya tadbir

serahkan urusan
pada yang memiliki diri
yang memiliki hati
kita hanya manusia
andai bukan untuk kita
maka bukanlah untuk kita
andai memang untuk kita
maka memang untuk kita

indahnya sulaman doa
andai mutiaranya tawakkal
rantainya usaha
membuahkan hiasan yang indah
tenang hati memasak syukur
dalam teguh redha yang panjang


wardah uiam



Thursday, October 29, 2009

IMTIHAN: NUANSA Hati


Bismillahhirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kutuliskan nuansa hati yang sedikit berkecamuk sebelum menghadapi imtihan niha'ie -esok (30hb October 2009).. Mengharapkan diberi keampunan atas segala dosa dan perlakuan sama ada zahiriah atau batiniah..

Kesalahan zahiriah mudah dilihat dan diperbetulkan, namun kesalahan batiniah terlalu sukar.. Lantas diajarkan kita untuk selalu beristighfar agar dibersihkan kembali hati kita yang diselaputi noda-noda. Dan 'taubat' adalah pencabut noda tersebut.

Allahu Akbar.. Maha Pengampun Allah itu. Setelah diri menyakiti dan melakukan kesilapan, diampunkan sekian dosa yang banyak. Tidak cukup itu, diberikan pula hadiah berupa nikmat yang terlalu banyak.. Kalau saya bagaimana?? cukuplah sekali disakiti, sampai bila-bila ia akan teringat.. Itulah lumrah dan kurangnya manusia. apalagi sukar dilupakan, malah mahukah memberi lagi hadiah buat orang yang pernah menyakiti.. kerdilnya diri ini.

IMTIHAN NIHA'IE
Dr Iman menyelusurkan kata-kata terakhir buat kami di kelas ADILLAT AHKAM II, bahawa imtihan niha'ie (ujian akhir) yang sebenar adalah di akhirat nanti. Hakikatnya, ujian adalah setiap hari. setiap hari kita diuji dengan pelbagai dugaan, nikmat, kesenangan, kesedihan dan kegembiraan. Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah s.w.t menghadapi ujian dunia dalam perjalanan panjang menuju kehidupan abadi.

Semoga, kita sama-sama dapat melepasi ujian di akhirat nanti untuk menghuni syurga-Nya yang diidam-idamkan oleh orang-orang beriman..

Impian hati dalam teduh rahmat dan kasih-sayang-Nya, simpulan doa setia meniti di bibir:

"YA ALLAH, MATIKANLAH AKU DALAM KEADAAN HUSNUL KHOTIMAH.. YA ALLAH, LINDUNGILAH AKU DARI AZAB KUBUR, LINDUNGILAH AKU DARI FITNAH KEHIDUPAN DAN JUGA KEMATIAN.. YA ALLAH, KURNIAKAN AKU JIWA YANG BERTAQWA, DAN BERSIHKANLAH IA, SESUNGGUHNYA ENGKAU SAHAJA YANG MEMILIKINYA.. amin"

wallahu a'lam
wardah

Tuesday, October 27, 2009

Dalam Sepi

Dalam sepi
Bungkam bicara
Diamnya seribu erti
Dalam aksara yang terselam
Dari lubuk sebuah hati

Andai harum sekuntum seroja
Mampu mengirim makna
Tanpa perlu menutur harap
Yang hanya tersurat
Dalam tadbir manusiawi
Tidak lagi lidah perlu menutur
Tangan tidak perlu menulis
Hati tak perlu memendam
Namun segalanya perlu usaha
Kerna itulah indahnya
Tercipta sebuah doa

Dia Yang Maha Satu
Memahami sepi hati
sendiri di dunia
Dikurniakan rasa indah
Berupa kasih dan rindu
Melalui takdirnya
Dalam sanubari
Manisnya dirasa
Apabila talinya iman
Pasaknya taqwa
Tujuannya redho Ilah

Bagai pelangi yang indah
Hadirnya setelah hujan
Dalam rintik-rintik
Ia cantik menjelma
Menghadiah pelbagai warna
Menghias kuntum sepi hati

Kepada hati yang pernah kusam
Tercalar hebat dalam sebuah mehnah
Tersasar dari harapan
Terkecewa dengan janji
Bayangkanlah akan lakaran
Berupa pelangi indah
Yang punya jalur-jalur bahagia
Kerna hikmah mehnah
Umpama pelangi setelah rintik hujan
Menghadiahkan senyuman
Bahagia dari Tuhan


Wardah razali

Di ambang impian:
“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata”