Sebenarnya saya tertarik dengan sebuah kisah bidadari syurga yang menunggu seorang pemuda. Siapa pemuda yang ditunggu oleh beliau?
Saya naqalkan dari sebuah buku tulisan Munif Ahmad “Riwayat Bidadari Syurga” tentang kisah “Ainul Mardhiah”. Mudah-mudahan menambah rasa cinta pemuda-pemuda untuk merebut tempat di syurga-Nya. Juga untuk diri ini mengejar syahid di jalan-Nya juga. Insya-Allah..
Dengarkan kisah ini ya...
_______________
Ainul mardhiah yang bererti ‘mata yang diredhai’ adalah bidadari yang sangat rupawan di kalangan bidadari-bidadari yang lain. Dia telah diciptakan oleh Allah s.w.t untuk seorang pemuda yang mati syahid.
Suatu pagi di bulan Ramadhan, Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam telah memberi targhib (ucapan-ucapan sebagai penyuntik semangat untuk sahabat-sahabat berjihad pada agama Allah). Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam telah berkata bahawa sesiapa sahaja yang keluar untuk berjihad di jalan Allah dan tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dikurniakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga iaitu Ainul Mardhiah.
Apabila mendengar ucapan Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam itu, seorang pemuda yang masih muda ingin mengetahui bagaimana cantiknya bidadari yang telah Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam sebutkan itu. Oleh kerana pemuda itu merasa malu kepada sahabat-sahabatnya yang lain, dia agak keberatan untuk bertanyakan hal ini kepada Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam. Walaubagaimanapun dia tetap akan keluar berjihad bersama-sama Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam.
Telah menjadi sunnah Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam untuk tidur sebentar sebelum tiba waktu Zohor. Maka pemuda itupun tidur bersama-sama jemaah tadi. Di dalam tidurnya, pemuda itu telah bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lebih cantik dengan muka yang berseri-seri, di suatu tempat yang sungguh indah. Pemuda itupun bertanya, “Di manakah aku sekarang ini?”
Lalu lelaki itupun menjawab,“Inilah syurga”.
Kemudian pemuda itu menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan Ainul mardhiah. Lelaki itupun menunjukkan ke suatu arah. Maka berjalanlah pemuda itu mengikut arah yang ditunjukkan, lalu bertemu dengan sebatang pohon dan seorang wanita yang amat cantik. Pemuda itu tidak pernah melihat kecantikan seorang wanita seperti itu di dunia. Dia pun memberi salam lalu bertanya,“Adakah kamu ini Ainul mardhiah?”
Wanita itupun menjawab, “Bukan, saya adalah khadamnya. Ainul mardhiah ada di dalam singgahsana”.
Pemuda itupun berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan bertemu dengan seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari wanita yang pertama tadi. Wanita itu sedang mengelap permata-permata hiasan di mahligai itu. Lalu pemuda itu memberi salam dan bertanya lagi, “Adakah kamu ini Ainul mardhiah?”.
Lalu wanita itupun menjawab, “Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul mardhiah ada di atas mahligai sana”.
Lalu pemuda itupun menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kemudian sampai ke satu mahligai.Di situ, dia melihat seorang wanita yang berganda-ganda cantiknya dari wanita yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari wanita yang kedua. Wanita itupun berkata kepada pemuda itu, “Akulah Ainul Mardhiah. Aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku”.
Pemuda itu cuba mendekati Ainul mardhiah, namun Ainul Mardhiah berkata kepada pemuda itu, “Kamu tidak boleh mendekati diriku kerana kamu masih belum syahid lagi”.
Pemuda itu tersentak dan terjaga dari tidurnya. Dia lalu menceritakan segala yang dimimpikan itu kepada sahabatnya, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan mimpinya kepada Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam.
Di sebelah petangnya, pemuda itu telah keluar untuk berjihad bersama-sama dengan Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam dan sahabat-sahabat yang lain. Takdir telah menentukan pemuda tadi gugur syahid. Ketika semua jemaah pulang ke masjid menantikan waktu berbuka puasa, sahabat pemuda yang gugur syahid itupun bangun dan merapati Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam. Dia telah menceritakan kepada Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam perihal sahabatnya yang gugur syahid itu. Ketika sahabat itu bercerita, Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam hanya menjawab, “Benar”.
Kemudian setelah sahabat itu selesai, Rasulullah Sallallahu a’alaihi wa sallam pun berkata kepadanya, “Memang benar apa yang kamu ceritakan tadi. Sahabatmu itu sedang menunggu untuk berbuka puasa di dalam syurga”.
_________________
Subhanallah.. Bagaimana agaknya kecantikan bidadari-bidadari syurga sehingga pemuda tersebut tidak pernah melihat wanita secantik mereka di dunia ini. Allahu A’lam.
Maksud firman Allah s.w.t:
“Demikianlah, kemudian Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata indah” (surah ad-Dukhan: ayat 54)
Wallahu a’alam
MasyaAllah... Nikmat Allah yg tiada taranya utk sesiapa yg dikehendaki.. A very nice inspiring post. :)
ReplyDelete