Pages

Wednesday, December 3, 2014

HAKIKAT KESEDIHAN MELALUI KISAH NABI YAAKUB ALAIHISSALAM



Ketika membuat analisis ayat berkaitan tajuk kajian, saya sampai kepada satu ayat rentetan dari kisah yang sangat panjang berkaitan kehidupan Nabi Yusuf alaihissalam dan bapanya Nabi Yaakub alaihissalam.

Ayat tersebut berbunyi: وَتَوَلَّى عَنْهُمْ وَقَالَ يَا أَسَفَى عَلَى يُوسُفَ وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ
Maksudnya: "Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati (Surah Yusuf: ayat 84)

Ayat ini adalah rentetan daripada kisah kehilangan Nabi Yusuf alaihissalam akibat dikhianati saudara-saudaranya, kemudian Nabi Yaakub diuji pula dengan penahanan Bunyamin di negara Mesir. Apabila saudara-saudara Nabi Yusuf datang membawa berita tentang penahanan Bunyamin, ada beberapa perkara yang Allah mahu khabarkan kepada kita

Pertama: KESEDIHAN DAN TANGISAN ITU FITRAH MANUSIA
Di dalam ayat ini Allah berfirman: وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ (Telah menjadi putihlah kedua mata Nabi Yaakub kerana sedih).

Ayat ini menceritakan tentang keadaan kedua mata Nabi Yaakub menjadi putih (sakit/buta) akibat kesedihan yang berpanjangan. Imam ar-Razi di dalam tafsirnya (Mafaatih al-Ghaib) mengatakan: "Kesedihan yang baru (kehilangan Bunyamin) menambah kesedihan yang lama (kehilangan Yusuf alaihissalam), kesakitan hanya akan menumbuhkan kesakitan dan ia akan menimbulkan kesedihan." (Tafsir ar-Razi, Beirut: Darul Ihya' at-Turath al-'Arabiyy, 18/496)

Justeru, kesakitan yang bertambah di dalam hati manusia secara fitrahnya akan menambahkan kesedihan sedia ada, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan insan yang rapat atau sesuatu yang sangat disayangi. Oleh itu, bukanlah suatu dosa apabila kita merasa sedih atau menangis kerana sesuatu kejadian duka yang mengecewakan hati kita.

Kedua: BAGAIMANA NABI YAAKUB ALAIHISSALAM MENDEPANI KESEDIHAN
1- Beliau menahan lisannya dari berkata yang tidak sepatutnya seperti memaki hamun dan meraung-raung menangis.

2- Beliau memendamkan rasa marahnya di dalam hati (فَهُوَ كَظِيمٌ): Ini dilihat apabila matanya menjadi putih (sakit) akibat menangis bertahun-tahun kerana memendam rasa marah dan dukacita yang sangat dalam di hatinya

3- Mengadukan kesusahan dan kedukaannya hanya kepada Allah. Ini dilihat daripada ucapan beliau usai kehilangan Nabi Yusuf: إنما أشكوا بثي وحزني إلى الله
"Sesungguhnya hanya kepada Allah aku adukan kesusahanku dan kesedihanku" (Surah Yusuf: ayat 86)
.......
Sesungguhnya, jika sedih, belajarlah dari Nabi Yaakub alaihissalam.
Beliau bapa kepada seorang Nabi pun mengadukan hal kesusahan dan kesedihannya hanya kepada Allah, cuba sedaya upaya menahan amarahnya di dalam hati. Inikan pula kita manusia yang biasa-biasa.
Maka harusnya lebih banyak kesedihan, lebih banyak pengaduan kita kepada Allah SWT terlebih dahulu.

Wallahu a'lam

Wednesday, September 10, 2014

Ujian dan Syurga

Benarlah kata orang, apabila kita mahu melupakan kesedihan, lakukan sesuatu yang membuatkan hidup kita sibuk.

Seminggu yang lalu, setiap pagi saya akan bersiap-siap bergegas ke perpustakaan, mencari posisi terbaik untuk menulis tesis. Walaupun proposal saya belum dibincangkan di peringkat fakulti, saya ambil keputusan untuk menulis sedikit demi sedikit. Ini sahaja yang mampu saya lakukan saat melewati hari-hari yang berat.

Berat bagi saya, mungkin tidak berat bagi orang lain. Allah uji hati ini berulang-ulang kali, mungkin kerana hati ini belum kuat. Allah datangkan situasi yang tidak pernah saya bayangkan untuk berada di dalamnya. Saya juga tidak pernah mahu untuk mengenali insan yang sedang diuji juga dengan permasalahan hati yang sangat berat, kerana ia menyangkut tentang soal kesetiaan. 

Allahu Allah. Akhirnya, saya kembali jatuh terseungkur. Sedih. Sedih memikirkan penerimaan hati ini pada takdir, sedih memikirkan penerimaan orang setelah saya beritahu kekurangan yang sedang menumpang di dalam diri ini.

Allah sahaja yang tahu bagaimana saat kita menerima berita yang tidak kita mahu. Dan saat ini kita tidak pernah sangka kita telah melewati hari-hari berat tersebut.

Ya Allah. Saya memang hampir putus asa. Saya berjalan ke Popular, mencari buku yang boleh menembusi ruang hati, menyembuhkan sedikit luka di hati. Kosong. Kosong hati ini perlu diisi.
Saya mencapai sebuah buku ‘Bersamamu di Firdaus’. Saat pertama kali saya menatap buku ini, saya kira ia berkaitan soal rumahtangga. Ia selalu signifikan tentang cinta suami isteri yang mahu ke syurga.

Ya. Ia menyentuh aspek tersebut. Tetapi lebih daripada itu, ia menyentuh hati saya sendiri untuk terus memikirkan tentang syurga Firdaus. 

Jangan putus asa mengejarnya. Baki-baki usia yang semakin singkat ini, andailah ada hati yang terluka, syurga itu penawar yang sangat ampuh untuk kita. 

Nabi ajarkan pada kita, jika nak minta sesuatu mintalah sesuatu yang besar. Jika mahu minta syurga, mintalah Syurga Firdaus.

Allahummarzuqna al-Jannah fil firdaus al-a’la

Friday, August 8, 2014


From Yasmin Mogahed FB Page

Sunday, August 3, 2014

Puisi: Izinkanku Taat

Ku tak pernah jemu
Meminta pada Dia

Wahai Tuhan
Aku takkan pernah berhenti
Meminta ampun dari-Mu
Kerana ku tahu
Tiap detikku dihurung dosa

Wahai Tuhan
Walau aku tahu
Engkau Maha Pengampun
Namun aku tetap mahu
Meminta ampun dari-Mu

Wahai Tuhan
Jika aku semalam berdosa
Jika aku semalam jauh
Hari ini aku ingin dekat
Hari ini aku ingin taat

Izinkan aku taat kepada-Mu
Melewatinya bersama dia
Meniti jalan ke syurga dengannya
Yang aku tidak tahu siapa dia



Friday, June 20, 2014

...






Saat ini

Aku Hanya Mampu Menangis
Menangis di saat orang lain bahagia
Mungkinkah aku akan bahagia hanya dengan menangis?

Ya Allah
Kenapa terlalu sakit rasa ini
Kenapa ingatan masa lalu tidak mudah hilang dari ingatan

Ya Allah....
Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dan kesabaran

Astaghfirullah min kulli zanbin aznabtu :'(

Sunday, June 15, 2014

Tentang Rezeki

Gaji RM900.

Inilah gaji yang saya terima setiap bulan sepanjang berkhidmat di sekolah menengah agama swasta, juga merangkap sekolah lama saya yang sangat saya cinta.

Saya cintakan sekolah ini bukan kerana ia sekolah yang serba lengkap, apatah lagi serba mewah. Namun nilai ilmu dan didikan yang saya perolehi dari sekolah ini benar-benar membuat saya terkesan sehingga kini. Sekolah yang tiada banyak kemudahan seperti SMKA atau sekolah berasrama penuh yang lain, namun ia masih tetap menjadi pilihan yang sangat dekat di hati saya.

Apabila orang bertanya, berapa gaji? Saya beritahu RM900. Ada yang terkejut. Tapi entah kenapa, sungguh saya tidak kisah, malah ketika penolong kanan yang sudi ambil saya sebagai guru di sekolah tersebut memberitahu soal gaji, saya tidak terlalu kisah. Mungkin kerana saya niatkan untuk cari pengalaman dan mengisi masa-masa sebelum menyambung pengajian semula. Apatah lagi saya niatkan untuk menemani emak saya di kampung yang tinggal sendirian setelah ayah meninggal dunia dua tahun lalu.

Percaya atau tidak, alhamdulillah tidak pernah tidak cukup. Mungkin kerana Allah rezekikan pergi ke sekolah ditumpangkan seorang ustazah, pulangpun menaiki bas. Tiada tol, tiada minyak, tiada duit sewa rumah yang perlu saya bayar. Rezeki itu dibahagi pada ibu juga, kerana saya tahu ada hak orang lain di dalam gaji yang kita perolehi.

Apabila saya membaca sebuah artikel dari seseorang soal rezeki, dari pendapata 2800 bertukar ke 800, dari kereta Mazda bertukar kepada kancil 1996. Namun nilai cukup tidak ada pada banyaknya gaji atau pendapatan seseorang, namun ia soal rezeki dan keberkatan.

Anda tahu, setiap yang kita berikan kerana Allah, maka Allah janji akan lipat gandakan apa yang kita beri. Nilai tambahan itu tidak semestinya dalam bentuk wang, mungkin sahaja datang dalam bentuk dipermudahkan urusan, dilapangkan hati, malah merasa cukup sahaja walaupun pndapatan itu sedikit.

Saya teringat ketika saya diuji dengan peristiwa tidak dapat menyambung pengajian ke Jordan atas sebab-sebab tertentu, dan saya harus menjalani beberapa ujian kesihatan, wang saya kebanyakannya sudah habis untuk buat urusan ke Jordan, dari terjemahan sijil, IELTS, pasport, medical checkup dan banyak lagi hal yang sangat dirasai dari segi material, apatah lagi tidak dapat di 'claim', ketika inilah Allah datangkan keyakinan soal rezeki.

Alhamdulillah Allah beri rezeki melalui bantuan seseornag untuk bayarkan sebahagian yuran untuk ujian kesihatan di KPJ. Dan dalam masa beberapa bulan setelah itu, saya perlu menjalani pengajian PHD, sedangkan ada keperluan universiti yang menyebabkan permohonan biasiswa saya ditahan sementara, saya hanya bertawakkal pada Allah. Dengan wang yang ada (mungkin survive untuk dua bulan), saya hanya doa dan yakin ada rezeki dari Allah.

Anda tahu apa yang jadi? Benar, barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan berikan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.

Sehari sebelum masuk tahun baru, saya berusaha menghabiskan kerja-kerja sekolah yang belum siap, kerana saya akan berhenti dari menjadi guru lalu dan fokus pada pengajian. Dalam perjalanan keluar sekolah, Penolong Kanan yang sedang menguruskan sesuatu di jambatan sekolah menahan kereta yang saya pandu dan memanggil nama saya.
"Nanti Minggu depan datang sekolah ya, saya nak bagi elaun sikit."

Allahu Rabbi. Saya datang bertemu kak Ina selaku kerani sekolah kerana diarahkan untuk berjumpanya. Kak Ina minta saya tandatangan di atas kertas penerimaan elaun tertunggak. Saya tandatangan dan lihat cek yang diberi,

Allah. 3K. Saya terkejut.

Kak Ina senyum. "Saya cuma diarahkan je"

Cikgu Syikin antara guru yang banyak bantu saya untuk memohon kerja di sekolah itu justeru senyum sambil berkata "Rezeki agaknya nak masuk universiti"

Dalam hati sangat banyak syukur. Tidak tahu kenapa, walaupun banyak kali hati ini mempersoalkan ujian yang datang silih berganti, Allah masih mahu beri apa yang kita hajatkan.

Pada saya, setiap kesusahan itu, Allah telah sediakan kemudahan. Hanya Allah akan beri pada masanya. Dan barangsiapa yang yakin dengan rezeki Allah, usaha dan bertawakkal, insyaAllah nanti Allah pasti akan rezekikan sesuatu buat kita.

Banyak yang saya tidak ceritakan, tetapi saya yakin orang lain juga banyak melalui apa yang saya lalui. Maka, kita syukur pada apa yang Allah beri. Sikit atau banyak, ia pasti mencukupi.

Rezeki kita tidak akan diambil orang lain. Kerana Allah sudah bahagi-bahagikannya untuk kita semua.
Hanya kita wajib berusaha, kerana usaha itu syarat untuk kita dapat sesuatu. Biiznllah

Wednesday, June 11, 2014

Sekadar Picisan

Alhamdulillah, dua semester berlalu. Dan hati harus kuat menempuh hari-hari mendatang. Terlalu banyak ujian dan cabaran beberapa tahun kebelakangan ini, hingga kadangkala diri sendiri jatuh tersungkur tidak mampu berbuat apa melainkan harus tunduk sujud meminta pada Allah agar diringankan beban hati yang sarat dengan rasa tidak tenang.

Diuji dengan manusia, diuji dengan sakit yang tersembunyi, diuji dengan perasaan.. Sesungguhnya hidup ini menyedarkan saya bahawa ujian itu adalah cara Allah menegur kita, cara Allah mempamerkan kasih dan sayangnya.

Saya tahu saya sedang melewati hari-hari yang berdepan dengan risiko 'sakit', seorang kakak pesan, "Wardah kena selalu positif. Cakap pada diri, 'aku sihat'.."

Sesungguhnya saya akui saya tidaklah sekuat yang orang keliling sangka. Saya juga tidak setabah yang orang lain jangka. Saya hanya manusia. Kadangkala percaya ini rapuh, keyakinan pada janji Allah meluntur.

Kala impian saya untuk menyambung pengajian ke Jordan tertahan kerana 'sakit', saya tidak mampu apa-apa melainkan menangis dan menangis. Paling saya tidak mahu, adalah membuat ibu saya sedih. Cukuplah saya sudah terlalu banyak menyusahkan hatinya, saya tidak mahu membebaninya lagi. Tapi, apalah daya. ibu tetap ibu. Ibu akhirnya pasti tahu, dan doanyalah yang mengiringi saya untuk kuat melangkah ke hadapan.

Walaupun sakit ini tidak sakit, adakala kerisauan masih datang. Namun, saya percaya ramai yang diuji dengan sesuatu yang lebih berat lagi daripada saya. Malah jika dibandingkan, apa yang saya alami ini hanyalah picisan sahaja dari sekian banyak penderitaan hamba Allah yang lain.

Pesan Ustaz, "Allah pilih kamu. Bukan orang lain."

Dan saya akan pegang kata-kata itu dalam-dalam.

Saya tidak salahkan takdir, dan akan menganggap ini semua kifarah atas dosa-dosa saya yang sangat banyak, yang Allah sembunyikan dari pengetahuan sesiapa.

Pada yang diuji dengan kesakitan, usah takut dengan kematian. Usah terlalu risau dengan kesakitan. Beruntunglah Allah datangkan sakit untuk mengingatkan kita tentang kematian. Kematian yang tidak kenal manusia sihat ataupun sakit.

Semoga Allah ampunkan kita semua.

Saturday, March 1, 2014

Hanya Mimpi

 

“Aku hanya berani bermimpi, 
Sungguh tidak terhitung berapa kali aku bermimpi tentang kau.” -Tere Liye,

Dan tatkala aku bangun dari mimpi
Aku hanya mampu menangis 
Kerana dirimu lagi yang ada di dalam mimpiku


Allah
Berikan aku kejernihan hati
Pada perasaan aku ini
Berikan aku kekuatan
Pada apa yang melemahkan hatiku
Jangan biarkan mimpiku dihuni
Sesuatu yang menambah kesedihan hatiku lagi

Allah-ku
Aku hanya ingin ketenangan
Aku hanya damba keampunan
Hanya dari-Mu



Friday, January 24, 2014

Wahai Hati, Jangan Bersedih



Wahai Hati
Jangan Bersedih
Allah ada
Allah selalu mendengarkanmu
Tanyalah Allah
Mintalah pada Allah 

Jangan bersedih 
Wahai Hati
Allah ada

Tuesday, January 14, 2014

Lepaskanlah Ia Pergi




Melupakan dan melepaskan bukanlah tanda kamu lemah
Justeru itulah tanda bahawa kamu hamba yang kuat

Usah terlalu dipegang erat
Lantaran takut kehilangan

Jika ia memang untuk kamu
Sejauh manapun ia pergi dibawa angin takdir
Suatu saat pasti Allah akan kembalikannya padamu

Namun jika ia bukan untuk kamu
Angin takdir akan membawanya semakin jauh dari kamu
Dan suatu saat pasti Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik dari yang telah pergi


Wardah al-misk
14 Januari 2014

Sunday, January 5, 2014

Hanya Engkau Wahai Tuhan-Ku

Hanya Allah Yang Maha Menyembuhkan
Hanya Allah Yang Maha Meleraikan
Hanya Allah Yang Maha Meredakan

Tatkala Allah uji dengan penyakit ini
Aku hanya membilang waktu untuk pergi
Namun terkadang aku masih lupa
Waktu untuk pergi semakin hampir

Tuhan
Kuatkan aku
Lindungilah aku dari rasa berputus asa

Andai aku memang akan pergi
Atas sebab ini
Pertemukan aku dengan-Mu

Tuhan-ku
Aku tidak layak untuk ke syurga-Mu
Namun aku sangat takut ke neraka-Mu
Maka ampunilah dosa-dosaku yang terlalu menggunung

Ampuni aku
Jangan biar aku bersedih dengan apa yang luput dariku
Dan jangan biar aku bersangka buruk pada ketetapan-Mu

Jadikan aku redha dengan ujian ini

Dengannya airmataku tidak lagi sia-sia
Dengannya tangisanku tidak lagi dusta

Wahai Allah
Kuatkan hatiku yang lemah ini...

~ Hamba-Mu

5 Januari 2014

Monday, December 30, 2013

Dari Rasa Bertaut Jiwa



Sesungguhnya apabila rasa bersatu dengan jiwa
Maka tiada nikmat yang mampu kita dustakan lagi
Lantaran itulah nikmat yang Allah titipkan bekal rahmat-Nya

Membaca entri seorang sahabat yang baru menamatkan zaman bujangnya awal bulan lalu membuat saya jauh berfikir tentang hidup 'berdua'

'Berdua' itu rasa fitrah. Namun memilih untuk 'berdua' dalam keadaan kecamuk rasa dan tergesa-gesa mengundang retak dan pecah belah di kemudian hari.

Berjalan bersembang, datang kisah tentang perpisahan antara mereka
Allah, saya beristighfar. Kadangkala, senyum orang jangan disangka tiada duka.
Lantas saya belajar untuk lebih berhati-hati dalam bertanya
Terutama soal kahwin dan zuriat.
Karena saya juga merasakannya. Dihenyak dengan soalan bertubi-tubi, tiada jawaban.

Hanya mengetap bibir, sambil airmata bergenang

Allahu Rabbi

Kala diuji dengan suatu 'penyakit'
Maka datangkan hakikat ketakutan dari orang lain
Takut mewarisi sakit ini

Sesungguhnya hanya kepada Allah kuadukan seluruh perasaan ini
Perasaan sedih, duka, kecewa, luka
Lantas kerana aku sudah tidak mampu membayar air mata yang mengalir
Saat aku berfikir tidak-tidak pada takdir

Buat baki-baki usia ini
Tak kuhadirkan dalam doaku
Melainkan agar Tuhan berikan untukku apa yang terbaik
Jika ada teman yang sudi singgah dan memimpin tanganku mencari redha Tuhan
Maka aku menerimanya dengan penuh kesyukuran
Namun andai tidak langsung ada yang sudi setelah dikhabarkan ujian untukku ini
Aku yakin
Di syurga nanti ada yang jauh lebih baik

Kerana pemuda syurga itu
Adalah pemuda yang Allah pilihkan untuk setiap wanita yang menjaga kesucian di dunia

Karena itu jugalah
Aku tetap meminta dari Tuhan-ku
Sucikan mawar agamaku
Kuatkan keikhlasanku
Tabahkan hatiku
Dan lapangkan hatiku dalam mendepani ujian ini

La hawla wa la quwwata illa billah...

.............

Aku tidak membisik
Melainkan Allah selalu ada Mendengar bisikanku

Puisi: Kala Diuji

Wahai Allah
Andai ujian ini
Membuat aku dekat dengan-Mu
Maka ajarkan aku untuk terus redha dengan ketentuan-Mu

Wahai Allah
Andai ujian kesakitan ini
Untuk menghapus dosa-dosa ku yang menggunung tinggi
Jadikan aku hamba-Mu yang selalu bersyukur
Tatkala kesakitan yang engkau sembunyikan dari merasai sakit

Wahai Allah
Andai ujian kesakitan ini
Untuk menambah cintaku pada-Mu
Jadikanlah hatiku ini tabah dan kuat
Buat melewati baki-baki hariku

Wahai Allah
Kala kesakitanku ini
Menjadi penghalang buat seseorang mendampingi kehidupanku di dunia
Gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik di syurga-Mu

Wahai Allah
Ampuni aku
Andai aku pernah bertanya kenapa
Pada apa yang Engkau takdirkan padaku

Wahai Allah
Cintailah aku
Karena aku sedang bertatih mencintai-Mu

30 Disember 2013

Sunday, November 10, 2013

Secebis Kisah

"Malam tadi saya mimpikan seseorang yang pernah dekat dengan saya suatu waktu dulu. Dia datang duduk sebelah saya, tetapi saya tidak bercakap apa-apa dengannya kerana saya tahu dia sudah berkahwin. Hati terasa sangat sedih dan sakit hati. Di suatu keadaan lain, ada seseorang melihat dari kejauhan, saya tidak tahu dia siapa tetapi saya yakin saya kenal dia.

kenapa kesedihan itu masih lagi datang, datang dalam mimpi walaupun saya sudah cuba untuk melupakan dia. Sakit yang sangat dalam."

Soalan ini dari hati seseorang ditulis kepada seorang sahabat. Hatinya masih terluka walaupun dia tahu hakikat dia dan lelaki itu tidak berjodoh. Dan dia cuba melupakan ujian berat hidup dalam dosa suatu ketika dahulu. Dan mungkin, itulah ujian terberat saat ini baginya untuk melupakan dari kesilapan-kesilapan lalu. Melupakan kenangan yang dipenuhi dengan dosa itu amat menyakitkan.

Sahabatnya simpati dengan hati wanita itu. Sahabat yang dia kenal sejak sekolah lagi.

"Sabarlah. selagi kita hidup dan masih waras, semua kenangan dan pengalaman yang pernah ditempuh takkan mudah kita lupa. lebih-lebih lagi yang memberi kesan yang hebat pada kita . Lagi susah kita nak lupa walaupun kita tahu tak ada manfaat untuk diingat dan ditangisi.

Kuatkanlah hati. Allah sedang menguji. Walaupun aku sendiri tak tahu berapa lama ujian yang ditetapkan untuk kau, tapi aku yakin penamatnya akan indah. "

InsyaAllah


Sesungguhnya, ujian itu takkan berhenti. Saat ujian sudah tamat itu, akan bersilih ganti dengan ujian lain pula.

Begitulah kehidupan.

Sunday, September 15, 2013

Langkah ke PhD: Ujian Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Allah masih beri nikmat sihat untuk hari ini. Esok lusa sungguh tidak tahu apa yang akan berlaku. Namun sebagai manusia, kita harus berjalan dan berusaha untuk hidup hari ini, semalam kita biarkan dan esok jangan terlalu dirisaukan.

Ujian.
Itu tidak pernah berhenti. Seperti manusia lain, saya juga diuji oleh Allah dengan ujian yang datang silih berganti. Harapan demi harapan yang Allah datangkan, namun tidak kesampaian.

Sesungguhnya hanya hati yang merasa tahu bagaimana beratnya untuk duduk dalam situasi ini. Saya tidak menganggap ujian ini menunjukkan saya kuat imannya, walaupun memang benar semakin seorang itu baik dan kuat imannya, semakin kuat dia akan diuji. Namun, saya tidak layak untuk termasuk di golongan itu, apatah lagi dalam golongan manusia yang sangat solehah. Saya merasakan ujian ini adalah sebagai penghapus dosa-dosa lalu yang menggunung.

Tak mampu bercerita banyak.
Semua berkaitan dengan umur, saya sudah tidak pedulikan tentang soal remeh temeh yang lain. Hendak bercakap lebih pun saya tidak ada rasa.

Moga Allah beri kekuatan kepada saya dan manusia-manusia yang sedang diuji dengan kesakitan, kedukaan dan kekecewaan. Hanya sangka baik dengan Allah sahaja cara terbaik mengubat hati.

PHD

Perjalanan untuk ke luar negara tidak menampakkan jalan-Nya. Semuanya telah Allah tentukan walaupun diri telah berusaha dengan sedaya upaya. Semua ini mengajar diri ini mengerti bahawa kita sebagai manusia hanya mampu merancang kerana Allah beri kita kuasa mentadbir sahaja, bukan mentakdir.

Sedih, terkejut, dukacita, penat, lelah dan bermacam-macam lagi perasaan singgah. Tidak mampu bercakap dengan semua orang. Hari-hari awal menerima berita yang mengejutkan itu, hanya airmata mengalir. Tidak tahu airmata itu mengalir kerana apa, kerana semuanya datang dalam sekelip mata.

Syukur Allah datangkan manusia-manusia yang sudi menguatkan hati ini. Hanya doa yang saya harapkan, tidak lain. Tidak cinta, tidak duit, tidak kasihan. Tetapi saya hajatkan doa.

Jikalah umur saya tidak panjang sekalipun, moga Allah beri kesempatan untuk berbakti kepada ibu yang sudah berumur.

Semua ini buat saya mengerti bahawa tiada apa yang abadi di dunia ini, semuanya pinjaman. Dan kesihatan juga pinjaman. Moga Allah redha pada apa yang dipinjamkan ini.

Sementara masih ada baki-baki usia ini, usaha dan perancangan serta tanggungjawab perlu diteruskan. Ada tanggungjawab yang belum diselesaikan di USIM. Maka atas saranan dekan, saya akan meneruskan pengajian Phd di USIM dalam masa terdekat atas keizinan Allah.

Semuanya berlaku dalam sekelip mata. InsyaAllah semua yang Allah tentukan itu baik untuk kita. Kerana tiada yang Allah tentukan melainkan ada hikmah di dalamnya.

Moga Allah jadikan hati kita redha atas setiap sesuatu. Ameen

Saturday, June 8, 2013

Ukhuwwah di Ice Room

"Macam mana sekarang? Dah boleh lupakan?"
Seorang sahabat yang baik hati dan selalu ada saat hati ini merasa duka bertanya.

Saya tersenyum kelat. Menahan airmata dari menitis lagi. Biarlah airmata itu mengalir tika saya sendiri, kerana tidak sanggup melihat orang lain merasakan juga kepedihan yang sedang saya rasakan sekian lama.

"Alhamdulillah dah semakin baik. Takpe, dah tidak kisah tentangnya. Bohonglah kalau kata tak sedih. Tapi tak mengapa. InsyaAllah ada yang lebih baik".

Hanya itu yang tertutur.

...................................

Cuti persekolahan bermula, dan waktu senggang itu saya ambil peluang untuk ke UIAM, tempat menimba ilmu selama 8 tahun.

Bertemu dengan sahabat-sahabat lama begitu membuat hati terisi. Sungguh hidup memang terasa sunyi. Sunyi  apabila terpaksa melalui jalan hidup ini sendirian. Namun jiwa akur, masanya belum tiba untuk didampingi seseorang yang terbaik, kurniaan dari Allah. Maka yang terbaik, isi waktu dengan perkara yang bermanfaat. Belajar mencintai yang dekat sebelum Allah datangkan yang dari jauh.

Jumaat malam Sabtu, dua orang adik yang baik hati datang berziarah ke UIAM semata-mata untuk bertemu saya dan sekaligus mempelawa saya dan sahabat-sahabat lain untuk makan malam.

Alhamdulillah, hati merasa sangat bahagia. Benarlah, Allah tidak pernah biarkan hati berduka selalu. Allah datangkan bahagia berupa kemanisan ukhuwwah bertemu saudari-saudari yang terikat dengan ikatan iman.

Hamdan Lillah

Jazakumullahu khayr al Jaza'

Moga Allah memberi balasan yang baik buat kalian
Ameen





Moga Ukhuwwah ini Allah redha
Moga kita semua berjiran kembali di syurga-Nya
Biiznillah

Syair Imam as-Syaafei Rahimahullah : Takdir



"Biarkan takdir berjalan sesuai kehendaknya
Janganlah terlelap kecuali hatimu dalam keadaan tenang dan tenteram
Di antara kerdipan mata dan kesedarannya
Allah datangkan takdir yang baru
Menggantikan takdir yang sebelumnya"

~ Bait syair Imam as-Syaafei Rahimahullah

...................................................

Wahai Allah
Luputkanlah kesedihan ini selama-lamanya
Gantikan ia dengan harapan baru yang kusulam dalam untaian doa

Wahai Allah
Engkau Pencipta segala rasa
Izinkan aku merasai cinta yang sebenar-benarnya
Cinta dari-Mu
dan 
kurniakanlah aku cinta hamba-Mu yang mencintai-Mu 
serta mencintai hamba yang mencintai-Mu

Wahai Allah
Bantulah aku untuk melakar senyum
Walaupun hati pedih menghiris
Bantulah aku untuk redha
Atas segala ketentuan-Mu

Allahumma ameen 

Wednesday, May 1, 2013

Yang Pertama: Manuskrip Novel


Manuskrip Novel Tarbiyyah: 'Melakar Pelangi'

Bismillah.. Hamdan lillah

Sejak tahun 2009, saya sudah mula berangan-angan ingin menyiapkan sebuah novel garapan sendiri. Novel yang saya kira dapat menyebarkan sedikit sebanyak manfaat untuk diri sendiri dan ummat. 

Tahun 2012, alhamdulillah penulisan novel 'Melakar Pelangi' telah sampai ke akhirnya. Kini setelah terperap di dalam timbunan fail laptop selama beberapa waktu, saya berusaha mencetaknya dengan niat untuk diusulkan kepada penerbit yang sudi menerima karya berupa novel tarbiyah untuk diterbitkan. 

Mohon doa yang membaca agar usaha ini Allah redha. 

Sunday, April 21, 2013

Allah Sayangkan Hamba-Nya



Bismillah.. Hamdan Lillah
Allah masih beri umur untuk hari ini. Walaupun tidak berapa sihat, atas musibah kecil yang berulang, namun inilah kifarah dosa.

Kadangkala, bila sakit itu menggigit-gigit rasa, hati tidak mampu bersabar. Rasa hendak menangis dan selalu bertanya sendiri, 'adakah dosa-dosaku masih belum terlunas dengan kifarah-kifarah yang diberikan padaku.'

astaghfirullah.. Ampunkanlah aku ini ya Allah. Hati ini lemah, tetapi Engkau sahaja yang menguatkannya. Hati ini rapuh tatkala dirempuh ujian, tetapi Engkau sahaja yang mengukuhkannya

Allah menguatkan hati hamba-Nya yang lemah dengan ujian, Allah dekatkan hamba-Nya dengan ujian, Allah sembuhkan hati hamba-Nya dengan ujian.

Allah sayang dan cinta sangat pada hamba-Nya melalui ujian. Dan betapa sihat itu merupakan nikmat yang tak terperi. Kini setiap kali sakit datang, barulah rasa nikmatnya sihat untuk beribadah, untuk baca al-Quran, untuk menulis sesuatu dan untuk buat kerja seharian yang mengundang redha Allah

Allahu Syafii.. Anta Syafi syifa'an la yughadiru saqaman.. ameen

Friday, April 19, 2013

Allah Merancang Untuk Kita





بسم الله الرحمن الرحيم

Meniti hari-hari baru dengan penuh kesyukuran, sesungguhnya kita ini sepatutnya malu. Malu kepada Allah lantaran nikmat demi nikmat kita dapat tetapi terus-terusan dengan kelalaian dan tidak taat pada-Nya. 

Dikatakan berkenaan perancangan hidup, sungguh ketika ini tiada perancangan berkaitan pasangan hidup. Apatah lagi hendak mencari pengganti buat yang telah hilang pergi mencari bahagia hidupnya. Yang pasti di hadapan ketika ini ialah soal pendidikan. 

Berkira-kira sejak september 2012 yang lalu, saya mengharap untuk terbang ke bumi Syam dalam masa terdekat. Lantaran hati dirundung kesedihan dan pelbagai ancaman perasaan, saya terlalu mahu Allah izinkan saya pergi ke sana secepat mungkin. Tetapi perancangan Allah itu adalah yang terbaik. 

Masa berlalu, saya tidak sempat menghabiskan thesis Master saya sebelum bulan Jun, dan ia berlarutan hingga ke bulan oktober. Dan kemudian tidak sempat untuk mengejar kemasukan untuk ke universiti bagi bulan Feb 2013.

Ala kulli hal, kini sudah menginjak ke bulan April. Dan diri masih menanti surat tawaran dari sana. Sungguh ketika ini, hati semakin faham bahawa ada sebab mengapa Allah tidak izinkan saya untuk terbang jauh di bulan-bulan lalu. Ia tidak lain adalah untuk saya yang lemah hati ini membetulkan niat. 

Pergi ke sana bukan untuk larikan diri, bukan kerana frust, tetapi untuk mencari diri yang hilang, untuk kembalikan kesucian diri yang telah dicemar dosa, dan untuk apa-apa yang Allah redha berkaitan hidup ini. 

Allah Merancang Untuk Kita. Moga Allah izinkan. 

Sesungguhnya mintalah pada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa kita itu.
Wahai Allah, kabulkan permintaanku dan permintaan umat Islam seluruhnya.