Usai bersembang dengan abang di kampung berbincang berkenaan sesuatu, saya tidur dalam keadaan kepala yang sakit. Sakit mungkin kerana terlalu banyak berfikir dan merisaukan kemungkinan-kemungkinan mendatang.
Dan perkara utama yang sedang saya fikirkan adalah tentang kerja.
Terikat dengan cakap-cakap orang itu sangat menyakitkan. Saya terasa ingin mengabaikan semua kata-kata orang kerana semua itu tidak penting untuk saya fikir. Tetapi bila suatu saat kita berhadapan dengan ibu kita, dan bagaimana kita hendak menjawab dengan ibu kita berkaitan cakap-cakap orang kelak, itu sangat membuat jiwa sendiri berat.
Master. Itu bukan jaminan untuk saya atau sesiapa cepat memperolehi kerja. Kerana situasi saya sendiri berbeza dengan orang lain, maka saya punya alasan saya sendiri mengapa saya terpaksa memilih pekerjaan yang tidak mensyaratkan kontrak walaupun kelayakan itu ada pada sijil yang telah saya perolehi.
Itulah kehidupan. Kadangkala kita akan merasai tempoh kesusahan.
Dahulu ketika menyambung pengajian sarjana, untuk membayar yuran pengajian sahaja begitu susah. Alhamdulillah ibu saya membayar separuh dan saya berjanji untuk menggantikannya apabila ada wang kelak. Apa ibu saya balas: "Jangan cakap macam itu, anggap ini rezeki. Mak sedeqah untuk anak yang nak belajar".
Saya hendak menangis dan memang saya menangis. Saya terharu dan serba salah kerana sejak kecil sudah merasa susah dan menyusahkan ibuayah. Dan ketika ini juga saya susahkan mereka. Allah.. Dalam hati hendak bekerja sahaja. Mahu sahaja menangguhkan impian. Tetapi ibu suruh saya sambung juga dengan syarat jangan berhenti pertengahan jalan.
Di tahun pertama pengajian, saya diuji dengan masalah peribadi, masalah kewangan dan juga masalah pelajaran. Perjalanan Master sangat menguji hati sendiri. Dengan keadaan persekitaran yang menekan, ada yang mahu berhenti di tengah jalan dan itu sedikit sebanyak mengganggu ketetapan dan keyakinan hati saya.
Dari masalah peribadi yang membuatkan jiwa saya sangat sakit, dibawa kepada masalah kewangan yang membuatkan saya terpaksa menahan muka meminjam wang dari abang sendiri. Saya yakin, Allah akan beri rezeki bagi orang yang menuntut ilmu. Saya bertawakkal.
PTPTN saya ditolak. Saya menangis tidak tahu kenapa. Permohonan biasiswa di UPSI juga ditolak.
Tetapi bekal tawakkal, Allah buka jalan untuk memperolehi rezeki. Saya cuba untuk memohon felosiswazah di USIM atas makluman seorang sahabat yang sudi membantu memberikan info dan membantu saya juga sahabat2 lain menghantarkan permohonan di sana.
Temuduga berjalan dan alhamdulillah saya dilantik sebagai felosiswazah dan perlu menyambung pengajian master hingga PHD selesai. Itulah kontrak yang sedang saya terima dan terikat.
Dan kerana kontrak inilah, usai master saya mula sibuk menguruskan beberapa perkara berkaitan pengajian PHD. Dan Dekan dengan hujahnya mendorong kami pihak felosiswazah untuk menyambung pengajian ke luar negara.
Dan negara pilihan saya setakat ini adalah Jordan.
Saya terima beberapa halangan daripada beberapa orang. Mungkin kata-kata tersebut hanyalah sebagai nasihat. Alhamdulillah saya terima dengan baik. walaupun kadangkala apa yang dikatakan itu berbau tuduhan yang membuatkan hati sendiri sakit.
Usai IELTS, saya perlu uruskan thesis master, kemudian hadir ke kursus BTN dan kini dalam proses terjemahan sijil-sijil ke bahasa arab. Saya cuba untuk mengejar sesi akademik untuk kemsukan bulan feb, tetapi memandangkan tidak sempat, maka saya berhajat untuk menangguhkan ke bulan september.
Dan saya menceritakan semua ini adalah untuk membayangkan situasi saya, mengapa saya tidak mahu memohon kerja yang ditawarkan secara kontrak atau tetap. Kondisi saya memerlukan saya untuk memilih, bukan kerana saya terlalu memilih kerja.
Apa yang mahu saya katakan adalah, setiap manusia itu kondisi hidupnya berbeza. Kita tidak boleh hendak samakan mengapa dia itu belum bekerja sedangkan sudah ada Master? Memilih mungkin, nak kerja gaji ribu-ribu.
Kenapa orang itu belum kahwin, sedangkan umur dah banyak? Agaknya memilih sangat kot. Nanti dah ada phd lagi orang takut nak dekat.
Silalah kata apa yang hendak dikata. Jawapan saya senang je untuk orang yang selalu label, 'ada phd orang takut nak dekat'.
'Kalau dia takut nak dekat, ada orang lain akan datang dekat'.
Jodoh itu bukan pada manusia. Sama juga rezeki berupa kerja, anak dan sebagainya.
senang cerita, kita ini jagalah diri kita dan mulut kita. Jangan sampai menyakiti orang lain.
Mohon maaf andai ada yang terbaca, terasa di hati. Saya juga punya khilaf. Doakan saya dan saya doakan kalian.
Moga Allah redha.
Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukannya berhenti.. Dan untuk terus berjalan hanya ada dua hal yang harus kita terus bawa: Keyakinan dan Cinta..
Friday, December 28, 2012
Wednesday, December 26, 2012
UJIAN HIDUP
Kadangkala kita
merasakan hidup kita ini susah. Susah hingga menyempitkan jiwa sendiri. Siapa
yang tidak pernah dihimpit derita? Tidak pernah sesiapa berjalan di atas jalan
kehidupan ini tidak disapa ujian.
Hanya bila ujian
itu datang, bagaimana kita melihat dan menghadapinya. Adakah kita lari dari
ujian itu atau pun kita hadapinya dengan penuh kekuatan dan ketabahan.
Seringkali kita
dengar, apabila diuji, janganlah minta untuk dikecilkan ujian, tetapi mintalah
untuk mempunyai hati yang tabah.
Ya, hati yang
tabah itu mampu diraih. Bagaimana untuk meraihnya, kita perlukan kekuatan. Dan
kekuatan itu tidak akan datang kecuali dengan ujian. Kerana itulah mengapa
ujian itu Allah datangkan kepada kita silih berganti.
Jika kita amati,
kita sebenarnya diuji dengan perkara yang sama. Sejak kita kecil mungkin
sehingga kita besar, kita akan lalui perkara yang sama. Selagi kita belum lepas
dari ujian itu dengan rasa redha dan lapang hati, selagi itulah Allah akan uji kita
dengan perkara yang sama.
Selalunya, ujian
yang berat itulah yang akan membuatkan kita dekat dengan Allah. Semakin kuat
ujian, semakin kuat pergantungan kita kepada Allah.
Pernahkah anda
mendengar kisah seekor monyet yang duduk di atas puncak pohon kelapa. Apabila
angin taufan datang, semakin kuat cengkaman tangannya di pohon tersebut.
Kemudian datang
pula angin yang sepoi-sepoi bahasa, monyet tersebut terliuk lentok dengan
kedamaian angin tersebut hingga tidak tersedar tangannya yang mencengkam mula
melonggar dan matanya hampir tertutup kerana dihantui rasa mengantuk.
Tiba-tiba. Bumm.. monyet tadi jatuh di atas tanah.
Begitulah kita
dengan ujian hidup. Apabila kita berada di zon selesa, tiada rasa susah, tiada
kesulitan, kita semakin dilalaikan dengan kesenangan hidup hingga akhirnya
kesenangan itu membuatkan kita semakin jatuh ke lembah kebinasaan.
Tetapi syukurlah
tatkala Allah beri kita ujian. Ujian itu ibarat seperti angin taufan, sesekali
mengejutkan kita dari kelalaian dan keasyikan hidup di dunia. Semakin kuat
ujian, semakain kuat pegangan tangan kita pada janji Allah, semakin kuat kita
menangis dan meminta pertolongan daripada Allah.
Sungguh, dalam
ujian itu nyata ada nilai kasih dan sayang Allah. Hanya kita yang tidak
memahami bagaimana bentuk cinta dan sayang Allah pada kita melalui ujian iitu.
Suka untuk saya
ambil sebuah ayat yang mengisahkan, bagaimana kita ini selaku manusia diuji
dengan manusia lain. Iaitu surah al-Furqan: ayat 20 yang bermaksud:
“Dan kami jadikan
sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain, (untuk melihat) adakah kamu
mahu bersabar”.
Ya, adakah kita
mahu bersabar apabila diuji dengan manusia lain. Manusia yang menyakiti kita,
yang berjanji kemudian memungkiri, manusia yang menghamburkan kata kesat,
manusia yang menuduh kita dengan penuh kedustaan, manusia yang tidak pernah
puas hati dengan kita dan berbagai-bagai lagi jenis manusia.
Dan tanpa kita
sedar, kita juga merupakan ujian buat manusia lain. Mungkin kita ada melakukan
kesilapan kepada orang lain, kerana itu kita dianjurkan untuk selalu meminta
maaf terlebih dahulu walaupun kesalahan itu bukan dari kita.
Sungguh, dalam
ujian itu, Allah sedang membuka ruang pahala untuk kita.ruang untuk kita
mendapat pahala melalui ‘sabar’. Sungguh, untuk menjadi sabar itu tidak mudah.
Perlukan mujahadah yang tinggi. Kerana itu tidak hairan mengapa orang yang
bersabar itu Allah naikkan darjatnya dan balasannya adalah syurga yang sangat
indah.
SubhanAllah. Maha
baiknya Allah itu.
Maka saudara
saudariku, tika ujian datang dalam hidup kita, mujahadahlah untuk bersabar.
Jangan lari dari ujian itu, jangan minta dikecilkan ujian tetapi mintalah hati
yang tabah untuk melaluinya. Temani ujian itu dengan sabar dan solat, adulah
kepada Allah. Dia Maha Mendengar dan tidak pernah jemu untuk mendengar rintihan
kita.
Hakikatnya, ujian
itu untuk mendekatkan kita dengan Allah. Sumber segala rasa cinta.
Sunday, December 23, 2012
Bersabarlah Dengan Apa Yang Mereka Katakan
Kadangkala hati kita menangis, merasa terlalu berat ujian. Ujian yang datang dari perbuatan dan percakapan manusia lain yang tidak habis-habis dengan ketidakpuashatian.
Sungguh kita semua manusia biasa. Yang membezakan kita adalah bahagian hidup masing-masing. Yang bujang dengan ujiannya, yang sudah berkahwin dengan ujiannya. Kerana kita ini hamba, kerana itulah kita layak diuji.
Allah Maha Tahu apa yang ada di hati kita. Bukan Allah tidak tahu kita merasa berat dengan tuduhan, tohmahan dan kedengkian orang kepada kita. Mungkin, ada mesej yang Allah hendak sampaikan melalui ujian manusia lain kepada kita.
Allah mahu kita dekat dengan-Nya, mengadu pada-Nya dan berdamping dengan kalam-Nya iaitu al-Quran. Jika kita teliti dan dalami, setiap ayat al-Qur'an itu merupakan penawar, pemberi hidayah, petunjuk dan penenang buat hati kita di kala dirundung kesedihan.
Saudariku, tika kamu ditimpa musibah berupa kutukan dan tohmahan manusia lalu hatimu merasa sangat sakit. Lihatlah pujukan Allah ini. Allah berfirman maksudnya:
"Maka sabarlah kamu atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu di malam hari dan pada waktu-waktu di siang hari, supaya kamu merasa senang" ~ Surah Taaha:ayat 130
Pertama: Bersabarlah dengan apa yang mereka katakan
Kedua: Bertasbih sebelum terbit matahari dan terbenam, siang dan malam. Bukan hanya sehari tetapi setiap hari.
Agar nantinya kamu merasa tenang,
SubhanAllah, inilah janji Allah. Allah kata, pujilah Allah, ingatlah Allah.
Bila kita dicemuh dan tidak disukai manusia, percayalah kita masih ada Allah yang takkan pernah membenci dia selagi kita mahu jadi hamba-Nya. Allah tidak akan pergi jauh selagi kita tidak lari jauh dari-Nya.
Bila kita ingat semua ini, insyaAllah hati kita tak gundah dengan perbuatan orang pada kita. Kita sudah tidak kisah dan tidak akan sibuk memikirkan kebencian orang pada kita.
Cukuplah Allah sahaja untuk kita. Bukan yang lain.
Akhirnya tenanglah dengan pujukan Allah. Berdampinglah dengan al-Quran, tadabbur setiap hari. InsyaAllah ketenangan akan datang tika kita memerlukannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)