Terdapat sebuah hadith yang masyhur dikenali sebagai hadith “Ummu Zar’in”. Pertama kali mengetahui kewujudan hadith ini melalui Dr Moghtaba, seorang pensyarah hadith dari Jabatan al-Quran dan as-Sunnah UIAM. Beliau berasal dari Sudan dan mengajar kami madah ‘Naqdul Hadith’ (kritik hadith). Kami disuruh menghafal beberapa potong hadith dan hadith ummu zar’in inilah menarik minat saya kerana ‘promotion’ dari ustaz mengatakan tentang keistimewan kisah hadith ini. Namun saya masih belum melihat duduk sebenar matan hadith tersebut. . Amat terkejut apabila menemui hadith ini di maktabah, matannya tersangat panjang. Bukan saya sahaja yang perasan begitu, sahabat-sahabat yang lain pun begitu.
“ Ustaz ni biar betul”.
Kami mengerut kening tanda susahnya tugasan yang diberi. Kami meminta ihsan dari ustaz untuk menggantikannya dengan potongan hadith lain, ternyata ustaz tetap mahukan kami menghafal hadith ini. MasyaAllah.
Terkulat-kulat juga la saya nak menghafal. Tetapi satu yang seronok bila hafal hadith ni adalah lafaznya yang seakan sedap untuk diulang. Entahlah, mungkin saya terperasan sendiri. Saya hampir menghabiskan hafalan hadith yang satu ini. Tetapi sampai masa tasmi’, sahabat saya pun ke depan, dia beritahu kepada ustaz tak dapat hafal lagi hadith ni, last-last ustaz kata:
“hal tafhamin hazal hadith?” (adakah kamu faham hadith ini?)
“na’am” (ya).
Kemudian ustaz hanya meminta kami mensyarahkan sahaja mafhum hadith tersebut.
Kami pernah tanya macam mana ustaz boleh hafal hadith yang panjang ni?
Ustaz beritahu dia ulang banyak-banyak kali. Kami amat menyenangi cara ustaz kerana beliau selalu bagi kata-kata semangat dan nasihat yang membekas.
Dan lagi beliau kata, hadith ni bagus kerana isi kandungannya punya banyak pelajaran dan pengajaran. Nanti kita keluarkan sedikit fawaid yang saya ambil hasil pemahaman dari kitab syarah sahih muslim insyaAllah.
Dan lagi, hadith ni banyak memberi ingatan kepada saya dengan sahabat-sahabat sekelas sebab bila saya diminta seorang teman memberikan maksud hadith yang telah diterangkan oleh ustaz pada kelas yang lepas, dia ketawa sebab ada antara 11 isteri tersebut menyifatkan suami mereka dengan perkara yang keterlaluan. Ada yang puji berlebihan, dan ada juga yang mengutuk secara berlebihan.
Di sini saya hanya lampirkan maksud hadith yang ertinya saya copy paste dari laman ustaz Hasrizal di sini:
Daripada Urwah r.hu daripada A’isyah r.ha telah bercerita bahawa sebelas orang wanita telah bersepakat dan berjanji untuk menceritakan perihal suami mereka.
Wanita pertama berkata: Suamiku seperti daging unta yang busuk yang berada di puncak bukit yang tinggi yang tidak dapat untuk didaki. Beliau tidak berlemak dan mudah untuk bergerak.
Wanita kedua berkata: Aku tidak boleh menceritakan mengenai suamiku. Aku takut dan aku tidak boleh memberitahu mengenainya. Sekiranya aku memberitahu mengenainya, bermakna aku membuka aibnya.
Wanita ketiga berkata: Suamiku telah membuat syarat, sekiranya aku bercerita, aku akan diceraikan dan sekiranya aku diam, aku akan dikasihi.
Wanita keempat berkata: Suamiku seperti cuaca di daerah Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), tidak menakutkan dan tidak menjemukan.
Wanita kelima berkata: Suamiku, ketika memasuki rumah seperti seekor harimau bintang (kerana banyak tidur dan malas bertanya), tetapi apabila beliau keluar seperti seekor singa. Beliau tidak akan bertanya perkara-perkara yang bukan urusannya.
Wanita keenam berkata: Suamiku apabila makan, beliau akan menghabiskan makanannya. Sekiranya beliau minum, beliau akan menghabiskan minumannya. Sekiranya beliau tidur, beliau akan berselimut dan tidak memasukkan telapak tangannya kerana beliau tahu akan kesusahannya.
Wanita ketujuh berkata: Suamiku adalah seorang yang lemah syahwat. Walaupun telah berubat tetapi belum juga sembuh. Di samping itu beliau mudah menjatuhkan tangannya.
Wanita kelapan berkata: Suamiku berbau seperti bau Zarnab (sejenis bauan) dan sentuhannya selembut sentuhan seekor arnab.
Wanita kesembilan berkata: Suamiku berkedudukan tinggi, seorang yang berjaya, dermawan dan rumahnya berhampiran dengan tempat permainan.
Wanita kesepuluh berkata: Suamiku seorang pembesar dan banyak memiliki harta, sebahagian dari hartanya, beliau memiliki banyak unta. Sebahagian besar unta-untanya pula dibiarkan di halaman rumah, kerana itulah untanya yang hamil sedikit sahaja. Sekiranya unta-unta itu mendengar tiupan seruling mereka mengetahui bahawa mereka akan disembelih.
Wanita kesebelas berkata: Suamiku bernama Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah Abu Zar’in? Beliaulah yang memberikan aku anting-anting pada sepasang telingaku. Beliaulah yang memberiku makanan-makanan berzat sehingga aku kelihatan sihat. beliau suka memuji aku, beliau mengambil aku dari keluarga susah dan menjadikan aku salah seorang anggota keluarga yang kaya. Beliau tidak pernah mencaci aku, sehinggakan aku dapat tidur dengan nyenyak sampai ke pagi dan aku dapat minum dengan tenang.
Selepas itu bagaimana pula bonda Abu Zar’in. Tahukah kamu siapa bonda Abu Zar’in? Beliau memiliki harta simpanan dan rumahnya sangat luas.
Maka bagaimana pula anak lelaki Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak lelaki Abu Zar’in. Tempat tidurnya seperti pelepah tamar. Beliau merasa kenyang dengan makan sebelah kaki kambing.
Maka bagaimana pula anak perempuan Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak perempuan Abu Zar’in beliau sangat mentaati kedua orang tuanya. Tubuhnya montel dan sering menjadi kecemburuan jirannya.
Maka bagaimana pula Jariah Abu Zar’in, tahukah kamu siapakah Jariah Abu Zar’in? Beliau tidak pernah menyebarkan rahsia kami dan sangat jujur sekalipun dalam soal makanan. Beliau tidak pernah membiarkan rumahku kotor.
Setelah itu beliau berkata: Satu hari Abu Zar’in keluar dengan membawa satu bekas daripada kulit yang diisi dengan susu. Beliau bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak. Kedua anaknya itu seperti dua ekor harimau kumbang. Mereka bermain dengan dua biji buah delima di bawah pinggang ibunya. Maka beliau menceraikan aku dan mengahwini wanita itu.
Setelah itu aku berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dan kaya. Tunggangannya adalah seekor kuda terpilih. Beliau membawa aku ke kandang yang penuh dengan binatang ternakan. Kemudian dia berkata: Makanlah wahai Ummu Zar’in dan berehatlah supaya hilang penat lelah. Beliau berkata: Sekiranya aku kumpulkan pemberiannya dengan pemberian Abu Zar’in, nescaya pemberiannya tidak akan sama dengan pemberian Abu Zar’in yang paling sedikit.
Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda kepadaku: Perhubungan aku denganmu seperti Abu Zar’in dengan Ummu Zar’in.
Aisyah radhiyallahu ‘anha membalas: Bahkan engkau lebih baik dari Abu Zar’in.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab: Benar! Abu Zar’in menceraikan Ummu Zar’in sedangkan aku tidak menceraikan engkau”
]Sahih muslim: 12/199 -Bab mneyebut Hadith Ummu Zar’in]
____________
Terdapat beberapa faedah ataupun pengajaran daripada Hadith ini.
1- Berlaku baik dengan isteri
Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah s.aw mendengar dengan sabar mendengar apa yang saidatina Aisyah mahu ceritakan tanpa berkata bosan ataupun tidak melayaninya. Begitulah teladannya baginda kepada para suami kini agar berbuat baik dengan isteri masing-masing.
2- Lafaz kinayah:
Lafaz kinayah dalam talak memerlukan kepada niat berdasarkan apa yang Rasulullah s.a.w katakan kepada Aisyah: “Aku kepada kamu seperti Abu zar’in kepada ummu zar’in. Sedangkan abu zar’in mentalakkan isterinya” tetapi Rasulullah s.a.w tidak mentalakkan saidatina Aisyah. Oleh itu, istinbat dari hadith ini bahawa lafaz kinayah memerlukan kepada niat untuk menjadikan talak itu jatuh sah.
3- Ghibah: Mengumpat
Al-Marizi mengatakan: telah berkata sebahagaian mereka (tanpa menyatakan siapa) : sebahagian daripada wanita tersebut ada yang menceritakan tentang keburukan suami mereka. Perbuatan ini tidak dinamakan ‘umpat’ kerana mereka masing-masing tidak tahu siapa dan nama suami yang diceritakan oleh si isteri tadi.
Umpat yang diharamkan adalah menceritakan tentang seseorang yang diketahui perihal (nama) dan dirinya. Adapun sekiranya orang yang mendengar tidak mengenali seseorang yang diceritakan maka ianya tidak dikira umpat.
Sebagaimana apa yang berlaku antara Rasulullah s.a.w dengan Aisyah r.ha: Aisyah r.ha menceritakan tentang 11wanita yang a’in ataupun perihal nama dan diri wanita-wanita tadi tidak diketahui oleh Rasulullah s.aw. Adapun apa yang berlaku sekarang, para isteri yang menceritakan tentang keburukan suami mereka sedangkan orang yang mendengar tersebut mengenali suami wanita tersebut maka inilah dinamakan ‘umpat’. Tetapi sekiranya tidak dikenali maka tidak dinamakan ‘umpat’.
Rujuk:
Syarah nawawi a’la muslim: Juz8:m/s198 (bab membincangkan hadith ummu zar’in))
_____________________
Memetik nilaian dari ustaz Hasrizal tentang hadith ini:
“Sabarnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendengar celoteh isterinya Aisyah! Dalam kesibukan dan kegentingan pelbagai isu ummah, sabarnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam melayan kisah 11 perempuan Jahiliyyah yang entah di mana faedahnya itu! Tidak langsung diperlekeh kisah Aisyah. Tidak langsung dimuncungkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mulutnya dengan kisah panjaaaaang lebar isteri kesayangannya itu.
Bahkan setelah berakhirnya kisah 11 wanita Jahiliyyah itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengulas dengan komen yang paling bersahaja lagi romantik, sebagai seorang suami yang terbaik kepada ahli keluarganya”.
Mungkin kita semua mesti menghadami i’brah dari sebalik hadith ummu zar’in zahirnya dan isinya. Indahnya Islam dalam membuktikan berbuat baik dengan isteri sangat dititik beratkan oleh sang suami. Diajar pula adab-adab dalam mua’malat dalam bermasyarakat.
Untuk lebih mendalam dalam memahami hadith ini, sila layari website ukhti Sumayyah di sini untuk ta’liq hadith ummu zar’in.
Wallahu a’lam..
Lafaz penuh boleh rujuk di:
1- Sahih al-Bukhari: bab حسن المعاشرة مع الأهل
2- Sahih muslim: bab ذكر حديث أم زرع
3- Sunan kubra linnasa’i (bab 5/17)
4- As-syamail almuhammadiah li attirmizi (bab كنت لك كأبي زرع لأم زرع )
5- Mu’jam alkabir li attabrani
6- Sahih ibn Hibban (bab ذكر قول المصطفى صلى الله عليه وسلم