Pages

Saturday, August 29, 2009

Cinta Tanpa Syarat




Daripada Abdurrahman bin Abi Bakar daripada Bapanya r.hu: telah bersabda Rasulullah s.aw: mahukah kamu aku khabarkan tentang sebesar-besar dosa?. Kami menjawab: Bahkan ya wahai Rasulullah s.aw. baginda s.a.w lalu bersabda: “ Menyekutukan Allah s.w.t, menderhakai kedua ibubapa…(sepertimana dalam hadith nabi s.a.w)”- (al-Bukhari: bab menderhakai kedua ibubapa adalah dosa besar)



Allahu Akbar

Alhamdulillah kerana saya punya nikmat Iman dan Islam sejak dilahirkan. Dan saya berdoa semoga saya meninggalkan dunia ini juga dalam keadaan iman. Marilah kita bersyukur bersama-sama.

Mengapa saya katakan Iman dan Islam merupakan nikmat? Kerana saya tidak perlu berhadapan dengan dosa ‘mensyirikkan Allah’ yang Maha Suci-Nya dari apa-apa yang menyamai-Nya. Dan orang yang mati dalam keadaan ‘menyekutukan Allah’ tidak akan dimasukkan ke syurga untuk selama-lamanya (Wal’iyazubillah). Bukankah apabila terlepas dari cengkaman kesempitan dan kesusahan itu satu kenikmatan? Alhamdulillah.

Saya tersentuh apabila seorang pensyarah mengulas tentang dosa ‘menderhaka kedua ibubapa’. Saya boleh lega apabila punya nikmat iman, dan itu sudah tentu dengan izin Allah s.w.t menyelamatkan saya daripada mensyirikkan Allah (wal’iyazubillah). Tetapi adakah saya sudah semestinya bebas daripada dosa ‘menderhakai kedua ibubapa’?.

Saya terdiam mendengarkan pertanyaan itu. Apabila beliau menceritakan kisah beliau yang pernah mengucup kaki ibu beliau walaupun ibu beliau menolaknya. Saya terlalu kagum dengan. Kata beliau, ‘syurga di telapak kaki ibu’. Kerana itu beliau mengucupnya. Subhanallah. Setiap kali mahu keluar dari rumah untuk ke pasar, beliau pasti akan mencium tangan ibunya dan mengatakan “Ibu, saya mahu dengar dari mulut ibu bahawa ibu redha dengan saya”. Bukankah seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan ibubapanya redho kepadanya akan dimasukkan ke dalam syurga?

Subhanallah.

Dan tahukah anda beliau adalah seorang lelaki yang berasal dari Palestin. Lelaki yang dikurniakan Allah sifat rasional yang tinggi, dan ego yang lebih dari seorang wanita. Bagi saya, lelaki sebegini adalah seorang yang lembut hati.

Saya terfikir tentang diri saya. Saya adalah dari kalangan wanita, wanita itu masyhur dengan sifat lembut dan kurang egonya. Tetapi saya tidak pernah melakukan itu (mencium kaki ibu saya).

Ketika beliau membuka kisah tersebut di dalam suasana pembelajaran, tentu sahaja saya dan rakan-rakan saya yang lain terpaksa menahan hiba. Saya terfikir bahawa saya masih punyai ibu ayah, tetapi beliau sudah tidak punya ibuayah lagi. Beliau jauh dari tempat kelahiran (Palestin). Saya pula masih berada di bumi kelahiran saya.

“ Kamu semua masih punya ibuayah, telefonlah setiap hari. Katakan pada ibu, “Ibu, saya mahu dengar bahwa ibu redho kepada saya”. Selepas kelas ini, telefonlah ibuayah”.

Saya tersenyum sahaja di hadapannya memandangkan saya duduk di hadapan sekali di sebabkan jumlah pelajar di kelas yang tidak ramai. Bolehkah saya begitu? Allahu Akbar.

Saya tahu bagaimana hati ibuayah. Saya belum menjadi ibu tetapi perasaan rindu seorang ibu itu sebenarnya mengatasi segala-galanya. Hati mereka terlalu mudah terguris lebih-lebih lagi yang sudah berusia. Tentu ibuayah saya rindu kepada anak-anaknya. Anda rasakan perasaan seperti saya juga? Baguslah, kerana kita punya fahaman yang sama.

Semoga Ramadhan ini menjadi medan kita memuhasabah diri yang selalu sahaja leka dengan kehidupan dunia sehingga melupakan hak-hak orang yang sepatutnya diberikan. Ya, sudah tentu antaranya hak ibu ayah untuk diingati dan dihubungi. Mudah-mudahan kita bukan di kalangan orang yang melakukan sebesar-besar dosa-‘menderhakai ibuayah’.



“ Ya Allah, ampunilah dosaku serta dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka
sepertimana mereka mengasihiku sejak dari kecilku”.




CINTA TANPA SYARAT

Kurenung mentari pagi
Sinarannya lembut
Berselendang embun salju
Membias kuntum senyum
Menghadirkan diri pada lestari rindu
Yang mendakap sepi sendu

Sekian kali kucari
Di sebalik senandung sebuah lagu
Padanya terselit simfoni cinta
Yang membiaskan halwa
Ianya bukan cinta biasa
Tetapi dalam biasanya ada luar biasa
Itulah cinta tanpa syarat
Dari seorang ibu juga ayah
Yang redhonya kudambakan
Amat sekali
Sebelum ku pergi dan setelahnya

Andai ibu sudi
Kuingin memetik kuntum cintamu itu
Dan menyimpannya di lubuk hatiku
Andai ayah sudi
Kuingin mencantumkan cereka kasihmu
Untuk diabadikan dalam lipatan memoriku
Ingin juga kuselalu dengari
Kata sakti cinta kalian
Berterusan mengalir dalam relung-relung hatiku
Kuingin menyimpan segala kenangan
Dalam kanvas kehidupanku
Biar segalanya menjadi bukti
Cintamu yang tidak bersyarat
Terlalu menjanjikan kasih bahgia buatku
Dan janji syurga-Nya untukku

Andai pernah kusakiti hatimu
Ampunilah
Andaiku melukakan hatimu
Ampunilah
Andai kataku menghiris lembut nubarimu
Ampunilah
Andai tingkahku mengalirkan tangismu
Ampunilah

Dengan tulus hatiku
Izinkanku mengungkap kata rindu
Izinkanku mengukir makna sayang
Izinkan juga ku melakar serangkap doa
Hanya buatmu
Ibu dan ayah

Nukilan: Al-misk uiam


wallahu a'lam

Friday, August 21, 2009

Subuh Ramadhan

Di subuh ini
Kurenung ufuk timur
Tiada mega
Tiada jua jalur merah
Yang ada
Hanya selendang kabus
Di latar langit
Menyembunyikan sang mentari
Yang berselindung malu
Mempamerkan cahayanya

Subuh ini
Bukan subuh biasa
Subuh ini subuh yang kurindu
Setelah ia pernah pergi
Meninggalkan bersama janji
Untuk bertemu lagi

Dalam melakar sebuah harapan
Sepenuh harap aku menantimu
Ya Ramadhan
Biarpun hadirmu hanya sekali ini
Inginku selalu menghayatimu
Merebut apa yang kau miliki
Apa yang kau adanya

Subuh ini
Semoga menjadi saksi
Pada sebuah ubudiyyah
Insan bernafas hamba
Untuk Ilahnya...

Al-misk uiam

Wednesday, August 19, 2009

Hati Yang Dijajah (Repost)

Dari Sebuah Novel

Kali ini saya tertarik untuk mengulas tentang sebuah novel, namun bukan mengulas keseluruhannya tetapi satu pelajaran yang mungkin dapat kita sebagai manusia sedar dan cuba mengerti dan menghayatinya. Saya baru selesai membaca novel bertajuk “Ketika Cinta Bertasbih” tulisan Habiburrahman as-Syeirazi. Saya tertarik pada satu babak di mana ianya berkisar tentang apa yang dihadapi oleh mahasiswa di Universiti al-Azhar.
Dijajah perasaan Cinta

Apa yang dihadapi oleh Tiara dan Fadhil mungkin pernah sekian ramai hadapi. Tiara yang dilamar seorang ustaz menunggu saat untuk memberi jawapan terhadap lamaran itu. Hatinya sebenarnya sudah terpikat pada orang lain yang merupakan bekas ustaz di sekolah lamanya dan selaku orang yang banyak membantu menguruskan urusannya di Mesir iaitu mahasiswa al-Azhar juga, Fadhil. Fadhil merupakan abang kepada Cut Mala, rakan serumah Tiara. Oleh kerana malu untuk berterus-terang, Tiara meminta Cut Mala bertanyakan Fadhil tentang masalah yang Tiara hadapi dan meminta pandangan tentang keputusan yang harus diambil sama ada menerima atau menolak lamaran ustaz Zulkifli itu. Dalam masa yang sama, Fadhil juga menyimpan hasrat untuk melamar Tiara seusai tamat ujian universiti. Namun Fadhil tidak tahu tentang isi hati Tiara, lantas dia menyarankan untuk menerima lamaran Ustaz Zulkifli kerana Fadhil kenal baik dengan Zulkifli dan dia memberitahu apa yang dia tahu mengenai Zulkifli. Tiara kecewa dengan jawapan Fadhil kerana dia mengharapkan agar Fadhil cemburu dan berterus-terang tentang perasaannya.

Setelah mengetahui bahawa Tiara menyimpan perasaan yang sama padanya, dia cemburu dan menyesal dengan semua yang pernah dia sarankan. Tiara juga telah menerima lamaran ustaz Zulkifli dengan berat hati. Fadhil yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan majlis pernikahan Zulkifli dan Tiara merasa terlalu sedih.

Fadhil merasakan terlalu tertekan dengan perasaanya bercampur menyesal dan cemburu kerana perasaan cinta yang membara kepada Tiara. Lalu dia menceritakan apa yang dia hadapi kepada rakan serumahnya Khairul Azzam.Melihatkan itu, kita lihat apa yang Azzam katakan kepada Fadhil:

“Cinta sejati itu menyembuhkan tidak menyakitkan.”

Seterusnya Azzam mengatakan:

“ Dengar baik-baik ya perkataan Ibnu Athaillah, saya bacakan langsung dari
kitab aslinya. Beliau mengatakan:

لا يُخْرِجُ الشَّهْوَةَ إِلاَّ خَوْفٌ مُزْعِجٌ أو شَوْقٌ مُقْلِقٌ

“ tidak ada yang boleh mengusir syahwat atau kecintaan pada kesenangnn
duniawi selain rasa takut kepada Allah yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada Allah yang membuat hati merana..”


“Cuba resapi baik-baik kata-kata ulama besar dari Iskandariah ini. Kecintaanmu pada Tiara itu syahwat. Hampir semua orang yang jatuh cinta itu merasakan apa yang kau rasakan. Dan perasaan seperti itu tidak akan bisa kau keluarkan, kau usir dari hatimu kecuali jika kau memiliki dua hal:
Pertama, rasa cinta kepada Allah yang luar biasa yangmenggetarkan hatimu. Sehingga ketika yang ada di hatimu adalah Allah, yang lain dengan sendirinya menjadi kecil danterusir.


Kedua, rasa rindu kepada Allah yang dahsyat sampai hatimu merasa merana. Jika kau merasa merana karena rindu kepada Allah, kau tidak mungkin merana karena rindu pada yang lain.Jika kau sudah sibuk memikirkan Allah, kau tidak akan sibuk memikirkan yang lain”.


Apa yang saya cuba petik dari isi novel ini bukanlah tentang memendam cinta, ianya fitrah. Namun akibat dari terlalu merana dan kecewa dengan cinta manusia hampir-hampir membinasakan diri dengan kesedihan sehingga banyak berlaku perkara-perkara yang menyalahi yang sepatutnya dan menghabiskan masa dengan airmata. Kesedihan dan kekecewaan pasti berlaku, bila-bila dan di mana lebih-lebih lagi bagi yang kehilangan cinta.

Cuba Fikir sejenak

Apa yang Imam ibn Ata’illah as-Sakandari katakan di dalam kitabnya al-Hikam[1] merupakan resepi bagi mereka yang punyai penyakit hati yang sukar diubati ini. Perasaan cinta yang memenuhi kehendak agama tidak sekali-kali dicemari jika sandarannya keredhoan Allah, maka apa-apa yang menyalahinya akan menimbulkan rasa bersalah, berdosa, sakit apabila ditolak dan berbagai-bagai perasaan yang menghilangkan ketenangan sedangkan cinta itu sesuatu yang menyembuhkan bukan yang menyakitkan..

Sekiranya kekecewaan mengundang dan perasaan itu sukar untuk dikeluarkan, renungi 2 perkara ini, adakah sudah sematkan di dalam hati:
1- Rasa cinta kepada Allah yang luar biasa yang menggetarkan hatimu.
2- Rindu kepada Allah yang dahsyat sampai hatimu merasa merana.

Disebabkan miskinnya hati dengan 2 perkara ini, maka hati masih dijajah dengan rasa rindu dan kasih pada yang lain. Jika ia boleh diusir, maka hati akan menjadi selapang-lapangnya menerima apa yang Allah takdirkan.

Akhirnya, hayati sebenar-benarnya perbezaan mendamba cinta Allah dan mendamba cinta manusia:

“ Mencintai makhluk itu sangat berpeluang menemui kehilangan. Kebersamaan dengan makhluk juga berpeluang mengalami perpisahan. Hanya cinta kepada Allah yang tidak. Jika kau mencintai seseorang ada dua kemungkinan diterima dan ditolak. Jika ditolak pasti sakit rasanya. Namun jika kau mencintai Allah pasti diterima. Jika kau mencintai Allah, engkau tidak akan pernah merasa kehilangan. Tak akan ada yang merebut Allah yang kaucintai itu dari hatimu. Tak akan ada yang merampas Allah. Jika kau bermesraan dengan Allah, hidup bersama Allah, kau tidak akan pernah berpisah dengannya. Allah akan setia menyertaimu. Allah tidak akan berpisah darimu. Kecuali kamu sendiri yang berpisah dari- Nya. Cinta yang paling membahagiakan dan menyembuhkan adalah cinta kepada Allah ‘Azza wa Jalla.”- Habiburrahman as-Syeirazi (Ketika Cinta Bertasbih1).

Renungan

Tulisan ini bukan ulasan mengenai cinta semata-mata, namun sedikit perkongsian bagaimana merawat hati yang mula diselaputi penyakit cinta kepada manusia yang berlebihan tanpa disandarkan pada keredhoan Ilahi.. Kembalilah pada Pencipta cinta iaitu Allah s.w.t, mohonlah dari Allah s.w.t agar dikurniakan cinta dari manusia yang memberi cintanya kepada Allah, lalu jika dikurniakan maka syukurilah Pemberi hadiah (cinta) itu. Selalu sematkan di hati bahawa itu pinjaman dan ia milik Allah. Sesungguhnya hampir sahaja kekecewaan menjatuhkan seseorang pada keburuksangkaan kepada Allah s.w.t padahal Allah mahukan yang terbaik buat hamba-Nya. Percayalah, Allah tidak pernah mahukan yang buruk-buruk buat hamba-Nya.

Katakanlah:


حَسْبِيَ الله لاإله إلا هُو
“ Cukuplah Bagiku Allah yang Tidak Ada Tuhan Melainkan Dia..”

Wallahu a’lam.
:: al-misk uiam
__________________

[1] Kitab al-Hikam( الحِكَمْ) adalah karangan Imam ibn Ata’illah as-Sakandari (ابن عطاء الله السكندري) Sebuah kitab tasauf yang memuatkan kata-kata hikmah. Boleh rujuk pada sumber asli. Terima kasih kepada ustaz Mustafa yang sudi memberikan saya pdf. kitab al-Hikam ini.

Jadikan Lemon minuman yang manis

Jika anda diberi segelas air lemon yang masam, adakah anda meneguknya terus, atau membuangnya begitu sahaja? Ataukah anda mengambil alternatif lain supaya lemon yang masam itu tidak perlu dibazirkan?

Begitulah kiasan tentang hakikat hidup. Terkadang hidup kita melalui saat-saat sukar, ada yang ditimpa ujian yang pelbagai berupa kesakitan, seksaan, kematian dan kesengsaraan. Namun, pernahkah kita berfikir untuk mengambil dan mengubahnya menjadi sesuatu yang manis dan indah dalam hidup. Mari kita lihat kisah-kisah yang disimpulkan dalam sejarah salafussoleh.

1- Ketika Rasulullah s.a.w. diusir dari Makkah, beliau memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian berhasil membangunnya menjadi sebuah negara yang sangat akrab di telinga dan mata sejarah.

2- Ahmad ibn Hanbal pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi karenanya pula ia kemudian menjadi imam salah satu madzhab.

3- Ibnu Taimiyyah pernah di penjara, tetapi justru di penjara itulah ia banyak melahirkan karya.

4- Ketika Ibnul-Atsir dipecat dari jabatannya, ia berhasil menyelesaikan karya besarnya yang berjudul Jami'ul Ushul dan an-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam hadits.

5- Demikian halnya dengan Ibnul-Jawzy, ia pernah diasingkan dari Baghdad, dan karena itu
ia menguasai qiraah sab'ah.

6- Malik ibn ar-Raib adalah penderita satu penyakit yang mematikan, namun ia mampu melahirkan syair-syair yang sangat indah dan tak kalah dengan karya-karya para penyair besar zaman Abbasiyah.

7- Ketika semua anak Abi Dzuaib al-Hudzali mati meninggalkannya seorang diri, ia jusetru mampu menciptakan nyanyian-nyanyian puitis yang mampu membekam mulut zaman, membuat setiap pendengarnya tersihir, memaksa sejarah untuk selalu bertepuk tangan saat mendengarnya kembali.

8- Dan begitu juga as-Syahid sayyid Qutb dipenjarakan, namun dipenjara itulah beliau dapat menyiapkan kitab Tafsir fi Zilal al-Quran yang menjadi buah tangan ilmu buat para penuntut ilmu.

9-As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar sumur selama bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah ia berhasil mengarang buku sebanyak dua puluh jilid.

Setelah melihat sebahagian kisah penderitaan ulama’-ulama’, sedarkah kita bahawa mereka menukarkan keperitan dan kesusahan dengan sesuatu yang boleh menjadikan ia manis. Begitulah kiasannya apabila diberi air lemon yang masam, maka tambahkan gula di dalamnya supaya kita boleh ambilnya sebagai manfaat menghilangkan kehausan. Ketika temanmu memberikan ular, maka ambillah kulitnya untuk diambil manfaat.

Setiap perkara yang menyedihkan dan menyulitkan jangan diteruskan dengan kesedihan dan kemurungan yang berpanjangan, berbuatlah sesuatu untuk menukarkan kepahitan menjadi sesuatu yang manis untuk dihirup dalam kehidupan.



“ Selepas Kesusahan Pasti ada Kemudahan”...



Rujukan:
Buku : La Tahzan
Tulisan : Dr Aidh al-Qarni

Monday, August 17, 2009

Andai Kau Izinkan



Izinkanku menggenggam
Secebis kasih
Yang Kau kurniakan
Di sebalik penciptaan
Yang Kau fitrahkan
Disebalik kejadian
Yang Kau benihkan
Di setiap ciptaan
Yang Kau halalkan
Di setiap ikatan
Yang Kau indahkan
Di setiap anganan
Yang Kau putikkan
Di setiap pertemuan
Yang Kau ujikan
Di setiap perpisahan

Andai Kau izinkan
Aku mahukan ia
Andai Kau izinkan
Aku harapkan ia
Andai Kau izinkan
Aku impikan ia
Tetapi aku mahukan
Pilihan dari-Mu
Bukan pilihan nafsuku

Andai tidak Kau izinkan
Apa yang aku hasratkan
Apa yang aku impikan
Apa yang aku harapkan
Apa yang aku titipkan
Dalam setiap doa-doaku
Namun izinkanlah aku
Untuk terus
Mencari jalan pulang
Berteman rindu seiring perjalanan
Kembali hanya kepada-Mu...

Al-misk
16 Ogos 2009

Friday, August 14, 2009

Pemergian Ustaz Asri Rabbani: Peringatan Buat Kita Yang Masih Hidup

Petang semalam kebetulan mendengar salam masjid yang dikelolakan oleh DJ Mazlina Alias. Terdengar lagu yang dikumandangkan oleh kumpulan Rabbani menyentuh jiwa dan menenangkan hati saya. seusai habis bait-bait lirik tersebut, saya terdengar kata-kata yang begitu mengejutkan
"Semoga Allah menempatkan arwah ust Asri di kalangan para solehin".


Lebih kurang begitu ..saya tersangat terkejut. malam tadi, baru saya tahu berita penuh apabila Ustaz Erwan Johari yang mengelolakan segmen "Nasyid On Stage" menceritakan tentang rentetan pemergian lagenda nasyid kita iaitu Allahyarham Ustaz Asri Rabbani yang dikatakan terkena serangan jantung pagi semalam.

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un..
"Allah amat menyayangi beliau agaknya"..

Bisik hati saya. tiada apa yang mampu saya rasakan ketika itu. Hanya kalimah istirja' sahaja yang terlintas di hati ini.

Secara sedar, satu demi satu berita tentang kematian menyinggahi telinga saya. Adakah ia hanya akan lalu seakan angin bayu sahaja. Tiadakah memberi kesan pada hati saya? Terlalu kasih Allah pada saya bukan? bukan pada saya, tetapi pada kita.

Allah kasihkan kita dengan memberikan kita peringatan dengan pemergian insan lain. Agar dengannya kita selalu ingat bahawa kematian itu suatu yang pasti.

PASTI..
Saya tidak main-main. Kematian itu suatu yang pasti..
Tidak kira tua, muda, sihat, sakit, kaya miskin.. semuanya akan diambil kerana apa?
boleh anda menjawab bagi pihak saya?

Ya, benar. kerana nyawa kita hanya pinjaman. Sampai masanya bercerailah nyawa dari jasad. Ketika itu, tinggallah harta, tinggallah semua yang dikasihi di dunia..

Namun, adakah hati saya terkesan dengan semua peringatan ini? Saya harap begitu. Saya harap kita semua begitu. Ambillah teguran-teguran ini sebagai jambatan untuk kita memperbaiki hubungan kita kepada Allah s.w.t dan juga sesama makhluk..

HATIKU
Terimalah Tarbiyyah Pencipta ini..
Syukurlah kerana Allah masih mahu mengingatimu.. Mengingatkanmu.
Takutlah Jika Allah Meninggalkanmu Lantaran Dirimu yang cuba Menjauh dari-Nya..

Allahu Akbar..
Aku terlalu Faqir Kepadamu ya Allah..

Sunday, August 9, 2009

Marah dan Sabar

Saya mahu berkongsi sebuah kisah. Beberapa minggu lalu, saya menerima satu berita yang sangat menyedihkan hati saya. Mungkin boleh dikatakan menyakitkan hati saya sebagai seorang manusia yang masih punyai hati. Apabila saya mengetahui perkara itu, saya rasakan bahawa ada sesuatu yang berjaya menguasai diri saya, iaitu ‘marah’. Saya tidak tahu mengapa saya jadi begitu. Hati saya mula berderau. Perasaan mahu membenci terhadap si fulan mula hadir.

Lalu saya pulang ke bilik mencapai ‘handphone’ yang menyimpan banyak kenangan sejak 4tahun lalu. Saya menaip dan menyusun kata-kata mengadu pada seorang teman, juga penasihat tika saya selalu dirundung sedih dan masalah. Apa yang beliau katakan:



“ Bersabarlah, elok lupakan sahaja. Takut menjadi beban dalam hati”.

Ya, saya kini sudah melupakan apa yang berlaku. Alhamdulillah. Sememangnya kemarahan saya pernah hadir, diselang-selikan dengan perasaan mahu ‘membenci’, tetapi saya cepat-cepat tersedar bahawa saya tidak boleh membenci saudara seiman dan juga sekiblat. Walau apa yang telah berlaku pada diri saya, saya perlu berlapang dada menerima apa juga yang datang. Saya perlu memaafkannya. Saya tidak boleh memberi peluang kepada syaitan untuk memenangi pertandingan ini. Ya, pertandingan mengekang nafsu marah. Jika saya terus-terusan marah, maka syaitan pastinya akan menang. Saya tidak akan membiarkannya terjadi. Saya perlu bersabar.

Saya terfikir, pernahkah saya menyakitkan hati insan lain? Melukakan hati insan-insan yang terdekat dengan kata-kata yang tidak saya sedari mengandungi kata-kata yang kasar ataupun isi bicara yang boleh menghiris hati yang mendengar.

Memang pernah sama ada saya sedar ataupun tidak. Tetapi saya hanya manusia biasa, tidak tahu siapa yang pernah saya sakiti.Adakah insan tersebut memaafkan saya? Jika saya mahu dimaafkan, seharusnya saya juga harus memaafkan kesalahan insan tersebut.


Analogi kehidupan sebegini selalu berputar dalam kehidupan kita. Anda juga mungkin pernah merasa disakiti, mahu marah dan terkadang mula mahu membenci. Apabila perasaan-perasaan tersebut datang... Nanti dulu!! beristighfar dan bermuhasabah diri tentang erti ‘memaafkan’. Sesungguhnya Allah s.w.t itu lebih ramai yang menyakiti-Nya dan menderhakai-Nya, malah hamba-hamba-Nya yang telah diberikan banyak kenikmatan sanggup menduakan-Nya dan memalingkan-Nya. Namun Allah s.w.t masih membuka ruang keampunan terhadap hamba-hamba-Nya.

Subhana-Allah.
Siapalah diri kita jika mahu dibandingkan dengan Allah s.w.t. Oleh itu, Maafkanlah jika disakiti. Sayangilah jika dilukai. Berlapanglah jika dihirisi. Sesungguhnya darjat yang tertinggi bagi orang yang beriman adalah apabila dia bersabar ketika diberikan ujian.
Semoga saya akan selalu ingat tentang erti ‘sabar’ insyaAllah.

“ Maka ingatlah kepadaku, nescaya Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah
kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Wahai orang-orang yang
beriman, Mohonlah pertolongan dengan jalan sabar dan solat. Sungguh, Allah
beserta orang-orang yang sabar”- (surah al-Baqarah: ayat 152-153)

Saya mahu selalu bersama-sama Allah, oleh itu saya mesti selalu bersabar. Anda mahu selalu bersama-sama Allah juga? Marilah kita melatih untuk bersabar. Tentu indah bukan?

Wallahu a’lam

Muhasabah: Dari Sebuah Kehilangan


Rentetan daripada peristiwa yang berlaku semalam, saya pulang ke bilik dalam keadaan terfikir ke mana perginya blog saya yang lama. Tentu sahaja ia hilang dari alam siber, tetapi saya sendiri tidak tahu sebab apa kerana saya sendiri tidak pernah men’delete’ nya. Sungguh-sungguh saya tidak tahu sebab apa.

Adakah sesiapa yang tahu sebabnya? Jika anda tahu, tolonglah beritahu saya kerana kecewa, sedih dan segala perasaan lagi sudah bercampur baur. Saya baru sahaja baik dari demam walaupun masih merasa sedikit panas di badan. Niat untuk menyiarkan artikel terbaru di al-misk.blogspot tidak kesampaian. Semuanya memberi kejutan kepada saya.

Entah apa agaknya hikmahnya, namun saya percaya bahawa setiap yang terjadi pasti ada sebab dan punyai hikmah. Sebagaimana kehidupan kita memerlukan ujian dan cabaran supaya kita lebih kuat dan menghargai setiap detik hidup sebagai hamba Allah yang beriman. insyaAllah.

Saya beristighfar.. saya tahu mungkin ada yang akan pelik kerana saya boleh bersedih dengan hanya kehilangan ‘blog’ yang tidak ada apa-apa nilai pun. Tetapi bagi saya ianya terlalu bernilai. Saya amat menghargai keberadaan blog tersebut selama ini. Mungkin saya ada melakukan kesalahan dalam penulisan, ataupun saya ada menyakiti sesiapa menyebabkan ini terjadi. Ataupun mungkin selama ini saya hanya mengharapkan “sum’ah” sahaja-Astaghfirullahal azhim..

Peristiwa tersebut menjadikan saya mula memuhasabah diri. Saya mahu menangis dan hati mula luluh. Saya memang seorang yang terlalu sayangkan sesuatu yang dekat di hati. Bagi saya, blog tersebut menyimpan kenangan yang banyak, tempat saya berkongsi kisah dan ilmu. Saya tidak tahu adakah ia memberi manfaat kepada orang lain, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba. Dan nah... sekarang ia sudah tiada lagi. Sememangnya saya pernah terfikir jika perkara ini berlaku, tetapi saya tidak menyangka kehilangan ini benar-benar terjadi.. Saya berharap jika ianya akibat perbuatan tangan-tangan yang tidak sepatutnya, semoga ianya tidak berlaku lagi kepada saya pada masa akan datang.

Allahu Akbar..

Ini hanya cerita kehilangan blog yang misteri bagi saya. Saya merasa sedih kerana ia punya kaitan dengan saya, tetapi tidak bagi anda. Terima kasih kepada teman-teman maya yang pernah melawati blog ‘al-misk’ saya. Biarlah ia tetap menjadi kenangan yang mungkin saya akan lupakan suatu hari nanti.

Saya tidak mahu sia-siakan peristiwa kehilangan blog saya begitu sahaja kerana saya perlu mencari i’brah dan pelajaran darinya.

Saya tiba-tiba teringat tentang kematian. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya”. (surah ali-Imran: 185)

Astaghfirullah..

Saya terlalu kerap lupa tentang kematian. Alhamdulillah, peristiwa kehilangan blog ini mengingatkan saya kembali kepada kematian. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t mengingatkan kita bahawa “setiap yang bernyawa AKAN merasakan mati”.

Saya masih merasakan diri saya bernyawa. Anda pula bagaimana? Tentu kita sama kan? Dan tentu sahaja ayat di atas tertuju buat kita semua. Allahu Akbar.

Saya bersyukur kerana teringat akan ayat di atas. Di sebalik sekian banyak kehilangan yang saya alami sepanjang hidup di dunia ini, tentu sahaja semuanya berupa kesenangan dunia yang sementara. Saya selalu lupa tentang itu. Suatu masa nanti sama ada saya pergi meninggalkannya ataupun dia pergi meninggalkan saya. Tiada sesuatu yang kekal di dunia ini kan?

Setiap kehilangan kadang-kadang dizahirkan sebab-sebabnya. Kadang-kadang tidak begitu. Saya terfikir mengapa ia berlaku. Saya juga selalu berfikir mengapa kadang-kadang apa yang kita minta tidak diberi. Ataupun sekiranya diberi, pasti ianya sesuatu yang bertentangan dengan apa yang kita pinta. Astaghfirullahal Azhim, saya sepatutnya tidak boleh berfikir begitu. Tetapi saya terbaca sebuah buku yang di tulis oleh sis Zabrina (Hidup Bukan Rahsia) yang memetik kata-kata Rumi:

“ Tuhan mengubah perasaan anda dari satu perasaan ke perasaan yang lain dan mengajar anda dengan memahami sesuatu yang bertentangan, supaya anda mempunyai dua sayap untuk terbang, bukannya satu”.

Subhana-Allah

Sungguh mendalam kata-kata ini. Allah mengajar kita memahami sesuatu yang berlainan dengan memberikan kita apa yang menyalahi pintaan kita. Mengapa? Kerana Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat kita. Serta dengannya kita akan bertambah kuat untuk mengharungi cabaran kehidupan sepanjang hidup di dunia ini. Dan bukan bermakna Allah tidak memakbulkan doa kita, tetapi Allah mahu menggantikan apa yang lebih baik lagi buat kita. Jawapan itu sudah cukup melegakan hati saya. saya yakin Allah s.w.t itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, juga Maha Pengampun. Kerana itu, keyakinan saya semakin menebal. Ya, keyakinan kita semua orang yang beriman kepada janji-janji Allah semakin utuh. insyaAllah.

Wallahu a’lam

Saturday, August 8, 2009

Blog al-misk hilang...

assalamualaikum wbt

malam ini singgah cc untuk tengok2 apa yang patut.. buka sahaja account di blogspot, blog (al-misk) saya tak dapat dikesan.. saya sedih sangat kenapa blog saya hilang macam itu sahaja..
Allahu Akbar
anda boleh bayangkan saya sudah bertapak dengan al-misk hampir lebih setahun.
saya tidak tahu bagaimana ia boleh terjadi, serasanya saya tidak pernah delete..
syukur kerana masih ada lagi sebuah blog dalam account ni..

ya Allah.. ampuniku jika aku tersalah dalam perbuatan ku..
mungkin ini satu pengajaran buatku..
astaghfirullahal azhim..