Pages

Wednesday, September 10, 2014

Ujian dan Syurga

Benarlah kata orang, apabila kita mahu melupakan kesedihan, lakukan sesuatu yang membuatkan hidup kita sibuk.

Seminggu yang lalu, setiap pagi saya akan bersiap-siap bergegas ke perpustakaan, mencari posisi terbaik untuk menulis tesis. Walaupun proposal saya belum dibincangkan di peringkat fakulti, saya ambil keputusan untuk menulis sedikit demi sedikit. Ini sahaja yang mampu saya lakukan saat melewati hari-hari yang berat.

Berat bagi saya, mungkin tidak berat bagi orang lain. Allah uji hati ini berulang-ulang kali, mungkin kerana hati ini belum kuat. Allah datangkan situasi yang tidak pernah saya bayangkan untuk berada di dalamnya. Saya juga tidak pernah mahu untuk mengenali insan yang sedang diuji juga dengan permasalahan hati yang sangat berat, kerana ia menyangkut tentang soal kesetiaan. 

Allahu Allah. Akhirnya, saya kembali jatuh terseungkur. Sedih. Sedih memikirkan penerimaan hati ini pada takdir, sedih memikirkan penerimaan orang setelah saya beritahu kekurangan yang sedang menumpang di dalam diri ini.

Allah sahaja yang tahu bagaimana saat kita menerima berita yang tidak kita mahu. Dan saat ini kita tidak pernah sangka kita telah melewati hari-hari berat tersebut.

Ya Allah. Saya memang hampir putus asa. Saya berjalan ke Popular, mencari buku yang boleh menembusi ruang hati, menyembuhkan sedikit luka di hati. Kosong. Kosong hati ini perlu diisi.
Saya mencapai sebuah buku ‘Bersamamu di Firdaus’. Saat pertama kali saya menatap buku ini, saya kira ia berkaitan soal rumahtangga. Ia selalu signifikan tentang cinta suami isteri yang mahu ke syurga.

Ya. Ia menyentuh aspek tersebut. Tetapi lebih daripada itu, ia menyentuh hati saya sendiri untuk terus memikirkan tentang syurga Firdaus. 

Jangan putus asa mengejarnya. Baki-baki usia yang semakin singkat ini, andailah ada hati yang terluka, syurga itu penawar yang sangat ampuh untuk kita. 

Nabi ajarkan pada kita, jika nak minta sesuatu mintalah sesuatu yang besar. Jika mahu minta syurga, mintalah Syurga Firdaus.

Allahummarzuqna al-Jannah fil firdaus al-a’la