Ketika membuat analisis ayat berkaitan tajuk kajian, saya sampai kepada satu ayat rentetan dari kisah yang sangat panjang berkaitan kehidupan Nabi Yusuf alaihissalam dan bapanya Nabi Yaakub alaihissalam.
Ayat tersebut berbunyi: وَتَوَلَّى عَنْهُمْ وَقَالَ يَا أَسَفَى عَلَى يُوسُفَ وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ
Maksudnya: "Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati (Surah Yusuf: ayat 84)
Ayat ini adalah rentetan daripada kisah kehilangan Nabi Yusuf alaihissalam akibat dikhianati saudara-saudaranya, kemudian Nabi Yaakub diuji pula dengan penahanan Bunyamin di negara Mesir. Apabila saudara-saudara Nabi Yusuf datang membawa berita tentang penahanan Bunyamin, ada beberapa perkara yang Allah mahu khabarkan kepada kita
Pertama: KESEDIHAN DAN TANGISAN ITU FITRAH MANUSIA
Di dalam ayat ini Allah berfirman: وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ (Telah menjadi putihlah kedua mata Nabi Yaakub kerana sedih).
Ayat ini menceritakan tentang keadaan kedua mata Nabi Yaakub menjadi putih (sakit/buta) akibat kesedihan yang berpanjangan. Imam ar-Razi di dalam tafsirnya (Mafaatih al-Ghaib) mengatakan: "Kesedihan yang baru (kehilangan Bunyamin) menambah kesedihan yang lama (kehilangan Yusuf alaihissalam), kesakitan hanya akan menumbuhkan kesakitan dan ia akan menimbulkan kesedihan." (Tafsir ar-Razi, Beirut: Darul Ihya' at-Turath al-'Arabiyy, 18/496)
Justeru, kesakitan yang bertambah di dalam hati manusia secara fitrahnya akan menambahkan kesedihan sedia ada, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan insan yang rapat atau sesuatu yang sangat disayangi. Oleh itu, bukanlah suatu dosa apabila kita merasa sedih atau menangis kerana sesuatu kejadian duka yang mengecewakan hati kita.
Kedua: BAGAIMANA NABI YAAKUB ALAIHISSALAM MENDEPANI KESEDIHAN
1- Beliau menahan lisannya dari berkata yang tidak sepatutnya seperti memaki hamun dan meraung-raung menangis.
2- Beliau memendamkan rasa marahnya di dalam hati (فَهُوَ كَظِيمٌ): Ini dilihat apabila matanya menjadi putih (sakit) akibat menangis bertahun-tahun kerana memendam rasa marah dan dukacita yang sangat dalam di hatinya
3- Mengadukan kesusahan dan kedukaannya hanya kepada Allah. Ini dilihat daripada ucapan beliau usai kehilangan Nabi Yusuf: إنما أشكوا بثي وحزني إلى الله
"Sesungguhnya hanya kepada Allah aku adukan kesusahanku dan kesedihanku" (Surah Yusuf: ayat 86)
.......
Sesungguhnya, jika sedih, belajarlah dari Nabi Yaakub alaihissalam.
Beliau bapa kepada seorang Nabi pun mengadukan hal kesusahan dan kesedihannya hanya kepada Allah, cuba sedaya upaya menahan amarahnya di dalam hati. Inikan pula kita manusia yang biasa-biasa.
Maka harusnya lebih banyak kesedihan, lebih banyak pengaduan kita kepada Allah SWT terlebih dahulu.
Wallahu a'lam