Pages

Sunday, April 21, 2013

Allah Sayangkan Hamba-Nya



Bismillah.. Hamdan Lillah
Allah masih beri umur untuk hari ini. Walaupun tidak berapa sihat, atas musibah kecil yang berulang, namun inilah kifarah dosa.

Kadangkala, bila sakit itu menggigit-gigit rasa, hati tidak mampu bersabar. Rasa hendak menangis dan selalu bertanya sendiri, 'adakah dosa-dosaku masih belum terlunas dengan kifarah-kifarah yang diberikan padaku.'

astaghfirullah.. Ampunkanlah aku ini ya Allah. Hati ini lemah, tetapi Engkau sahaja yang menguatkannya. Hati ini rapuh tatkala dirempuh ujian, tetapi Engkau sahaja yang mengukuhkannya

Allah menguatkan hati hamba-Nya yang lemah dengan ujian, Allah dekatkan hamba-Nya dengan ujian, Allah sembuhkan hati hamba-Nya dengan ujian.

Allah sayang dan cinta sangat pada hamba-Nya melalui ujian. Dan betapa sihat itu merupakan nikmat yang tak terperi. Kini setiap kali sakit datang, barulah rasa nikmatnya sihat untuk beribadah, untuk baca al-Quran, untuk menulis sesuatu dan untuk buat kerja seharian yang mengundang redha Allah

Allahu Syafii.. Anta Syafi syifa'an la yughadiru saqaman.. ameen

Friday, April 19, 2013

Allah Merancang Untuk Kita





بسم الله الرحمن الرحيم

Meniti hari-hari baru dengan penuh kesyukuran, sesungguhnya kita ini sepatutnya malu. Malu kepada Allah lantaran nikmat demi nikmat kita dapat tetapi terus-terusan dengan kelalaian dan tidak taat pada-Nya. 

Dikatakan berkenaan perancangan hidup, sungguh ketika ini tiada perancangan berkaitan pasangan hidup. Apatah lagi hendak mencari pengganti buat yang telah hilang pergi mencari bahagia hidupnya. Yang pasti di hadapan ketika ini ialah soal pendidikan. 

Berkira-kira sejak september 2012 yang lalu, saya mengharap untuk terbang ke bumi Syam dalam masa terdekat. Lantaran hati dirundung kesedihan dan pelbagai ancaman perasaan, saya terlalu mahu Allah izinkan saya pergi ke sana secepat mungkin. Tetapi perancangan Allah itu adalah yang terbaik. 

Masa berlalu, saya tidak sempat menghabiskan thesis Master saya sebelum bulan Jun, dan ia berlarutan hingga ke bulan oktober. Dan kemudian tidak sempat untuk mengejar kemasukan untuk ke universiti bagi bulan Feb 2013.

Ala kulli hal, kini sudah menginjak ke bulan April. Dan diri masih menanti surat tawaran dari sana. Sungguh ketika ini, hati semakin faham bahawa ada sebab mengapa Allah tidak izinkan saya untuk terbang jauh di bulan-bulan lalu. Ia tidak lain adalah untuk saya yang lemah hati ini membetulkan niat. 

Pergi ke sana bukan untuk larikan diri, bukan kerana frust, tetapi untuk mencari diri yang hilang, untuk kembalikan kesucian diri yang telah dicemar dosa, dan untuk apa-apa yang Allah redha berkaitan hidup ini. 

Allah Merancang Untuk Kita. Moga Allah izinkan. 

Sesungguhnya mintalah pada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa kita itu.
Wahai Allah, kabulkan permintaanku dan permintaan umat Islam seluruhnya. 

Saturday, April 13, 2013

Peristiwa Kertas Yang Terkoyak



Hamdan Lillah atas nikmat umur, atas nikmat iman dan Islam, dan juga atas nikmat kasih sayang Allah Subhaanahu wa taala yang menutup keaiban kita semua.

Hampir sebulan tidak menulis apa-apa di laman sendiri, atas sebab laptop yang minta diformat setelah hampir setahun setengah tidak dibaiki.

Tiada apa yang mahu dikisahkan, hanya sedikit kisah mengenai pengalaman mendidik. Jujur dari hati yang dalam, jiwa saya rapat untuk menjadi guru, tetapi saya juga manusia biasa. Yang kadangkala diuji dengan kerenah pelajar yang buat tidak tahu dengan guru yang mengajar di hadapan.

Ketika kelas dimulakan dan pelajar-pelajar lain sudah sedia dengan buku teks bahasa arab, seorang pelajar perempuan masih tidak bergerak mengambil buku. Leka dan buat tidak tahu sahaja sambil menulis sesuatu di atas kertas berwarna merah. Hati saya dihurung emosi, tidak berniat hendak marah, apatah lagi merampas kertasnya lalu membuang ke dalam tong sampah seperti yang selalu saya lihat di televisyen.

Saya datang kepada dia, lalu menarik kertasnya dengan niat agar dia segera simpan dan menumpukan perhatian pada pelajaran. Tiba-tiba dia juga menarik kertas tersebut dan kertas itu terkoyak di bahagian tangan saya yang menariknya.

Hati saya terpempan. Bercampur baur. Marah, sedih, serba salah. Lalu saya kembali ke depan dan mengingatkan kembali pelajar agar tumpukan perhatian.

Tidak lama kemudian, ketika saya meminta pelajar-pelajar buat latihan, saya dekati pelajar tadi dan berkata: "Maaf ye, ustazah terkoyakkan kertas kamu".

Alhamdulillah dia masih sudi nak senyum dengan saya.

Dia ambil masa buat latihan itu untuk menulis kembali kertas berwarna tersebut. Dan berkata kepada saya dengan nada berseloroh:

"Habis cacat kertas saya".

Ada sedikit rasa tersinggung dan geram. Tapi saya cuba memahami keadaan dan umur pelajar tingkatan satu itu. Dia memberikan alasan pada saya: "Saya nak beri pada kakak tersebut, kalau buat waktu prep nanti takut dia nampak".

Barulah saya faham. Namun, saya masih belajar untuk memberitahu apa dan bagaimana sepatutnya pelajar menghormati dan memberi perhatian kepada guru ketika di dalam kelas.

Sungguh, menjadi guru bukan sesuatu yang mudah. Berhadapan dengan pelajar kelas terakhir, dan masih dalam usia perpindahan dari kanak-kanak kepada dewasa memang sangat menguji kesabaran. Lalu saya belajar bahawa, tidak perlu terlalu fokus pada pelajar yang tidak mahu diajar, sedang pelajar lain mahu mengambil ilmu dari guru-guru pula kita kesampingkan.

Saya pulang dalam keadaan hendak menangis, betapa kadang-kadang rasa tidak kuat untuk menahan sabar. Betapa kadang-kadang juga saya rasa bahawa saya ini tidak bersyukur dengan pintaan yang pernah saya minta. Dan saat Allah berikan kesempatan itu, maka saya banyak mengeluh.

Allahu Rabbi. Kuatkan hati ini. Jangan biarkan ia lemah. Jangan biarkan diri ini menyakiti anak didik sendiri.

Dan semalam ketika masuk kelas, saya kembali bertanya pelajar tersebut:
"Nak ustazah ganti ke kertas semalam?"

Dia menjawab: "Takpelah ustazah, dah bagi pun kertas itu"

Dan dia masih sudi senyum dan tiba-tiba perasaan saya jadi luar biasa apabila tiba-tiba pelajar perempuan di belakang kelas ramai yang mengadu itu ini dengan saya.

Ya Allah, aku minta jangan jadikan aku murid yang tidak mengenang jasa guru, juga guru yang tidak menyayangi anak didiknya. Jadikan aku hamba yang ikhlas dalam membenih amal di dunia ini.