Pages

Monday, August 13, 2012

Bila Allah Didik Untuk Kita Bertanya..

Saya teringat sebuah perbualan bersama sahabat-sahabat ketika belajar bersama-sama untuk madah manhaj mufassirin, beberapa hari sebelum peperiksaan akhir yang akan ditempuhi. Sahabat ini menceritakan bagaimana terdapat kisah seorang wanita yang cukup sempurna menutup aurat, bertudung labuh kemudiannya berubah cara berpakaiannya secara tiba-tiba. Hanya kerana dia ditinggalkan teman lelakinya dan teman lelakinya memilih wanita lain yang pakaiannya 'biasa-biasa' dan trendy. Lalu dia cuba untuk menarik kembali hati lelaki tersebut dengan berubah seperti cara berpakaian wanita yang dipilih lelaki itu.

Selalu saya teringat-ingat kisah ini. Saya tidak tahu hendak berkata apa, betapa wanita itu sebenarnya cukup kuat diuji berkenaan soal perasaan. Bila hati sudah disentuh, bukan mudah untuk ditinggal pergi. Yang tidak pernah merasai mungkin akan mudah berkata itu semua tidak susah, tetapi bagi yang merasainya itu tahu bagaimana susahnya bertarung dengan rasa hati. 

Namun begitulah cara Allah mentarbiyyah kita. Allah didik kita bukan dengan benda yang kita suka, sebaliknya dengan perkara yang kita tidak suka dan tidak mahu. Yang kita tidak mahu itulah yang selalu membuat kita memberontak. 



Bayangkan mengapa muslimah tersebut dengan sekelip mata boleh berubah? Kerana dia mahukan pujian dan menarik kembali hati si lelaki. Sedangkan sebenarnya Allah sudah beri bonus di depan matanya bahawa dia itu bukan lelaki yang baik untuknya, bukanlah bermakna lelaki itu tidak baik tetapi mungkin dia baik untuk orang lain. Allah beritahu melalui ujian itu bahawa lelaki itu bukan orang yang tepat untuk membimbing wanita itu jika berkahwin kelak. Kita tidak tahu, tetapi Allah tahu.

Dan pelajaran terbesar adalah kita tidak pernah bertanya pada diri kita: selama ini kita berpakaian menutup aurat adakah untuk menarik hati muslimin supaya jatuh hati dan menawan hati mereka? ataupun kita menutup aurat, bertudung labuh misalnya hanya kerana Allah swt? 

Tanyalah diri kita. Ketika kita tidak mampu untuk sedar atau menjawab semua ini, barangkali kerana itulah Allah mendidik dan mentarbiyyah wanita seperti tadi dan kita supaya kita perbetulkan kembali niat kita, bertanya kembali kepada diri kita mengapa kita menutup aurat, berpakaian sopan, memilih tudung-tudung yang syar'ie, memilih pakaian-pakaian yang syarie sahaja untuk dipakai ketika keluar dan berhadapan dengan lelaki ajnabi. 

SubhanAllah. Allah itu Maha Baik. Ketika kita tidak mampu menebak bagaimana akhlak seorang muslim itu, Allah tunjukkan kepada kita dalam keadaan yang kita tidak sangka bahawa gambaran itu adalah gambaran sebenar mendatang. 

Muslimah yang dikasihi, ketika ada orang mencaci kamu, pakai begini-begini tetapi perangai begini-begini... ataupun ada yang meminta kamu berubah penampilan dari menutup aurat dengan sempurna kepada sedikit tabarruj atau terbuka hanya untuk menarik kembali hati seseorang.. ketika kamu diremeh-remehkan bahawa pakaian kamu yang sempurna ini kolot dan sebagainya.. 

Katakanlah: "Aku hanya mahu pandangan Allah. Bukan pandangan manusia."

Allah itu sudah lebih dari cukup ketika kita tiada siapa-siapa di dunia ini. 

Muslimah sayang, hati kamu pasti akan diuji dengan pelbagai perkara untuk lihat keikhlasan kamu, untuk lihat kekuatan kamu berpegang kepada agama Allah. Dan setiap kali kamu melalui ujian itu tetapkan dua hal di dalam hati kamu: bersangka baik dan mengharap sepenuh yakin bahawa Allah akan berikan yang terbaik untuk dunia dan akhirat kamu. 

Tanpa dua hal ini, kita semua akan hanyut dalam kerisauan-kerisauan mendatang dan terlalu bersedih dengan apa yang telah luput dari hidup kita. 

Carilah pandangan Allah. Itu tidak merugikan kita. 

2 comments:

  1. salam..saya sangat tertarik dengan bait2 tulisan saudari..salam ukhwah dari saya..:)

    ReplyDelete
  2. w'salam wbt saudari.. salam ukhuwwah juga.. :)

    ReplyDelete