Pages

Monday, February 27, 2012

Kuatkanlah

Ya Allah
Kuatkanlah jiwa hamba-Mu ini
Untuk tetap redha pada takdir
Untuk tetap senyum dalam derita
Untuk tetap teguh pada jalan ini

kerna di akhirnya nanti
Bukan aku yang menentukan
Bukan juga insan lain yang menentukan
takdir diri yang telah Kau susun

Tidak kuat
Tapi Engkau kuatkanlah
Langkah lemah
Berikan semangat luarbiasa
Untuk terus laju menuju-Mu

Gantikan duka ini dengan janji pasti-Mu
Lunturkan dari jiwa ini rasa kecewa
Kuatkanlah ya Allah
Kuatkanlah
Kerana aku sedang lemah
Lemah tanpa-Mu
~al-Misk

"Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukannya berhenti. Dan untuk itu ada 2hal yang harus kita bawa: keyakinan dan cinta.."~Di bawah lindungan ka'abah
:: ya Allah, airmata itu tidak kenal tempat jatuhnya..
untuk redha aku perlukan tempat berpaut pada-Mu..
tenangkan jiwa ini
hati ini...

Tuesday, February 14, 2012

Membina Harapan


Kerap kali kita terlalu berharap kepada manusia. Tika hati mula jatuh suka dan kagum, jiwa mula membina harap. Harap yang terlalu besar untuk menawan hatinya. Dipendam-pendam harap pada yang disuka sehingga akhirnya kecewa menerjah. Diri tidak diterima sang bunga atau kumbang.

Kerap kali juga pelajar sarjana muda yang baru selesai ijazahnya, meminta kerja di sana sini. Mengharap dari empunya syarikat untuk diterima bekerja dengan harapan yang sungguh besar.

Kerap juga orang kampung yang miskin menagih simpati dari wakil rakyat agar diberi sedikit bantuan meringankan beban, sanggup dicerca, dimaki asalkan yang diharapkan itu diperolehi.

Itu semua menatijahkan satu perkara yang boleh diterjemahkan dengan banyak rasa: sedih, kecewa, sakit hati.

Mengapa rasa ini wujud? Salahkah berharap?

Jawapannya tidak salah, tetapi kepada siapa sepatutnya harapan itu ditujukan dengan sepenuh hati.

Jika salah seorang dari kita mengharapkan sesuatu, sepatutnya kita tahu bahawa dunia ini penuh dengan perkara yang mengecewakan. Manusia banyak yang tidak suka orang meminta-minta tanpa ada timbal-balik.

Namun, yang paling utama sebenarnya kita terlupa akan Pemilik orang yang kita meletak harap itu, sesungguhnya Pemilik itu lebih suka manusia berharap dan meminta pada-Nya. Dialah Allah. Tuhan kita.

Kita selalu lupa akan hakikat ini kan? Kita sepatutnya menyerahkan segala harapan kita kepada-Nya, membina harapan dengan keyakinan sepenuhnya pada-Nya kerana Allah Tahu harapan kita yang mana satukah yang terbaik untuk diberikan pada kita.

Justeru, mulai sekarang jika kita masih terlalu berharap pada manusia maka bersegeralah membina semula harapan itu dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Sepenuh hati. Kerna jika kita tidak dapat apa yang kita harap, kita akan tahu bahawa Allah akan berikan yang lebih baik lagi dari yang kita harapkan.

wallahu a'lam :)

Friday, February 10, 2012

Bicara Istikharah

"Ada satu itu kelabu
adanya satu itu pasti bertemu
mahu aku bertanya Kau kirimkanlah
mahu aku pada siapa Kau jelaskanlah.."

Bait-bait mestica tentang istikharah selalu menarik jiwa saya, bukan untuk terus-terusan berangan tetapi begitu kuatnya kita sebagai manusia perlu bergantung pada-NYa.

Hatta, sebenarnya dalam soal jodoh, bukan kita yang menentukan baik buruk seseorang untuk kehidupan kita tetapi Dia Yang Maha Tahu..

Saya kerap bertanya, bagaimana seorang saudari yang ada rupa, yang ada kepandaian malah cantik akhlak dan sangat menjaga pergaulannya disia-siakan melalui perkahwinannya dan berpisah tanpa sebab yang patut kita anggap 'munasabah'.

Lantas bila ditanya tidak serik lagikah mahu berkahwin, beliau berkata: "tidak".

SubhanAllah, itulah kekaguman saya pada seorang manusia yang cekal. Mungkin beliau seorang yang sangat baik, sangat murni jiwanya diuji jiwanya dengan apa yang sering menjadi pegangannya. Mana mungkin ada wanita yang berkahwin untuk diceraikan atau bercerai. Tidak ada saya kira.

Tetapi itulah peraturan Allah. Semoga ada yang terbaik untuknya, lelaki yang lebih baik walaupun lelaki itu biasa-biasa tetapi soleh di pandangan Allah. ameen.

Saya selalu mengambil inspirasi dari kisah kehidupan beliau, saya kira sesungguhnya Allah Maha Tahu beliau sanggup mendepani beban itu. Dan dengan susah payah berusaha bangun dari kecewa.

Hikmah itu moga untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Bersyukur hingga waktu ini, nikmat Allah tidak putus-putus datang. Semoga bertambah syukur dan amal untuk mengejar redha-Nya.. Ameen

Teruskan istikharah, kerana tidak rugi sesiapa yang beristikharah kerana Allah tidak pernah bohong hamba-Nya..
Moga jika tidak ketemu di dunia, di syurga-Nya insyaAllah ^^