Pages

Tuesday, January 31, 2012

Cinta yang Mencintai Allah

"Janganlah mencintai orang yang tidak mencintai Allah, kerana jika mereka meninggalkan Allah maka mereka juga akan meninggalkan kamu"

Kata2 ini saya petik dari laman FB Brotherhood arts,
"Do not love the ones who doesn't love Allah, if they can leave Allah they can leave you"

Terasa,
Sujud bersama airmata
Luluh dari hati yang dalam
Allah tak pernah tinggalkan
Hamba-Nya yang berusaha mencintai-Nya
Jiwa yang terhimpit dengan murka-Nya

Di sekian banyak nikmat
Kau tetap kekalkan nikmat itu
Untuk aku setia mengukir senyum
Walau aku selalu alpa
Untuk mengingat-Mu
Allah..
Tambahkan syukurku
Pada setiap yang diberi-Mu
Pada setiap hela nafasku

Kerana sekian kali diuji
Kau lepaskan aku dari ujian itu
Walaupun ia tidak terkecuali
Dari airmata
Dari kecewa
Dari luka
Kerana bekas-bekas rasa itu
Akan menambah syukurku

Kekalkanku dalam pandangan kasih-Mu
Ya Rabbi..



Wednesday, January 25, 2012

CERPEN: KETENTUAN


“Kalau ada jodoh adalah ya. Buat masa ni ana nak tumpukan pada pelajaran.” Ikmal berbicara.

Ada manik jernih yang menemani pipi, juga ada hati yang sedang luluh.

Ada suara yang sambil tersedu-sedu cuba menjawab kepada panggilan telefon itu.

Sofiah, sesuci namanya, hati dan emosinya turut suci. Menerima apa takdir yang ditentukan.

“InsyaAllah”. Hanya itu yang mampu dijawab, sedunya semakin menjadi.

“Maafkan ana.”

“Tak mengapa. Anta sudah buat pilihan yang betul. Ana serahkan pada Dia.”

Janji antara mereka terputus, meski belum bertunangan secara adat, namun persetujuan dua keluarga sudah diminta. Mereka bersetuju mengikat janji. Tetapi entah kenapa Ikmal merasa berat, walaupun hatinya terlalu ingin memperisterikan Sofiah.

Di hujung sudut perpustakaan, saya berjalan. Terlihatkan sahabat baik sendiri, Sofiah. Bertudung labuh kuning air dan jubah hitam sedang tekun menghadap buku-buku di atas meja kecil. Sofian, matanya sentiasa nampak tenang, redup matanya memikat sesiapa sahaja. Ada sinar ikhlas yang selalu terpancar dari wajahnya.

Saya mendekati lalu menyapanya.

“Assalamualaikum Sofiah”.

Tampak dia terkejut.

“Wa’alaikumussalam..” bibirnya cepat menguntum senyum

“Boleh ana duduk sebelah anti?” bimbing mengganggu saya meminta izin

“Ahh, boleh sahaja lah Naurah”.

Saya melabuhkan duduk di sebelah kerusinya. Saya perasan harini dia tidak seperti selalu. Sepertinya dia sedang menanggung beban, tapi ditahan-tahan dari melimpah.

“Eh, kenapa pandang ana macam tu Naurah? Ada yang tak kena kat muka ana ke? Tudung ana senget ye?”

Sofiah cuba berlawak. Saya ketawa sendiri.

“Taklah, anti ni selalu kemas dan kiut je. Tapi kan...”

“Tapi apa...”

“Ana rasa seperti ada beban yang sedang anti tanggung. Wajah anti seperti ada mendung, tapi tak tertitis hujan dari diri anti. Anti baik-baik je kan?”

Saya cuba memujuk. Bukan untuk mengorek rahsia, tetapi hati sendiri gundah lihat sahabat sendiri punya beban. Apatah lagi Sofiah sahabat saya sejak dari sekolah rendah. Walaupun kami berbeza kursus pengajian, kami selalu ke mana-mana bersama. Dan ikatan ini dihubungkan dengan iman, rasa cinta saudaranya kerana Allah.

Sofiah tunduk, matanya mula berkaca-kaca. Disembamkan muka di tangan yang sudah disilangkan di atas meja belajar. Mujur sahaja sudut yang dipilih mejanya satu-satu dan dihadang di bahagian tengahnya menyebabkan orang lain tidak perasaan keadaan sofiah.

“ Sofiah, seindah dan sesuci namamu ukhti, janganlah bersedih. Jika ada beban ana sanggup jadi kolam hati anti.”

Saya cuba memujuknya.

Sofiah mengangkat wajahnya. Matanya berair dan aliran airmatanya laju membasahi tudung kuning airnya. Ada bunyi sendu.

“Ana tak kuat ukhti. Ana mahu redha Allah, jika ana suka kat seorang lelaki apakah salah ukhti? Ana tak tahu apa yang ana patut buat sekarang untuk terima semua ini.”

Sofiah mula berbicara.

Saya sungguh cuba untuk menenangkannya. Sofiah menyambung kisah.

“Ikmal memutuskan hubungan. Jika dalam Islam kami dikira sudah bertunangan memandangkan dia sudah bertemu ibuayah ana, dan ibuayahnya juga sudah bertemu keluarga ana. Tapi entahlah Naurah, ana tak faham semua ini. Ana rasa sakit. Ana rasa ada beban di hati ni, tapi ana tak tahu nak keluarkannya bagaimana”

Airmata mengalir semakin laju.

Saya memegang bahunya.

“Ukhti, sabar. Ana faham keadaan ukhti. Perasaan, pengharapan, keinginan kita kadang-kadang Allah tidak izinkan untuk kita dapat pada waktu ini. Ana tahu ukhti tabah, ukhti ditarbiyyah kan? Orang yang ditarbiyyah tak sama dengan orang yang tak ditarbiyyah.”

Kepalanya tunduk. Seketika Naurah memandang saya. Saya melihat ada kesusahan dalam dirinya untuk menerima kenyataan itu.

“Tapi dia seperti memberi ana harapan lagi. Jika ada jodoh ada lah nanti. Ana tak tahu mahu anggap itu apa dan bagaimana?”

Itulah silapnya lelaki, tidak faham hati wanita. Jika tidak mahu, tidak perlu kata begituk kerana ia seolah-olah memberi harapan kepada wanita. Wanita ternyata sakit menunggu sesuatu yang tidak pasti. Jika tidak mahu, katakan dengan benar dan jangan diberi harapan sebegitu. Hakikatnya ada hati yang sakit.

Saya cuba menenangkannya.

“Sofiah, anti percayakan Allah kan?”

Dia mengangguk.

“Lepaskan semua yang ada di fikiranmu dan hatimu. Hanya percayakan Dia, Dia sahaja.”

Dahi sofiah berkerut.

“maksud anti?”

“Bila kita letakkan cinta manusia itu di hati, apabila ia mahu pergi kita sukar mahu lepaskannya. Sepatutnya yang di hati itu hanya Allah sahaja kan? Mustahil ada dua cinta dalam satu hati. Mungkin ya, Ikmal ada sebab atas keputusannya, mungkin juga ada sebab lain. Sebelum anti menerimanya anti dah beristikharah kan? Anti sudah bermusyawarah dengan ibuayah anti dan juga ana antaranya kan? Anti tidak melanggar lebih batasan hubungan kan?”

Sofiah mengangguk lemah.

“Sesiapa yang beristikharah tidak akan sekali-kali rugi, sebab Allah itu takkan menipu hamba-Nya. Ini ujian untuk anti sebenarnya. Mungkin Allah nak lihat anti sebenarnya cinta siapa lebih. Mungkin ujian ni juga untuk bersihkan hati anti dari rasa yang tidak sepatutnya”

“Satu yang perlu anti tetapkan dalam hati adalah, manusia itu hatinya berbolak balik. Dan yang memegang hati manusia ini hanya Allah. Maka pintalah dari Allah apa yang terbaik. Jika Ikmal memang jodoh anti, insyaAllah anti dengan Ikmal akan dipertemukan dalam keadaan lebih baik kelak.”

Mendung di wajahnya kian reda. Sofiah memeluk bahu saya, “Terima kasih ukhti..”

Dia menangis semahu-mahunya.

“Sofiah, anti macam adik ana sendiri. Duka hati anti ana rasa, perit hati anti ana juga rasa. Ana sayang anti kerana Allah. Janganlah biarkan cinta manusia itu buat anti terlalu bersedihan dan bersangkan buruk dengan Allah. Dia sedang uji anti, sabarlah ya.”

* * *

3tahun berlalu, sofiah sudah bekerja sebagi tutor di salah sebuah IPT. Berita tentang pernikahan Ikmal sudah sampai ke pengetahuan Sofiah. Dan saya cuba menenangkan hatinya. Saya tahu Sofiah sedih kerana selama ini dia memilih untuk setia menunggu. Tetapi mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik untuknya.

“Tahun depan insyaAllah ana nak sambung Phd di Timur Tengah. Anti nak ikut sama?”

Sofiah sedang belajar menabahkan hati sendiri.

Saya tersenyum.

“kenapa tiba-tiba nak ke sana? Kalau ana tak ikut dengan anti, tak mengapa kan?”

“Tak mengapa, ana cuma tanya anti, mana tau kita boleh sambung belajar tempat yang sama lagi. Ana sengaja hendak cari ilmu di sana, nak rasa kesusahan belajar di tempat orang pula.”

“Anti lupa ye, ana ni engineer, takkan nak pergi timur tengah”

Sofiah ketawa, dia tahu hakikat itu. Mungkin sengaja mahu membuka cerita sendiri sekilas memberitahu niat hatinya untuk menyambung pengajian.

“Tak mengapalah, Allah kan ada untuk jaga anti. Ana titipkan doa moga Allah permudahkan semua urusan anti.” Saya menitip pesan.

“Ana pun doakan anti bahagia, tengah darah manis ni. Macam mana persiapan walimah?”.

Saya tersenyum, mungkin Sofiah melihat saya sedang bahagia. Ya, Alhamdulillah itu yang saya rasa. InsyaAllah jika diizinkan awal bulan depan pernikahan saya dengan mujahid yang selama ini saya tunggu.

“Ameen. Alhamdulillah persiapan hampir selesai. Doakan ana selalu ya. Ana selalu doakan mudah-mudahn masa anti pula akan tiba. Allah akan berikan yang terbaik untuk dunia dan akhirat anti insyaAllah.”

Saya dan Sofiah sama-sama senyum mengakhiri hari-hari terakhir saya sebelum bergelar isteri.

Kini hampir tiga tahun Sofiah di bumi Urdun, terasa rindu dengan sahabat yang satu itu. Saya tahu dia masih dalam penantian. Saya percaya semakin manusia itu cuba untuk menjadi soleh dan solehah, semakin kuat Allah akan mengujinya.

Begitulah yang saya lihat pada diri Sofiah, dia muslimah yang sangat baik. Mungkin Allah ingin uji cinta Sofiah yang selalu mempertahankan cintanya kepada-Nya terlebih dahulu dari segalanya.

‘Sofiah, ana doakan anti selalu. Percayalah, jodohmu ada. Jika tidak di dunia ini pasti di syurga nanti pemuda-pemuda berebut-rebut meminangmu. Jadikan dirimu bidadari dunia sebelum menjadi bidadari syurga. ‘

Kerana yang menentukan hidup kita bukannya kita, tetapi Allah.. Maka pilihlah untuk bersangka baik dengan-Nya selalu..

Tulisan: wardah al-misk

24 Jan 2012 (Selasa)

Monday, January 23, 2012

Sangat Rindu



Ya Allah..
Aku sangat rindu pada mereka ini
Pada mereka yang sudah jauh
Tapi moga hati kami dekat
Dan ketemu kembali di syurga-Mu





Ya Allah
Sesungguhnya Engkau Tahu
Bahawa hati ini
telah berhimpun dalam naungan cinta-Mu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Rabitah hati kami
Moga istiqamah..

Sunday, January 22, 2012

Puisi: Cinta Yang Tertanam





Cinta itu
selalu mengujakan
Tak kurang juga
ia selalu meresahkan
takut kehilangan
takut tidak diterima
takut dikecewa
itulah cinta
bila ia tersandar
semata-mata pada manusia

Tapi
ada satu cinta
yang bila ia tertanam
kita takkan takut hilang
takkan takut dikecewa
takkan takut tidak diterima
itulah cinta Pemilik Cinta

Tika manusia tidak mahu
Allah sudi menerima kita
Meluaskan cinta-Nya pula
untuk kita terima
untuk kita semai
dan satu yang kita rasa
dari mencintai-Nya
adalah rasa tenang dan aman

Jika cinta pada-Nya
Maka ikutlah apa yang Allah suka
Cinta apa yang Allah cinta
Kasih apa yang Allah kasih
Kerana cinta itu
Membawa penentuan akhirat kita

~al-misk
22/01/2012 di teratak kampung

Friday, January 20, 2012

Langit itu tenang~


Usai semester ke 3 untuk kursus Master ini, saya pulang ke kampung seperti biasa menaiki bas dari Puduraya ke Teluk Intan. Sudah biasa bersendirian, alhamdulillah dilindungi Allah dari bahaya yang pelbagai.

Memilih duduk di tepi tingkap, dalam perjalanan awan-awan berkepul-kepul seakan berirama menyampaikan mesej ketenangan. SubhanAllah, tenang saat melihat langit yang cantik. Namun lama merenung, sungguh ada manik jernih yang hampir luruh dari kelopak mata sendiri. Tuhan Yang Maha Tahu apa yang bersisa di hati ini, seakan rasa dihempap gunung.

Teringat masa-masa lalu yang pernah jauh dari-Nya, penyesalan ini tiada sudahnya. kerana itu setiap kali melihat langit, saya akan selalu teringat Allah itu Sangat Baik, Sangat Penyayang. Umur ini Allah masih pinjamkan, untuk bertaubat, mencari-Nya, kembali pada-Nya.

Saya teringat ustaz Pahrol Mohd Juoi pernah mengatakan: Mengapa langit itu dan alam ini bila kita renung dan lihatnya, kita akan tenang?

"Kerana alam ini dekat dengan Allah"

SubhanAllah.. Benarlah, bila kita jauh dengan Allah, orang lain melihat kita dengan pandangan yang serabut. Hati kita kacau-bilau, hilang rasa tenang dan rasa tidak selamatnya hidup ini.

Allah.. Aku tidak mahu walaupun dunia ini terkadang terlalu menyeronokkan bagiku. Tapi sungguh ia tidak menenangkan tika terlalu jauh dari-Mu.

Ada bingkisan yang terlalu ingin diluahkan, namun hanya pada Allah tempat mengadu rasa. Terlalu menghimpit rasa hati seorang hamba yang pernah melanggar batas dosa.

Pagi ini, sungguh saya terbaca sebuah puisi karangan hilal asyraf, dan saya sampai kepada satu kesimpulan:

" Janganlah cinta kita terbatas hanya di dunia, lantas berbalahan di hadapan Allah SWT. kerana ia terlalu berharga untuk hanya sekadar dilempar ke neraka"

Allah.. Jangan jadikan manusia yang aku kasihi dan manusia yang mengasihi aku hanya terbatas kasihnya di dunia sahaja. Aku tidak mahu berbalahan di depan-Mu kelak. sepertimana firman-Mu yang bermaksud:

"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa"~surah az-Zukhruf: ayat67


Dan sandarannya ada taqwa. Buat apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah larang. Jikalah dengan mengasihi manusia itu terkandung padanya murka Allah swt, maka berpisahlah darinya.

Jika perpisahan itu menjanjikan damai hati, menjemput redha ilahi, dan juga mengundang ke syurga ilahi, maka terimalah ia walaupun perit. Kerana takkan mungkin Tuhan yang kasihkan kita itu mahu mentakdirkan yang buruk buat kita. Hakikatnya, kita sendiri memilih sama ada mahu memilih yang baik ataupun buruk.

Sukar untuk memadam dosa lalu walaupun kita dipujuk dengan pengampunan dan penerimaan taubat oleh Allah SWT. Kerana hakikat orang beriman itu bila dia melakukan dosa seperti ibarat ada gunung yang akan menghempapnya. Lalu takutlah jika melakukan dosa tetapi merasa dosa itu seperti lalat yang hinggap di hidung, terasa kecil sahaja.

Maka syukurlah dengan nikmat iman dan Islam, dan nikmat ketiga adalah apabila Allah tutup aib kita daripada pengetahuan manusia.

Alhamdulillah..

Berusaha menambah rasa syukur, hati terus ingin bermujahadah walaupun payah.. Jangan jadikan kami orang yang rugi Ya Allah..

Tuesday, January 17, 2012

Sebatas Jahiliyyah

Sebatas Jahiliyyah
Yang telah kurempuh
Menghumban ke gaung kebinasaan

Dan aku yang terjatuh
Mengadu sakit yang teramat
Lantas iman yang senipis bawang kian melayang
Ketenangan pula dimamah kejahilan

Dan aku
Dalam sakit-sakit itu menangis lagi
Teringat selalu pada pemilik diriku
Lalu aku bertanya
Apakah setelah kurempuh sebatas jahiliyyah
Allah akan ambilku kembali
Menuntunku mencari daerah iman
Untuk kuubati hati yang dipenuhi zulmat

Apakah aku
Yang telah merempuh sebatas jahiliyyah
Layak untuk mendamba syurga-Mu
Dan memiliki cinta-Mu
Serta cinta orang yang mencintai-Mu

Dan setelah batas jahiliyyah ini
Jauh di benakku
Aku ingin jadi lebih dekat pada-Mu
Walau diriku hanya di tepian
Menanti ampun-Mu
Mengharap redha-Mu

~almisk


Monday, January 16, 2012

Siapa Kamu dan di Mana Kamu di Saat Ini..


Sebuah monolog di entry terbaru kak Fatimah Syarha:
‘Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.’~ Kata2 Qani'ah Syumaila (Petikan dari novel yang bakal muncul)

:: Allahu Allah..
Monolog itu seakan berbisik juga di hati sendiri..
Biar aku menunggumu walau siapa dirimu..
Aku ingin membantumu untuk memahami bahawa
Mujahadah itu sesuatu yang manis bila tiba saatnya..

“Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik).” (HR al-Tarmizi).

Allahumma ameen

Thursday, January 12, 2012

Puisi: Cinta Pada Apa Adanya


Usai imtihan..
الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات

Lalu..

Tiba-tiba
Jatuh Cinta
Pada kurnia
Jatuh Cinta
Pada adanya
Jatuh Cinta
Pada sederhana

Emosi tergerak
Jiwa memuncak
Dan airmata menggalak
Lalu aku semakin jatuh cinta
Pada rasa tabah
Yang dikurnia Tuhan
Untuk terus merasa
Tidak kalah
Pada lemahnya jiwa
Pada hinanya dusta

Dan aku mula
Merasa cinta
Yang semakin membara
Pada sebuah medan
Biarlah padanya panah
Berkalang pedang
Asalkan iman terbela
Dan cinta tetap tega
Pada tegaknya agama

Tuhan
Cintaku untuk apa
Biarlah jatuhnya pada agama
Bukan pada dunia yang dusta
Izinkanku menjelma
Menjadi bidadari syurga
Untuk yang hak

Dan hidup di sana
Nyata lebih indah
Moga bertemunya
Yang dicita-cita
Dalam lindungan
Tuhan Yang ar-Rahman

~wardah almisk
12 Jan 2012

P/s:
Saya tahu blog bukan sebuah diari, biar yang dihati Tuhan Yang mengerti, namun puisi hanya tempat meluah hati. Kadang tak mampu dijiwai oleh manusia lain kerana hanya yang melakarinya tahu apa erti disebalik sebuah puisi..

Perjuangan diteruskan. walaupun airmata sudah tertumpah, kata sahabat: sebab wanita ada rahim, sebab itu emosi. Moga emosi ini baik, baik untuk melenturkan iman. Mengukir tabah. Mencengkam kekuatan.

Dan saban waktu, kita katalah pada diri, 'kerana Allah Tahu kita mampu, maka diberikan ujian sebegitu. '

Allah ada. Terus bersama kita. Dalam setiap nafas.
Moga dalam redha Allah
Hingga akhir nafas.

Terima kasih Allah atas nikmat ini.
Jadikan aku hamba-Mu yang bersyukur untuk semuanya, segalanya..
Ameen


Monday, January 2, 2012

Manis Dalam Ukhuwwah: Peduli Pada Yang Halal


31 December jam 6.20petang, bertolak dari tangga besar untuk 'makan sedap'. Itu istilah saudari Afra' yang merancang makan malam bersama untuk usrah senioritas. Berjalan dari mahallah bersama bakal ibu yang mengandung di usia 6bulan menjadikan saya teruja dengan kekuatannya. Atas nama ukhuwwah, disanggupi berjalan.

10 orang yang hadir, dua darinya sudah berkahwin ditemani suami masing2 yang memahami. Hamdan lillah, hati ini yang sarat penuh rindu dengan pengisian terisi dengan nasihat dari kakak naqibah. Terima kasih ya Allah atas nikmat ukhuwwah ini.

usrah 'senioritas'

Benarlah, hati perempuan ini mahu selalu diambil tahu, mahu selalu diambil peduli. Selalu bila punyai masalah dan jika ada rasa beban yang memberati hati, mahu diluah kepada seseorang. Dan bila sahabat wanita tidak mahu menjadi bahu buat menongkah beban sahabatnya, maka seorang hati yang sarat dengan beban itu akan mula mencari manusia yang sudi mendengar luahan bicaranya.

Dan kerana itulah, berleluasanya budaya 'couple' berpunca dari kosongnya jiwa dari rasa kasih, ambil peduli, ambil tahu dari rakan atau insan yang halal untuknya. Di mana ibuayahnya? Di mana sahabat wanitanya, di mana abang dan kakaknya? Mereka itu semua halal untuk diluah rasa dan diminta pendapat, tetapi dek kerana ketidakpedulian kita terhadap jiwa yang terisi beban ini menjadikan dia tersalah pilih arah. Lalu kesannya terjebak pada 'cinta murahan'.

Ya, cinta itu fitrah. Dalam keadaan sudah bersedia tidak mengapa untuk serius. Tetapi jika baru bersekolah dan habis SPM, apakah ibubapa mengizinkan berkahwin ketika itu. Berulang kali saya membaca artile ustaz Hasrizal berkaitan Pra perkahwinan, terasa dihenyak kebenaran.

Berkahwin itu bukan hanya soal 'takut berzina', tetapi lebih daripada itu adalah tanggungjawab selepas berkahwin. Sudah bersediakah menjadi ibubapa, sudah bersediakah memikul tanggungjawab memberi nafkah untuk isteri? Sudah bersediakah menjadi ibu dalam keadaan masih belajar? Jika sudah difikirkan semasaknya, teruskanlah pernikahan.

Namun, pasangan yang berseronok2 dengan aktiviti 'couple' biasanya lupa tentang hal ini. Tidak bersedia tapi mahu bercinta, pelajaran entah ke mana, jika cemerlang pun akhiratnya bagaimana?

Tak mahu berkata banyak, diri sendiri juga banyak khilaf malah serasanya lebih hebat diuji dari golongan ini. Hamdan Lillah Tuhan itu Maha Baik, memanggil kembali jiwa ini mencari-Nya, dikeluarkan dari ujian walaupun dalam keadaan susah payah untuk redha.

Apa yang mahu ditekankan di awal tadi adalah, kita punya tanggungjawab terhadap saudari2 kita, sahabat-sahabat kita, adik-adik atau kakak-kakak kita, malahan anak-anak kita. Tunjukkan rasa peduli kita pada mereka, tautkan kasih kita pada mereka, agar pabila beban hati mereka memberat mereka cuba untuk mencari insan yang halal untuk diluah rasa.

Ini tugas kita, bukankah kita suka ada yang menyayangi kita, maka sayangi oran lain. Justeru dalam usrah atau halaqah kecil yang saya kenal, saya amat merasai manisnya ukhuwwah itu. Rasa cinta atas dasar iman kepada Allah swt, rasa ingin ke syurga bersama2 dengan saling mengingatkan kepada kebaikan.

Semoga manusia2 yang saling kasih mengasihi kerana Allah mendapat lindungan Allah di hari tiada naungan selain naungan-Nya. Allahumma ameen.

Hadiah dari akhawat 'senioritas' :)


Kak Sumayyah, Lina, Fauzun, Awatif, Sakinah, Mun, Afra', Raihan, Mursyidah, Muneebah, Atikah, Min.. Uhibbukunna fillah ^^,)

~almisk

Sunday, January 1, 2012

Dari Kalam Hati



Ya Allah
Bibirku tidak berbicara
Tapi jiwaku selalu bersuara
Tentang riak rasa yang berwarna

Ya Rahim
Dengan sifat Kasih-Mu
Dan sayang-Mu padaku
Kikiskan ingatan ini dari yang tidak halal
Pudarkan dari yang tidak membawa bekal
Agar di hati dan akal hanya ada matlamat
Mencari redha-Mu sahaja

Ya Hannan
Tika yang lain sibuk memikirkan pasangan
Biarlah aku memendam rasa
Kerana dibuai dosa itu menyakitkan jiwa
Melambatkan langkah kepada Pencipta

Ya Mannan
Jika ujian lalu untuk mendidikku
Aku pinta jadikan aku redha dengan ketentuan-Mu
Jika ujian lalu untuk menyedarkanku
Aku pinta jadikan aku hamba-Mu yang bersyukur
Atas nikmat iman itu
Atas manisnya ibadah itu
Atas sungguhnya taubat itu

Ya Rahman
Aku terlalu malu pada-Mu
Setelah banyak nikmat dari-Mu
Lalu aku tidak pernah memberi apapun untuk agama-Mu
Lantaran merasa tidak mampu untuk itu
Tetapi setelah itu aku meminta lagi dari-Mu
Dengan mengharap redha manusia yang dituju

Ya Ilahi
Tika aku mula jauh
Serulah kembali jiwaku
Tika aku alpa dari-Mu
Ingatkanlah aku
Dan aku
Mula mengerti di lubuk sendu
Mengapa bila mereka sibuk
Berkisah tentang hidup
Mula teruja dengan fitrah yang wujud
Aku serahkan segalanya pada-Mu
Kerana Kau Maha Tahu
Siapa, dimana dan bila waktu menjemput
Untuk halal bertemu yang dimaksud

Ya Rabbi
Andai tak kutemunya di dunia ini
Moga ketemu di syurga-Nya nanti
Dengan seizin dari-Mu..
Allahumma ameen

~wardah almisk
Mahallah Safiyyah
Subuh 1 Jan 2011 (Ahad)
4.46am