Pages

Sunday, October 23, 2011

Bila Terasa Jauh



Ketika senyum terukir, hati mula menangis. Hati menangis rasa derita lantaran rasa jauh dari kekasih hati. Kekasih yang terlalu banyak memberi, terlalu pengasih, terlalu banyak memberi cinta sehingga setiap titis-titis kasih itu meresap ke dalam jiwa.

Jiwa bahagia, sangat bahagia. Itulah kekasih kita sebenar, Allah Rabbuna. Hakikat kehidupan, jika cinta pasti akan diuji. Allah datangkan nikmat-nikmat dunia yang paling kita mudah cintai dan sukar untuk lepaskannya sebagai ujian. Dan itulah dia harta, wanita, anak-anak, isteri. Itulah ujian yang kadang-kadang membuat manusia lupa pada cinta yang sebenar.

Kadang-kadang kita melebih-lebihka pujian buat hadiah yang diberi, sedangkan yang member itulah sepatutnya kita berikan ucapan penghargaan dan terima kasih.

Berapa banyak kali kita buat begitu kepada Allah swt? Sudah kita hitungkah berapa kali nafas kita hirup setiap hari? Mampukah kita hendak membalas nikmat yang terbesar itu? Malah bukan hendak membalas kebaikan Allah, ditambahi lagi dengan kemaksiatan dan melarikan perhatian kepada manusia pula. Berleka-lekaan dengan cinta dunia sampai lengahkan solat, bersedap-sedap dengan dunia, lalai dengan pinjaman sementara.

Jauh.. manusia semakin jauh.. dan apabila seorang manusia dapat merasai dia semakin jauh dari penciptanya, itu petanda Allah masih mahu mengingatkannya tentang kesilapannya, keterlupaannya, kelalaiannya.

subhanAllah, Allah itu Maha Baik.

Selagi hayat ada, selagi nafas ada, pintu taubat terbuka. Di jalan penuh duri ujian ini, sebenarnya ada mujahadah yang sangat ditagih oleh manusia seperti kita. Kita tidak kuat jika tiada teman-teman yang mahu mengingatkan, jika tiada sensitiviti di hati lagi, dan lebih menakutkan apabila Allah sudah tidak kisah dengan kita lagi. Iyazan billah.

Kerana itu, apabila kita rasa lemah menghadapi nafsu dan godaan dunia yang nikmat dan sedap-sedap ini, cepat-cepatlah istighfar dan berdoa. Berdoa sungguh-sungguh dengan hati yang rendah. Kerana hati kita sedang rapuh tatkala diterkam nafsu dan dosa, lantas mengeras. Takut-takut kerasnya nanti memantulkan kembali nasihat yang cuba dilantun kepada kita.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang hati keras membatu.. dikurniakan hati yang selalu ditegur Allah swt jika terlalai, diingatkan oleh Allah swt andai terlupa, dilunakkan oleh Allah swt jika terbabas dari landasan asal.

Dan itulah kita, pohonlah thabat dan ketetapan di jalan Islam ini kerana kita akhirnya nanti ingin kembali kepada Allah swt dan hidup bahagia di syurga-Nya insyaAllah.. Mujahadahlah lagi, walaupun kita rasa sedih untuk meninggalkan sesuatu yang kita suka, walaupun kita rasa susah untuk bergerak pergi menjauhinya, itulah mujahadah yang Allah nilai insyaAllah.

Kerana tujuan dan matlamat akhir kita ialah ingin meraih cinta Allah dan mengharap rahmat-Nya untuk menghuni taman syurga-Nya kelak.. biiznillah.

~ almisk

No comments:

Post a Comment