Pages

Sunday, October 30, 2011

Cerpen: Bidadari Syurga Dunia

Gambar Hiasan- dari filem Sang Murabbi


Kau umpama bintang utara
Petunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan saat ku jatuh bangun semula
Dan berikan sakti cintamu
Penawar racun berbisa
Dan ikatan kita cinta abadi hanya di syurga…


Menitis airmata Yasir apabila terdengar bait-bait lagu bidadari nyanyian hijjaz itu teralun di radio ikim. Jalan menuju ke ampang petang itu agak sesak, ditambah pula hujan renyai-renyai. Dia sudah mengirim sms kepada isterinya memberitahu dia agak lewat pulang petang itu.

Yasir kudung sebelah kakinya, beberapa bulan menuju ambang pernikahan dengan wanita idaman hatinya, dia mengalami kemalangan jalan raya. Wanita yang sudah cukup sempurna di matanya, yang didambakan setianya, yang mahu diredhai agamanya memutuskan pertunangan apabila mengetahui akan punyai suami yang kudung sebelah kakinya.

“Ina taknak bersuamikan lelaki kudung, sepatutnya suami yang kena jaga isteri. Nanti ina pula yang kena jaga dia. Ina dah fikir masak-masak, ina nak putuskan pertunangan dengan Yasir. Lebih baik Ina minta putus sekarang, daripada Ina minta cerai sebab tak tahan nak jaga suami kudung”. Sakinah membuat kata putus di hadapan ibuayahnya. Huru-hara keadaan seketika.

Dan keadaan yasir yang sepatutnya memerlukan sokongan psikologi untuk menampung derita jiwanya, dia tidak mendapatkan itu. Kakinya yang tersepit di celahan kereta terpaksa dipotong dan itu adalah kehilangan yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Pedih hati yasir mendengarkan keputusan Sakinah, disangka nama Sakinah yang bermaksud ketenangan seperti pemilik namanya tetapi jauh dari yang disangka.

“Sabarlah Yasir, Allah sedang uji keimanan kamu nak. Mak faham perasaan kamu sekarang ini, dan mak lah yang lebih-lebih lagi merasakan kesakitan itu. Mak tahu anak mak kuat dan tabah, pinta hati yang kuat dan tabah dari Allah ye nak”.

Kata-kata ibu itu sejuk menyelinap ke dalam hati. Ada suatu rasa tenang dalam jiwanya. Namun begitu, airmatanya masih tetap menitis. Hati lelakinya meruntun.

“Redhalah nak, Allah sedang uji. Redha.”

Ayat itu diulang-ulang oleh ibunya.

“Mak, Yasir nak redha, tetapi Yasir susah untuk menerima semua ini buat masa ini”.

“Menangislah nak, Rasulullah saw pun menangis tatkala kehilangan putera-putera baginda yang masih kecil, inikan pula kita yang biasa-biasa. Ada hikmah yang Allah mahu tunjukkan. Sabarlah ye nak. “

Yasir terus beristighfar dan muhasabah kembali. Walau dalam sakit-sakit begitu, dia tetap solat. Dia hanya ada Allah tempat mengadu rasa sakit, pedih dan luka.

***
Alhamdulillah, Yasir beransur-ansur sihat. Ibunya menjaganya dengan penuh perhatian. Majlis yang sepatutnya diadakan akad nikah terpaksa dibatalkan kerana permintaan pihak perempuan. Yasir sudah mula masuk kerja, dengan kakinya dipasang kaki palsu. Dia bersykur walaupun dia kudung, Allah masih berikan nikmat untuk berjalan, melakukan kerja-kerja seperti biasa.

Dia merasakan itu adalah sebesar-besar nikmat. Selepas kemalangan, dia menjadi seorang yang merendah diri, selalu menghulur apa-apa yang termampu di masjid-masjid dan rumah anak-anak yatim.

Yasir sukakan kanak-kanak, dan dengan telatah anak-anak itulah membuatkan hidupnya terisi. Sedikit demi sedikit dia boleh melupakan kejadian yang menyedihkan hatinya. Mudah-mudahan Allah berikan yang lebih baik dari Nur Sakinah.

Dan sehingga ke saat ini, Yasir masih mencari lagi bidadari hatinya. Bidadari yang sudi menjaganya dengan sepenuh keikhlasan, menemankannya di kehidupan dunia yang penuh ujian. Yang ingin bersama-sama dengannya untuk ke syurga di sana kelak.

Dia tidak mahu menjadi orang yang putus asa dalam mencari jodoh, walau dia tahu dia punya kekurangan. Kekurangan yang satu itulah yang akan membuatkan ramai memandangnya dengan pandangan yang sinis.

‘Tak mengapalah, asalkan di pandangan Allah aku dilihat’. Dia memujuk hatinya.

***

Yasir selalu ke Masjid, tidak pernah tinggal solat berjemaah. Baginya seorang manusia telah dijanjikan Allah dengan pasangan yang sepertinya juga, jika dia baik maka bakal isterinya juga baik. Yasir tidak terlalu mengejar-ngejar wanita walaupun pada pandangannya wanita di tempat kerjanya punyai paras rupa yang cantik, tetapi dari segi pergaulan agak mengecewakan.

Yasir mempersiapkan diri menjadi seorang lelaki yang soleh, menjadi hamba Allah yang taat. Dia tak lupa berdoa agar dikurniakan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dalam keadaan terhinjut-hinjut keluar dari masjid selepas solat isyak, Seorang lelaki dalam umur 60-an menyapanya. Wajahnya nyata berseri. Nur orang beriman biasanya tampak melalui kejernihan wajahnya. Yasir perasan lelaki itu selalu bergandingan berjemaah di sebelahnya.

“Assalamualaikum nak.”

“Wa’alaikumussalam pakcik”. Lantas di salami penuh rasa hormat. Bibir terukir senyum.

“Maaf, pakcik selalu nampak anak jemaah di sini. siapa nama anak?”
“Nama saya Yasir pakcik.”

“Boleh pakcik tau rumah anak di mana. Manalah tahu boleh berjalan ke sana nanti.”

“Rumah saya di Taman permata, perumahan sebelah ni je. Lapang-lapang jemputlah ke rumah.”

Pakcik tersebut mengangguk dan meminta diri pulang. Mereka sempat bertukar nombor telefon. Sebelum pakcik tersebut hilang dari pandangan Yasir, sempat dia melihat ada seorang gadis mengekori pakcik tersebut berjalan pulang. Ayu dan solehah.

Bergetar jiwa.

‘astaghfirullahal azhim’

Cepat-cepat dia berjalan pulang.

***
Selang seminggu berlalu, ketika Yasir sedang membaca-baca buku untuk dibuat artikel, dia mendapat satu panggilan.

‘Pakcik Musa?’. Dia kurang ingat. Pantas diangkat.

“Assalamualaikum,”

“Wa’alaikumussalam.Yasir ye. Ni pakcik Musa. Ingat lagi tak kita bertegur sapa di masjid minggu lalu?”

“Oh, pakcik. Maaf hampir terlupa.pakcik apa khabar?”

“Alhamdulillah sihat. Yasir ada di rumah ke? Pakcik ingat nak ziarah dengan keluarga pakcik ke rumah Yasir esok petang. Itupun kalau tak mengganggu.”

“MasyaAllah, boleh pakcik. Esok hujung minggu, jadi saya dan mak saya ada di rumah. Jemput ziarah ye pakcik. Saya alu-alukan sangat”.

“InsyaAllah esok jika hendak ke sana pakcik beritahu yasir ye. Assalamualaikum”

“Wa’alaikumussalam”.

Talian dimatikan. Yasir berdebar seketika, ada rasa yang lain.

‘Ah, pakcik Musa hendak berziarah sahaja mungkin’.

Segera diberitahukan kepada ibunya tentang hajat pakcik Musa untuk berziarah bersama keluarganya.

***
Keesokan petang, Pakcik Musa sampai di halaman rumah Yasir.

“Pakcik, silalah masuk.”

Segera dibukakan pintu pagar.

Bersama pakcik Musa ada 2orang wanita. Seorang sudah agak berusia seperti ibunya, lagi seorang masih gadis. Sekali pandang seperti pernah dilihat.

Dia tidak berani bertanya siapa mereka.

‘mungkin sahaja keluarganya’. Getus Yasir.

“Ini isteri pakcik, Asiah. Yang ini pula. Anak bongsu pakcik, Nur ‘Aliah.”

Sambil tersenyum yasir mengangguk. Persoalannya terjawab.

Tidak lama kemudian, ibunya muncul membawa hidangan minum petang. Mereka saling berkenalan. Keramahan pakcik Musa menyenangkan hati yasir. Seolah-olah mereka sudah lama kenal. Ibu Yasir sekali-sekala bertanya tentang ‘Aliah, anak bongsu pakcik Musa.

Nyatanya orangnya lemah lembut dan sopan, baru habiskan pengajian ijazah dari Jordan. Nampak solehah. Tertunduk-tunduk malu menjawab soalan dari ibu Yasir.

Setelah keluarga Pakcik Musa pulang, Ibu Yasir tak putus-putus memuji anak Pakcik Musa.
“Solehah ‘Aliah tu kan. Dah berpunya ke?”

“Entahlah mak, Yasir pun baru kenal Pakcik Musa”.

“Nampak baik keluarganya. Mana tau jodoh Yasir, apa salahnya mulakan dengan jalan yang baik”.

Yasir berkerut.

“Tapi nak ke ‘Aliah bersuamikan Yasir yang kudung ni?”

Ibunya sebak.

“Anakku, seorang wanita yang baik dan menerimamu seadanya itulah wanita yang Allah ciptakan buatmu. Tidak kira bagaimana kamu, kekuranganmu. Dia akan mendukungmu dari belakang. Tidak salah berusaha untuk mendapatkan jodoh kan?”.

Yasir diam seribu bahasa.

Penat berfikir, lantas di sepertiga malam dia memanjatkan doa dalam istikharahnya meminta petunjuk. Hatinya jujur terpikat dengan gadis bernama ‘Aliah.

Beberapa minggu berlalu, hatinya mantap setelah istikharah dan bermusyawarah dengan ibunya, dia menguatkan diri untuk merisik ‘Aliah.

Usai solat isya’, yasir bertemu pakcik Musa mengusulkan risikannya tentang ‘Aliah.

“Maaf Pakcik jika saya ini terlalu tidak sopan. Itupun jika ‘Aliah masih belum ada calon dan dia sudi menerima saya yang kudung ini.”

“MasyaAllah nak, jangan katakan tentang kekuranganmu lagi. Akhlakmu cukup sudah menambat hati pakcik. Sebenarnya tujuan pakcik datang ke rumahmu memang untuk perkenalkan ‘Aliah kepadamu. Dia memang minta pakcik carikan bakal suami yang soleh untuknya. Pakcik baru hendak bertanya pada kamu, tetapi Allah izinkan kamu bertanya dahulu. Pakcik sudah bertanyakan kesedian ‘Aliah, nampaknya dia setuju dan serahkan pada pakcik.”

Sujud syukur Yasir mendengar itu semua. Perancangan-Mu ya Allah teramat sempurna. Tiada cacat celanya pilihan dan ketentuan-Mu Ya Allah.
***
Sudah hampir 2bulan Yasir diijabkabulkan dengan Nur ‘Aliah. Isterinya itu sangat memuliakannya. Tidak pernah menyebut-nyebut kekurangannya, malah dialah yang selalu memberi semangat ketika Yasir merasa jatuh. Isterinya itu sangat menenangkannya.

Nur ‘Aliah ibarat bidadari syurga di dunia.

Hamdan Lillah, Allah gantikan sesuatu yang lebih baik lagi dari yang pernah hilang. Allah tentukan sesuatu yang kita tidak mahu. Dan Allah tentukan apa yang Dia mahu tentulah itu yang terbaik untuk hamba-Nya.

Tidak sabar untuk pulang menemui bidadari syurga dunianya. Yasir pulang dengan hati berbunga-bunga.

Mudah-mudahan cinta ini berkekalan hingga ke syurga-Nya, dan kuharap dia akan menjadi ketua bidadariku di syurga nanti. Ameen.

Doa itu terus-terusan meniti di bibir dan hati Yasir. Senyuman terus mengukir. Inilah hikmah ilahi, sabar dalam ujian. Dia percaya Allah tidak pernah mahukan yang buruk-buruk buat hamba-Nya, malah Allah tambahi rasa bahagia dalam jiwanya.

Alhamdulillah.

Wardah al-misk
Sekadar kisah. Mudah-mudahan ada ibrah :)




Sunday, October 23, 2011

Bila Terasa Jauh



Ketika senyum terukir, hati mula menangis. Hati menangis rasa derita lantaran rasa jauh dari kekasih hati. Kekasih yang terlalu banyak memberi, terlalu pengasih, terlalu banyak memberi cinta sehingga setiap titis-titis kasih itu meresap ke dalam jiwa.

Jiwa bahagia, sangat bahagia. Itulah kekasih kita sebenar, Allah Rabbuna. Hakikat kehidupan, jika cinta pasti akan diuji. Allah datangkan nikmat-nikmat dunia yang paling kita mudah cintai dan sukar untuk lepaskannya sebagai ujian. Dan itulah dia harta, wanita, anak-anak, isteri. Itulah ujian yang kadang-kadang membuat manusia lupa pada cinta yang sebenar.

Kadang-kadang kita melebih-lebihka pujian buat hadiah yang diberi, sedangkan yang member itulah sepatutnya kita berikan ucapan penghargaan dan terima kasih.

Berapa banyak kali kita buat begitu kepada Allah swt? Sudah kita hitungkah berapa kali nafas kita hirup setiap hari? Mampukah kita hendak membalas nikmat yang terbesar itu? Malah bukan hendak membalas kebaikan Allah, ditambahi lagi dengan kemaksiatan dan melarikan perhatian kepada manusia pula. Berleka-lekaan dengan cinta dunia sampai lengahkan solat, bersedap-sedap dengan dunia, lalai dengan pinjaman sementara.

Jauh.. manusia semakin jauh.. dan apabila seorang manusia dapat merasai dia semakin jauh dari penciptanya, itu petanda Allah masih mahu mengingatkannya tentang kesilapannya, keterlupaannya, kelalaiannya.

subhanAllah, Allah itu Maha Baik.

Selagi hayat ada, selagi nafas ada, pintu taubat terbuka. Di jalan penuh duri ujian ini, sebenarnya ada mujahadah yang sangat ditagih oleh manusia seperti kita. Kita tidak kuat jika tiada teman-teman yang mahu mengingatkan, jika tiada sensitiviti di hati lagi, dan lebih menakutkan apabila Allah sudah tidak kisah dengan kita lagi. Iyazan billah.

Kerana itu, apabila kita rasa lemah menghadapi nafsu dan godaan dunia yang nikmat dan sedap-sedap ini, cepat-cepatlah istighfar dan berdoa. Berdoa sungguh-sungguh dengan hati yang rendah. Kerana hati kita sedang rapuh tatkala diterkam nafsu dan dosa, lantas mengeras. Takut-takut kerasnya nanti memantulkan kembali nasihat yang cuba dilantun kepada kita.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang hati keras membatu.. dikurniakan hati yang selalu ditegur Allah swt jika terlalai, diingatkan oleh Allah swt andai terlupa, dilunakkan oleh Allah swt jika terbabas dari landasan asal.

Dan itulah kita, pohonlah thabat dan ketetapan di jalan Islam ini kerana kita akhirnya nanti ingin kembali kepada Allah swt dan hidup bahagia di syurga-Nya insyaAllah.. Mujahadahlah lagi, walaupun kita rasa sedih untuk meninggalkan sesuatu yang kita suka, walaupun kita rasa susah untuk bergerak pergi menjauhinya, itulah mujahadah yang Allah nilai insyaAllah.

Kerana tujuan dan matlamat akhir kita ialah ingin meraih cinta Allah dan mengharap rahmat-Nya untuk menghuni taman syurga-Nya kelak.. biiznillah.

~ almisk