Pages

Sunday, April 18, 2010

Singgah Mencoret


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, hanya itu yang mampu saya tuturkan. Untuk apa dan tujuan apa tidak lain sekadar ucapan layaknya dari hamba kepada Tuhannya yang selama ini mengurniakan bermacam kenikmatan yang tidak terkira. Andai mahu dituliskan nikmat-nikmatnya, lau dibekalkan dengan selautan dakwat, sungguh tidakkan cukup untuk menuliskannya lantaran terlalu banyak nikmat-nikmatNya.

Allahu Akbar. Lama benar tangan membisu. Tidak terluah dengan coretan. Saya kekurangan idea. Entah apa yang menyelit dalam kehidupan. Lalu hari ini, untuk tidak menjadikan laman ini terus-terusan bersawang saya gagahkan jua walaupun tiada apa pengisian yang mahu dibawa.

Ingin memetik kalam Allah dari surah al-Hujurat: ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Kerap mendengar ayat ini, dan dalam program akhir saya semester lalu, kami diaklifkan untuk menghafaz ayat 10-13 surah al-Hujurat. Sungguh, antara hikmah kita diciptakan berbangsa-bangsa adalah untuk kita saling kenal-mengenal. Dan dari situlah terciptanya ukhuwwah.

Saya sukakan kata-kata manisnya ukhuwwah. Entah. Mungkin saya sudah jatuh cinta dengan ukhuwwah itu sejak pertama kali saya mengenali erti persaudaraan dalam Islam. Bergerak bersama akhawat fillah tentunya memberi satu kekuatan dalam diri bahawa saya tidak berseorangan.

Saidina Umar pernah berkata:

“Nikmat yang paling berharga selepas nikmat iman dan Islam adalah memiliki sahabat yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya maka peganglah ia bersungguh-sungguh”.

Indah sungguh kalam ini. Subhanallah. Semoga saya dan kita akan memegang kasih sayang dan manisnya dalam berukhuwwah kerana Allah s.w.t. sesungguhnya apa-apa perkara yang hanya penghujungnya bermatlamatkan redha Allah, mudah-mudahan terasa indah perjalanannya. Hanya sekadar ini coretan untuk waktu ini. insyaAllah bertemu di lembaran lain. Jazakumullah..

Wallahu a’lam

Wardah al-misk

No comments:

Post a Comment