Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukannya berhenti.. Dan untuk terus berjalan hanya ada dua hal yang harus kita terus bawa: Keyakinan dan Cinta..
Sunday, May 23, 2010
PERPINDAHAN..
Assalamualaikum wbt kepada semua pengunjung yang sudi menjenguk laman yang seakan bersawang ini. Hanya sebagai pemberitahuan, InsyaAllah blog jalan-sehala ini akan terus wujud, tetapi kebarangkalian untuk di 'update' berkemungkinan DIHENTIKAN di atas banyak faktor.
namun begitu, insyaAllah saya tidak akan berhenti dari terus berjalan di atas jalan ini kerana saya hanya akan bertukar ke laman http://almisk.hadithuna.com/
Mohon maaf andai terluka.. Mohon senyum andai terkesima.. Diri hanya hamba-Nya. Tiada lain mencari redha-Nya. Semoga kita semua mendapat taufiq dan HidayahNya. Amin..
wassalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh..
wardah al-misk
Saturday, May 15, 2010
Nukilan Buat Guru...
Dulu
Tika mula mengenal huruf
Tika mula mengenal eja
Tika tidak mengenal erti baca
Tidak juga mengenal erti menulis
Perlahan kau memujukku
Katamu,
Anakku …
Duduklah bersama teman-teman kecil lain
Lalu perlahan-lahan ku mengukir senyum
Hingga akhirnya membuahkan tawa
Guru
Dulu tika ku pernah menangis
Pernah pula putus asa
Kerna huruf yang kutulis
Tidak secantik yang kau ajari
Kau datang mengesat airmataku
Lalu kau genggami tanganku
Menarikan pensil kayu
Yang terpasak digenggamanku
Guru
Tika ku membesar
Tika ku mengenal erti kehidupan
Terkadang ku hilang arah
Kuhilang pedoman
Lalu kucari dirimu
Agar dapat ku memetik buah nasihat
Yang setulus lahirnya
Dari hati nuranimu
Guru
Ku tidak punya harta
Untuk membayar kesabaranmu
Selama mendidik dan menasihatiku
Namun ku hanya punya doa
Untuk kutadahkan pada-Nya
Moga kebaikanmu
Diganjari-Nya
Kerana
Hanya Dialah sahaja yang layak
Membalas segala pengorbananmu
Terima kasih Guru..
Wardah al-misk
Khas buat guru-guru yang pernah mengajar diri ini secara langsung ataupun tidak. Nukilan ini tidaklah indah, hanya sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga kerna mendidik diri ini. Barakallahu Lakum Jami’an..
Saturday, April 24, 2010
Rintih Sang Perindu
Dia tertunduk malu
Jasadnya membatu
Seakan menunggu dihukum
Terus terdiam membisu
Di angin yang semilir
Matanya menggenang tangis
Airmata berderai-derai
Tersedu bersama esak yang bergilir
Dialah si perindu malam
Menunggu uzlah dari kesibukan
Menagih kasih dari Tuhan
Menunduk malu meminta ampunan
Dialah perindu Ilahi
Bila malam bersemi
Saat matanya menggugur tangis
Aksara bicaranya terngiang di bilahan hati
Membisik kata rindu pada Ilahi
Terbias di rantaian doanya;
Tuhanku
Andai memang hanya Engkau cukup bagiku
Janganlah serahkan diriku pada dunia
Dan janganlah palingkan cintaku dari-Mu
Aku hanya perlukan-Mu
Sedangkan Engkau tidak perlukan aku
Aku hanya inginkan redha-Mu
Sedangkan Engkau tidak perlukan redhaku
Aku hanya inginkan kecintaan-Mu
Sedangkan Engkau berhak memilih siapa yang Engkau Cintai
Andai aku bukan di kalangan itu
Merasa rugilah aku
Seakan terpecah gunung-ganang
Dan bertebaranlah debu-debu yang membekas
Mengaburkan perjalanan hayat insan
Ampuni diriku ya Allah
Andai pintaanku ini keterlaluan
Selalu derhaka yang tidak sudah-sudah
Lalu menagih ampun dari-Mu
Jikalah tidak kerna ku yakini
Ampunan-Mu lebih meluas dari kemurkaan-Mu
Nescaya tidaklah kugagahkan jua diri
Menutup rasa malu yang teramat di hadapan-Mu
Mengungkap taubat yang kesekian ribu kali sudah tertutur
Ya Tuhanku
Yang memiliki hati nuraniku
Yang memiliki jiwaku
Yang menciptakan ruhku
Yang mencampakkan benih kasih dalam relung hatiku
Yang menciptakan rasa fitrah dalam diriku
Ku mohon jagailah diriku
Kerna aku teramat perlukan-Mu
Serahkanlah diriku pada orang yang mentaati-Mu
Diri yang takutkan azab-Mu
Jiwa yang mencintai-Mu
Hati yang mengharapkan cinta seseorang yang mencintai-Mu
Ya Tuhanku
Andai kau izinkan secebis kasih insan berbunga di hatiku
Kuntumkanlah ia seiring redha-Mu
Peliharalah ia dengan ikatan suci
Yang kau pernah izinkan buat Adam dan Hawa
Hingga sampai hanya ke Jannah-Mu
Ya Allah..
Ampuniku atas segala kederhakaanku
Ku memohon Kau tetapkan jiwaku
Keyakinan dan redhaku pada takdir-Mu
Janganlah Kau tinggalkan diriku walau hanya seketika
Kerna aku amat takut bersendiri tanpaMu
Hakikat aku hanyalah hamba
Yang teramat memerlukan-Mu..
al-misk
5.03.2010
Monday, April 19, 2010
Menyebut Asma'-Mu
Tika menyebut asma’-Mu
Tenang dalam relung kalbu
Mengalir bersama atma rasa
Menari-nari bersama simfoni yang melagu pilu
Tika menyebut asma’-Mu
Diri tunduk menyerah segala
Sungguh pada sebuah tadbir
Takdir-Mu mengatasi segala
Sebuah redha yang menagih mujahadah
Demi mahalnya sebuah syurga
Tika menyebut asma’-Mu
Sudah berbaris aksara tercipta
Tanda taubat diri yang selalu berdosa
Sudah berlopak airmata sesal
Tanda penyesalan yang tak sudah
Tika menyebut asma’-Mu
Sudah kuserah diri pada-Mu
Apakah kan Kau terima diriku…
Wardah al-misk
19.4.2010
Sunday, April 18, 2010
Singgah Mencoret
Bismillahirrahmanirrahim
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Kerap mendengar ayat ini, dan dalam program akhir saya semester lalu, kami diaklifkan untuk menghafaz ayat 10-13 surah al-Hujurat. Sungguh, antara hikmah kita diciptakan berbangsa-bangsa adalah untuk kita saling kenal-mengenal. Dan dari situlah terciptanya ukhuwwah.
Saya sukakan kata-kata manisnya ukhuwwah. Entah. Mungkin saya sudah jatuh cinta dengan ukhuwwah itu sejak pertama kali saya mengenali erti persaudaraan dalam Islam. Bergerak bersama akhawat fillah tentunya memberi satu kekuatan dalam diri bahawa saya tidak berseorangan.
Saidina Umar pernah berkata:
“Nikmat yang paling berharga selepas nikmat iman dan Islam adalah memiliki sahabat yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya maka peganglah ia bersungguh-sungguh”.
Indah sungguh kalam ini. Subhanallah. Semoga saya dan kita akan memegang kasih sayang dan manisnya dalam berukhuwwah kerana Allah s.w.t. sesungguhnya apa-apa perkara yang hanya penghujungnya bermatlamatkan redha Allah, mudah-mudahan terasa indah perjalanannya. Hanya sekadar ini coretan untuk waktu ini. insyaAllah bertemu di lembaran lain. Jazakumullah..
Wallahu a’lam
Tuesday, March 30, 2010
Semua Boleh Dicuri Kecuali...
“Semua perkara boleh dicuri melainkan cinta”
Itulah muqaddimah ustaz Fawwaz dalam usrah rasa hati di IKIM. Terasa rugi kerana itu adalah episod terakhir. Simboliknya kerana usrah ini ke udara dan mudah-mudahan ramai yang dapat mengambil manfaatnya. Hanya beberapa kali sahaja saya sempat mendengar. Dikeranakan terkadang mengejar waktu petang membuat itu dan ini. Terkadang terlena kepenatan. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan menadah telinga dan mengutip mutiara-mutiara ilmu yang bertaburan.
Saya tersenyum mendengar semangat suara anak arwah ustaz Fadzil Noor, juga adik kepada pensyarah saya, Ustaz Ammar. Lenggok suara seperti ustaz Ammar juga.
Menurut ustaz Fawwaz harta, isteri, suami boleh dicuri. Tapi cinta tak boleh dicuri. Kerana itu ia merupakan sesuatu yang amat berharga, yang boleh membentuk peribadi kita, membentuk masyarakat yang kasih antara satu sama lain. Dan sebab itulah kita kena pupuk rasa cinta sejak dari kanak-kanak lagi. Ajar anak-anak rasa cinta. Bukan cinta yang dusta, tapi cinta yang hakiki. Cinta yang membawa kepada erti rasa bertuhan.
Cinta Dalam Islam
Dalam islam cinta adalah sesuatu yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ia menghidupkan benda yang mati. Dan ia adalah merupakan rahsia dalam kehidupan kita.
Ulamak berkata: cinta ialah cenderung pada sesuatu yang lazat dan indah.
Bila kita sukakan yang indah, kita suka untuk berlama-lamaan dengannya. Kerana fitrahnya insan begitu. Bila indahnya sesuatu yang sementara pun kita merasa gembira dan bahagia, apalagi jika rasa cinta itu kita serahkan kepada Tuhan. Merasa cinta kepada Allah yang bersifat Jamal. Allah itu Yang Maha Cantik, tiada satupun yang indah dan Cantik selain daripada Allah.
Imam Junaid berkata: Aku tidak pernah melihat sesuatu melainkan aku melihat Allah padanya.
Maknanya beliau melihat keindahan yang ada pada Allah. Allah itu bersifat Jamal (cantik dan indah). Dan cintakan Allah merupakan tahap cinta yang paling agung dan tertinggi. Rugilah andai tiada rasa cinta kepada-Nya. Matilah hati orang yang tidak merasa cinta kepada Allah. Kerana Allah itu menghidupkan dan mematikan.
Cinta Itu Menyembuhkan
Kalau kekasih cintakan kekasihnya, dia takkan menyakitinya. Takkan merosakkannya.
Dan bukti cinta Allah ialah Dia tidakkan pernah menyeksa dan mengazab dahi hamba yang sujud kepada-Nya. Kerana apa? Kerana cintanya kepada hambanya. Subhanallah. Inilah cinta suci.
Begitulah hakikatnya, seseorang jika menyayangi seseorang dia tidakkan menyakitinya. Tidak akan melukakan hatinya, sepenuh rasa menjaga tingkah dan kata. Sepenuh menjaga maruah kekasihnya.
Adakah patut orang yang mengucap kata cinta pada isteri, lalu tanpa sebab dipukul dan didera isteri tersebut. Adakah cinta itu suci apabila seorang lelaki merosakkan maruah gadis yang belum halal baginya. Adakah bukti cinta suci itu nanti lahirnya anak luar nikah yang dibuang tanpa rasa belas.
Astaghfirullahal azhim.
Dimana sifat manusia yang diberikan akal untuk menimbang mana yang baik dan mana yang buruk. Tidak keterlaluan jika dikatakan haiwan itu lebih bijak dari manusia yang tidak berperikemanusiaan jika haiwan yang tiada akal itupun boleh menyanyangi, membelai, menyusukan dan menjaga anak yang dilahirkan. Inikan pula manusia yang diberi akal namun perilaku lebih teruk dari haiwan.
Ya Allah, lindungi dan pelihara iman kami. Tuntuni nafsu kami, jangan jadikan diri kami menjadi hamba kepada nafsu. Ampuni kami ya Allah.
Cinta Yang Menyembuhkan
Sesungguhnya cinta itu menyembuhkan bukan menyakitkan. Akibat cinta yang mungkar menatijahkan sesuatu yang menyakitkan. Namun, jika paksinya redha Allah, semuanya mengikut telunjuk dan panduan-Nya. Jika cinta itu menuju kepada cintakan Allah, tenanglah hati dengan rasa redha. Redha pada ketentuannya walaupun terkadang ia bertentangan apa yang sebenarnya dimahukan dan diharapkan.
Allah s.w.t menyeru jiwa-jiwa yang tenang, “kembalilah kepada Tuhanmu, dalam keadaan kamu redha kepada Allah dan Allah redha kepadamu” (surah al-Balad: ayat 28)
Bermakna, jika seseorang mahu kembali kepada Allah dengan jiwa yang tenang dia perlu merasa redha dengan semua takdir dan ketentuan yang Allah berikan padanya. Dan dengan itu, maka Allah juga akan redha kepadanya.
Semoga kita menjadi orang yang redha kepada takdir Allah dan menjadi orang yang Allah redhai insyaAllah. Terpupuk rasa cinta suci bila semuanya kerana Allah ~Pemilik cinta yang hakiki.
Wallahu a’lam
almisk
Friday, February 26, 2010
Ya Rasulallah Ya Habiballah..
Lahirmu dinanti semesta
Peribadimu disenangi sentiasa
Sinar wajahmu menghilang kusam di jiwa
Lembut akhlakmu memikat seisi dunia
Wahai Rasulullah
Tak terucap rasa rindu ini
Terasa tutur bicaramu seakan menyinggahi kami
Kau menyingkap tabir cinta hakiki
Kau mengajar kami erti cinta abadi
Kau mendidik kami tentang ukhuwwah sejati
Kau memimpin kami menuju yang abadi
Masih terkenang di akhir sirahmu
Tika menahan perit maut menjemput
Kau lahirkan rindu, kasih dan kebimbanganmu
Pada nasib ummatmu
Menitis airmata tatkala mengingat
Kau masih mampu melakar kalimah
Ummati.. Ummati..Ummati
Kini kau telah tiada
Terasa suram rasanya jiwa
Seakan hilang cahaya purnama
Dan malam kembali gelita
Dan kini sesungguhnya
Ingin kami meneguh cita-cita
Dan mencerap cinta kedua
Setelah menyulam cinta pada Pencipta
Kerna hati menyimpan sepenuh harap
Moga diizinkan bertemumu ya Rasulallah
Nukilan: al-misk uiam
Sempena memperingati hari kelahiran Kekasih Tercinta (Baginda Sallallahu a'laihi wa sallam), penuhilah hari-hari dengan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Sallallahu alaihi wa sallam, yang sungguh lahir dari hati sepenuh kerinduan..
Friday, February 19, 2010
RINDU
"Kenapa Allah bagi kita rasa rindu? "~
soalan oleh seorang adik yang saya kasihi kerana Allah..
Saya tak dapat menjawabnya kerana jawapan yang termudah untuk diluncurkan adalah kerana ia fitrah. Fitrah itu lahir tanpa dipaksa, HADIAH dari Allah s.w.t. tanda kasih-Nya. Tanda sayang-Nya. Kasih-sayang-Nya yang tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Kita tidak boleh samakan kasih-sayang Allah kepada kita sepertimana kasih-sayang kita kepada insan-insan yang kita sayangi.
Berbetulan, saya melayari sebuah blog milik zaujah ustaz Zaharuddin tentang ‘Di sebaliK kerinduan’. Saya merangkap dan membaca, lalu melagukan di dalam hati sendiri bait-bait lirik nasyid hijjaz . ia cukup menggenangkan kolam mata. Setitik jernih air bertakung. Sebak entah kenapa. Terima ksih kepada yang mula mengajukan sebuah pertanyaan tentang rindu, semoga Allah mengurniakan kita dengan rindu-rindu yang dipandu-Nya menuju redha Ilahi.. insyaAllah
Saya nukilkan kembali lirik-lirik tersebut agar berbuah kembali rindu hakiki ini..
RINDU
MUNSYID: HIJJAZ
Rindu itu adalah anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani punyai rasa rindu
Rindu pada kedamaian , rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan
Orang-orang bertaqwa rindu akan kebenaran
Kejujuran dan keikhlasan keredhaan Tuhannya
Orang mukmin merindukan anak-anak yang soleh
Isteri-isteri yang Solehah keluarga bahagia
Para pencinta kebenaran rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya kalimah di muka bumi
Dan dalam merindukan keampunan Tuhannya
Dan seluruh umat itu merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu kepada Tuhan..
al-misk
uiam