Pages

Thursday, December 3, 2009

Akan Kurindu Suatu Hari Nanti...

Seketika membaca tulisan seorang ukhti di Jordan, terharu hati apabila mengetahui beliau merindui 3orang pensyarah uia. Dan 2 daripada mereka pernah mengajar saya. Tiba-tiba, tangan ini ingin sekali membingkiskan sesuatu tentang beberapa orang pendidik di semester lalu.


* * *

Prof Dr Abul laith
Di kelas beliau, amat pelik jika ada pelajar yang mengantuk. Saya tidak pernah terfikir mahu ponteng kelas beliau. Sedari mula sessi pelajaran sehingga tamat waktu belajar, ada sahaja yang pecah perut dengan telatah Dr Abul Laith. Beliau terkenal sebagai seorang yang pakar dalam bidang hadith, berasal dari India, pernah melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah dan Universiti Ummul Qura.

Di kelas al-I’jaz fi as-sunnah, saya memilih duduk di kerusi kedua di bahagian hadapan. Pernah suatu hari kami ditanya satu soalan, diri sendiri sudah tidak ingat apa soalannya, yang pasti berkenaan maksud sebuah hadith. Soalan itu tertuju buat saya juga. Sungguh saya tidak tahu menjawab. Teman-teman yang sudah biasa dengan saya pasti tahu apa yang saya lakukan. Apalagi, Dr Abul laith mula berbicara:

“ Wallahi ibtisamuki halawah.. walakin uridul ajwibah” (Wallahi, senyuman kamu manis, tetapi saya mahukan jawapan).

Aduh.. Malunya saya. seisi kelas ketawa. Mengapa saya tidak katakan sahaja “La Adri”... Habis cerita kan...

Namun hanya senyum yang mampu saya berikan, bukan sengaja untuk mengada-ngada tetapi itu kebiasaan saya atau orang kata ‘tabiat’. Allahu Akbar, saya tidak tahu mahu kata apa ketika itu. Alhamdulillah, saya tahu Ustaz memang suka bergurau dengan semua pelajarnya. Boleh dikatakan semua pernah terkena. Jadi saya tidak pernah menyimpan apa-apa yang burukpun sehingga sekarang. Sungguh banyak yang saya belajar dari beliau sehingga saya menanam minat untuk meneruskan pengajian dalam bidang hadith, insyaAllah jika diizinkan Allah swt..


Bunga 1


Dr Saad Addin Mansore
Mengajar kami madah mabadi’ at ta’amul ma’a as-sunnah, beliau amat sinonim dengan Dr Moghtaba. Mereka berdua berasal dari Sudan. Kedua-duanya memiliki peribadi yang lembut hati. Jika orang selalu memandang orang dari afrika atau Sudan dengan pandangan yang buruk, namun bagi saya mereka berdua tidak termasuk di kalangan itu. Mereka berdua sangat baik, MasyaAllah. Selalu memberi nasihat dan mau’izhoh yang sangat terkesan. Suatu kelas bersama Dr Moghtaba,

“ Masmuki”

“ Wardah”

“ Wardah jazairiyyah??”

Saya ternganga sendiri. ‘Siapa pula la wardah jazairiyyah ni?’ Dr Moghtaba pernah menyebut nama itu seusai memberitahu nama saya.

“ Hal ta’rifin man hiya wardah jazairiyyah?” Beliau menyambung.

“ La”..saya terpinga-pinga sendiri.

“ Hiya ahadul mughanniyat fi jaziratil arab”

Ish..ish.. Rupanya seorang penyanyi di tanah arab. Jika dia menyanyi, mungkin ada yang boleh tertidur, kalau saya... entahlah. Tak perlu jawablah ye.


Dan tiba di kelas Dr Saad juga saya diusul dengan panggilan begitu.

“ Wardah Jazairiyyah??”

“ Anti laisat wardah jazairiyyah... wardah maliziyyah”, ustaz menyoal dan ustaz juga yang menjawab sendiri.

“ Naam”... sambil tersenyum saya mengangguk. Sudah mengagak soalan dan jawapan itu. Seisi kelas mungkin tidak faham, tetapi saya faham maksud ustaz. Itu antara kenangan yang saya ingat.

Sungguh saya tidak pernah melihat beliau marah. Jika ada pelajar yang datang lewat, dia hanya bertanyakan soalan secara kebetulan. Beliau tidak pernah memalukan atau mengherdik pelajar yang lewat. Yang lain ketawa apabila pelajar yang baru masuk tadi ditanya soalan secara spontan. Ustaz memang begitu, bergurau menghilangkan ngantuk kami di petang hari. Apapun, saya juga menyenangi beliau. Seorang yang tasamuh dengan kami. InsyaAllah bertemu lagi dalam madah Jarah wa ta’dil semester hadapan. Biiznillah.

Bunga 2

Dr Radwan Jamal
Saya mengikuti kelas Qira’at dua semester yang lalu dan semester yang lepas pula madah i’jaz al-Quran bersama beliau. Kelas beliau biasa sekali dimulakan dengan doa. Doa yang dinanti-nanti juga oleh saya kerana dibaca sendiri oleh beliau.

Berasal dari Palestin dan amat suka berbahasa melayu. Jika ada perkataan baru beliau akan tuliskan dan bertanyakan kami bagaimana sebutannya. Beliau tidak pernah malu untuk belajar bahasa melayu dengan kami walaupun kadang-kadang sebutannya agak tersasar. Dia tidak memarahi kami jika ada di kalangan kami yang ketawa.

Beliau antara pensyarah yang teramat menitikberatkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Tidak jemu beliau mengingatkan kami. Apabila beliau menyebut nama Baginda s.a.w lalu sekiranya seisi kelas senyap sepi, beliau akan katakan,

“ Quulu Sallallahu ‘alaihi wa sallam..."

Beliau menyuruh kami berselawat dengan sungguh-sungguh lahir dari hati. Katanya, jika Allah dan para malaikat berselawat ke atas nabi, maka mengapa kita mahu jadi orang yang kedekut.

Sungguh, beliau tidak pernah jemu. Tidak hairan jika kebanyakan murid yang pernah belajar bersama beliau akan secara spontan berselawt ke atas nabi seusai mendengar nama Baginda s.a.w disebut. Semoga Allah membalas jasa beliau.

Nasihat beliau sangat menusuk hati dan saya pernah menyembunyikan airmata saya kerana nasihat beliau yang meruntun jiwa sendiri. Saya akan rindukan nasihat beliau insyaAllah sampai bila-bila. Antara wasiat yang pernah beliau berikan buat kami adalah,

“ Jika kamu dahulukan untuk berbuat kebaikan dari kejahatan, sesungguhnya Allah akan berikan kamu sesuatu yang lebih baik lagi”.

InsyaAllah saya akan ingat wasiat ini wahai Ustazil Karim.


Bunga 3

Dr Sayyed Sikandar
Saya mengambil minor fiqh dan usul fiqh, oleh itu saya berkesempatan belajar dengan pensyarah dari Qism Fiqh wa usul al-Fiqh. Beliau berasal dari Afghanistan,
Pertama kali memasuki kelas beliau memang agak kurang faham kerana bahasa arab beliau yang sedikit unik. Teman-teman ada yang bertanya “Faham ke belajar dengan ustaz?”. Alhamdulillah, setelah beberapa kali pertemuan, saya cuba menghadam lenggok bahasa arab beliau.

Beliau seorang yang cepat ketawa, tidak pernah juga dilihat memarahi pelajar. Dua kali saya memilih kelas beliau disebabkan kelas pensyarah lain sudah penuh. Beliau menjadi guru saya dalam madah Mabahith hukm dan Fiqh al-Jinayat. Tidak sangka beliau masih mengenali lagi dengan pelajar yang seorang ini. Alhamdulillah.

Apapun, beliau seorang yang tegas dan boleh bertoleransi. Apabila kami terpaksa mengganti beberapa kelas yang ditangguh, beliau bertanyakan pendapat kami. Kami sepakat untuk mengadakan kelas ganti pada malam selasa. Nampak sedikit berat untuk beliau kerana beliau katakan hari selasa beliau amat sibuk dengan kelas, tetapi beliau katakan “ Tidak mengapalah sebab semua sudah setuju”, beliaupun terpaksa menghilangkan seketika rasa penat demi untuk mengajar kami malam tersebut. Subhanallah, semoga Allah membalas jasa beliau.

Bunga 4

Dr Iman
Nama sebenar beliau Dr Anke Sandra Bouzenita. Berasal dari Jerman. Bukan berbangsa arab, tetapi masyaAllah bahasa arab beliau amat fasih. Pertama kali bertemu beliau, terpikat sungguh hati. Subhanallah, halawah sungguh senyumannya. Tampak kasih sayang seorang ibu. Lembut dan tersenyum selalu. Beliau mengajar kami madah adillat ahkam 2, satu lagi madah dari minor yang perlu diambil. Kelas yang berbetulan sedikit juga pelajarnya, beliau amat disenangi kerana sikapnya yang pemurah dalam.....em, biar kami sahaja yang simpan ye..

Allahu akbar, walaupun saya kerap mengantuk di dalam kelas (sungguh-sungguh) , beliau tidak pula menegur saya atau memalukan saya. Bukan beliau tidak perasan, kerana saya duduk betul-betul bertentangan dengan beliau. Cuma agak jauh kerana berselang dengan sebarisan kerusi yang sengaja dikosongkan. Kadang-kadang terasa bersalah di hadapan beliau, tentu beliau terasa hati dengan muridnya yang mengantuk ini. Selalu sahabat saya tersenyum kepada saya bila saya menoleh ke arahnya. Katanya

merah betul mata wardah. Saya tersengih sahaja.

Saya sedar semua itu, tetapi keadaan di luar kawalan, siapa yang boleh tahan dengan keadaan mengantuk. Hanya mampu mengawal sedaya sahaja. Alhamdulillah dapat juga memahami apa yang cuba beliau sampaikan. Mengantuk bukan kerana apa. Disebabkan kelas yang bermula jam 5 petang sehingga 6.20, kadang-kadang jika terpaksa mengganti kelas, sehingga jam 6.40 petang kami bertapa kesejukan di dalam kelas. Sungguh kami sayangkan beliau. Jarang kami ada pensyarah wanita di UIA ini. Semoga Allah merahmati beliau.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sebenarnya....
Ingin sekali saya coretkan bingkisan mengenai semua pensyarah-pensyarah saya, tetapi hanya ini dahulu bingkisan tentang mereka yang baru selesai mengajar saya semester lalu. Dan saya amat sekali menagih mutiara ilmu mereka. Mohon doa dari anda yang mengenali saya untuk memintal harapan agar saya dapat menyambung pengajian setelah tamat di alam ‘degree’ ini dan suatu hari nanti mengimpikan untuk menyumbang sedikit ilmu kepada anak-anak didik sepertimana pensyarah-pensyarah saya. Amin amin Ya Allah..

al-misk UIAM

5 comments:

  1. insAllah.. nnt wardah pula yg menggantikan mereka.. ameen ya Rabb

    madah yg wardah sebut tu.. jarah wa ta'dil ke.. klu ye.. mgkin wardah tertekan salah huruf :D

    sorg lg lecturer Qur'an yg wardah tak jumpa.. Dr Yasir Ismail Radhi.. dia skrg di saudi menyelesaikan researchnya.. lecturer yg pling terkesan buat akk dlm muhadorohnya..

    ReplyDelete
  2. Ameen ya Allah..Syukran kak:)

    Oh ye.. nanti saya betulkan balik insyaAllah.. dah malam masih mahu menekan komputer, begitulah jadinya. hehe

    Dr Yasir berkesempatan jumpa dahulu, tapi tak smpat ambil madah dengannya. Sahabat2 yang pernah ambil dengannya pun kata begitu. Teringin sekali berjumpa dengan Dr Yasir... sampai sekrang masih disebut2.. Subhanallah.

    Saudi di Universiti mana kak?

    ReplyDelete
  3. lecturer uia semuanya hebat2!

    kat engin ada seorg lecturer yg stat kelas dgn bacaan ma'tsurat kat depan... Dr Farouq Gad, org Jerman. tp, skrg dah xde...

    ReplyDelete
  4. MasyaAllah..
    Semoga Allah merahmati pensyarah2 kita..Ameen

    ReplyDelete