Pages

Friday, June 20, 2014

...






Saat ini

Aku Hanya Mampu Menangis
Menangis di saat orang lain bahagia
Mungkinkah aku akan bahagia hanya dengan menangis?

Ya Allah
Kenapa terlalu sakit rasa ini
Kenapa ingatan masa lalu tidak mudah hilang dari ingatan

Ya Allah....
Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dan kesabaran

Astaghfirullah min kulli zanbin aznabtu :'(

Sunday, June 15, 2014

Tentang Rezeki

Gaji RM900.

Inilah gaji yang saya terima setiap bulan sepanjang berkhidmat di sekolah menengah agama swasta, juga merangkap sekolah lama saya yang sangat saya cinta.

Saya cintakan sekolah ini bukan kerana ia sekolah yang serba lengkap, apatah lagi serba mewah. Namun nilai ilmu dan didikan yang saya perolehi dari sekolah ini benar-benar membuat saya terkesan sehingga kini. Sekolah yang tiada banyak kemudahan seperti SMKA atau sekolah berasrama penuh yang lain, namun ia masih tetap menjadi pilihan yang sangat dekat di hati saya.

Apabila orang bertanya, berapa gaji? Saya beritahu RM900. Ada yang terkejut. Tapi entah kenapa, sungguh saya tidak kisah, malah ketika penolong kanan yang sudi ambil saya sebagai guru di sekolah tersebut memberitahu soal gaji, saya tidak terlalu kisah. Mungkin kerana saya niatkan untuk cari pengalaman dan mengisi masa-masa sebelum menyambung pengajian semula. Apatah lagi saya niatkan untuk menemani emak saya di kampung yang tinggal sendirian setelah ayah meninggal dunia dua tahun lalu.

Percaya atau tidak, alhamdulillah tidak pernah tidak cukup. Mungkin kerana Allah rezekikan pergi ke sekolah ditumpangkan seorang ustazah, pulangpun menaiki bas. Tiada tol, tiada minyak, tiada duit sewa rumah yang perlu saya bayar. Rezeki itu dibahagi pada ibu juga, kerana saya tahu ada hak orang lain di dalam gaji yang kita perolehi.

Apabila saya membaca sebuah artikel dari seseorang soal rezeki, dari pendapata 2800 bertukar ke 800, dari kereta Mazda bertukar kepada kancil 1996. Namun nilai cukup tidak ada pada banyaknya gaji atau pendapatan seseorang, namun ia soal rezeki dan keberkatan.

Anda tahu, setiap yang kita berikan kerana Allah, maka Allah janji akan lipat gandakan apa yang kita beri. Nilai tambahan itu tidak semestinya dalam bentuk wang, mungkin sahaja datang dalam bentuk dipermudahkan urusan, dilapangkan hati, malah merasa cukup sahaja walaupun pndapatan itu sedikit.

Saya teringat ketika saya diuji dengan peristiwa tidak dapat menyambung pengajian ke Jordan atas sebab-sebab tertentu, dan saya harus menjalani beberapa ujian kesihatan, wang saya kebanyakannya sudah habis untuk buat urusan ke Jordan, dari terjemahan sijil, IELTS, pasport, medical checkup dan banyak lagi hal yang sangat dirasai dari segi material, apatah lagi tidak dapat di 'claim', ketika inilah Allah datangkan keyakinan soal rezeki.

Alhamdulillah Allah beri rezeki melalui bantuan seseornag untuk bayarkan sebahagian yuran untuk ujian kesihatan di KPJ. Dan dalam masa beberapa bulan setelah itu, saya perlu menjalani pengajian PHD, sedangkan ada keperluan universiti yang menyebabkan permohonan biasiswa saya ditahan sementara, saya hanya bertawakkal pada Allah. Dengan wang yang ada (mungkin survive untuk dua bulan), saya hanya doa dan yakin ada rezeki dari Allah.

Anda tahu apa yang jadi? Benar, barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan berikan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.

Sehari sebelum masuk tahun baru, saya berusaha menghabiskan kerja-kerja sekolah yang belum siap, kerana saya akan berhenti dari menjadi guru lalu dan fokus pada pengajian. Dalam perjalanan keluar sekolah, Penolong Kanan yang sedang menguruskan sesuatu di jambatan sekolah menahan kereta yang saya pandu dan memanggil nama saya.
"Nanti Minggu depan datang sekolah ya, saya nak bagi elaun sikit."

Allahu Rabbi. Saya datang bertemu kak Ina selaku kerani sekolah kerana diarahkan untuk berjumpanya. Kak Ina minta saya tandatangan di atas kertas penerimaan elaun tertunggak. Saya tandatangan dan lihat cek yang diberi,

Allah. 3K. Saya terkejut.

Kak Ina senyum. "Saya cuma diarahkan je"

Cikgu Syikin antara guru yang banyak bantu saya untuk memohon kerja di sekolah itu justeru senyum sambil berkata "Rezeki agaknya nak masuk universiti"

Dalam hati sangat banyak syukur. Tidak tahu kenapa, walaupun banyak kali hati ini mempersoalkan ujian yang datang silih berganti, Allah masih mahu beri apa yang kita hajatkan.

Pada saya, setiap kesusahan itu, Allah telah sediakan kemudahan. Hanya Allah akan beri pada masanya. Dan barangsiapa yang yakin dengan rezeki Allah, usaha dan bertawakkal, insyaAllah nanti Allah pasti akan rezekikan sesuatu buat kita.

Banyak yang saya tidak ceritakan, tetapi saya yakin orang lain juga banyak melalui apa yang saya lalui. Maka, kita syukur pada apa yang Allah beri. Sikit atau banyak, ia pasti mencukupi.

Rezeki kita tidak akan diambil orang lain. Kerana Allah sudah bahagi-bahagikannya untuk kita semua.
Hanya kita wajib berusaha, kerana usaha itu syarat untuk kita dapat sesuatu. Biiznllah

Wednesday, June 11, 2014

Sekadar Picisan

Alhamdulillah, dua semester berlalu. Dan hati harus kuat menempuh hari-hari mendatang. Terlalu banyak ujian dan cabaran beberapa tahun kebelakangan ini, hingga kadangkala diri sendiri jatuh tersungkur tidak mampu berbuat apa melainkan harus tunduk sujud meminta pada Allah agar diringankan beban hati yang sarat dengan rasa tidak tenang.

Diuji dengan manusia, diuji dengan sakit yang tersembunyi, diuji dengan perasaan.. Sesungguhnya hidup ini menyedarkan saya bahawa ujian itu adalah cara Allah menegur kita, cara Allah mempamerkan kasih dan sayangnya.

Saya tahu saya sedang melewati hari-hari yang berdepan dengan risiko 'sakit', seorang kakak pesan, "Wardah kena selalu positif. Cakap pada diri, 'aku sihat'.."

Sesungguhnya saya akui saya tidaklah sekuat yang orang keliling sangka. Saya juga tidak setabah yang orang lain jangka. Saya hanya manusia. Kadangkala percaya ini rapuh, keyakinan pada janji Allah meluntur.

Kala impian saya untuk menyambung pengajian ke Jordan tertahan kerana 'sakit', saya tidak mampu apa-apa melainkan menangis dan menangis. Paling saya tidak mahu, adalah membuat ibu saya sedih. Cukuplah saya sudah terlalu banyak menyusahkan hatinya, saya tidak mahu membebaninya lagi. Tapi, apalah daya. ibu tetap ibu. Ibu akhirnya pasti tahu, dan doanyalah yang mengiringi saya untuk kuat melangkah ke hadapan.

Walaupun sakit ini tidak sakit, adakala kerisauan masih datang. Namun, saya percaya ramai yang diuji dengan sesuatu yang lebih berat lagi daripada saya. Malah jika dibandingkan, apa yang saya alami ini hanyalah picisan sahaja dari sekian banyak penderitaan hamba Allah yang lain.

Pesan Ustaz, "Allah pilih kamu. Bukan orang lain."

Dan saya akan pegang kata-kata itu dalam-dalam.

Saya tidak salahkan takdir, dan akan menganggap ini semua kifarah atas dosa-dosa saya yang sangat banyak, yang Allah sembunyikan dari pengetahuan sesiapa.

Pada yang diuji dengan kesakitan, usah takut dengan kematian. Usah terlalu risau dengan kesakitan. Beruntunglah Allah datangkan sakit untuk mengingatkan kita tentang kematian. Kematian yang tidak kenal manusia sihat ataupun sakit.

Semoga Allah ampunkan kita semua.