Pages

Sunday, September 15, 2013

Langkah ke PhD: Ujian Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Allah masih beri nikmat sihat untuk hari ini. Esok lusa sungguh tidak tahu apa yang akan berlaku. Namun sebagai manusia, kita harus berjalan dan berusaha untuk hidup hari ini, semalam kita biarkan dan esok jangan terlalu dirisaukan.

Ujian.
Itu tidak pernah berhenti. Seperti manusia lain, saya juga diuji oleh Allah dengan ujian yang datang silih berganti. Harapan demi harapan yang Allah datangkan, namun tidak kesampaian.

Sesungguhnya hanya hati yang merasa tahu bagaimana beratnya untuk duduk dalam situasi ini. Saya tidak menganggap ujian ini menunjukkan saya kuat imannya, walaupun memang benar semakin seorang itu baik dan kuat imannya, semakin kuat dia akan diuji. Namun, saya tidak layak untuk termasuk di golongan itu, apatah lagi dalam golongan manusia yang sangat solehah. Saya merasakan ujian ini adalah sebagai penghapus dosa-dosa lalu yang menggunung.

Tak mampu bercerita banyak.
Semua berkaitan dengan umur, saya sudah tidak pedulikan tentang soal remeh temeh yang lain. Hendak bercakap lebih pun saya tidak ada rasa.

Moga Allah beri kekuatan kepada saya dan manusia-manusia yang sedang diuji dengan kesakitan, kedukaan dan kekecewaan. Hanya sangka baik dengan Allah sahaja cara terbaik mengubat hati.

PHD

Perjalanan untuk ke luar negara tidak menampakkan jalan-Nya. Semuanya telah Allah tentukan walaupun diri telah berusaha dengan sedaya upaya. Semua ini mengajar diri ini mengerti bahawa kita sebagai manusia hanya mampu merancang kerana Allah beri kita kuasa mentadbir sahaja, bukan mentakdir.

Sedih, terkejut, dukacita, penat, lelah dan bermacam-macam lagi perasaan singgah. Tidak mampu bercakap dengan semua orang. Hari-hari awal menerima berita yang mengejutkan itu, hanya airmata mengalir. Tidak tahu airmata itu mengalir kerana apa, kerana semuanya datang dalam sekelip mata.

Syukur Allah datangkan manusia-manusia yang sudi menguatkan hati ini. Hanya doa yang saya harapkan, tidak lain. Tidak cinta, tidak duit, tidak kasihan. Tetapi saya hajatkan doa.

Jikalah umur saya tidak panjang sekalipun, moga Allah beri kesempatan untuk berbakti kepada ibu yang sudah berumur.

Semua ini buat saya mengerti bahawa tiada apa yang abadi di dunia ini, semuanya pinjaman. Dan kesihatan juga pinjaman. Moga Allah redha pada apa yang dipinjamkan ini.

Sementara masih ada baki-baki usia ini, usaha dan perancangan serta tanggungjawab perlu diteruskan. Ada tanggungjawab yang belum diselesaikan di USIM. Maka atas saranan dekan, saya akan meneruskan pengajian Phd di USIM dalam masa terdekat atas keizinan Allah.

Semuanya berlaku dalam sekelip mata. InsyaAllah semua yang Allah tentukan itu baik untuk kita. Kerana tiada yang Allah tentukan melainkan ada hikmah di dalamnya.

Moga Allah jadikan hati kita redha atas setiap sesuatu. Ameen