Pages

Tuesday, July 31, 2012

Kenangan

Sedang menunggu kuih masak untuk berbuka, saya duduk di kerusi meja makan. Emak juga duduk di kerusi kecil. Entah petang selasa ini hati saya dirundung rindu. Rindu pada susuk tubuh seorang lelaki yang bernama ayah.

Allahu Allah.. Emak kata:
"Teringat-ingat arwah sebelum-sebelum ini. Beli makanan kesukaan kamu dengan zaidi. Murtabak sebulan itu sebulanlah dia belikan".

Sungguh airmata saya bergenang. Itulah almarhum ayah tika masih hidup dahulu. Tidak tersangka tahun ini hanya berpuasa berdua dengan emak. Jika saya tiada, hari-hari biasa emak hanya berbuka sendiri. Kasihan emak. Sunyi. Jika saya rindu pada almarhum ayah, emak sudah tentu lebih rindu.

Walaupun gaduh, tersalah kata, tersalah faham... Tetapi begitulah suami isteri. Hidup sebagai suami isteri yang perlu banyak bersabar terhadap pasangan. Perlu banyak meminta maaf dan memberi maaf.

Sebagai anak bongsu, saya membesar di rumah ini sendiri tika kakak dan abang-abang sudah berhijrah ke bandar dan negeri lain. Melihat hari-hari kehidupan almarhum ayah dan emak. Hidup tidak mewah, tetapi almarhum ayah seorang yang sangat bertanggungjawab.

Walau pergi kerja hanya berbasikal, alhamdulillah rezeki cukup. Tiap hari selasa pasti akan ke pasar untuk beli buah, kuih-kuih dan apa-apa sahaja. Sebab itu bila hari ini datang, hati ini sebak. Terbayang-bayang susuk tubuh itu pulang dari pasar di petang hari dengan 'jajan-jajan' yang diletak atas meja makan.

"Mudah-mudahan Allah membalas dengan pahala kepadanya disebabkan dia menyediakan makanan untuk berbuka sebelum-sebelum ini". Emak berkata, saya lihat seperti hendak berkaca-kaca mata emak. Saya tidak tahu hendak berkata apa, hanya diam dan senyum. Di dalam hati saya mengaminkan.

Hanya kini yang tinggal banyak kenangan. Sungguh benarlah apabila sesuatu itu telah pergi, pasti kita akan sangat teringat padanya, teringat kebaikan-kebaikannya.

Satu yang terlalu membekas di jiwa saya adalah tentang putaran hidup kita sebagai hamba.
Dari sendiri kepada berpasangan
Dari berpasangan kepada sendiri

Dan selama mana kita tidak mahukan perpisahan dengan orang yang kita sayang terjadi, ia pasti akan terjadi kerana yang kekal itu hanyalah milik Allah. Hanya Dia yang kekal.

Untuk almarhum ayah, insyaAllah doa untukmu akan selalu ku titipkan. Buat emak juga. Moga kesejahteraan buat kalian di dunia dan akhirat. Allahumma ameen.

:: Jiwa ini, kuatkanlah ya Allah...

Monday, July 30, 2012

Kamu yang Bernama Sahabat

Terima kasih
Sudah menjadi sahabat saya bertahun-tahun
Kamu yang bernama sahabat
Selalu menguatkan saya
Selalu menemankan saya
Tika saya sedih
Kamu minta saya sabar
Kamu menjadi pendengar saya
Dan kamu selalu sabar melihat airmata saya
Yang kadang-kadang tak mampu untuk tertahan

Kamu yang bernama sahabat
Saya tahu semakin hari kita semakin dewasa
Kamu ada fitrah
Dan kamu tentu akan disunting lelaki soleh
Suatu masa nanti
Pasti dan insyaAllah
Saya hanya mampu berdoa
Moga kamu bahagia
Dan sabar menempuh bahtera hidup rumahtangga

Kamu yang bernama sahabat
Jika belum menjadi isteri
Kamu selalu menjadi pendengar saya
Kita ke mana-mana bersama
Namun bila kamu sudah menjadi isteri
Keutamaanmu adalah suamimu

Mendengar pernikahanmu
Adalah saat membuat jiwa ini hiba
Juga terharu
Kerana kamu sudah bertemu pelengkap hidupmu
Orang yang akan menjaga kamu
Dengan sepenuh amanah
Aku menangis mengingatmu
Bukan kerana cemburu
Apatah lagi iri
Tetapi hanya menumpang bahagia
Melihat kamu bahagia

Kamu yang bernama sahabat
Tika ini saya masih sendiri
Masih terus berdoa dikurnia kekuatan
Untuk melewati ujian kehiudpan
Jalan kita tentunya tidak sama
Tetapi kita sama-sama menuju kepada Yang Satu
Jangan lupa doakan saya sahabat
Saya masih mencari pelengkap hidup saya
Jika Allah izinkan
Tetapi jika takdir hidup saya
Perlu melalui jalan sendiri
Doakan saya kuat menjaga diri
Juga kesucian diri
Dan mudah-mudahan
Saya akan bertemu dengannya di syurga nanti
Tempat yang kita semua impikan dan idamkan

Aminkan doa saya ya sahabat
Saya mahu berjiran dengan kamu di syurga nanti
Mudah2an Allah perkenankan

Ameen Ya Rabb

Cinta-Mu Tak Pernah Surut

Cemburu
Dengan hati-hati yang baik
Muslimah yang teguh menjaga diri
Mukminah yang tabah bila diuji

Cemburu dengan mereka
Kerana mereka itu dekat dengan Allah
Mereka cinta kepada Allah
Pencipta segala cinta

Sedang diri ini
Kadang-kadang datang rasa yang sama
Rasa begitu kotor diri
Sangat jauh dibanding mereka-mereka
Yang baik-baik dan solehah
Yang suci dirinya
Yang menjaga dirinya

Sesungguhnya
Hanya hati yang pernah merasai
Gelapnya jahiliyyah ini
Tahu betapa rasa hinanya diri
Di hadapan Ilahi
Betapa hidup ini
Telah dibazirkan dengan perkara sia-sia
Bertahun-tahun lamanya

Ya Allah
Aku tahu Engkau Maha Pengampun
Kasih-sayang-Mu tak pernah luntur
Cinta-Mu tak pernah surut
Rahmat-Mu selalu basah
Dalam jiwa yang mahu kembali pada-Mu
Tetapi bayang-bayang dosa itu selalu menyelimut ingatan ini
Membuat diri ini merasa
Tidak layak menghuni syurga-Mu
Tidak layak meminta teman hidup yang baik
Kerana aku
Adalah aku yang hina
Di depan-Mu

Ya Allah
Tika ini aku tidak meminta dia
Tetapi aku meminta yang lebih baik dari-Mu
Untuk itu
Kuatkanlah hati ini
Dan sulamkan dengan sangkaan baik
Untukku meyakini rahmat-Mu
Lebih luas dari dosa yang pernah kulakukan

Ya Ilahi
Bersihkan diri ini
Sucikan jiwa ini
Tanggalkan karat-karat dosa hati
Dan buangkan ia sejauh-jauhnya
Sejauh ufuk timur dan barat
Kerna jiwa ini terlalu terseksa
Bila ia jauh dari-Mu

Ya Allah
Ampuniku
Ampuniku
Jadikan aku redha dengan yang telah pergi
Gantikan dengan yang lebih baik lagi
Yang lebih menambah cintaku pada agama-Mu

Allahumma ameen ya Rabb

Monday, July 23, 2012

Puisi: Tak Mengapa Hati




Tak mengapa hati
Jika kamu dilukai
Ubatlah dengan janji ilahi
Bacalah kalam ilahi
Pasti kamu akan kembali meyakini
Kesakitan ini hanya kerana kau mampu diuji

Tak mengapa hati
Yang pergi itu biarkan pergi
Yang jauh itu biarkan jauh
Kerana itu membuat kamu semakin dekat
Dengan Pencipta-mu

Tak mengapa hati
Hidup ini bukan untuk dipenuhi
Dengan perkara yang tidak bererti
Ada lagi yang lebih berat untuk difikiri
Iaitu kehidupan di sana nanti

Tak mengapa hati
Lapangkanlah diri
Dengan memaafkan tangan-tangan yang menyentuhi
Yang kemudian membuat kamu terpaksa ditampali
Hanya untuk membalut retak diri

Tak mengapa hati
Teruslah mengharap pada Ilahi
Dia akan beri apa yang terbaik
Dan memberi harapan yang pasti…

Tak mengapa hati
Kerana aku masih tetap ingin kamu kuat
Aku masih tetap ingin kamu sabar
Untuk melewati hidup ini
Sehingga ke akhir perjalanan nanti..

~ wardah al-misk

Sunday, July 22, 2012

Ukhti ini

Terima kasih sudah membiarkan airmata ukhti ini jatuh
Untuk jiwa yang diluka
Untuk hati yang dihiris
Terima kasih
Sebab semua itu buat ukhti ini tahu
Bahawa manusia itu akan diuji dengan manusia
Supaya ukhti ini bertambah sabar
Bertambah kuat
dan bertambah tabah

Sesungguhnya mengaku diri lemah
Tidak akan beri ukhti ini apa-apa
Sebab kamu yang membuat ukhti ini bagai ikan
Setelah terkena tajam mata kailmu itu 
Lalu dilepaskan di air untuk bebas begitu sahaja 
Ya ukhti ini bebas, tetapi sakitnya bersisa

Jikalah tidak mengingatkan bahawa
Rasulullah tidak mengajar ummatnya
Mendoakan yang buruk-buruk buat saudaranya
Pastinya ukhti ini sudah lakukan itu
Tetapi ukhti ini mahu jadi hamba-Nya
Ukhti ini mahu ikut apa Rasulullah kata
Ukhti ini doakan apa yang baik untuk kamu
Dunia kamu dan akhirat kamu

Kerana ukhti ini tahu
Manusia itu tidak lepas dari melakukan silap
Tetapi belajarlah untuk tidak melakukan perkara yang sama 
Terutama sekali menoreh di tempat yang pernah kamu membuat ia terluka

Ukhti yang sedang lemah jiwa akan tinggalkan kamu dengan Allah
Biar Allah yang menguruskan kamu dan menjaga kamu

Thursday, July 19, 2012

Betapa kita ini...

Seminggu lalu ke USIM, menyelesaikan urusan lapor diri dari cuti belajar. Dan harini ke USIM lagi untuk meminta dekan mengisi borang tamat pengajian. Walaupun sebenarnya pengajian master belum selesai, disebabkan tempoh asal tajaan sehingga awal bulan 7, saya perlu melapor diri kerana tidak memohon perlanjutan.

Alhamdulillah sahabat menemani, dengan hujan lebat dia memandu. Kami sama-sama menyelesaikan urusan bersama. Untuk semua ini alhamdulillah Allah kurniakan saya sahabat yang baik, yang selalu memberi semangat dan selalu positif dalam hidup.



Usai solat maghrib,
Air mata saya mencurah-curah dengan tiba-tiba
Tidak tahu mengapa dan dari mana punca
Mungkin kerana saya merasakan bahawa 
Perkara dunia itu masih duduk di hati saya
Dan saya masih mengharap akan ia lagi
Mengapa saya ini selaku hamba-Nya
Masih menyesali apa yang luput dari saya
Apa yang hilang dari saya
Juga terkadang mencemburui sesuatu
Yang bukan lagi terikat dengan saya
Saya menangis kerana tidak tahu kenapa dengan hati saya ini
Sebulan mujahadah untuk benar-benar meninggalkan
Dan melupakan semuanya
Hati saya kembali diusik tentang hal dunia itu

Sungguh saya tidak mahu lagi hanyut dalam rasa begitu
Kerana itu terlalu membuatkan jiwa saya kacau
Menjauhkan saya dari rasa cinta pada Dia yang lebih utama
Saya mahu pergi darinya
Jauh sejauh-jauhnya
Walaupun jiwa lemah apabila berbicara soal hati
Saya tidak mahu lemah bertambah lemah
Moga Allah tidak serahkan diri ini
Kepada diri saya sendiri walaupun hanya sekelip mata



Kadang-kadang saya dan kita rasa sedih
Kerana apa yang orang lain dapat dan perolehi
adalah seperti apa yang mereka harapkan
Tetapi kita ini tidak

Ya Allah betapa tidak bersyukurnya kita ini
Dan terutamanya saya
Sekian banyak nikmat yang Allah bagi
Mengapalah kita ini tidak memandang fokus nikmat itu

Astaghfirullahal azhim

Bukan mahu menunjuk diri baik
Dengan menghujankan apa yang tersimpan di hati
Moga dijauhkan dari itu semua
Hanya berkongsi sebuah rasa
Yang saya rasa tidak baik untuk yang membaca ikuti
Iaitu merasa tidak cukup dengan apa yang Allah beri
Dan merasa orang lain Allah beri sedang kita tidak diberi

Banyak Engkau sudah beri Ya Allah
Aku sahaja tidak lihat
Dan tidak syukur
Ampuni aku
Ampuni aku....

Sungguh apa yang Engkau beri untukku adalah untukku
Sedang apa yang Engkau beri untuk orang lain adalah untuk orang lain....

.........................
Maafkanlah
Bila hati tak sempurna mencintai-Mu
Dalam dada kuharap hanya
Diri-Mu yang Bertakhta...
.....................................

Sungguh2  :'(

Wednesday, July 18, 2012

Sebuah Coretan

Jujur saya ingin meminta maaf
Meminta maaf kepada jiwa yang pernah saya kasari
Yang pernah saya sakiti
Yang pernah terasa akibat riak wajah saya

Kerana saya ini
Hanyalah wanita biasa
Yang ada kelemahan 
Yang ada kekurangan
Yang ada tabiat buruk
Yang ada karat-karat yang masih susah untuk dibuang

Saya tidak mampu memuaskan hati semua orang
Menerima kekurangan orang
Menerima pemberian orang
Menerima penolakan orang
Saya tahu semua orang ada hak
Yang membutuhkan saya untuk memenuhinya
Tetapi saya hanya manusia
Saya boleh berlagak senyum
Saya boleh berlagak ceria
Saya boleh berlagak sebagai pendengar
Tetapi keterbatasan saya sebagai manusia
Akan sampai pada satu tahap yang membuatkan saya menangis

Ya
Menangis semahu-mahunya
Kerana saya tidak mahu orang tertekan dengan aduan saya
Saya tidak mahu orang bosan dengan rungutan saya
Saya tidak mahu orang serik dengan saya
Saya mahu menjaga hati orang juga

Semakin saya cuba berbaik sangka
Semakin kuat Allah uji
Jika ia berkait dengan apa yang kita dakwahkan
Maka saya juga akan diuji dengan perkara yang sama
Jika ia berkait dengan apa yang saya tidak mahu
Maka saya akan diuji dengan apa yang saya tidak mahu
Semua itu membutuhkan saya untuk bersangka baik
Dengan manusia
Dan tentu dengan Allah lebih-lebih lagi

Tika ini saya syukur
Allah beri ujian untuk mengajar saya sabar
Untuk ingatkan saya 
Apa yang saya pernah beritahu orang
Apa yang saya tak suka
Melalui kehilangan
Kegagalan
Perpisahan
Pemergian
Kelukaan 
Kekecewaan

Allah..
Bila satu saat saya fikir semula
Duduk dan tenang
Sesungguhnya tika saya tidak punya siapa-siapa selain Allah
Sebenarnya Allah itu sudah lebih dari cukup

Ya, cukup hanya Allah
Untuk kita harapkan

Ketika ini
Tentang jodoh
Walaupun terkadang ada rasa risau
Saya serahkan kepada Allah
Kerana Dia tahu apa yang baik untuk saya

Tentang bila master saya hendak selesai
Saya serahkan kepada-Nya
Disamping tak lupa berusaha

Tentang sambung Ph.D dimana
Walau hati sangat berhajat ke bumi Jordan
Saya masih serahkan kepada-Nya
Kerana saya terlalu percaya
Allah akan beri apa yang terbaik buat saya

Untuk tulisan ini
Saya percaya bukan saya sendiri yang melaluinya...

:: Rasa mahu menangis.. Saya takut bila emosi, saya takut menyakiti, saya takut mengganggu orang, saya takut membuat orang berubah hati, saya takut macam-macam lagi.. Ya Allah, tohhir qalbi minad danas.. 



Monday, July 16, 2012

Rasa Mahu....

Tidak mahu meluah di Facebook, saya tidak suka satu dunia tahu masalah saya, apa yang saya buat dan apa yang saya sedang rasa. Di blog ini kadang2 saya menulis untuk meluahkan sahaja, kadang2 sahaja ada yang ilmiah, yang penting pembacanya terhad. Jika ada yang terbaca itu hanyalah kebetulan bagi yang suka stalker saya (^^,)~perasan je~ ataupun secara tak sengaja sampai ke sini. 


Bacalah dengan tanpa perasaan okay :)


Sekarang...
Rasa mahu balik kampung, jumpa emak, duduk diam-diam di rumah dan tidak mahu fikir tentang thesis lagi.


Saya rindu dengan yang menghuni di sini dan yang telah meninggalkan tempat ini - emak dan bapak

Ya Allah.. 
betapa saya ini lemah sangat. Terlalu cepat merungut. Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya ini. Menunggu thesis yang siap disemak oleh second reader sahaja sudah mengambil masa sebulan dan lebih jika dikira-kira dari tarikh saya hantar ke department tempohari. Saya memahami kesibukan pensyarah. Alhamdulillah Allah mudahkan. 5hb Julai, saya dapat kembali thesis saya dan bertemu dengan Dr Laith Su'ud untuk buat pembetulan.


Hari ini thesis yang sudah dibetulkan saya print semula, dan perlu untuk meneruskan proses seterusnya iaitu proofreading atau tashih lughah. Ke CERDAS kerana hajat saya mahu ia siap dalam masa 2minggu walaupun agak sedikit mahal, yang penting cepat dari Arabic Lab. Staff di sana kata booking sangatlah penuh. Dengan kecewa saya mencari juga Arabic Lab sebagai pilihan kedua. Tidak tahu di mana tempat itu, saya pun bertanya sahabat2 sehingga pusing satu Human Sciences mencari Arabic Lab. Rupanya saya sudah lalu beberapa kali, hanya tidak nampak sign bertulis 'Arabic Writing Lab'. 


Terserempak dengan Kak Badariah dan beliau yang tunjukkan tempat tersebut dan kata: "Tutup agaknya. biasa pintunya terbuka".


Saya membaca kertas yang tertampal di luar pintu. Waktu dibuka jam 11-1pm dan 2-4pm.
"Sekarang baru 11.20 tetapi tutup pula?". 


Hampa hati ini, tak fikir lain saya balik ke Mahallah dan makan sebab lapar serta penat. T_T


Kalaulah tidak kerana Firman Allah swt yang berbunyi: "فصبر جميل" (maka bersabar itu lebih indah), sudah tentu saya berhenti sahaja dan tidak mahu teruskan master ini.






Rasa hendak menangis sahaja.. 
Sama rasanya ketika saya mencari orang yang boleh tashihkan draft thesis saya beberapa bulan lalu, juga ketika menyiapkan proposal yang berkali-kali perlu dibetulkan.. Ya Allah.. Ini baru master, Phd tak tahu pula bagaimana kelak. 
Tapi perempuan memang macam itu, menangis je yang dia tahu kalau tengah datang angin nak emosi. Nak marah pun bukannya boleh ubah apa-apa pun. 


Itu cuma kata hati. Tapi hakikatnya saya tidak boleh begitu. Ada tanggungjawab dan amanah yang sedang saya pikul, untuk diri saya, untuk universiti yang menaja saya dan juga terutama sekali untuk ibuayah saya yang sedang berharap dan terus berdoa supaya pengajian saya selesai.


Ya Allah.. kurniakan aku kekuatan. Ujian ini hanya sedikit, dibandingkan sahabat-sahabat lain mungkin ada yang lebih teruk dari saya. Tetapi walaupun ujian ini seolah-olah membuatkan saya hampir putus asa, saya merasakan bahawa Allah banyak membantu saya, dan saya sepatutnya bersyukur lebih dan lebih lagi.


Alhamdulillah a'la kulli hal..


Mahu usaha lagi, ke Arabic Lab, tunggu sehingga mereka buka juga pintu untuk saya masuk ^^
Entah kenapa hari ini post saya macam..... tak tahu nak kata.


Moga Allah bantu dan permudahkan semuanya.. ameen

Cemburu: Mertua VS Menantu

Saya hairan bagaimana ada seorang menantu perempuan boleh cemburu dengan ibu mertua, iaitu ibu kandung kepada suaminya sendiri. Saya hairan dan hairan. Bukankah ibu itu tetap ibu, kasih anak kepada ibu tidak sama dengan kasih anak atau suaminya kepada isterinya/dirinya. 

Saya menggeleng kepala memikirkan betapa kita ini sebagai manusia hanya memikirkan emosi dan perasaan kita sahaja, tanpa memikir dan merasai perasaan orang lain. Ya, Imam as-Syafei pernah berkata: "kepuasan hati semua orang adalah tujuan yang kita takkan dapat capai". Tetapi adalah menjadi keutamaan kita untuk menjaga hati orang yang dekat dengan kita, apatah lagi dia adalah ibu kita.

Saya teringat ustaz Pahrol Mohd Juoi pernah menulis tentang susunan dan aturan tanggunjawab kita terhadap mereka. Jika aturan ini kita fahami dan kita ikuti maka tidak akan ada istilah cemburu, iri hati, melebihkan yang di sana atau sebagainya. 

Seorang anak tidak kiralah dia itu lelaki atau perempuan aturan tanggungjawabnya mengikut keutamaan adalah: Pertama Allah, kedua Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam, ketiga ibu dan bapa. 

Tetapi apabila anak itu sudah berkahwin, susunan tanggungjawab mengikut keutamaan sudah berbeza. Jika dia anak lelaki dia perlu mendahulukan Allah swt, Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam, kemudian ibubapa dan yang terakhir sekali adalah isterinya sendiri. 

Adapun perempuan, susunan tanggungjawab mengikut keutamaan adalah mendahulukan Allah swt, Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam, kemudian suami yang terakhir adalah ibubapa.





Seharusnya seorang wanita dan lelaki sebelum berkahwin ataupun sudah berkahwin tahu akan hakikat ini. Seorang isteri setelah berkahwin tempat ketaatannya adalah kepada suami selagimana ketaatan itu bukan pada perkara maksiat kerana Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam bersabda: Tiada ketaatan kepada makhluk atas kemaksiatan kepada Pencipta. 

Ibubapanya sudah tidak menjadi keutamaan di dalam soal ketaatan dan tanggungjawab. Tetapi bagi anak lelaki ibubapa tetap perlu didahulukan. Tanggungjawab tetap tanggungjawab. Itu yang perlu difahami. Janganlah terlalu mengikut emosi dan kata hati sehingga akhirnya mengguriskan hati ibu kepada suami sendiri. 

Saya hairan sendiri sebenarnya, bagaimana seorang isteri boleh rasa cemburu ketika suaminya menjenguk ibunya sedangkan bukanlah suaminya tidak balik ke rumah sendiri langsung. Tidak tahu hendak berkata apa lagi. Saya tahu saya bercakap atas dasar kondisi diri sendiri belum berkahwin, tetapi saya rasa itu bukan alasan untun orang-orang yang iri hati terhadap ibu mertuanya mengatakan bahawa saya selaku orang belum berkahwin tidak layak untuk mengatakan ini. Emosi perempuan memang begitu. 

Allah.. Takkanlah emosi itu perlu mendahului rasa menjaga hati suami dan ibu sendiri? Adakah bila emosi tidak boleh berfikir secara waras. Dia itu ibu suami kamu, bukan ibu kekasih kamu. Suami kamu, yang menjadi ibu kamu juga. 

Hairan sungguh. Saya tahu saya pasti diuji apa yang saya katakan, tetapi untuk itu saya memohon moga Allah berikan saya rasa sangka baik kepada ibu mertua jika saya berada di situasi yang sama kelak. 

Bukan niat membuka masalah tetapi saya kira ramai yang takutkan suaminya menjadi anak emak, hanya emak sahaja, tidak langsung memikirkan isteri. Jika suami itu memang tidak beri isteri nafkah langsung, tidak balik rumah langsung, tidak bercakap baik-baik langsung, tidak cinta langsung dengan isteri itu, memang patutlah jika si isteri hendak kata suaminya itu melebihkan emak sahaja. Tetapi jika suami itu laksanakan tanggungjawab cukup, kasih sayang cukup, ambil berat cukup, apa lagi yang ditagih sebenarnya.

Saya memahami sukar menjadi seorang suami. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Serba salah. Isteri merajuk, emak terasa hati. 

Usahalah sedaya mungkin untuk mengharmonikan keadaan. Saya tidak tahu bagaimana rasanya ada ibu mertua. Jika ibu mertua itu layan kita dengan baik, tidak kasar-kasar dengan kita, mengapa pula kita hendak cemburukannya hanya kerana suami kita menjalankan tanggungjawabnya kepada ibunya. 

Moga Allah ampuni khilaf sendiri. Saya tidur semalam dalam keadaan sedih dan kasihan. Saya hanya mendoakan kesejahteraan yang dimaksud. Mudah-mudahan saya tidak begitu, dilindungi Allah dari rasa dan berkata-kata begitu di depan suami atau dibelakangnya kelak hatta dalam keadaan emosi yang kuat sekalipun. 

Biiznillah. 

Saturday, July 14, 2012

Menulis

Beberapa waktu dahulu sebelum kenal firienster, kenal facebook saya mengenali blogsopt. Dan di blogspotlah saya belajar menulis apa-apa sahaja yang saya rasa. Kadang-kadang ia berbau peribadi, teguran, perkongsian dan bermacam-macam lain.


Beberapa kali junior-junior dari QYC (Quranic Youth Club) uia bertanya bila hendak buat buku? dan saya hanya tersenyum sendiri memikirkan jawapannya. Saya bukanlah penulis hebat, hanya menulis apa yang dirasa-rasa kerana ilmu tidak banyak mana. Bakat pula tidak sebesar mana.


Tahun 2009 saya cuba menulis novel, sehingga masuk tahun ini sudah tiga tahun novel terperap di dalam folder laptop. Pernah rasa untuk mendelete kembali semua yang telah saya buat, tetapi rasa sayang pula. Lalu saya simpan sehinggalah beberapa waktu lalu, idea saya datang. Idea untuk menamatkan plot novel tersebut.


Saya terpengaruh dengan bacaan novel tulisan Fatimah Syarha, Hilal Asyraf dan beberapa penulis lagi termasuklah Ummu Hani dan Faisal Tehrani. Usai membaca novel mereka pasti semangat menulsi datang. Dan hari ini saya berjaya menamatkan novel yang saya simpan sebagai simpanan peribadi. Alhamdulillah.  Mungkin jika ada kekuatan dan sudah di edit, saya berhajat untuk menerbitkannya insyaAllah.


Walaupun saya rasa tulisan saya tidak sehebat penulis yang ternama, saya hanya ingin berkongsi sesuatu yang bermanfaat buat menjadi saham di akhirat kelak. Saya tidak hebat di medan dakwah untuk berbicara, memberi ceramah, berdebat dan berkongsi itu ini dengan masyarakat kerana saya tidak dilahirkan sebagai manusia yang 'outspoken', saya tidak hebat dalam jemaah, saya tidak aktif dalam persatuan. Namun saya percaya setiap manusia Allah beri kelebihan yang apabila kita percaya kita istimewa maka kita akan jadi istimewa. Jadi, saya ingin menjadikan medan penulisan medan untuk menyebar haruman Islam jika Allah izinkan.


Moga niat ini Allah perkenankan biiznillah.


:)   dan....


saya sebenarnya sedang rindu dengan banyak orang, termasuk moment dibawah ini bersama akhawat setahun lalu. Cumanya akhawat yang rapat dan sebaya dengan saya sudah tiada di sini. Sejak masuk master, perlu berdikari dan membina ukhuwwah dengan akhawat yang masih junior. Orang tidak peramah macam saya memang susah orang baru nak tegur ^^.  Malunya terlebih :)




Program bersama IKRAMteens PJ, menjadi wakil untuk setiap kuliyyah 

Tuesday, July 10, 2012

Bergantung pada-Nya





"Don't depend too much on anyone in this world because even your own shadow leaves you when you are in darkness."
(Imam Ibn Taymiyyah)


Kalam ibn Taimiyyah ini mengingatkan saya kepada perjalanan hidup kita yang memerlukan pergantungan. Saat kita terkapai-kapai mencari sesuatu, atau meminta pertolongan kadang-kadang kita lupa untuk meminta dan bergantung harap hanya kepada Allah semata.


Kita lupa akan firman Allah swt yang bermaksud: 
"Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku." (Surah al-Baqarah:ayat186)


Sangat Baiknya Allah itu




MasyaAllah. Sungguh baiknya Allah itu, suka apabila kita selaku hamba-Nya ini meminta-minta kepada-Nya. Allah beritahu "Aku dekat.. mintalah apa sahaja". Tetapi berapa banyakkah keyakinan hati kita kepada janji Allah? Janji Allah untuk memakbulkan setiap permintaan kita.


Cuma terkadang apa yang kita minta tidak dapat dalam bentuk yang kita mahu. Tapi Allah beri dalam bentuk lain. Sebagai contoh manusia berdoa kepada Tuhannya: "Ya Allah, aku mahu kaya, banyak harta". Tetapi Allah tidak beri dia banyak harta, tapi Allah beri dia rasa bahagia kerana Allah tahu sebenarnya dia bukan mahukan kekayaan tetapi kebahagiaan. 


Kadang-kadang manusia berdoa kepada Tuhannya: "Ya Allah, aku mahukan dia. Izinkan aku untuk hidup bersama dengan dia". Tetapi Allah tidak berikan kita orang yang kita mahu, kita sangka dia itu baik dan sesuai untuk kita, tetapi Allah tahu dia itu tidak sesuai untuk kita, maka Allah tidak berikan orang itu tetapi Allah berikan ganti yang lain, yang lebih baik lagi. 


Dan begitulah sekian banyak perkara yang kita minta lewat doa kita tetapi kita sangka Allah tidak makbulkan. Sesungguhnya Allah itu Pencipta kita, mustahil Allah tidak sayangkan kita. Mustahil Alah sengaja mahu membuat hati kita derita. 

Derita yang kita sangka, rupanya penawar di kemudian hari. Dan itulah kita, manusia yang penuh dengan sangka. 

Allah sudah beritahu kita: "Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah". Tetapi kita ini selalu sahaja bersangka buruk kepada Allah. Kita rasa bila Allah tidak beri, maksudnya Allah memang tidak peduli pada kita.

Jangan putus asa. Jangan berhenti usaha. 
Allah mahu naikkan darjat kita, menjadi hamba yang sabar, hamba yang penuh syukur. 

Saya dan anda



Saya kira bukan saya seorang mengalami dan merasai kasih sayang Allah, tetapi anda juga. Kita masing-masing melalui jalan menuju ke satu tujuan, cuma mungkin jalan yang kita lalui punyai cabaran dan duri-duri ujian yang berbeza. 

Apabila Allah tidak beri apa yang kita mahu, muhasabahlah kembali bagaimana hubungan kita dengan Allah. Adakah kita ini hanya mengingati Allah ketika susah, ataupun langsung tidak ingat kebaikan Allah kepada kita hatta ketika masa susah dan ditimpa ujian? Lebih teruk dari itu, kita bersangka buruk dan menyalahkan Allah atas apa yang berlaku. 

Muhasabahlah.. kembali kepada Allah, kembali kepada al-Quran, kalam-Nya pasti kembali memujuk kita daripada perkara yang membuat jiwa kita tersiat-siat kepedihan. Al-Qur'an melegakan jiwa kita, memberikan kita ketenangan. 


Kata Sayyidina Umar: Jika kamu mahu Allah berkata-kata denganmu, bacalah al-Qur'an. Jika kamu mahu berkata-kata dengan Allah, solatlah.  

Kemudian, bergantunglah sebanyak-banyaknya kepada Allah, bukan kepada manusia. 
Sekiranya kamu berpisah dengan orang yang kamu sayang, isteri kamu, suami kamu, anak-anak kamu dan seumpama dengannya, itu petanda bahawa Allah mahu kamu bergantung hanya kepada-Nya. Menyandarkan hubungan dan kasih sayang itu hanya kepada-Nya. Bukan kepada manusia. 

Ketika kamu hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan dengan pelbagai sebab, bergantunglah kepada Allah. Kerana itu petanda Allah mahu berikan kepadamu keyakinan bahawa rezeki itu bukan dari manusia, tapi dari Allah. Dia akan beri dengan syarat kita berusaha. 


Penutup

Mudah-mudahan hati kita hanya ada Allah, terikat dengan kasih-Nya, rahmat-Nya, cinta-Nya. Tidak tergantung walaupun kepada diri kita sendiri. 


Ya Allah, jangan serahkan urusan kami kepada diri kami sendiri.. Ameen




Monday, July 9, 2012

Pesan Emak



Teringat emak pesan beberapa waktu dahulu:
"Kalau dia setia, dia akan sanggup tunggu walau apa yang jadi".

Kata-kata itu membuatkan saya ingat, bahawa seorang lelaki yang setia tidak akan merubah keputusannya setelah perjanjian dibina, hanya kerana bertemu dengan perempuan yang lebih cantik, baik, pandai atau sebagainya. Begitu juga sebaliknya. Melainkan jika benar sikap lelaki/perempuan tersebut menyebabkan satu  pihak lagi jauh dari agama, ataupun bakal meruntuhkan rumahtangga sendiri kelak.

Tetapi itulah takdir, Allah hendak beri yang lebih baik maka diberikan kita rasa kecewa.
Allah hendak tunjuk siapa si dia sebelum kita meneruskan keputusan untuk hidup bersama si dia.

Dan ketika emak pesan begitu, hanya airmata yang sekian lama ditahan mengalir di depan emak.
Usai masak, emak bertanya berkenaan soal peribadi, dan saya cuba menyembunyikan kekalutan jiwa menahan rasa.

Ibu mana yang tidah tahu, bila hati anaknya sedang gundah.
Ibu mana yang tidak merasa jika anak nyata sedang bersedih.

Dan itulah emak. Hatinya yang betapa saya menyembunyikan apa-apa yang boleh mengundang kerisauannya, pasti dapat ditebak oleh emak.

Hingga sekarang, saya selalu teringat kata-kata emak.
Bila emak tidak izinkan, pastinya bersebab.
Dan saya, mungkin kerana tidak mahu menambah permasalahan hanya mengikut sahaja.

Dalam hati, Allah sahaja yang Tahu.
Kita mahu tapi emak tidak restu.
Kita mahu tapi emak minta tangguh dahulu.
Kita mahu tapi emak tidak izin.

Untuk itu semua,
saya percaya, apabila kita mendengar dan patuh dengan apa yang ibuayah kita katakan, insyaAllah ada kebaikan yang akan menyusul kelak. 
iaitu keberkatan di dalam kehidupan.
Semua perkara dirasakan tenang, kerana tiada hati orang yang kita kasihi digurisi. Tidak ada luka di hati emakayah.




Ketika ini, saya sentiasa teringatkan emak yang sendiri di kampung. Setelah ayah meninggal, emak nampak sedih, sunyi. Lumrah yang datang akan pergi, yang sendiri akan berdua, dan yang berdua akan sendiri.

Tidak sampai hati untuk meninggalkan emak, tetapi ada urusan yang perlu diselesaikan.
Moga Allah jaga emak di kampung. Ameen



Sunday, July 8, 2012

Correction..

Sudah dua hari dilanda rasa sakit kepala, mungkin kerana berlama-lamaan melihat dan bergadang untuk menyiapkan pembetulan thesis.
Esok, perancangan awal adalah untuk menghantar semula pembetulan yang sudah dibuat, tetapi mungkin sahaja terpaksa ditunda kepada beberapa hari.






Mata sudah semakin berat, kepala apatah lagi.
Melihat tulisan-tulisan arab yang diolah sendiri, membetulkan banyak bahagian yang memerlukan diri ini menjadi seorang amanah kepada ilmu (menyandarkan kata-kata kepada empunya diri), dan juga menyusun semula apa yang sudah ditulis sebelum ini.

Lagi menambahkan kelambatan apabila uia terputus bekalan elektrik sepanjang siang hari.
Apapun yang berlaku, sesungguhnya bukanlah alasan yang baik untuk diberikan kepada keterlewatan ini.

Sungguh tidak mudah, tapi saya hanya percaya bahawa saya ada Allah yang melihat usaha saya dan membantu saya dalam setiap yang saya usahakan..

Moga Allah beri kekuatan kepada jiwa ini.
Sudah tidak memikir yang lain, walaupun beberapa waktu ini jiwa dihimpit rasa yang tidak perlu.
Biarlah apa yang sudah berlaku, hanya kepada Allah diserahkan segalanya.
Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita semua dunia dan akhirat.


...............................
Takkan diulang pintaan itu
Takkan dikejar yang tak mahu
Kerna percaya Allah  kan beri apa yang diperlu
Bila masanya sudah tentu

:)
Terima kasih untuk kerjasama dan harapan yang pernah diberikan
Bukan salah anda, tetapi mungkin saya yang berlebihan rasa
.................................

Moga juga Allah lindungi diri ini dari terus berlalai-lalaian dengan dunia.
Ya Allah, permudahkanlah, jangan susahkan.. 
Ameen

^^

Saturday, July 7, 2012

Jauh Dekat





Saya terlihat beberapa gambar, gambar yang terlampir di home facebook. Gambar orang yang sedang berukhuwwah dengan saudara-saudaranya di bukit Broga.

Dia orang yang pernah beri makna dalam hidup saya
Pernah buat saya senyum dan ketawa
Pernah membantu saya dalam banyak perkara
Pernah memberi saya rasa betapa Allah itu penuh dengan rasa cinta
Yang dikurnia antara sesama manusia
Dipinjamkan kepada saya biarpun sekejap cuma
Walaupun akhirnya dia juga yang membuat airmata saya jatuh
Tetapi saya tahu dan kenal dia
Dia tidak lain hanya manusia biasa
Manusia yang banyak khilaf dan selalu lemah dalam ujian hidup ini
Seperti juga saya

Sungguh diri ini
Bukan tidak menjaga mata juga jiwa
Hanya melihat sekilas cuma
Rasa bahagia seketika melihat dia bahagia
Terpancar rasa itu dari riak wajahnya
Tenang bersama sahabat-sahabatnya

Dan yang pasti
Apabila saya jauh darinya
Dan dia jauh dari saya
Dia pasti tenang dengan cinta Pencipta
Begitu juga dengan saya

Setelah saya dan dia saling menjauh
Diri sendiri cuba untuk menumbuhkan tunas baru
Agar ia tumbuh dan hidup subur
Dimulakan dengan usaha
Tetapi mungkin sebenarnya
Allah tahu saya tidak mahukan ini
Kerana itu apabila saya meminta
Allah tidak berikannya pada saya

Apapun yang berlaku
Saya hanya bersyukur
Walaupun saya dan dia jauh
Tetapi kami dekat
Dekat kepada yang menciptakan kami

Tidak lain sebenarnya
Perpisahan yang dirasa adalah hanya untuk mencari keredhaan Allah
Moga Allah redha dan berikan dia dan saya apa yang terbaik
Buat dunia dan akhirat kelak

Mudah-mudahan setiap jiwa bertemu dengan bahagian hidup masing-masing
Bila tiba masanya nanti InsyaAllah

:: Sahabat bertanya: "Kenapa status di FB berbunyi sedih sahaja"

Tidaklah..
Saya tidak sedih.
Sedih sedikit biasa sahaja, sesungguhnya saya redha dengan ketentuan dan pilihan Allah.
Untuk saya
Untuk dia
Dan untuk sesiapa sahaja
Moga ini yang terbaik

^^,)

Post hari ini berbunyi suara hati, entah kenapa. Moga Allah ampunkan dosa saya andai saya salah. Jika ini boleh membuatkan hilang kethiqahan seorang muslimah. Moga Allah pelihara dan hapuskan dosa ini..

Warna Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim


 Hari ini terasa angin damai, sejuk seperti selalu. Setiap kali sahabat-sahabat berkunjung ke bilik, masing-masing berkata: "hari ini sejuk kan?". Bukan hari ini sahaja, hari-hari semalam juga sama. Atas semua itu, alhamdulillah 'ala kulli hal.


Dihujani banyak perkara yang membebani fikiran, saya takut untuk berbicara lebih. Berbicara soal kehidupan, berbicara soal peribadi, kerana itu semua seharusnya kita simpan dan luahkan pada yang berhak. Tetapi, kadang-kadang jiwa mendesak untuk meluah, Allah.. lemahnya jiwa sendiri.

Sudah hampir 26 tahun Allah pinjamkan jasad dan nyawa ini, untuk terus menjalani jalan-jalan kehidupan. Sudah beberapa kali saya jatuh dalam rasa lemah, rasa kecewa dan tentunya rasa yang terlalu hina di depan Allah swt.




Dosa

Apabila kita merasai diri kita bersih, tidak langsung pernah berbuat satu kesilapan pun kepada Allah, maka ada sesuatu yang tidak kena tentang diri kita.
Takut-takut kita ini tidak sedar bahawa kita ini manusia biasa. Dihinggap dosa selalu.
Walau ia hanya sekecil dosa janganlah diremehkan.
Saya teringat satu kata-kata yang saya dapati dari usrah:
"Jangan meremehkan dosa kecil, kerana gunung-ganang itu terbina dari batu kerikil"

Begitu banyak daripada kita meremehkan dosa-dosa kecil. Dari dosa kecil itu, jika tidak dihapus dengan taubat dan istighfar, maka ia akan menjadi besar dan besar. Lalu akhirnya diri manusia menjadi hamba kepada nafsunya.

Itulah adalah saya juga, manusia biasa yang banyak dosa. Dosa yang saya tanggung terlalu menghimpit jiwa, membuatkan langkahan kaki sendiri melemah menuju Ilahi. Dan sesungguhnya saya syukur punya sahabat-sahabat yang selalu datang, memimpin tangan saya dan mengingatkan tentang ini. Lalu mengajak saya kepada kebaikan.

Moga kita tidak lengah dengan taubat, tidak kering dari istighfar dan selalu memuhasabah diri sendiri.

Jodoh


Dahulu ketika di sekolah menengah saya selalu melihat kawan-kawan ada yang ber'couple' walaupun dalam suasana sekolah agama. Sesungguhnya saya bersyukur kerana saya yang tidak ada 'rupa' ini Allah selamatkan dari semua itu, membuatkan jiwa rasa tenang untuk tumpu pada pelajaran, tidak perlu untuk 'cover-cover' di depan lelaki yang tertentu dan yang paling penting Allah selamatkan saya dari rasa kecewa dengan 'cinta monyet'.

Tidaklah saya katakan saya baik ketika zaman remaja. Lumrah zaman remaja zaman yang mencari identiti. Juga sedang dilanda rasa inginkan ada 'seseorang'. Namun, hanya ucapan syukur sahaja yang mampu saya ungkapkan atas hikmah ini. 

Namun kita, tidak selamanya berada di air yang tenang. Kadang-kadang ditimpa bah, menyebabkan jiwa kita bergoncang dengan pelbagai masalah melibatkan kehidupan. Dan ketika umur saya sudah meningkat, saya juga dilanda perkara berkaitan jodoh. Sudah pelbagai perkara yang dilalui, kecewa, menangis, sedih, serba salah malah saya sungguh takut sekali apabila menolak orang lain. 

Tetapi hidup ini harus membuat pilihan, pilihan yang membuat kita tenang. Menolak dan ditolak dalam soal jodoh itu adalah asam garam dalam sebuah usaha. Apabila dikatakan jodoh itu daripada Allah, ia membutuhkan usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Jika Allah beri apa yang kita mahu itu, maka syukur. Bermakna dialah yang terbaik untuk kita.
Tetapi jika Allah sudah beri lalu tidak diizinkan untuk meneruskan perjalanan bersama 'dia' untuk ke syurga-Nya, maka mungkin 'dia' bukan yang baik untuk kita. Juga tidaklah bermakna 'dia' itu tidak baik. Mungkin dia baik untuk orang lain, dan kita pula baik untuk orang lain.
Dan jika Allah tidak beri langsung apa yang kita hajat dan harapkan, percayalah bahawa Allah akan berikan apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Apa yang kita perlukan itu pasti Allah akan beri pada masa dan ketikanya.

Dan ketika saya menjawab tentang soal jodoh, hanya termampu saya katakan:
"Kadang-kadang kita mahu tapi Allah tidak izin. InsyaAllah jika sampai masa pasti Allah datangkan 'dia".

Hanya itu yang termampu saya fikir, dan saya katakan.

Apa-apa yang berlalu dalam kehidupan masa lalu, saya bersyukur kerana Allah telah keluarkan saya daripada ujian tersebut. Dan yang terpenting sekali, saya belajar erti sebuah kesabaran, ketabahan, kekuatan selepas sejak pertama kali saya mengenal erti kecewa.

Alhamdulillah a'la kulli hal

Pelajaran

Dalam hati sejak dahulu terlalu ingin ke timur tengah. Selepas STAM, mengisi borang untuk sambung ke Mesir, tetapi apakan daya sebagai anak perlu mendapat izin ibu dan ayah. Emak kata: "Sambung kat sini je lah".

Saya menangis sendiri, tidak mahu emak tahu. Tapi sebenarnya emak tahu saya kecewa dan sedih dengan keputusan ini. Bukan kerana apa-apa, tetapi emak ayah bukan orang senang.

Saya memahami, dan cuba untuk terima. Dan alhamdulillah dengan keputusan 'MUMTAZ' saya diterima di Universiti islam Antarabangsa. Alhamdulillah, itu yang saya minta dan mohon sungguh-sungguh dari Allah. Kerana sejak dari sekolah menengah lagi saya terlalu teruja untuk ke uia, belajar di sana, malah selalu membelek-belek buku permohonan UPU milik abang saya.

Setahun sebelum habis pengajian di UIA, saya merancang untuk sambung pengajian MASTER di negara arab, Jordan. Namun mungkin kerana masalah kewangan dan tidak mendapat tajaan, saya meneruskan pangajian MASTER di UIA sahaja. Alhamdulillah atas hikmah yang sangat banyak.

Dengan izin Allah dan sepenuh harap, hati ini sudah terbang dan memikirkan untuk menyambung pengajian PHD di bumi Urdun. Moga Allah izinkan dan perkenankan andai inilah yang terbaik untuk kehidupan diri dunia dan akhirat. Ameen

Master

Tanggal 23 June 2010, Hari Rabu saya dengan beberapa orang sahabat mendaftar untuk menjadi pelajar sarjana di UIAM. Tidak ditemani keluarga seperti ketika mula-mula di peringkat ijazah dahulu, kami sendiri. Hanya kawan-kawan yang ada untuk saling menguatkan. Kerana kami sudah kenal uia, maka kami bergerak sendiri.

Alhamdulillah sudah 2tahun ia berlalu, dan bermacam-macam perkara berlaku. Master yang sangat berlainan daripada ketika ijazah, cara belajar, cara membuat asignment, cara presentation, semuanya lain. Sehingga selalu ada dalam fikiran sendiri bahawa saya tidak belajar banyak seperti ketika ijazah dahulu.

Namun apabila sudah hampir ke akhir pengajian, saya sedar bahawa tahap pengajina sekarang sudah berbeza. Dahulu adalah masa untuk disuap dengan ilmu dan sillibus yang sangat banyak. Tetapi di tahap ini, kita sendiri mencari, kita sendiri mengolah, dan kita sendiri mempraktikkan apa yang sudah kita dapati dahulu.

Ketika ini, marhalah thesis sudah sampai ke peringkat membuatk pembetulan selepas diperiksa oleh pemeriksa. Alhamdulillah, banyak yang saya dapati dari kedua-dua pensyarah saya. Jazakumullahu khayr Dr Sofiah dan Dr Laith Su'u Jaseem atas tunjuk ajar dan penambah baikan untuk tulisan thesis saya.

Saya merasa terlalu lemah dalam bahasa arab.
Semalam ketika bertemu Dr Laith Su'ud untuk berbincang berkaitan thesis, ustaz bertanya: "Kaifa". (Bagaimana)
Dan saya pelik: "Kaifa ma za ustaz?". (Bagaimana apa ya ustaz?)

"Kaifa Lughatuki?" (Bagaimana dengan bahasa kamu?)

Saya tersengih dan menjawab: "Ana uhawil an atakallam ya ustaz". (Saya cuba untuk bercakap ustaz)

Dan ustaz tidak meremehkan saya malah memberikan nasihat membina untuk terus berusaha memperbaiki bahasa arab :) walaupun sebenarnya saya sangat kaku untuk berbicara dalam bahasa lain. Kerana itu, saya ingin ke urdun, mengalami situasi belajar di keliling orang arab dan mengasah bahasa arab sendiri. Moga Allah izinkan. Ameen

Mohon doakan saya dan sahabat-sahabat dipermudahkan urusan menyiapkan thesis dan melalui proses yang agak banyak selepas ini.
Rabbi Yassir wa la tu'assir.. ameen ya Rabb

Akhirnya

Sesungguhnya walaupun ia hanya sebuah kisah hidup, saya terlalu banyak belajar sepanjang perjalanan ini. Jalan yang diiringi dengan bantuan Allah SWT
Disulami dengan kasih sayang Allah SWT
Juga dipayungi teduh rahmat-Nya

Jujur saya menginginkan sebuah kehidupan yang indah, tetapi hidup ini tidak selalunya indah. Yang termampu adalah menjadikan yang tidak indah pada nilaian kita itu menjadi sebuah lakaran yang indah. Mudah-mudahan apa yang kita lalui di dunia ini, kesusahan-kesusahan yang dijalani merupakan sebuah permulaan untuk menyemai benih amal untuk ke syurga-Nya.

Biiznillah

Friday, July 6, 2012

Puisi: Tiada Lain Melainkan-Mu

Ya Allah
Aku meminta kepada-Mu
Kerana aku hamba-Mu
Dan kerana aku hanya ada diri-Mu
Aku tiada tempat bergantung
Melainkan hanya kepada-Mu
Tiada lagi tempat kuserahkan urusanku
Melainkan hanya kepada-Mu
Aku jatuh
Hanya pada-Mu ku berpaut
Aku kecewa
Hanya pada-Mu kupunya harap


Ya Allah
Jadikan aku redha untuk segala-galanya
Yang aku pinta tapi tidakku perlu
Yang aku harap tapi tidakku hendak
Dengan yang sebenar-benarnya
Kerana aku tahu
Apa yang dari-Mu itulah yang indah
Yang pahit itulah ada kemanisan


Ya Allah
Untuk terus merasa ketenangan
Aku hanya mengharap sebuah kurnia
Berupa jiwa yang tabah
Tidakku persalahkan manusia lain
Atas apa yang aku tidak dapati
Tidak pula aku menyalahkan takdir-Mu Ya Ilahi
Kerana aku tahu
Setiap yang datang dari-Mu
Adalah baik untukku
Dan ia akan jadi indah
Bila tiba masa dan ketikanya


Ya Allah
Terima kasih untuk ujian yang bertandang
Kau berikan aku kekuatan demi kekuatan
Untuk terus melaluinya
Kerana aku belajar tentang sabar dan redha
Yang tidak aku dapati
Jika hanya menyelam di dasar indah sebuah kehidupan


Berikan aku jiwa yang utuh
Hati yang yakin dengan janji-Mu
Bahawa Engkau akan berikan cinta-Mu
Kepada orang yang mencintai-Mu
Dan akan menyatukan manusia-manusia yang saling mencintai kerana-Mu
Jadikan aku di antara mereka
Yang saling mencintai
Kerana-Mu


Allahumma ameen


~wardah al-misk
Jalan hidup ini takkan terhenti di sini, Moga Allah redha dan diri kita juga redha dengan ketentuan-Nya



Thursday, July 5, 2012

Puisi: Seorang Pencinta





Seorang pencinta
Yang dalam kembaranya
Pernah tertewas dengan keindahan dunia
Pernah jatuh ke daerah gelap
Hingga karat-karat jahiliyyah mula melekat pada dirinya


Seorang pencinta
Dalam kembaranya
Cuba mencari cinta kerana Allah
Dalam jiwanya tidak terlintas untuk menduakan Cinta Pencipta
Kerana dalam jiwanya hanya ada sebuah rasa
Tenang dengan cinta Pencipta


Seorang pencinta
Dalam kembaranya menerima sebuah hadiah
Hingga membuatnya tersenyum bahagia
Hadiah yang dikurnia Allah padanya
Rupanya tidak lama
Ia hanya pinjaman sementara
Apabila Tuhan yang memberi pinjam
Mengambilnya kembali
Lalu airmata meluruh
Dan jiwa seakan tersiat
Lantaran kecewa yang meraja


Seorang pencinta
Tidak pernah berputus asa
Mencari cinta kerana Allah
Cuba memberi senyum dan harapan
Mengharap ada yang sudi memimpinnya bersama
Dalam perjalanan menuju Tuhan


Seorang pencinta
Yang tetap setia
Menunggu janjinya
Tak lengah dari ujian
Tak mudah berputus harap
Kerana seorang pencinta yang cinta kepada Tuhan
Takkan pernah berburuk sangka dengan ketentuan-Nya

Sunday, July 1, 2012

7 Sebab Manusia Berbuat Maksiat

7 sebab mengapa manusia berbuat maksiat:
1- Jahil: ada orang yang melakukan maksiat dalam keadaan dia memang jahil, dia tidak tahu. seharusnya kita menasihatinya dengan hikmah.

2- Kelemahan diri: ada lelaki yang lemah melihat wanita, maka dia cenderung untuk melakukan maksiat dengan tidak menjaga mata. Dan setiap manusia ada kelemahan masing-masing.

3- Keras hati: Ada pasangan yang pantang dicabar, seorang yang suka membalas dendam dan hendak tunjuk yang dia boleh buat apa yang orang lain kata-kata kekurangannya. Kerana sikap keras hati inilah manusia akan melakukan maksiat kerana didorong oleh rasa-rasa yang sebegini.

4- Nafsu dan syaitan: Nafsu itu merengek mahukan sesuatu, adapun syaitan itu membisikkan sesuatu untuk melakukan kejahatan. 

5- Mazmumah

Gabungan kelima-lima faktor ini memberi kesan kepada pelaku maksiat, apabila dia melakukan maksiat tiada langsung rasa menyesal walau sedikitpun.

6- Peluang yang ada di depan mata: Biasanya seseorang melakukan maksiat kerana peluang yang ada di depan mata. Contohnya suami panas baran, jangan pula isteri cucuk-cucuk untuk buat suami marah. Suami pula apabila tahu isteri kuat membebel, jangan pula sengaja cakap tentang kahwin lagi. Tutuplah jalan-jalan kemaksiatan, contohnya sekiranya seorang suka melihat benda-benda tidak elok, maka tutuplah peluang dan halanglah dari jalan2 kepada maksiat itu. 

7- Faktor orang di sekeliling: Lihat dengan siapa pasangan berkawan. Lihat di FB, cara dia melayani orang lain. 

:: Perkongsian daripada ust Amin dalam slot Pesona Zahra: "Dilema Pasangan Berbuat Maksiat" di IKIM