Pages

Friday, December 30, 2011

Ku Ingin Seperti Itu

Orang kata jangan selalu tengok movie, sia-sia. Tapi jika movie itu adalah platform untuk kita mencari hikmah dan menambah kefahaman Islam serta menepati piawaian saya kira tidak salah.

Kerana "kita dapat apa yang kita lihat, apa yang kita baca dan apa yang kita dengar serta fikir”. Justeru yang penting kita hendaklah memilih bahan bacaan dan sesuatu yang kita mahu tonton supaya ia memberi manfaat serta membantu menambah amal kita.

Filem "Sang Murabbi"

Antara sekian banyak filem yang menambat hati saya adalah ‘Sang Murabbi’. Kisah perjuangan dan tarbiyyah ustaz Rahmat di Indonesia, masyaAllah banyak yang saya perolehi. Saya faham apa itu dakwah dan kepentingannya. Namun saya kira, saya tidaklah sekuat sepertimana aktivis lain. Saya hanya pegang pada satu perkara, dakwah itu bukan hanya bercakap tetapi akhlak, tutur bicara dan pergaulan kita dengan manusia juga dikira dakwah (dakwah bilhal). Kerana tidak semua orang diberi kelebihan bercakap, maka setiap sekecil2 amalpun insyaAllah dikira sebagai amal.biiznillah.

Filem "Ketika Cinta Bertasbih"

Filem kedua ada ‘Ketika Cinta Bertasbih’. Bukan kisah cintanya, tetapi saya cukup terkesan dengan penyusunan dan ketentuan takdir Allah. Sungguh manusia itu tidak tahu apa yang terbaik untuknya. Hanya jika namanya jodoh, apa sekalipun yang menghalang jika memang seseorang itu sudah tertulis jodohnya dengan kita, maka dia akan bertemu dengan kita juga.

Diteruskan dengan drama ketika cinta bertasbih Ramadhan, terlalu banyak hikmah yang dinukilkan oleh Habiburrahman as-syeirazi. Antara yang saya sangat sukai adalah, banyaknya pergantungan setiap watak kepada Allah swt.

Hatta dalam soal diuji dengan ujian diminta oleh ayah mertua untuk berkahwin dengan seorang ustazah di pesantren, sangat menguji jiwa seorang isteri. Hanya memikirkan soal dakwah dan keberterusan dakwah di pesantren, Anna sanggup dimadukan walaupun hatinya sedih dan disayat sembilu. Namun dia mengukir senyum malah dia sendiri mengumumkan pernikahan suaminya.

Walaupun Azzam punya peluang begitu, dia tidak menunjukkan kesenangan hatinya. Malah dia menerima apa jua keputusan isterinya kerana baginya anak itu bukanlah utama untuknya. Diuji dan diuji sehingga semua merasa redha, lalu Allah buka jalan dan hikmahnya apabila Anna hamil. subhanAllah, dan dengan itu perancangan perkahwinan dengan ustazah Qanitah dibatalkan dan diberi ganti yang lebih baik lagi buatnya iaitu ustaz Furqan.

Saya enggan mengulas lanjut bagaimana isi ceritanya, Cuma dalam sekian banyak kehidupan perlunya kita kuatkan hati pada ketentuan Tuhan. Banyakkan berdoa. Tidak putus-putus doa dilantunkan di dalam watak kisah ini.

Sesungguhnya benarlah, apabila kita mengingati Allah, Allahpun akan ingat pada kita.

Allah berfirman:

" Maka ingatlah kepada-Ku, Aku-pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku"~ surah al-Baqarah: ayat 152.

Saya ingin menjadi seperti itu, menjadi yang selalu ingat pada Yang Maha Mengasihi, ingin menjadi orang yang kuat bergantung pada-Nya kerana hanya itulah sumber kekuatan ketika semua makhluk dirasakan meninggalkan kita.

Dan sesungguhnya sekian banyak keperitan dan kesakitan di masa lalu saya belajar satu perkara bahawa Allah itu tidak pernah meninggalkan saya. Allah itu mahukan yang terbaik buat saya. Dan jika memang saya pernah melakukan dosa dan terjatuh ke lembah jahiliyyah, itu atas pilihan saya sendiri yang tersalah memilih arah. Allhamdulilah ‘ala kulli hal atas nikmat iman.

Dan atas kesedihan dan kepedihan itu, mudah-mudahan saya belajar erti menghargai orang yang hadir dalam hidup saya, terutama ibuayah saya. Moga saya dan kita semua dapat bersama orang yang kita kasihi, ibuayah, serta saudara seiman kita bersama di syurga kelak. Allahumma ameen.

wallahu a'lam

~almisk


Wednesday, December 28, 2011

Cinta Itu Tidak Murah



Hakikatnya bukan mudah untuk membuat pilihan, lebih-lebih lagi apabila ia bersangkutan dengan akhirat. Saya terlalu mengagumi seorang pendakwah, penulis dan seorang ukhti yang sangat lemah-lembut dan sopan dalam bicara. Kak Fatimah Syarha.

Membaca buku beliau berjudul “Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul” membuatkan saya teruja dengan pendirian seorang muslimah.

Kisah seorang muslimah yang teguh dengan pendirian mengejar cita-cita dikuatkan lagi dengan menepis cinta yang murahan. Cinta remaja sekarang sama ada agamawan atau tidak kadang-kadang dicemari nafsu. Pilihan untuk bercinta tanpa pengetahuan wali dan keizinan mereka mengundang terbukanya jalan menghampiri zina.

"Cinta itu adalah apabila kita mahu bersamanya hingga ke syurga”..ini definisi Hilal Asyraf berkenaan cinta.

Ya, Cinta itu tidak murah. ia mahal sebenarnya kerana cinta yang fitrah itu datangnya dari Allah, perlu diuruskan dengan sebaiknya dan di atas batasan dan landasannya.

Bila cinta jadi murah? Murah apabila ajak pasangan mengundang murka Allah.

Kata cinta, tapi ajak buat maksiat. Kata cinta, tapi kenapa tolak pasangan masuk ke neraka. Jika benar cinta, usahakan jalan syar’ie untuk segera bernikah, jumpa ibubapa, jaga hubungan atas dasar urusan sahaja. Rata-rata ada yang mendapat izin ibuayah, tetapi tidak menjaga hubungan sebaiknya. Dating, chatting yang melalaikan, bergayut di telefon berjam-jam, sms perkara yang melampau dan tanpa urusan, itu yang selalu menjadi punca utama terjebaknya kepada cinta murahan.

Bila cinta murahan melanda, semua kerja jadi tak kena, ingatan hanya tertuju kepada si dia, jiwa terganggu menilai yang baik dan yang buruk, hati terseksa dengan barah rindu.. Semuanya memalingkan diri dari cinta-Nya.

Justeru dalam memilih teman bersama untuk ke akhirat, jagalah hubungan sejak dari awal perkenalan. Jangan diselitkan dengan unsur yang tidak syar’ie. Berkenalan sekadarnya, tahu orangnya, tahu agamanya.. kerana sebagai manusia kita tidak dapat kenal dengan bakal pasangan kita dengan sebenar-benarnya sehingga kita sudah halal dan duduk serumah bersamanya. Itu yang pernah pensyarah saya katakan.

Hakikatnya, soal pilihan ini berkait rapat dengan soleh/solehah atau tidaknya kita. insyaAllah, Allah beri apa yang sesuai untuk kita. Baiki diri untuk jadi lebih baik, tetapi jangan pula menjadi baik kerana untuk mendapat pasangan baik. Jadilah baik untuk kehidupan akhirat nanti, berubah hanya kerana Allah.

Mintalah Allah pilihkan untuk kita, andai dia baik untuk kehidupan kita, agama kita, untuk dunia dan akhirat kita, mintalah didekatkan dan dipermudahkan sepertimana kita selalu tutur dalam doa istikharah.

Akhirnya, ingin saya petik sebuah sajak dari Aminah Qutb, adik kepada tokoh terkenal Sayyid Qutb:


Sekiranya

Kita cinta kepada manusia

Tak semestinya manusia cinta kepada kita.

Tetapi sekiranya

Kita cinta kepada Allah

Nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.

Sekiranya

Kita cinta kepada manusia

Kita akan cemburu kepada orang yang

Mencintai orang yang kita cintai.

Tetapi sekiranya

Kita cinta kepada Allah

Kita akan turut mencintai orang yang

Melabuhkan cintanya kepada Allah juga.

Ya Allah,

Andainya dia adalah jodoh

Yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku

Maka,

Campakkanlah ke dalam hatiku

Cinta kepadanya adalah kerana-Mu

Namun,

Andainya dia bukanlah jodoh

Yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku

Berikanlah aku kekuatan agar pasrah

Dalam mengharungi ujian

Yang Kau berikan kepadaku

~Aminah Qutb

أحبك الذي أحببتني فيه

~ almisk

Saturday, December 24, 2011

Tentang Jodoh: Buat Muslimah


Gambar hiasan

Usai kelas terakhir untuk semester ini, di kelas terakhir inilah ada suatu soalan yang ditujukan buat kami oleh seorang pelajar dari Sudan (jika tidak salah).

Berbetulan pula ada seorang kakak akan berkahwin di masjid uia pada hari ini, dan dia sudah mengumumkan di kelas kami beberapa hari sebelumnya. Bertitik tolak dari itulah pelajar lelaki yang sudah berkahwin itu bertanya kepada kami bertiga yang sampai awal di kelas:

“Kenapa kamu semua taknak kahwin lagi?”

Terdiam kami hendak menjawab. Lalu seorang kakak spontan jawab dengan bahasa arab, maksudnya:

“Bukankah jodoh tu dah ditentukan masanya, dengan siapa, di mana.”

Lega..

Memang rata-rata pelajar yang menyambung pengajian master masih belum berkahwin. Mungkin ada sebab. Dan yang utamanya dan pasti adalah jodoh belum sampai.

Usai kelas, kami makan bersama di café. Sungguh tak sangka sebenarnya membuka perbincangan tentang jodoh memang suatu yang menyesakkan fikiran.

Bukan kita tidak pernah berusaha, tetapi jika usaha itu tidak Allah izinkan untuk selari dengan takdirnya maka apa yang boleh kita buat adalah sabar dan redha. Yang pergi biarkan pergi. Yang mahu meninggalkan kita biarkanlah dia tinggalkan kita. Mungkin itu lebih baik.

Kakak yang bersama kami kata: “Kita terima orang yang suka kita, jangan kita suka kat dia sorang-sorang tapi dia taknak kat kita, sebab wanita ini boleh dipupuk perasaannya”.

Memandangkan hati itu suatu yang mudah berubah, ia juga tidak boleh dipaksa-paksa maka serahkanlah pada yang Menciptakan hati kita.
Mungkin berkata dan nasihat itu lebih senang berbanding untuk melaluinya. Tapi percayalah, hati yang diuji itu akan lebih kuat, lebih tabah, lebih cuba untuk menghargai sesiapa yang menghargainya.

Jual Mahal
Dan satu perkara yang cukup wanita ‘anti’ adalah kata-kata ‘jual mahal’. Ya, memang wanita kena ‘jual mahal’, tetapi bukanlah jual mahal itu maksudnya meletakkan maskahwin hingga berbelas ribu memandangkan ada master, ada PHD. Tetapi jual mahal dari segi memilih caln yang betul-betul menepati piawaian supaya maruah tidak dihinjak-hinjak oleh manusia yang tidak punyai hati perut dan tidak tahu hendak menghargai anugerah Tuhan.

Dan bukanlah tidak boleh memurahkan diri itu bermakna tidak boleh memulakan urusan melamar, kerana mangambil contoh saidatina Khadijah melamar junjungan besar kita Muhammad SAW tetapi mestilah dengan cara beradab, dengan cara menjaga malu. Sebaiknya menggunakan orang tengah, itu lebih menjaga maruah wanita daripada malu jika lamarannya ditolak lelaki tersebut.

Buat muslimah, sabarlah tika diajukan soalan tentang nikah. Katakan sahaja, belum ada jodoh. Jodoh itu rahsia Allah. Jangan melenting dan terlalu stress dengan soalan-soalan cemas begitu.

Yang pastinya, Allah maha Tahu keadaan kita, kemampuan kita, kesediaan kita. Mungkin kita sudah sedia tapi sebenarnya kita tidak sedia untuk memikul tanggungjawab lagi. Mungkin juga Allah Mahu berikan kita masa untuk perbaiki diri menjadi lebih baik, ataupun meluangkan masa berbakti kepada ibubapa.


Bukan Matlamat


Janganlah mengira bahawa, perkahwinan itu matlamat kita diciptakan. Bukan hanya dengan pernikahan sahaja kita boleh ke syurga Allah. Jika kita masih punya ibuayah, jagailah mereka, rawatilah mereka. Kerana mereka juga kunci syurga buat kita. Tetapi jika sudah sampai hajat, sudah mendapat restu, dan sudah istikharah tentang calon pilihan, bernikahlah sebagai memenuhi sunnah Baginda SAW.

Buat yang sudah bertemu jodoh dan bercinta dengan jalan pernikahan semoga kuat menghadapi bahtera di samudera. Ujian tetap akan datang sebagaimana tika belum berkahwin. Dan buat yang belum bernikah, teruskan kembara mencari cinta Hakiki, jikalau tidak kita temukan cinta dari seorang suami, insyaAllah jika kita solehah mudah-mudahan di syurga nanti ada pemuda-pemuda syurga yang menanti.

Jangan terlalu bersedih tatkala jodoh tidak kunjung tiba. Teruskan berbuat kebaikan dan memperbaiki diri. insyaAllah Dia sudah tentukan yang terbaik buat muslimah yang sabar dan taat pada-Nya.

Wallahu a'lam

~almisk

Friday, December 23, 2011

Belajar Menghargai




Ada sebuah kisah yang hendak saya kongsikan:
Pada suatu hari seorang anak bertengkar dengan ibunya mengenai satu perkara sehingga menyebabkan si anak keluar dari rumah sehelai sepinggang. Tanpa dia sedari, dia tidak membawa beg pakaian malahan beg duit sekalipun.

Ketika sedang berjalan tiba-tiba dia merasa lapar, dan sewaktu sampai bersebelahan dengan sebuah kedai makan, perutnya meminta untuk diisi. Tetapi dia berfikir bagaimana hendak makan kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

Peniaga kedai makan itu melihat anak muda tadi berdiri lama di situ, lalu dia bertanya: “Anak kenapa berdiri di situ? Nak makan ke?”.

Anak itu menjawab sambil tersipu-sipu malu:” ye pakcik, saya nak makan.tetapi saya tidak membawa wang”.
Lalu pakcik tersebut mempelawanya duduk dan dibawakannya nasi serta lauk-pauk yang menyelerakan.

Tiba-tiba anak muda tadi menangis, pakcik itu hairan dan bertanya. “kenapa menangis nak?”.
Dia menjawab: “Saya terharu, pakcik baik sangat dengan saya walaupun baru mengenali saya. Sebenarnya saya baru keluar dari rumah disebabkan berlaku pertengkaran dengan ibu saya. Walaupun pakcik baru mengenali saya, tetapi pakcik berkelakuan baik sahaja dengan saya malah memberikan saya hidangan untuk dimakan. Tetapi ibu saya walaupun sudah lama mengenali saya, tetapi sanggup kata pada saya: ‘jangan kamu balik lagi ke rumah ini”.

Pakcik tersebut menggeleng kepala lalu berkata: “anak, pakcik baru sekali ini sahaja memberikan sepinggan nasi. Tetapi ibu anak sejak dari kecil sudah memasakkan dan memberikan anak makan. Bukankah itu pengorbanan dan kasih sayang namanya. Pakcik yakin, ibu anak sudah tentu risau dan sedang menunggu kepulangan anak”.

Lantas si anak muda tadi bergegas pulang ke rumah dan melihat ibunya menangis dan sangat risau akan keadaan anaknya. Dipeluknya dan diajak makan nasi yang belum lagi dijamah dek kerisauan yang termat.

** Apa pengajaran dari kisah ini:
Sesungguhnya kita selalu lupa menghargai orang yang selalu berada bersama kita. Kita selalu menghargai orang yang baru datang dalam hidup kita. Oleh itu, belajarlah menghargai orang yang selalu bersama kita, bagi yang sudah berkahwin hargai suami atau isteri. Bagi yang belum berkahwin, hargailah ibu ayah.

Yang kedua, menghargai seseorang akan membuatkan orang itu mendapat sebuah semangat dan menjadi seorang yang hebat. Tidak sukakah kita merasa dihargai? Jika kita senang apabila dihargai orang lain, belajarlah pula untuk menghargai orang lain kerana hukum alam : kamu dapat apa yang kamu beri.

Yang ketiga, orang yang menghargai bermakna dia tahu asal usul atau sejarah kehidupannya. Lihat sahajalah contoh batu bersurat terengganu, dahulunya sebelum ditemui menjadi monumen sejarah yang berharga, batu tersebut menjadi tempat membasuh kaki kerana apa? Kerana manusia ketika dulu tidak tahu langsung bahawa ia ada nilai sejarah. Tetapi apabila sudah disingkap sejarahnya, maka diletakkan di tempat istimewa dinamakan sebagai ‘muzium’.

Oleh itu, belajarlah menghargai orang sekeliling kita terutama apabila seseorang sudah punya jawatan. Bertegur sapalah dengan makcik ‘cleaner’ di hadapan pejabat kita. Hulur senyuman dan sekali kala bertanya khabar.

Ustaz zahazan pernah menceritakan tentang seorang mursyid, kalau boleh disebutkan namanya (Dr Zulkifli al- Bakri), beliau selalu bertanya kabar apabila bertemu dengan ‘cleaner’ yang membersihkan ruang hadapan pejabatnya. Suatu hari, beliau tidak nampak kelibat ‘cleaner’ tersebut, lalu dia bertanya kepada pekerja lain. Rupa-rupanya dia sakit, lalu beliau terus melawat pekerja tersebut.

SubhanAllah, inilah juga akhlak yang Baginda SAW ajarkan kepada kita. Berbuat baik dengan sesiapa walaupun mereka pernah menyakiti hati dan jasad kita. Hargai orang lain, tentu kita akan dihargai.

Sekian.

p/s: penulisan ini bersumberkan kisah yang diceritakan pada slot motivasi pagi oleh Ustaz Badlishah di IKIM.fm. moga mendapat manfaat. Dan selamat beramal ^^,)

Thursday, December 15, 2011

Tarbiyyah Pencipta


Hampir 3tahun dalam dunia tarbiyyah, saya mula kenal apa itu usrah, dakwah fardi, kerja dalam jemaah dan banyak term yang tak pernah saya kenal sebelum menjejak dunia ini. Alhamdulillah, bila jatuh, ada yang mengingatkan. Bila kecewa ada yang menguatkan. Dunia tarbiyyah ini paling mengajar saya erti bagaiman untuk menjadi hamba-Nya yang boleh memberi sumbangan, mengajak orang lain pada kebaikan dan berusaha untuk jadi lebih baik dari semalam.

Nun jauh di sanubari saya, saya bukanlah manusia yang tiada dosa. Dosa-dosa yang berselirat pada jiwa dan jasad saya sangatlah banyak. Hingga malu pada Pencipta diri ini, apalah yang akan dibawa pulang ke sana nanti.

Sungguh saya akui, makin kita faham agama, makin kita cuba menjaga agama, kita akan diuji Allah swt dengan apa yang kita fahami, jagai. Dan yang paling hebat adalah apabila kita diuji dengan apa yang kita pernah sampaikan.

Saya percaya semua akan bersetuju dengan anggapan ini. Paling tidakpun kita akan diuji antara kehendak kita dan pilihan Allah. Kita mahu tapi Allah tidak takdirkan. Ataupun kita dapat apa yang kita mahu tetapi akibat berlama-lamaan dengannya membuat kita lalai dan makin jauh dari-Nya.

Sungguh sebenarnya dosa itu amat mencederakan hati. Itu yang saya alami dan semua manusia yang punya iman alami. Namun di sebalik semua itu bersyukurlah kerana itu tandanya Allah masih mahu kita ingat pada-Nya, Allah masih mahu kita bersihkan diri kita, bersihkan hati kita dari karat-karat jahiliyyah.

Sungguh saya juga tewas bila lalui ujian, apa yang mahu tak didapat. Tapi sebenarnya banyak lagi yang kita harap Allah sudah berikan. Hanya kita melihat yang satu itu sahaja yang kita amat harap-harapkan, yang kita sanjung-sanjungkan tak dapat lalu mula merasa kecewa dan bertanya kepada Allah.. kenapa aku tidak dapat apa yang aku mahu?

Mari muhasabah bersama kerana saya juga selalu tewas dan lupa hakikat sebenar ujian ini. Ia untuk jadikan kita sabar.

Sabarlah.. apa yang luput itu jika ia berupa manusia yang meninggalkan kita atau cinta yang disia-sia, kembalilah mencari cinta yang hakiki, cintai Dia, hanya Dia yang selayaknya kita letakkan kasih, pengharapan dan cinta yang menggunung. Sampai suatu saat kita akan rasa, bila cinta manusia menjauh, kita makin dekat dengan cinta Allah.

Jika yang luput itu harta, maka bersangka baiklah dengan-Nya. Mungkin ada sebab mengapa Allah luputkan harta dari kita. Ataupun mungkin kita tidak diberikan kekayaan untuk membeli rumah besar, kereta mewah adalah supaya kita merasa cukup dengan apa yang ada. Jika ada syukur, jika tiada pun syukur. Usaha mengikut apa dayanya.

Dan begitulah sebenarnya perjalanan hidup ini. Kita selamanya akan diekori dengan ujian, tapi jangan cuba melawan takdir, berusaha menghadapinya dengan sabar dan doa. Selalu fikirkan bahawa bukan kamu seorang melaluinya, malah ada yang lebih sukar diuji dengan kesusahan dan kesakitan tetapi mereka mampu bersabar.

Disebalik semua inilah bagaimana Allah sedang mentarbiyyah kita, mendidik kita menjadi manusia yang sangat kuat pergantungannya kepada Allah. Justeru, orang yang ditarbiyyah oleh Allah hidupnya tidak akan dirugikan dengan berkurung di bilik, tidak makan, bunuh diri.. malah dia akan cuba bangkit menjadikan ujian itu sebagai batu loncatan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Akhirnya, percayalah Allah itu sayangkan kita. Sayang dengan sangat-sangat sayang. Lalu kita ini, adakah kita membalasnya?

Mari kembali kepada-Nya, biar dosa dan maksiat itu di selatan nun menjauh ke sana kerana kita sedang melangkah mendekati Tuhan Kita menjauh ke utara.

Moga Allah redha..

wardah almisk