Pages

Sunday, September 25, 2011

Carilah Bahagia





“Luka ke?”

Saya bertanya seorang sahabat apabila tiba-tiba beliau menjerit kecil akibat sakit di bahagian tangan.

Sambil tersengih, beliau menjawab”Taklah, sikit je kena kat pintu nak masuk bilik tadi”.

Lega hati saya, tiba-tiba saya terfikir tentang sesuatu, dan kalam itulah yang muncul dari belahan hati saya.

“Betullah kan, luka yang di luar itu lebih mudah nak sembuh berbanding luka yang di dalam”.

Entah di mana saya meminjam kata-kata itu. Hakikatnya hanya yang pernah disakiti sahaja tahu apa itu erti sakit dan seakan disayat-sayat sembilu.

Lumrah kehidupan, saat kita punyai masalah kita amat memerlukan orang lain untuk mendengar masalah kita. Paling kurangpun mengurangkan beban di hati. Dan apabila orang lain punyai masalah, kita pula yang menjadi kolam hatinya.

Beban di hati itu lebih berat dibandingkan beban fizikal yang kita tanggung. Kerana beban fizikal yang kita tanggung itu suatu yang boleh kita kurangkan andai kita mahu. Samada mencampakkan sahaja atau membuang sedikit kandungan bebanan itu.

Tetapi beban di hati itu, rasanya seperti ada yang menghimpit rasa. Terasa andai disimpan sendiri, hanya airmata yang berjurai-jurai mampu mengurangkannya.

Rasa Kecewa, Sedih, Sakit

“Sabarlah, Allah sedang uji iman dan hati kamu”.

Hanya itu termampu saya katakan pada seseorang yang kecewa. Kita tidak boleh menghalang andai seseorang dihinggapi rasa suka, sebagaimana kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima hati kita.

Kerana hati itu bukan milik kita, kerana perasaan itu tidak boleh dipaksa, dan kerana cinta itu lahir dari saling merasa, maka hanya kepada yang memiliki hati kitalah sahaja tempat yang boleh kita minta. Pintalah dengan jalan istikharah. Usaha dengan jalan syar’ie. Andai Allah izinkan pastinya ada jalan yang Allah tunjukkan untuk ke tempat yang diharapkan.

Tetapi andai Allah tidak izinkan, janganlah berputus harap. Allah tentunya ada perancangan yang lebih baik lagi buat kita.

Ketika saya membaca tulisan Ummu Husna di blog beliau, saya seakan tersentak apabila tiba ke suatu hakikat. Hakikat itu memberitahu saya bahawa, hati yang indah itu adalah hati yang selalu disakiti, yang selalu dikecewakan.

Saya berfikir, mengapa hati yang penuh kesan luka itu lebih indah? Dan saya sampai kepada satu jawapan iaitu hati yang dipenuhi kesan luka itu lebih kuat dan lebih tabah.

Benar, apabila seseorang pernah merasa disakiti, dia belajar untuk menjadi orang yang lebih tabah, dia akan selalu cuba menghargai orang yang cuba memberinya bahagia, dia akan selalu bersyukur dengan segala yang ada.

Namun, pelajaran-pelajaran ini tidak akan didapati andai tidak belajar untuk sabar, tidak cuba untuk redha dengan ketentuan ilahi. Hanya sabar dan redhalah kunci untuk membuka pintu untuk ke darjat yang lebih tinggi lagi.


Cubalah Cari Bahagia

Apabila rasa disakiti dan kecewa, cubalah cari bahagia di sebalik duka itu. Pasti akan ditemui cebisan-cebisan hikmah ilahi.

Dan suatu hari nanti, pastinya rasa syukur itu akan selalu tersemat di hati kerana kita mula tahu bahawa Allah sedang menguji kita untuk lebih dekat dengan-Nya. Yang diberi perhatian itu selalunya orang yang dekat dan disayangi. Dan begitulah ibaratnya ujian, Allah berikan ujian kepada kita tanda kita ini mendapat perhatian Allah swt.

Dan akhirnya, teruskan mencari bahagia, walaupun kadang-kadang tersadung juga pada ujian. Bangkitlah menelusuri jalan kehidupan. Moga kehidupan selepas kematian itu lebih membahagiakan berbanding bahagia di penilaian mata dunia.

Friday, September 23, 2011

Mengadu Sepi


Tika manusia bersorak sorai di padang bola, tarik menarik tali layang-layang, ada pula yang gelak-tawa. Semuanya hanya di awang-awangan kerana hati seseorang sedang mengadu sepi.

Saat melihat insan lain bahagia, ada manusia yang dilanda duka dan kesedihan yang teramat. Sungguh, yang tidak nampak itulah yang sukar untuk ditebak. Dan yang sukar untuk ditebak itulah sukar untuk diubati.

Luka di luar mudah kan hilang, tetapi luka di hati bertahun-tahun kan dirasai kepedihannya.

Saat kita merasa sunyi, saat kita merasa dihinjak-hinjak dengan rasa cemburu dengan kebahagian yang mendahului orang lain dari kita, saat kita masih mencari titik perjalanan yang mencantumkan bahagia, apakah sudi kiranya kita mengenang kembali apa sebenarnya yang kita cari dalam hidup ini.

Kita hanya mencari bahagia yang membuatkan kita tersenyum puas, bahagia yang membuatkan hati kita berbunga-bunga, bahagia yang membuatkan kita tertawa, bahagia yang membuatkan kita merasai bahawa hanya dia yang sedang berbahagia di dunia ini.

Pernahkah kita mencari nikmat bahagia di sebalik kedukaan? Pernahkah kita menyelak kembali helaian-helaian kehidupan yang mengandungi kekecewaan?

Kita hanya melihat duka itu menyakitkan, kecewa itu hanya membuatkan hati disayat-sayat sembilu. Kita hanya melihat tidak mendapat apa yang kita mahu itu sesuatu yang merugikan.

Apakah kita pernah mengingat kembali apa yang Allah swt pesan melalui kalam suci-Nya yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." [ Surah al-Baqarah: ayat 216[

Ya, Allah lebih Tahu apa yang elok buat kita. Apa yang lebih membahagiakan buat kita. Ingatlah, Allah tak berikan kekecewaan untuk menjadikan kita merana, tetapi Allah mahu mengajar kita untuk tidak terlalu berharap dengan makhluk-Nya.

Jadi, marilah berjalan kembali. Jika kita sedang tersungkur, bangkitlah kembali. Cinta Allah sedang menanti. Hakikatnya, Allah sedang menunggu untuk memberikan cinta-Nya buat kita. Dan percayalah, hanya manusia yang mencintai Allah tergerak untuk mencari manusia yang mencintai Allah juga.

Dan setiap apa yang diciptakan untuk kamu, pasti akan dipermudahkan bagi kamu untuk mendapatkannya. Hanya yang pastinya, kita takkan terlepas dari ujian untuk mendapatkan sesuatu yang ditakdirkan untuk kita.

Yakinlah, suatu saat nanti pasti doamu akan terjawab. Teruskan mengadu sepi pada yang sudi mendengar, kepada Dia Yang Maha Mendengar. Biar airmatamu mengalir meminta dengan-Nya, janganlah lagi dibazirkan buat makhluk. Kerana nantinya kamu tidak akan mendapat apa-apa andai Allah tidak mengizinkan-Nya.

Thursday, September 22, 2011

Menulis Aksara Kehidupan


Gambar di atas menterjemahkan sesuatu buat saya. Ia masih kosong dan menanti untuk diisi dengan aksara-aksara yang bermakna.

Begitulah saya juga sedang dalam waktu menunggu, menunggu apa? Kertas hidup saya masih menunggu bermacam-macam perkara untuk dituliskan dalam aksara kehidupan. Dan yang terdekat, sedang menunggu hari untuk 'defend thesis proposal". Rasa gemuruh dan takut pasti semua orang akan rasai, dan itulah yang saya rasakan.

Saya teringat pesan Dr. Muhaya, "Apa yang hendak ditakutkan, sebab kita kena lalui juga nanti. Hanya bersedia, dan hadirkan diri lalu bercakap."

MasyaAllah, itulah yang saya sedang pegang ketika ini. Saya bukan seorang yang berani ke depan ataupun seorang yang 'outspoken', semenjak dari sekolah rendah sehingga ke zaman pengajian sarjana ini saya lebih selesa mendiamkan diri di kelas. Mungkin itu sifat semulajadi saya.

Kerana pada hemat saya, manusia ini Allah beri kelebihan masing-masing. Ada yang Allah lebihkannya bercakap, ada yang Allah lebihkannya dari segi menberi pendapat, hebat dalam penulisan dan sebagainya. SubhanAllah, indah bukan ciptaan Allah?

Dan kalaupun ini dianggap kelemahan saya, saya hanya mahu menghitung kesyukuran atas nikmat-nikmat lain yang lebih besar buat saya. Dan anda juga, carilah potensi diri kerana tahap kejayaan kita diukur pada jarak potensi kita sekarang dengan potensi kita yang sebenar.

Jadi, selamat mencari diri kita yang sebenar dan hargailah diri kita dengan selalu bersyukur atas kiriman nikmat Allah swt buat kita.

~almisk

Wednesday, September 21, 2011

Kemanisan Akan Hadir Setelah kepahitan


Hamdan lillah

Bersyukurlah, itulah yang perlu kita hitung dari sebanyak mana kesukaran yang kita tempuh. Selalu dengar ungkapan ‘aku diuji lagi’, dan lantas terduduk malah tersungkur di pasungan ujian itu.

Allahu Allah,

Allah uji sebatas kemampuan kita sahaja. Dia lebih Maha Tahu apa tahap kemampuan kita yang sebenarnya, walau kita menangis dan terbeban dengan seberat-berat ujian tersebut. Di hujung penantian bahagia, yakinlah bahawa Allah SWT sedang menjanjikan sesuatu yang lebih baik buat kita.

Ibu mana yang tega melihat anaknya menderita sakit, lalu dengan rasa kasih dan sayangnya ibu menyuap juga sesudu ubat yang pahit buat si anak walau si anak meronta-ronta tidak mahu menjamah kepahitan itu.

Apakah Ibu itu tidak sayang kepada anaknya? Adakah ibu itu menyuap ubat yang pahit untuk melihat anaknya lebih menderita?

Tidak bukan? Bahkan itulah tanda sayang ibu buat si anak. Si anak ketika disuapi memberontak kerana kepahitan yang teramat, sedangkan dia tidak tahu bahawa ubat yang pahit itulah bakal menyembuhkannya dengan izin Allah swt.

Jika ibu dilimpahkan rasa kasih, lagikan pula Allah swt yang bersifat a-Rahim. Dia Yang maha Pengasih, Yang maha Penyayang. Tidak sekali-kali Allah itu mahu membinasakan hamba-Nya.

Saat kita lupa dengan nikmat kehidupan, kita menjadi lalai dengan teman kita, kerja kita, pelajaran kita, ibuayah kita, suami atau isteri kita, anak-anak kita malah sekalian pinjaman Allah swt untuk kita.

Kita lupakan Allah swt sehingga membuat-Nya cemburu akan kita. Kita tidak lagi mengikut apa yang Allah suruh, malah kita membuatnya murka. Apakah layak untuk kita memalingkan diri dari pencipta kita sedangkan Dia-lah Tuhan yang mencipta, memberi, mencintai dan mengasihi kita?

Dan ketika cinta kita kepada yang lain melebihi cinta kepada-Nya, Dia datangkan ujian demi ujian untuk mengubati kelalaian kita. Bukan kerana Dia bencikan kita, tetapi Dia mahu mengingatkan kita tentang hakikat kejadian kita di dunia ini. Dia mahu menyelamatkan kita dari nafsu dunia dan terlempar kelak ke dalam kawah neraka.

Disapa kita dengan kepahitan ujian, lalu kita memberontak. Sedang kita tidak tahu sebenarnya kepahitan itulah bakal menjadi penawar buat kita.

Sedarlah wahai hati,

Allah itu menyayangi dirimu. Lantas, mengapa kamu mengeluh dengan kepayahan, kesusahan dan rasa derita ini. Hati kamu yang dikecewakan itu merasa disayat-sayat akibat pengharapan kamu kepada manusia. Dan sekarang baru kamu tahu bahawa kamu memang tidak boleh mengharap lebih kepada makhluk Allah.

Maka pintalah pada Allah swt sahaja, mengharap pada-Nya, merintih dengan sesungguhnya pada-Nya. Yakinlah, satu saat kamu akan merasa terlalu bersyukur kerana tidak mendapatkan apa yang kamu mahukan, tetapi sebaliknya kamu mendapat apa yang kamu perlukan.

Teruslah berharap kepada Allah swt, hanya Dia yang mampu memberikan apa yang terbaik buatmu. Ingatan buat diriku juga.

Moga kuat menghadapi ujian dunia.

~al-misk