Pages

Monday, August 22, 2011

Saksi Kita di Sana


“Ada tengok link yang atun letak kat Facebook. SubhanAllah, Syeikh Misyari menangis, makmum pun ikut menangis”.

Sham Irzatul, sahabat yang sama-sama mengambil pengajian Master di UIAM menjadi teman sembang saya di alam maya tika itu.

Malam tadi sempat membuka dan masyaAllah, hati saya tersentuh dengan bacaan yang dibaca oleh syeikh Misyari. Ayat-ayat Allah swt ini begitu menjerat hati saya pada rasa yang tidak keruan. Entah bagaimanalah nasib saya di sana nanti, pada hari mulut terkunci. Yang membisu hari ini menjadi saksi untuk segala-galanya.


Menjadi Saksi

Selama ini, kaki kita, pendengaran kita, penglihatan kita, anggota kita mengikut rentak hati kita. Tanpa melawan kehendak kita, mereka mengikut sahaja. Ke mana kita hendak melangkah, kaki mengikut arahan tanpa banyak bicara walau sebenarnya ia hanya redha dirinya di bawa ke tempat yang baik-baik sahaja. Penglihatan juga menjerit-jerit tidak redha apabila diasak oleh nafsu untuk melihat perkara-perkara yang tidak senonoh. Dan juga anggota-anggota yang lain, kesemuanya membisu di pandangan mata manusia, namun di akhirat kelak mereka mula membuka bicara.

حَتَّى إِذَا مَا جَاءُوهَا شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَارُهُمْ وَجُلُودُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (20) وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدْتُمْ عَلَيْنَا قَالُوا أَنْطَقَنَا اللَّهُ الَّذِي أَنْطَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (21) وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِمَّا تَعْمَلُونَ (22) وَذَلِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ أَرْدَاكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ (23)

Maksudnya: Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang telah mereka kerjakan. Dan mereka berkata kepada kulit mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit mereka menjawab: "Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai (pula) berkata, dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada kali pertama dan hanya kepada-Nya lah kamu dikembalikan". Kamu sekali-sekali tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu kepadamu bahkan kamu mengira bahwa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan. Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka kepada Tuhanmu, Dia telah membinasakan kamu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi. (surah Fussilat: ayat 20-23)


Ya, pada hari itu siapa lagi yang mampu menyembunyikan kesalahan-kesalahan yang kita pernah lakukan di dunia sekarang ini. Tanpa taubat, malah ada yang bertambah-tambah lagi kedengkelan sambil mengingkari hukum Allah swt, manusia terus takbur dan lupa untuk menjaga hukum Allah.

Hari ini, kita bangun dari tidur, memikir-mikir pakaian apa untuk dipakai ke tempat kerja. Adakah kita sudah meneliti bahawa pakaian yang akan kita pakai itu bebas menepati apa yang Allah gariskan dalam surat cinta-Nya, tidak berlebih-lebihan dan tiada unsur tabarruj atau menunjuk-nunjuk, tiada dedah sana-sini. Sudahkah kita memikirkannya jika kita seorang wanita.

Jika lelaki yang menjadi ketua keluarga pula, adakah kita sudah berfikir untuk menjadi pekerja yang amanah, tidak curi tulang, datang kerja awal dan pulang selepas waktu kerja demi menjamin rezeki itu halal dan anda sudah sepatutnya meraih gaji yang tersebut.

Tetapi, adakah layak kita memakan rezeki Allah swt itu andai sengaja lewat-lewat masuk kerja, ketika waktu kerja hanya berchatting atau ber’facebook’, atau curi tulang. Apabila waktu rehat kita ehat, apabila orang mahu kemas-kemas pulang kita juga kemas-kemas pulang. Kerja di pejabat tidak siap atau tertangguh. Bagaimana kita mahu menjawab di hadapan Allah swt nanti?


Jawablah dari hatimu dan perlakuanmu

Saya tidak menuding mana-mana orang sedangkan saya sendiri banyak salahnya. Saya hanya ingin ajak diri saya dan anda sama-sama muhasabah sejauh mana kita telah laksanakan tanggungan yang Allah swt amanahkan untuk dijawab di mahkamah Allah swt kelak.

Adakah kita sudah amanah? Adakah kita sudah menjadi muslimah yang benar-benar menjaga auratnya dan memelihara kesucian dirinya? Adakah kita sudah bernar-benar menjadi ibubapa yang mendidik anak-anak dengan bekalan ilmu Tauhid untuk mereka mengenal siapa Pencipta mereka? Sudahkah?

Kita boleh menjawab sendiri kerana saya yakin kita semua punyai jawapan itu. Jika kita malas untuk berfikir, saya tidak boleh berkata apa melainkan ingatlah, jika kita malas untuk menjawab dan memikirkannya sambil terus-terusan dengan kelalaian hati sendiri, di sana nanti pendengaran, penglihatan, kulit, kaki dan seluruh anggota akan tolong menjawab bagi pihak kita dengan sejujur-jujurnya.


Sebelum sampai di sana

Oleh itu, sebelum kita sampai di hari yang pasti itu, mari kita merubah diri kita, memuhasabah jiwa kita lantaran berapa banyak waktukah lagi yang masih kita ada untuk mengumpul bekal untuk ke sana kelak.

Saya akui sedang lemah dalam melalui ujian hidup ini, dan saya sedang cuba melaksanakan sebaik mungkin amanah yang Allah swt berikan. Dan antaraanya adalah dakwah, jom sampaikan walau sedikit. Biar nantinya anggota kita menjadi saksi terhadap apa yang kita telah lakukan.

Mari bergerak, berjalan dan berubah.

Sunday, August 21, 2011

Perkampungan Fitrah



Alhamdulillah pagi ramadhan yang ke-20, diberi kesempatan untuk terus mengabdi diri kepada Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha penyanyang. Satu tabiat yang menjadi kebiasaan saya sejak kecil adalah suka duduk di depan tangga.


Memandang sekeliling di waktu pagi, mata saya tertumpu pada seekor spesis tupai. Agak besar sedikit dari tupai biasa dan berwarna hitam. Nampak ia sedang asyik bermain-main di bawah pohon pelam epal sambil berpaut pada tangga yang tersandar di pohon tersebut.


Di masa yang sama, berlari-larian 2ekor tupai di atas tanah lalu terus memecut memanjat pohon jambu. Tersenyum saya sendiri lalu entah semena-mena kepala ni memikirkan dan hati pula berbisik:

“Alangkah bertuahnya tupai-tupai ini menjadi makhluk yang tiada taklif seperti diriku. Dia hanya hidup, tiada tanggungjawab yang berat seperti manusia. Tidak akan dipersoalkan di akhirat kelak tentang apa yang telah dilakukan di dunia.”


Entah boleh atau tidak saya berfikir sebegitu. Sememangnya itulah yang dirasakan bagi manusia yang banyak khilaf seperti saya, dan saya pasti di kalangan anda juga pernah terfikir sebegitu. Bukanlah bermaksud menafikan nikmat Allah swt yang telah memilih kita untuk menjadi sebaik-baik ciptaan, tetapi hanya mengenangkan betapa berat tanggungjawab seorang manusia menanggung seberat beban yang tidak dimahukan oleh gunung-ganang untuk membawanya.


Ingatkah kita terhadap firman Allah swt:

لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Surah al-Hasyr: ayat 21


Lihatlah apabila Allah swt berikan gambaran kepada kita tentang takutnya dan tunduknya gunung apabila diberikan al-Quran kepadanya lantaran rasa yang terlalu takut kepada Allah swt. Tetapi kita? Yang ada akal, setiap hari melihat ayat Allah swt, tetapi hati kita langsung tidak dilanda rasa yang teramat takut dengan Allah swt ketika bermaksiat kepada-Nya.


Saya hanya ingin mengajak untuk sama-sama muhasabah diri sendiri, banyak manakah kita sudah laksanakan apa yang Allah swt suruh, dan tinggalkan 100 peratus apa yang Allah larang. Kerana di situ letaknya bebanan tanggungan yang kita hendak jawab di depan Allah swt.


Saya bukan manusia yang bebas dari dosa, justeru saya juga penuh dengan palitan dan percikan dosa, saya suka untuk mengajak diri kita sama-sama kembali kepada tujuan kita diciptakan. Mustahil untuk kita diciptakan sia-sia, sungguh sesuatu yang mulia apabila diciptakan oleh Pencipta yang Maha Mulia, tentunya tujuannya sangat mulia juga. Untuk kembali ke Perkampungan Fitrah kita, iaitu "Syurga Yang abadi".


Jadi, mulai hari ini apa kata kita muhasabah diri kita setiap hari dan berusaha membuat persiapan untuk kembali ke perkampungan fitrah kita kelak insyaAllah.


Jom!!


~wardah almisk

Airmata Ibu


"Setitis airmata ibu

Yang gugur kerana kesedihan

segaris luka di hati ibu kerna kederhakaan

Tertutup pintu syurga

Jika tiada keampunannya

Azimat ini kutanam di lubuk hati yang dalam.."


Bait-bait lirik Fareast ini tersangat indah sehingga mampu menyentuh relung hati. Andai seorang ibu tidak kasihkan anaknya, sudah tentu lahir-lahir sahaja sudah dibungkus dan ditinggal di merata tempat. Kalau si ibu tidak kasihkan anaknya, tentulah ucapan ‘anak derhaka’ serta ‘laknat’ menimpa si anak.


Si ibu tidak pernah mengatakan ‘jahannam’ buat si anak. Tetapi si anak derhaka zaman ini semudah-mudahnya mengeluarkan kalimah tersebut buat seorang ibu. Astaghfirullah.. Di mana letaknya rasa cinta dan sayang terhadap ibu??


Lihatlah dan kenanglah betapa suci dan murni kasih seorang ibu sehingga sedaya upaya tidak mengucapkan perkataan yang boleh mendoakan sesuatu yang buruk buat si anak. Ibu tidak minta banyak, hanya mahu merasai kasih anak. Bertemu dan menatap wajah anak. Sesaat cuma sudah cukup baginya.


Menangis hati Ibu



Sebuah kisah yang tidak pernah saya saksikan di hadapan mata sendiri apabila seorang ibu yang dari kejauhan memandu kereta dengan penuh lelah dan letih tidak dihiraukannya menuju ke sekolah semata-mata untuk bertemu anak. Dari kejauhan sudah terlambai-lambai dan terkenang senyuman si anak. Namun alangkah kecil hati apabila sampai sahaja di sekolah, si anak tidak mahu bertemu dengan si ibu.


“Kenapa kamu tak nak jumpa mak kamu tadi?”. Seorang ustazah bertanya.

“Saja”.


Seusai pelajar itu berlalu, seorang ustazah lain tiba-tiba memberi respon, “Menangis ibunya dalam hati. Kita orang perempuan ni...”


Terputus di situ sahaja kata-kata ustazah tadi yang merupakan seorang ibu dan juga seorang nenek. Beliau tahu bagaimana perasaan seorang ibu, kerana itu kata-kata itu terluncur laju dari bibirnya.


Saya cuba memahami keadaan si anak. Tidak patut si ayah yang sudah berpisah dengan si ibu memburuk-burukkannya di hadapan anak. Ia merupakan didikan yang tidak wajar. Hak seorang ibu terhadap kasih-sayang anaknya juga perlu diraikan.


Tiket ke Syurga



Seburuk-buruk manapun ibu itu, dia tetap seorang ibu. Ibu yang mengandungkan si anak bukan sehari dua, namun berbulan-bulan dibawa ke sana sini dengan penuh hati-hati. Kemudian pula tiba masa melahirkan, menanggung pula kesakitan berhadapan dengan maut lalu disusukan anak itu. Semakin hari diasuh dan didik dengan baik.


Masih burukkah ibu ketika ini??


Tidak layak sungguh kata ‘benci’ itu ditujukan buat seorang ibu yang menjaga seorang anak dengan penuh kasih-sayang dan didikan yang sempurna.


Kasihan ibu tersebut. Walaupun beliau bekerja sebagai pramugari, tidak sepatutnya ia menjadi alasan untuk si ayah memburuk-burukkan si ibu lantas si anak pula membenci si ibu. Dia masih punya perasaan yang perlu dijaga, dia masih punya hati untuk diperhati dan juga dia masih punya sayang untuk diberi kepada anak yang sekian tahun dijaga.


Hakikat hidup ini terlalu ramai yang mensia-siakan tiket berharga untuk ke syurga. Tiba usia tua pula, ibu dibiar di rumah orang tua. Dijenguk tidak, dilawat tidak. Dibiar seorang diri menanggung rindu bersama teman senasib. Allahu Allahu..


Alangkah mulianya andai seorang anak lelaki yang menjaga ibunya tika sakit, segala keperluan si ibu Cuma dipenuhi dan berbakti tika akhir hayat si ibu. Allah merahmati kehidupan si anak soleh ini berkat kasihnya terhadap si ibu. Ibulah tiket kita ke syurga.


Berusahalah membahagiakan hati ibu setiap detik, bukan hanya pada satu hari yang dinamakan hari ibu sahaja.


Moga suatu hari nanti si anak dalam kisah tadi akan sedar bahawa ibunyalah satu-satunya tiket untuk dia ke syurga. Dan semoga kita semua sentiasa dikurniakan rasa kasih terhadap ibu dan ayah kita sehingga ke akhir hayat kita insyaAllah..


“Ya Allah, ampuni dosa-dosa kami serta dosa kedua ibu bapa kami serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kami kecil.. Amin”


wallahu a'lam

al-misk

Kembali

InsyaAllah, al-misk.blogspot akan diaktifkan semula.. Moga ada manfaat biiznillah ^^,)