Pages

Saturday, October 31, 2009

Dalam Melangkah


melangkah mencari arah
berlari mengejar pelangi
mengharung menongkah arus

kesekian semua hakikat
apa yang tersirat
apa juga tersurat
rentetan perjalanan
hayat insan
semua mengatasi takdir
walau rapinya tadbir

serahkan urusan
pada yang memiliki diri
yang memiliki hati
kita hanya manusia
andai bukan untuk kita
maka bukanlah untuk kita
andai memang untuk kita
maka memang untuk kita

indahnya sulaman doa
andai mutiaranya tawakkal
rantainya usaha
membuahkan hiasan yang indah
tenang hati memasak syukur
dalam teguh redha yang panjang


wardah uiam



Thursday, October 29, 2009

IMTIHAN: NUANSA Hati


Bismillahhirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kutuliskan nuansa hati yang sedikit berkecamuk sebelum menghadapi imtihan niha'ie -esok (30hb October 2009).. Mengharapkan diberi keampunan atas segala dosa dan perlakuan sama ada zahiriah atau batiniah..

Kesalahan zahiriah mudah dilihat dan diperbetulkan, namun kesalahan batiniah terlalu sukar.. Lantas diajarkan kita untuk selalu beristighfar agar dibersihkan kembali hati kita yang diselaputi noda-noda. Dan 'taubat' adalah pencabut noda tersebut.

Allahu Akbar.. Maha Pengampun Allah itu. Setelah diri menyakiti dan melakukan kesilapan, diampunkan sekian dosa yang banyak. Tidak cukup itu, diberikan pula hadiah berupa nikmat yang terlalu banyak.. Kalau saya bagaimana?? cukuplah sekali disakiti, sampai bila-bila ia akan teringat.. Itulah lumrah dan kurangnya manusia. apalagi sukar dilupakan, malah mahukah memberi lagi hadiah buat orang yang pernah menyakiti.. kerdilnya diri ini.

IMTIHAN NIHA'IE
Dr Iman menyelusurkan kata-kata terakhir buat kami di kelas ADILLAT AHKAM II, bahawa imtihan niha'ie (ujian akhir) yang sebenar adalah di akhirat nanti. Hakikatnya, ujian adalah setiap hari. setiap hari kita diuji dengan pelbagai dugaan, nikmat, kesenangan, kesedihan dan kegembiraan. Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah s.w.t menghadapi ujian dunia dalam perjalanan panjang menuju kehidupan abadi.

Semoga, kita sama-sama dapat melepasi ujian di akhirat nanti untuk menghuni syurga-Nya yang diidam-idamkan oleh orang-orang beriman..

Impian hati dalam teduh rahmat dan kasih-sayang-Nya, simpulan doa setia meniti di bibir:

"YA ALLAH, MATIKANLAH AKU DALAM KEADAAN HUSNUL KHOTIMAH.. YA ALLAH, LINDUNGILAH AKU DARI AZAB KUBUR, LINDUNGILAH AKU DARI FITNAH KEHIDUPAN DAN JUGA KEMATIAN.. YA ALLAH, KURNIAKAN AKU JIWA YANG BERTAQWA, DAN BERSIHKANLAH IA, SESUNGGUHNYA ENGKAU SAHAJA YANG MEMILIKINYA.. amin"

wallahu a'lam
wardah

Tuesday, October 27, 2009

Dalam Sepi

Dalam sepi
Bungkam bicara
Diamnya seribu erti
Dalam aksara yang terselam
Dari lubuk sebuah hati

Andai harum sekuntum seroja
Mampu mengirim makna
Tanpa perlu menutur harap
Yang hanya tersurat
Dalam tadbir manusiawi
Tidak lagi lidah perlu menutur
Tangan tidak perlu menulis
Hati tak perlu memendam
Namun segalanya perlu usaha
Kerna itulah indahnya
Tercipta sebuah doa

Dia Yang Maha Satu
Memahami sepi hati
sendiri di dunia
Dikurniakan rasa indah
Berupa kasih dan rindu
Melalui takdirnya
Dalam sanubari
Manisnya dirasa
Apabila talinya iman
Pasaknya taqwa
Tujuannya redho Ilah

Bagai pelangi yang indah
Hadirnya setelah hujan
Dalam rintik-rintik
Ia cantik menjelma
Menghadiah pelbagai warna
Menghias kuntum sepi hati

Kepada hati yang pernah kusam
Tercalar hebat dalam sebuah mehnah
Tersasar dari harapan
Terkecewa dengan janji
Bayangkanlah akan lakaran
Berupa pelangi indah
Yang punya jalur-jalur bahagia
Kerna hikmah mehnah
Umpama pelangi setelah rintik hujan
Menghadiahkan senyuman
Bahagia dari Tuhan


Wardah razali

Di ambang impian:
“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata”


Sunday, October 25, 2009

Rindukan...




Bismillahirrahmanirrahim

Beberapa hari sudah hati tidak tenang entah kenapa. Menunggu waktu solat maghrib di masjid, saya menaip kata-kata di handset:
“ rindukan ketenangan, kesejahteraan dan keampunan”
Namun saya tidak tahu mahu tujukan buat siapa. Tidak tahu mahu mengadu dengan siapa.

Ya, ia memang sebahagian lirik lagu ‘Rindu’ oleh Hijjaz. Tiba-tiba ia meluncur deras dalam relung hati saya. Mungkin saya rindukan untuk memiliki hati yang bersih, tenang dan merindukan keampunan Allah lantaran merasa sudah terlalu berat hati menanggung.

Allahu akbar..
Tiba-tiba Dia menghantar sebuah ketenangan apabila seorang teman menelefon dan bertanya khabar saya. Menganggap seolah-olah ia adalah keajaiban dalam hidup dan hari-hari kesedihan, saya menangis seusai mahu mengakhiri perbualan dengannya. Rupa-rupanya saya rindukan buah nasihat dari seseorang. Dan malam itu saya memperolehinya.


Alhamdulillah, syukur atas kurniaan Allah berupa seorang sahabat yang sudi mendengar segala keluh-kesah dan bersikap sangat baik dengan saya. seorang teman yang tidak jemu-jemu membasahkan lidah untuk menasihati saya. Walaupun kiranya saya akui, diri ini bukanlah di antara teman yang baik buat mereka.


Pagi ini, saya membaca sebuah artikel tulisan ustaz Pahrol Mohd Juoi. Saya menyenangi tulisan beliau yang santai dan bersahaja.
Nikmatnya Syurga Dunia

Baru saya memahami apa itu syurga dunia, ia adalah ketenangan hati. Sepertimana kata ahli sufi:

“Carilah syurga yang disegerakan di dunia (aljannatul Ajilah) yang berupa
ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi,
maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
“Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak harta. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa.”

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda lagi:
“Bukanlah dinamakan kaya itu kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan kaya itu ialah kaya jiwa.”

Kayakah saya dengan jiwa yang penuh redho, sabar, syukur dan berlapang dada tanpa menyalahkan diri sendiri, orang lain ataupun takdir sejurus menerima musibah. Kerana takdir itu mengatasi tadbir, ia membuktikan lemahnya manusia dan perlunya menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t setelah berusaha dengan sedaya kudrat yang ada.

Jika ditimpa musibah, dengan mudah lidah mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan.

Sebuah ucapan istirja’ yang mendidik kita menjadi hamba yang patuh, tabah dan berlapang dada dengan ketentuan. Sebagai hamba, bukanlah kemahuan kita menentukan apa yang kita akan perolehi, tetapi apa yang kita perolehi adalah kemahuan Allah untuk kita.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Boleh jadi kamu tidak menyenagi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu.
Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagi kamu. Allah
lebih mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)



Subhanallah.. bukankah ayat ini menenangkan hati ketika kita tidak memperolehi apa yang kita mahu dan impikan. Allah tidak akan memberi apa yang kita minta, tetapi pasti memperkenankan apa yang kita pinta.




Memberi dan memperkenankan itu berbeza:
Jika ‘memberi’ bermakna apabila kita meminta, maka segala yang kita minta akan diberikan sama ada ia baik ataupun buruk.

Namun jika ‘memperkenankan’ bermakna kita akan dikurniakan apa yang baik untuk kehidupan kita dunia akhirat walaupun ia bukan sesuatu yang pernah kita pinta.
Hakikatnya, kita hanya hamba. Sangat lemah, faqir, memerlukan dan meminta hanya kepada ar-Razzaq, ar- rahman dan ar-Rahim.

Wallahu a’lam

© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

“Haza min fadli rabbi”

Wednesday, October 21, 2009

Kias Cinta


Kias Cinta
Suhaimi (x-inteam)

Seandainya dunia tiada warna
Tetap kan kukagumi
Indah maya alam ciptaannya
Kudrat-Nya kuagungi

Namun jalin warna
Zahirlah sang pelangi
Menyisih mendung menambat seri
Terbias sebuah cahaya
Nyata ilham di alam mimpi
Betapa kusyukuri nikmatnya
Ku pasti...

Begitu kias cinta
Hadir menghuni jiwa
Menyatu sejuta rasa
Kurnia penuh bermakna
Tika dalam gelita
Atau sepi kembara
Dihadirkan rasa cinta
Sisih segala duka anugerah dari-Nya

Hanyalah cinta-Nya
Yang amat kuharapkan
Tiada lain yang jadi rayuan
Namun Dia Maha Mengerti
Tak mampu insan bersendiri
Menempuh dugaan yang menguji
Naluri...

Cinta kiasan cinta

Begitu kias cinta
Hadir menghuni jiwa
Menyatu sejuta rasa
Kurnia penuh bermakna
Tak akan kupersia
Limpah rahmat Yang Esa
Bagaikan jalinan warna
Yang menyulam cahaya
Biasan kasihnya

Moga tak diuji
Asyik cinta duniawi
Mengharap teduh redho ilahi
Kerna segala kurnia
Hadirnya hanya pinjaman
Sungguh kusyukuri kesempatan
Bahagia...



___________


Kiasan cinta Ilahi tergambar dalam biasan kurniaan dan helaian-helaian perasaan yang difitrahkan dalam diri insan. Seketika terjatuh dan tersungkur kerana kedukaan dan kekecewaan, terlukanya dan parahnya hati sehingga kolam airmata sudah semakin mengering.


Di saat ini, barulah diri benar-benar merasai bahawa cinta-Nya mengatasi segala-galanya.

Dia memberikan penawar dan mengubati duka hati dengan janji-Nya yang pasti.

Kembara hidup kita yang merasa keseorangan, Dialah yang setia menemani dan menghiburkan kesepian hati.
Dia menghulurkan kasih dan bantuan-Nya tika yang lain hanya melihat tersungkurnya kita di perjalanan kehidupan dunia.
Hanya Dia-lah yang sudi menerima cinta kita ketika keikhlasan hati yang pernah dihulurkan tidak dihargai oleh yang lain.
Subhanallah, ingin sekali untuk selalu merasainya. Kiasan cinta Ilahi sungguh agung. Izinkanlah ya Allah..


laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

Saturday, October 17, 2009

CINTA: Remaja Bertanya

“ Kak wardah, boleh nak tanya satu soalan”. Seorang adik dari sebuah sekolah bertanya.
“ Boleh”.
Adik tersebut menyambung:
“ Bila kita dalam suasana yang faham bahawa bercouple itu haram, macam mana kita nak terangkan kat kawan kita yang bukan berada dalam suasana tarbiyyah seperti kami sekarang. Bila saya cakap tentang itu, mesti dia akan menyoal semula,“ Takkan la nanti nak kahwin dengan orang yang tak kenal. Apa salahnya bercinta sekarang. Nanti kalau tak kenal, dapat suami yang teruk macam mana?”.


Opss.. saya terjebak dengan soalan sebegini lagi. Sungguh saya tidak tahu untuk menjawab. Berhadapan denga pelajar sekolah menengah atau remaja memang mencabar jiwa. Dahulu, daya pernah ditanya. Namun sebelum ini saya ditanya sebagai seorang guru. Tetapi kali ini, seorang kakak pula.

Seperti biasa, saya relate kan dengan ayat pengharaman zina dan janji Allah untuk pasangan yang baik. (Boleh rujuk surah al-Isra’:ayat 32, dan surah an-Nur ayat 26). Memang adik-adik ini bijak dan luas pemikiran, kerana itu mereka terus bertanya,
“ Tapi kan kak, mesti mereka dah biasa dengan alasan-alasan macam itu. Ada tak cara lain?”.



RAWAT AKAR
Seperti mana yang saya pernah terbaca dalam artikel ustaz Hasrizal (saya sendiri tidak ingat apa tajuknya), kita kena rawat dan cari punca melalui akar umbi.

“ Bagi sayalah kak, tak ada cara lain melainkan dia perlu berada dalam suasana tarbiyyah. Apabila dia sudah ada dalam suasana tarbiyyah, tentulah mudah untuk dia memahami macam mana yang kita faham sekarang”.

PERANAN RAKAN SEBAYA
Benar juga apa yang adik itu katakan. Saya mengiyakan. Jauh di sudut hati saya, bertuah sungguh jika ada ramai lagi generasi muda seperti mereka. Semoga kesan tarbiyyah itu, mereka boleh menarik teman-teman mereka di luar sana untuk berada bersama-sama dalam tarbiyyah. Bersama-sama memahami konsep halal dalam perhubungan dan tidak tertipu dengan ‘cinta monyet’ (marah si monyet, dia juga mendapat nama).

“ Betul tak, rakan sebaya memainkan peranan”. Ulas seorang adik lagi.
Saya mengangguk.




Dakwah itu ada peringkatnya. Cuba bayangkan andaikata hendak membentuk besi yang sedia keras, bolehkah kita membengkok hanya dengan menggunakan tangan? Mengetuk dengan tukul. Tentu natijahnya tidak menjadi, malah bukan akhirnya menjadi apa yang kita mahukan, tetapi bertukar menjadi lebih teruk. Sama ada besi itu buruk membengkok ataupun tangan kita sakit. Tapi cuba nyalakan api, dan bakarlah besi itu di nyalaan api sehingga nampak nyalaan merah membara. Setelah itu, tempalah ia mengikut apa yang mahu dibentuk. Untuk jadikan pisau, pedang atau apa-apa sahajalah. Rumit dan payah kan, tapi kerjanya tersusun. Hasilnya pun kita dapat.

“ Macam itu juga rakan-rakan adik yang di luar sana. Mereka sudah jadi seperti besi yang keras. Untuk membentuk mereka, adik-adik perlu mempunyai perancangan dan persediaan yang terancang.

Kita mesti ingat bahawa mereka tidak berada dalam suasana tarbiyyah seperti adik-adik, dan kefahaman mereka sudah kelam akibat dikuasai oleh kefahaman sebegitu sejak bertahun-tahun. Bercouple hanya untuk bersuka-suka. Ada yang memberi alasan mencari dari sekarang, takkan nak berkahwin dengan orang tak kenal.

Harus diingat, Islam tidak langsung menganggap bahawa berkenalan sebelum berkahwin adalah sesuatu yang haram. Berkenal-kenalan dahulu mengikut batasan yang ditentukan. Yang menjadi kesalahan adalah apabila jalan dan cara yang digunakan itu bertentangan dengan kehendak Islam sehingga membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. Wali'yazubillah..

Teringat suatu ketika seorang sahabat memberitahu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa dia akan berkahwin, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya : “kamu sudah lihat atau belum wanita itu”. Sahabat menjawab: Belum. Lalu Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam menyuruhnya untuk melihat dahulu.

Apa yang diperintahkan oleh baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah sebagai tanda bahawa tiada salahnya berkenalan sebelum berkahwin. Malah diharuskan melihat wajah calon isteri sebelum bersetuju untuk berkahwin.

Apa yang terpesong dalam fahaman sekarang adalah, mahu bercinta seusia remaja dan kenal hati budi sehingga tidak ada rahsia lagi antara keduanya. Sanggup keluar berdua-duaan atas kerana cintakan pasangan yang belum halal lagi.

Satu persoalan, pastikah boleh dikenali hati budi bakal pasangan yang menyembunyikan kerahsiaan diri dan penuh kepura-puraan. Adakah semuanya dilihat perfect di mata seorang wanita ataupun lelaki kepada kekasihnya. Sempurnakah? Entahlah, semoga saya tidak tertipu nantinya.

Pensyarah saya pernah berkata, lebih kurang begini:

‘Betulkah bercinta dulu boleh kenal hati budi sebab saya rasa masa bercinta ni
semuanya manis-manis belaka. Pijak semut pun tak mati. Semua benda nak bagitahu sampai tak ada rahsia lagi. Lepas kahwin nanti, baru tahu baik buruk suami atau isteri itu. Masa itu mulalah rasa menyesal dan pelbagai lagi. Kamu kena ingat, kamu takkan boleh kenal sikap sebenar lelaki itu kecuali bila kamu dah duduk serumah dengannya. ’.

Betul juga bila difikir-fikirkan. Rumit benar soal ini. Saya tidak pandai-pandai. Memang lah saya belum berkahwin, tapi yang beri saya nasihat itu adalah seorang yang sudah berkahwin. Dan ia memang benar-benar pernah berlaku dan diceritakan kepada saya tentang berbezanya sikap pesangannya sebelum dan sesudah kahwin. Jika dahulu romantik, selepas berkahwin sebaliknya pula. Menyesal... sungguh, jangan sesekali begitu. Berdoalah selalu semoga mahligai itu kembali menjadi seperti kebun syurga’.


HATI REMAJA

Menurut Ustaz Pahrol, cinta itu adalah gabungan perasaan, komitmen dan matlamat. Tentu sahaja apa yang remaja sekolah hadapi ketika ini hanya perasaan semata-mata yang boleh dan senang berubah. Ia sesuatu yang biasa, ‘suka’ kepada sesuatu yang indah. Namun, di tahap ini mereka masih belum ada matlamat dan komitmen untuk merealisasikan makna cinta.Merelisasikan makna cinta yang berlandaskan cinta kepada Allah adalah melalui ikatan pernikahan. Di tahap ini, tentu mereka belum sampai kepada tahap memahami dan bersungguh-sungguh mahu dan mampu melaksanakan tanggungjawab.

Secara ringkasnya, mengapa cinta di tahap ini dikatakan ‘cinta monyet’? (maaflah monyet, terpaksa menggunakan nama ini sekali lagi). Kerana mereka hanya ‘perasan’, bukan perasaan, malah masih tiada matlamat dan komitmen.

Baiklah, berbalik kepada soal cinta remaja, tentu sahaja pemikiran sebegini kita tidak boleh buang terus, tetapi perlu digilap dan dibersihkan perlahan-lahan. Dekatilah mereka, tunjukkan peribadi dan keprihatinan kita kepadanya. Jemput dia datang ke rumah. Ajak makan bersama-sama, sehingga dia rasakan kita ini temannya yang rapat dan boleh berkongsi apa juga cerita.

Ketika ini, barulah adik-adik boleh memberi sedikit pandangan dan buah nasihat kepada mereka. Mungkin mereka tidak dapat menerima, namun percayalah mereka akan mula memikirkan rasionalnya. Kita tidak boleh berkasar kerana ia akan membuatkan kekeliruan yang bertimpa-timpa”.

STRATEGI BERDAKWAH
Itu stategi dakwah yang saya faham. Dahulu, saya selalu bertanya kepada diri sendiri tentang cara berdakwah. Saya tidak punya kelebihan bercakap dan berdebat tentang agama. Bagaimana saya mahu berdakwah dengan orang bukan Islam tentang keindahan Islam.

Jika saya terus katakan “masuklah Islam” di saat kali pertama berjumpa, apakah yang anda fikirkan akan berlaku pada saya dan ‘si fulan’ yang bukan beragama Islam itu?

Aduh.. sudah tentu dia akan memaki hamun saya dan tidak mahu terus berjumpa dengan saya. Namun, apa kata jika saya berkenal-kenalan dengannya. Menjemput untuk makan bersama, memberinya hadiah dan menghadiahkan senyuman. Berakhlak dengan akhlak yang baik, sudah tentu ia akan menggambarkan di hatinya bahawa indahnya Islam itu.

Subhanallah.
Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh ustaz Pahrol Mohd Juoi tentang strategi berdakwah.
Ketika beliau menaiki teksi, beliau ditanya oleh seorang pemandu teksi.
“ Bagaimana saya mahu berdakwah sedangkan saya hanya pemandu teksi”.
Ustaz Pahrol bertanya semula, “ Apa yang saudara fikirkan untuk itu”.
Pemandu teksi itu menjawab, “Perlukah saya memasang bacaan al-Quran, menampal poster yang baik-baik”.
Ustaz pahrol memberi respon, “ Apakata, kalau saudara membawa teksi dengan cermat. Meminta bayaran mengikut sepertimana harga di meter. Berbudi bahasa dan menunjukkan akhlak yang baik”.

Kisah ustaz Pahrol inilah yang saya jadikan sebagai buah fikiran dalam strategi berdakwah. Berdakwah bukan hanya bercakap, namun berdakwah dengan perbuatan dan juga perlakuan. Tunjukkan akhlak yang mulia, terserlahlah keindahan islam. Tentu ada yang terpikat dengan kelembutan dan ketulusan orang yang benar-benar ikhlas.

BICARA CINTA
Jawapan saya terhadap adik-adik tersebut mungkin tidak jelas kerana pertemuan kami yang terlalu singkat. Jika saya diberi peluang, saya ingin sekali hadiahkan mereka sebuah buku tulisan ustaz Pahrol Mohd Juoi berjudul “Tentang Cinta”. Tentu mengurai permasalahan dan kebuntuan mereka. Sepertimana ia pernah mengurai kebuntuan saya dan sekian ramai teman saya sebelum ini.

Buku 'Tentang Cinta'- Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Alhamdulillah, dibukakan hati untuk memahami apa itu Cinta yang sebenar. Bukan semata bertutur ‘aku cintakan Allah’, tetapi turut merasai dan melaksanakan apa itu makna cinta yang sejati. CINTA adalah perasaan, matlamat dan komitmen. Jika anda mahu lebih tahu, bacalah buku ini atau jika mahu, saya dengan senang hati bersedia meminjamkannya.

Semoga kita diberi taufiq dan hidayah-Nya. Amin..

Wallahu a’lam

__________
Sebahagiannya perbualan di atas tidak termasuk dalam perbincangan bersama adik-adik sekolah menengah tersebut, saya mengulas sedikit di sini dalam bentuk dialog sambil merujuk buku 'tentang cinta'.

© Lama asal: jalan-sehala.blogspot.com

Thursday, October 15, 2009

Cerita Tentang Buku

Seusai membaca artikel di SaifulIslam.com, saya teruja dengan tulisan ustaz ini. Apa-apa yang mengulas tentang minat terhadap buku pasti saya akan baca.

Saya suka melihat perpustakaan peribadi yang cantik tersusun dengan kitab-kitab yang berjilid-jilid. Subhanallah, saya menginginkan perpustakaan seperti itu. Saya selalu berangan, jika saya ada duit banyak, saya akan membeli semua kitab-kitab dan buku yang saya inginkan.

Pernah saya terbaca di majalah I tentang perpustakaan Kapten Hafiz. Terlalu kagum dengan susunan di perpustakaannya. Beliau mengatakan, modal utnuk membeli kitab-kitab tersebut menyamai dengan harga sebuah kereta ‘sport’.. masyaAllah..

PENYAKIT YANG PERLU DIUBATI
Tetapi, ada penyakit yang perlu diubati. Saya tidak katakan kepada orang lain kerana ia penyalit yang ada pada diri saya sendiri.

"Penyakit suka membeli tapi tidak dibaca"

Saya cuba mengubah sikap saya. Dek kerana kesibukan ataupun mempunyai medium elektronik lain menjadikan pembacaan terhadap buku merupakan pilihan yang terkemudian.

Secara peribadi, walaupun sudah terdapat kitab-kitab elektronik seperti Maktabah Syamilah yang menghimpunkan beribu-ribu kitab, bagi saya membaca buku yang boleh diselak dan disentuh lebih mudah dan lebih faham. Walaupun penat, saya boleh melipat ataupun menanda dibahagian muka surat tersebut dan memilih masa lain utnuk sambung membaca. Itu sisi kelebihan yang saya nampak.

Di sisi kekurangan pula, ia memerlukan modal yang banyak dan bagi orang yang benar-benar mempunyai wang ataupun setelah mengikat perut untuk membeli kitab-kitab pilihan sahaja yang akan memiliki buku-buku yang banyak.

Adapun, bahan bacaan elektronik mempunyai kesan yang sebaliknya. Saya amat dan terlalu cepat penat membaca e-book ataupun bahan bacaan elektronik. Lagi pula, ia tidak boleh dilipat seperti buku. Jika perlu ditangguhkan masa membacanya, saya terpaksa mengingat mukasurat. Jika terlupa, maka jangan berharaplah untuk saya membukanya kembali.

Kelebihan lain membaca buku yang asli, saya boleh membuat catatan atau sedikit tulisan di halaman tersebut. Oleh itu, rujukan menjadi lebih mudah. Dan saya pasti ia tidak saya dapati melalui pembacaan elektronik.

Apapun kelebihan dan kekurangan sama ada ianya buku asli ataupun elektronik, pada saya yang penting adalah keinginan membaca.

BANYAK MANA MANFAAT
Saya memetik sedikit dari artikel ustaz Hasrizal, katanya:


“Buku, biar sehebat dan sepenting mana pun ia, dan sedalam mana pun cinta kita
kepadanya, ia tetap sekadar alat. ‘Orang tengah’ pada menyampaikan kita kepada ilmu. Namun akhirnya, berbalik kepada persoalan berapa banyak ilmu itu berjaya
diadun menjadi manfaat untuk diberikan kepada umat dan mengisi keperluan
mereka?”

Terkena batang hidung sendiri. Banyak mana pun buku saya, adakah saya berjaya mengadun ilmu-ilmu tersebut untuk menjadi manfaat buat saya dan orang lain. Allahu akbar.

KREATIFNYA ULAMA’ KITA
Terasa kagum dengan peranan dan usaha ulama’-ulama’ terdahulu. MerekA bukan sahaja ilmuan, malah kreatif dalam penyususunan bab di dalam sesebuah buku. Semuanya untuk memudahkan saya dan anda untuk membaca dan memahami apa yang cuba disampaikan kepada kita.Semoga diganjari semua usaha dan keikhlasan mereka. insyaAllah.

Teringat ketika ditanya apa hobi saya? Tentu saya akan katakan saya suka membeli buku. Jika ke kedai buku dan ada sedikit wang, saya akan mencapai beberapa buku yang menarik. Tidak kisahlah sama ada ianya novel, motivasi ataupun apa jenis bacaan. Yang pasti insyaAllah memilih yang bermanfaat.

Secara jujurnya, saya selalu berfikir, baguskah mempunyai hobi seperti itu? Kerana di sisi lain, saya selalu jarang dapat menghabiskan bacaan buku-buku saya. sehingga ibu saya pernah bertanya kepada saya, “Kitab-kitab ni bila nak baca?”. Sambil melirik kepada kitab-kitab yang saya kirim melalui seorang teman di Mesir.

Saya suka koleksi tersebut kerana ia mnegingatkan saya kepada sahabat baik saya (Nur Sazrina) yang menuntut di Iskandariah, Mesir. Alhamdulillah, beliau akan pulang ke tanah air bulan ini. Kitab-kitab di sana menurut teman saya murah. Setelah dia menawarkan diri untuk membelikan kitab-kitab dari sana, saya mengirim beberapa buah kitab yang saya inginkan.

Saya menjawab, “insyaAllah, akan jadi sebagai rujukan nanti”.
Itu jawapan untuk setiap yang bertanya kepada saya seusai melewati bilik dan melihat himpunan kitab yang pelbagai. Tidaklah banyak, saya masih mengumpul dan membeli jika ada sedikit peruntukan.

Saya berharap, kitab-kitab tersebut dapat saya manfaatkan untuk diri sendiri dan umat Islam pada masa akan datang insyaAllah.

Benar kata ustaz hasrizal, setiap buku mempunyai cerita tersendiri. Saya juga begitu. Dan tidak perlulah saya merungkaikan kisah-kisah tersebut di sini kerana memanjangkan lagi tulisan ini.
Begitulah sedikit kisah tentang buku. Bukan cerita tentang orang, haiwan ataupun gossip. Hanya sekadar berkongsi perasaan tentang buku.

Bercerita untuk sesiapa yang sukakan buku juga. semoga jika tiada harta untuk ditinggalkan, saya punya buku untuk diwariskan dan berharap ada yang menngambil manfaat darinya.
Wallahu a’lam

© Lama asal: jalan-sehala.blogspot.com

Sunday, October 11, 2009

Jalan Pulang


Jalan Pulang
Syifa’ & Saujana

Di sepertiga malam
Terimbau kisah lama
Di sudut mata hati
Terlintas segala
Noda-noda yg lalu
Bagai laut tak bertepi
Takut mencengkam diri
Dimana jalan kembali

Cintaku padamu
Walau jauh tersimpang terkandas
Tetap kumencari
Cintamu padaku
Tunjukkalah jalan pulang
Lebarkan lembayung rahmatmu
Dengan cahaya imanmu oh tuhan

Ya Allah ya tuhanku
Bagaimana harus ku tebus dosa-dosaku
Tak sanggup aku menjadi
Daun kering ditiup angin
Di padang mahsyarmu oh tuhan

Ya Allah ya tuhanku
Sucikanlah titik hitam di dalam jiwaku
Tak sanggup aku menjadi
Daun kering ditiup angin
Di padang mahsyarmu oh tuhan

Taubatku
Terima taubatku
Ampuni dosaku
Agar dapatku mencari jalan pulang

____________

Mencari jalan pulang setelah terkandas di pertengahan jalan.Jika hati sudah tidak terkesan dengan dosa-dosa lalu, petanda hati dipenuhi noda-noda. Astaghfirullahal azhim.. Mulalah memohon sebanyak-banyak keampunan dari yang Maha Pengampun, Yang maha Memberi Rahmat-Nya. Memohon hati yang baru jika sudah terlalu kotor. Ya Allah sucikan kembali hati ini.



اللهُمَّ آتِ نَفْسِيْ تَقْوَاهَا َوزَكِّهَا أنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا أنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: Ya Allah, berikanlah ketaqwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya.

© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com
WardahRazali

Saturday, October 10, 2009

Matang: Belajar Dari Yang Muda

Kali ini adalah kali kedua atau ketiga menjadi naqibah dan bertemu dengan adik-adik dari SBPI (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi) Gombak. Pertemuan demi pertemuan begitu mematangkan saya. Saya rasa bersyukur kerana diizinkan Allah bertemu dengan adik-adik yang juga naqibah sekolah. Mereka adalah dikalangan pelajar yang bijak dan sangat petah berbicara.

Lagi sekali hari ini saya bersua dengan mereka. kali ini saya mengenali 6orang pelajar tingkatan 4, ada diantaranya saya kenali melalui program Insaniah Camp bulan Februari lalu, dan usrah yang lalu. Pertemuan tersebut meninggalkan bekas-bekas rindu yang saya tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Agaknya inilah manisnya ukhuwwah. Alhamdulillah..

Mereka sudi berkongsi cerita pengalaman pahit manis kepada saya walaupun hanya baru 30minit berjumpa. Entah, saya sendiri tidak tahu mengapa mereka selesa berbicara dalam kumpulan sebegitu walaupun baru mengenali saya.

Terlalu banyak yang saya belajar dari mereka. Airmata saya hampir mengalir dan saya kagum kerana hati mereka yang begitu lembut dan tabah sehingga mata-mata mereka mengalirkan air jernih seusai mendengar kisah teman-teman lain.

Kisah 1:
Saya belajar bahawa sesungguhnya saya bersyukur kerana saya punyai baju raya, dan malam hari raya baru-baru ini, saya boleh memasak ketupat, rendang dan kuih raya. Sedangkan ada anak usrah saya tidak punyai baju raya dan kuih raya ketika malam hari raya baru-baru ini.

Dia menangis melihat ada yang sanggup menipu ayahnya dalam perniagaan, sedangkan ayahnya tidak pernah melakukan sebegitu rupa kepada orang lain. Malah jika terdapat orang susah, ayahnya sanggup menolong dan membantu orang tersebut.

Sebagai anak sulung, dia menenangkan adik-adiknya dan ayahnya mengatakan “Tak mengapalah, rezeki itu dari Allah”.

Anda tahu, apa yang terjadi pada malam yang sama??
Ya, Allah menghantar seseorang untuk membantu keluarganya. Ada orang datang ke rumahnya membayar payment dan orang tersebut meminta maaf kerana terlambat membayar.

Subhanallah.. sesungguhnya hanya Allah s.w.t yang memberi rezeki.
Saya tersentuh benar melihat kesungguhan dan pengorbanan ibu ayahnya dan apa yang dilakukan ibu ayahnya memberi kesan didikan kepada anaknya tersebut. Anaknya mempunyai azam untuk belajar bersungguh-sungguh dan membantu ibuayahnya suatu hari nanti.



Keindahan bertawakkal kepada Allah s.w.t


Kisah2:
Pada suatu hari, adik ini diminta ayahnya untuk urut belakang badan. Adik ini mengatakan, “Ayah, malam ni boleh tak sebabnya adik rasa penat sikit”.
Ibunya pun mengatakan, “Ha’ah adik, kesian ayah. Tolonglah picitkan belakang ayah tu. Ibu picitkan tadi tapi katanya tak sedap”.
Adik tadi pun menjawab, “Malam ni ye ayah”.

Anda tahu apa jadi malam itu?
Ketika adik tadi lalu untuk masuk ke dalam bilik air di bilik ibuayahnya, dia melihat ayahnya baring dan seperti menarik nafas dalam. Rupa-rupanya nyawa ayahnya sedang dicabut oleh malaikat maut. Dan itulah kali terakhir dia bertemu ayahnya, dan ingatkah anda tentang apa yang ayahnya minta siang tadi?
Itulah permintaan ayahnya yang terakhir, dan adik tadi tidak sempat memnuhi permintaan ayahnya..


Allahuakbar. Adik tadi terlalu terkesan dengan semua itu dan pesannya kepada sesiapa, tunaikanlah apa juga permintaan ibuayah walaupun kita dalam keadaan penat dan susah sebab kita tidak tahu bilakah permintaan terakhir mereka.


* * *


Ini antara kisah yang dikongsikan oleh adik-adik. Ada kisah-kisah lain, namun cukuplah dua kisah yang menjadi pedoman dan pengajaran buat diri saya sendiri.

Setelah mendengar semua kisah hidup mereka, saya belajar bahawa setiap orang ada ujiannya masing-masing. Saya bersyukur kerana saya boleh mendapat apa yang saya mahukan jika saya minta dari ibubapa saya walaupun saya bukanlah dari keluarga yang senang. Namun, ada antara insan lain yang kurang bertuah daripada saya.

Saya bersyukur kerana saya masih punyai ibuayah. Saya masih boleh memenuhi permintaan mereka jika mereka minta. Saya masih boleh menyalami dan memeluk serta mencium tangan mereka. saya masih boleh bertanya khabar dan bertanya itu ini kepada ibuayah saya.

Namun ada insan lain yang telah dijemput ibuayah mereka, tidak berkesempatan lagi untuk mencium, menyalami dan memeluk ibuayah kerana mereka sudah tiada. Tiada lagi insan bernama ibuayah untuk ditanyakan khabar dan ditanyakan itu ini melalui telefon. Hanya yang tinggal kenangan dan kubur yang menjadi ingatan kita kepada kematian yang bakal menjemput.


Subhanallah
Tiba-tiba saya teringatkan ibuayah saya di kampung. Sudah lama saya tidak bertanya khabar mereka berdua. Saya kagum dengan adik-adik tadi kerana mereka lebih matang dari saya. Sesungguhnya ujianlah yang mematangkan mereka. Alhamdulillah.

Saya berharap saya boleh belajar lebih lagi dari mereka tentang erti hidup. Walaupun mereka lebih muda dari saya, sesungguhnya selayaknya saya belajar dari sesiapa selagimana ianya boleh membawa saya kepada kebaikan.

Semoga mereka dan saya kuat menghadapi ujian-ujian hidup. Terima kasih ya Allah di atas segala kurniaan ujian dan kesabaran dari-Mu.. Bantuan-Mu dalam meneguhkan hati hamba-hamba-Mu terlalu didambakan. Sungguh aku sendiri tidak kuat jika Engkau tidak sudi mendampingiku ya Allah. Ruginya aku jika Engkau jauh dariku.. Allahu Rabbi..



يا مقلب القلوب ثبت قلبوبنا على دينك
Maksudnya: wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkan hati kami dalam agama-Mu





© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com
NorWardatun Razali

Friday, October 9, 2009

Al-Banat (anak-anak perempuan) : Penghijab Dari Api Neraka

Jahilnya Jahiliyyah

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:



" Padahal apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam) dan dia sangat marah.
Dia bersembunyi dari orang banyak disebabkan khabar buruk yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan( menanggung) kehinaan atau akan membenamkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ingatlah alangkah buruknya (keputusan) yang mereka tetapkan itu"- (surah an-Nahl:58-59)



Monolog Hati:
Anak-anak perempuan
Mereka pernah dianggap pembawa malang
Dibenam ditanah tanpa rasa belas
Tangis rayunya tidak didengar
Senyum tawanya dianggap hina
Kerna menahan malu
Sanggup membuang anak ke perigi
Ditimbus dibiar tanpa menoleh
Jahilnya mereka itu
Disebabkan kejahilan ini
Pernah manjadi sesalan buat saidina Umar
Apabila mengenang anak perempuannya
Yang dibunuh tika jahiliyyahnya dulu
Sesungguhnya ketahuilah
Bahawa anak perempuan bukan sialan
Tidak dan tidak sesekali
Mereka sama seperti anak lelaki
Amanah di dunia
Buat ibubapa mencoraknya
Mereka terlalu istimewa
Istimewa dan terlalu istimewa...






Masinnya mulut ibu
Saya membuka sedutan ceramah ustaz Abdullah Khairi yang berkisar tentang kehidupan dan kematian. Antara isi kandungan ceramah beliau adalah tentang betapa ‘masinnya’ mulut seorang ibu, kerana itu seorang ibu seharusnya menjaga mulutnya dari mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak-anak.

Di dalam ceramah tersebut terdapat sebuah video yang ditayangkan. Kisah seorang ibu yang mengandung. Ibu tadi mempunyai dua orang anak perempuan. Dia menyangka anak yang dikandungnya adalah anak lelaki, tetapi apabila diperiksa, didapati anak tersebut anak perempuan. Bagaimana perasaan ibu tadi?? Kita lihat kata-katanya apabila ditanya:

“Kakak, anak lelaki atau anak perempuan?”
Ibu tadi menjawab, “Aku mengandung anak ular”.

Ya Allah..



Apabila tiba sahaja masa dilahirkan, alangkah terkejutnya apabila anak yang dilahirkan tersebut sungguh-sungguh menyerupai ular. Kulit dan sebahagian anggota bayi tersebut sungguh-sungguh menyerupai ular.

Allahu Rabbi, saya melihat bayi kecil tersebut bergerak dan menangis. Kasihan melihatnya tersebut. Namun tidak lama selepas itu, bayi tersebut meninggal. Saya berfikir bagaimanakah bayi tersebut mahu hidup dan membesar? Mungkin kerana itu Allah tidak mengizinkan bayi tersebut untuk hidup lama.

Sepertimana terdapat dalam sebuah hadith, sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan bagi Maskh keturunan dan anak..”

المسخ : bermaksud diubah rupanya menjadi seperti haiwan
Bermakna manusia yang diubah rupanya menjadi seolah-olah seperti haiwan tidak akan melahirkan keturunan disebabkan sekiranya ia lahir ke dunia, ia akan meninggal dunia.

Sedikit ta’liq dari hadith tersebut:

Sepertimana kita ketahui Allah s.w.t telah mengubah rupa kaum Yahudi yang melanggar perjanjian hari Sabt melalui firmannya:



وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ فِي السَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ


Maksudnya: Dan sungguh kamu telah mengetahui orang-orang yang melakukan perlanggaran di antara kamu pada hari Sabat, lalu kami katakan kepada mereka, “jadilah kamu kera yang hina” (al-Baqarah:65)




Sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang kewujudan mereka yang telah diubah rupanya menjadi kera dan khinzir tersebut. Di manakah mereka sekarang? Lalu Baginda menjawab bahawasanya Allah s.w.t tidak menjadikan mereka keturunan ataupun anak. Bermakna mereka yang pernah diubah rupanya menjadi kera dan khinzir tidak wujud lagi kerana mereka tidak mempunyai keturunan.

Apabila saya mempelajari hadith tersebut, lantas saya teringat kisah bayi yang menyerupai ular tersebut. Dan baru saya tahu mengapa bayi tersebut tidak mempunyai hayat hidup yang lama. Kerana Allah sekali-kali tidak akan menjadikan keturunan dari mereka yang diubah rupanya.

Sesungguhnya kebenaran ini membenarkan kalam Rasulullah s.a.w yang dituturkan 1400 tahun yang lalu. Berfikirkah anda dari mana baginda mengetahui tentang semua ini? Ya, Ketahuilah sesungguhnya semua yang baginda s.a.w khabarkan kepada kita merupakan wahyu dan ilmu dari Allah s.w.t. Subhanallah.

Anak perempuan itu istimewa
Secara tabi’inya, kebanyakannya lebih suka mempunyai anak lelaki dari anak perempuan kerana kebiasaanya anak-anak lelaki boleh meringankan kerja-kerja, membantu itu ini dan sebagainya. Tanyalah sesiapa, apabila sudah berbilang-bilang anak perempuan tentu ada sedikit rasa kecewa jika tidak memiliki anak lelaki.

Tentu sedih menjadi wanita apabila dipersalahkan kerana tidak dapat melahirkan anak lelaki. Tentu ada ibubapa yang sedih apabila hanya memiliki anak perempuan sahaja. Tanpa disedari, jika kita ketahui bahawa anak perempuan juga mempunyai keistimewaan, tentu hati menjadi redho. Mari kita telusuri apa yang Baginda s.a.w sabdakan.

Baginda s.a.w bersabda:



من كان له ثلاثة بنات فصبر عليهن و أطعمهن و سقاهن و كساهن من جدته كن له
حجابا من النار يوم القيامة -الأدب المفرد للبخاري

“Sesiapa yang mempunyai 3orang anak perempuan, dan bersabar dengannya, memberikan makan dan minum,serta memberikan pakaian dari hartanya, mereka (anak-anak perempuan) itu akan menjadi hijab(penghalang) dari api api neraka pada hari kiamat” (Hadith no 70, Adab al-Mufrad lilBukhari)




Subhanallah, saya perolehi hadith ini juga dari kelas I’jaz al-Hadith, oleh Dr Abul Laith. Mempunyai kesemua anak perempuan bukanlah satu masalah. Lagi sekali, bukan satu masalah.

Pensyarah berseloroh pada kami bahawa tidak ada pula hadith yang menyebut “sesiapa yang mempunyai 3orang anak lelaki begini begini..”. tetapi terdapat hadith yang menyebut “sesiapa yang mempunyai anak perempuan begini begini..”

Bermakna, apabila ibubapa yang dikurniakan anak perempuan, lalu mendidik mereka, dengan baik mengikut cara Islam, kemudian menginfakkan harta kepada mereka dengan harta mereka sendiri serta bersabar dengan kerenah mereka, sesungguhnya anak-anak perempuan ini akan menjadi penghijab (penghalang) mereka dari api neraka pada hari kiamat.

Tidakkah anda merasa bertuah mempunyai anak perempuan?? Lagi sekali.. TIDAKKAH ANDA RASA BERTUAH.

Namun, apabila saya hanya katakan anak perempuan sahaja tidak bermakna anak lelaki tidak langsung mempunyai keistimewaan. Sesungguhnya anak-anak lelaki dan perempuan yang soleh dan solehah akan menjadi saham buat ibu bapa. Dan doa anak yang soleh ini akan membantu ibubapa kelak. InsyaAllah.

Ujian
Janganlah bersedih jika tidak dikurniakan zuriat lelaki, namun percayalah bahawa Allah s.w.t telah menetapkan bagi setiap anak adam rezeki dan ajalnya. Sekiranya kita beriman bahawa apa yang diberikan kepada kita sudah cukup baik untuk kita, maka seharusnya tidak perlu menyalahkan si suami atau si isteri kerana tidak melahirkan zuriat yang dikehendaki.

Ingat.. Allah menguji kita dengan apa sahaja cara sekalipun, antaranya adalah ujian dari kalangan manusia sendiri.

Firman Allah s.w.t:



وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ
Maksudnya: “Dan kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian lain, mahukah kamu bersabar” (surah al-Furqan: 20)


Seorang isteri yang dipersalahkan suami kerana tidak melahirkan zuriat lelaki.
Seorang suami yang diuji dengan mempunyai kesemua anak perempuan.
Suami isteri, bersabarlah. Anda masing-masing sedang diuji oleh Allah s.w.t. untuk melihat adakah kamu mahu bersabar terhadap ujian seperti ini.

Saya juga mungkin akan diuji suatu hari nanti, namun saya berdoa semoga saya mampu untuk hadapi ujian-ujian Allah dan tidak menggoyahkan iman saya. Saya harap anda juga selalu berharap begitu. Kita semua tentu tidak kuat sendiri tanpa bantuan dari Allah s.w.t.

Anda beruntung kerana sekurang-kurangnya anda mempunyai zuriat yang boleh mendoakan anda sekiranya anda sudah meninggalkan dunia kelak.
Anda lebih beruntung kerana dikurniakan rezeki berupa anak-anak perempuan yang comel-comel, boleh menimbulkan gelak ketawa, melepaskan lelah dengan melihat telatah anak-anak.
Anda lebih beruntung daripada mereka yang masih belum dikurniakan zuriat.


Oleh itu, tidak kiralah anak lelaki atau perempuan, sentiasalah rasa bersyukur dan berusaha mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Semoga menjadi saham untuk kehidupan yang abadi di akhirat kelak.

Doa untuk diri ini juga semoga dikurniakan rasa qana’ah dan bersyukur atas rezeki dan kurniaan Allah berupa anak-anak yang soleh dan solehah kelak. InsyaAllah. Amin ya Rabbal a’lamin..


NorWardatun Razali
© Lama asal: jalan-sehala.blogspot.com



Wednesday, October 7, 2009

Bingkisan 'Dynamic Group 1'



‘Dynamic Group1’


Alhamdulillah, seusai sambutan cuti Hari Raya Eidulfitri, biro welfare & Ukhuwwah, Quranic Youth Club (QYC) menganjurkan satu lagi program untuk sesi semester 1 2009/2010. Sebelum menamatkan tenure tahun ini, kami dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program yang diberi nama ‘Dynamic Group1’. Program dianjurkan pada 1oktober 2009 (khamis) pada jam 9-10.30malam di Mini Auditorium, Uiam.

Program yang bertujuan untuk memberikan input berupa motivasi dan soft skill kepada ahli QYC berjalan dengan lancar. Walaupun sebelum program terdapat beberapa masalah teknikal yang menjadi kebiasaan kepada setiap yang terlibat dalam sesuatu program, alhamdulillah segala masalah dapat diatasi dengan izin Allah s.w.t.

Penceramah jemputan untuk membentangkan tajuk ‘7 Highly Effective Student-Leadership’ ialah Dr Alizi Alias, pensyarah dari Department Psychology, Human Sciences UIAM. Program juga dihadiri presiden QYC, Muhd Zahid dan akh Abdul Fatah sebagai pembentuk modul.



Dr Alizi Alias, Department of Psychology, Human Sciences Uiam


Program yang bermula jam 9malam dan berakhir hampir 10.30 malam memberikan banyak input kepada yang hadir. Dalam situasi sebagai pelajar, usaha menjadi pemimpin yang terbaik perlu dicari. Pemimpin yang mempunyai kemahiran memandu anak buahnya akan dapat mengharungi dan menyelesaikan segala permasalahan yang timbul.

Di akhir program, terdapat segmen yang sangat menarik perhatian yang hadir iaitu segmen kuiz. Cara yang digunakan sangat kreatif dan hadiah yang ditawarkan sangat berharga iaitu senaskhah tafsir al-Quran. Pemenang kuiz dipilih berdasarkan penghantar jawapan melalui sms terpantas. 2pemenang untuk setiap 1soalan dipilih. Program berakhir dengan jayanya sekitar jam 10.45malam.



Sebahagian komiti DG


Untuk semua usaha yang dilakukan, ucapan ribuan terima kasih kepada semua komiti untuk program Dynamic Group di atas kerjasama dan penat lelah sejak sebelum program lagi .

>> Penghargaan buat semua komiti ‘Dynamic Group 1’ :

Muhammad Firdaus bin Ibrahim
Mohd Khairul Faiezi bin Aziz
Muhammad Amirul Ashraf bin Hamdan
Mohd Khairul Najib bin Azis
Mohd Nasrul bin Mohd Hadzir
Ahmad Fitrie bin Mohd Ithnin
Amirul Syafiq bin Yahya
Muhd Zahid Zuhri bin Ahmad Lukman
Muhammad Firdaus bin Sulaiman
Muhammad Ikhwan Jamaluddin

Nor Hazimah Norin
Nur Adibah Najihah

Norwardatun
Wan Fatimah Wan Zulkipli
Nur Liyana
Nurul Nadiah

Isnariah binti Zolkepeli
Nuur Azmina Mohd Yusoff
Suhana Suria

Juga terima kasih kepada senior-senior dan pemerhati program QYC di atas bantuan dan tunjuk ajar yang tidak terhingga. Hanya ini yang termampu kami usahakan. Semoga dengan usaha yang tidak seberapa di pandangan mata manusia ini semoga besar di pandangan Allah s.w.t.. InsyaAllah.

© Laman asal : jalan-sehala.blogspot.com


Sunday, October 4, 2009

Menulis: Antara keinginan dan Keikhlasan


Sudah dua kali saya diajukan di laman facebook tentang idea menghasilkan buku. Sungguh dan sebenar-benarnya saya malu dengan kecacatan dan kekurangan penulisan saya. Terlalu banyak kesilapan dan kelemahan. Saya memang gemar menulis, tidak tahu sejak bila ia bermula. Tetapi disebabkan ilmu saya yang terbatas, saya kerap mengulang-ngulang apa yang saya tahu.

Kebanyakan idea penulisan saya ambil dari apa yang saya dapat dari kelas dan saya olah kembali dengan bahasa saya yang dhaif ini untuk dikongsi bersama. Mengharapkan ada yang menegur di atas kekurangan diri dan penulisan, saya juga mengalukan komen yang membina. Sukar untuk menghentikan keinginan menulis, malah walaupun sesibuk mana, apabila buka sahaja laptop, tangan saya pasti akan menaip sesuatu yang terlakar di minda.

Saya pernah mempunyai impian untuk memiliki buku, malah saya pernah cuba menulis novel dan sudah hampir beberapa bab terhasil. Namun, keinginan untuk meneruskan jalan cerita novel tersebut terhenti begitu sahaja.

Di sebalik semua ini, saya selalu memikirkan satu perkara dan terlalu susah untuk saya sendiri miliki. Saya masih memburunya walaupun sukar untuk dimiliki. Saya percaya setiap orang mahukan juga apa yang saya mahu ini, ianya menjadi rebutan ramai orang. Namun hanya yang benar-benar berusaha akan memilikinya.


Memburu
Saya memburu ikhlas. Setiap kali saya selesai menaip, saya selalu bertanya adakah saya ikhlas dalam semua ini?

Saya memiliki sebuah buku berbahasa melayu, kitab al-Hikam yang disyarahkan oleh Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, terbitan telaga biru.

Saya petik sebuah kata hikmah oleh Ibn Ataillah as-sakandari:


الأعمال صور قائمة، وأرواحها وجود سر الإخلاص فيها

Maksudnya: “Amalan-amalan itu merupakan gambaran-gambaran yang zahir manakala roh-rohnya ialah rahsia ikhlas yang wujud padanya"

Anda perlu membaca berkali-kali kerana ia adalah kalam seorang ahli tasawwuf.

Mafhum dari hikmah tersebut:
Segala amal kebajikan diibaratkan seperti potret gambar yang berdiri dan untuk hidup gambar-gambar (potret) itu memerlukan roh. Begitulah juga amalan memerlukan keikhlasan.

Apabila saya membaca kata hikmah dan mafhumnya, saya banyak berfikir apakah setiap amalan saya dihidupkan dengan ikhlas? Ataukah ia hanya sekadar potret gambar yang tidak mempunyai roh untuk bergerak?

Hakikat Ikhlas
Ikhlas itu terlalu rahsia, tiada siapa yang tahu melainkan Allah s.w.t. Untuk memiliki sifat ikhlas terlalu sukar dan ia memerlukan mujahadah (kesungguhan). Betapa halusnya sifat ikhlas sehingga para ulama menyatakan:

“orang yang ikhlas pada amalan ialah yang tidak diketahui oleh malaikat untuk mencatat amalannya, dan tidak diketahui oleh musuh untuk merosakkannya. Sesungguhnya jiwa yang ujub akan berasa letih”.

Sahl bin Abdullah ditanya:
“Apakah perkara yang paling susah ke atas diri seseorang?”. Jawabnya:




الإخلاص لأنها ليس لها فيه نصيب
Maksudnya: “Ikhlas kerana nafsu tidak mempunyai apa-apa keuntungan di dalamnya”




Ikhlas adalah neraca kepada mujahadah seorang hamba. Ia akan memimpin para murid di dalam mujahadahnya sehingga berjaya, sesungguhnya Allah telah memerintahkan kita supaya memelihara sifat ikhlas dalam setiap amalan, sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:





“ Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan lepada-Nya dalam (menjalankan) agama” (surah
al-Bayyinah:5)



Ikhlas menurut Syeikh Zarruq ialah menafikan riyak sedangkan membenarkan penafian itu adalah ujub. Dengan sebab itu, kata sebahagian tuan guru:


“Betulkan amalan kamu dengan ikhlas dan betulkan ikhlas kamu dengan melepaskan diri daripada kuasa dan kekuatan”.



Sebahagian ulama salafussoleh selalu berkata tentang ikhlas dan kesusahan untuk mendapatkannya. Antaranya memetik kata-kata Fudhail bin I’yad :


“Kalaulah aku bersumpah bahawa aku riyak, ia lebih aku sukai daripada aku
bersumpah bahawa aku tidak riyak”.



Yusuf bin Husin berkata:


“ Perkara yang paling berat di dunia adalah ikhlas. Berapa banyak aku cuba
bersungguh-sungguh untuk menghapuskan sifat riyak di hatiku, namun ianya
seolah-olah tumbuh padanya (hati) dalam bentuk lain”.




Membenamkan kemasyhuran
Merenungi kata-kata Yusuf bin Husin mengingatkan diri tentang keihlasan hati. Riyak yang selalu menghapuskan ikhlas. Astaghfirullahal azhim.

Berapa kali hati saya pernah dilintasi keinginan untuk dikenali, masyhur di kalangan manusia? Berapa kali ujub mengatasi ikhlas? Tidak terkira saya sendiri. Astaghfirullahal azhim.

Saya menitipkan lagi di sini kata hikmah seterusnya, Kata imam ibn Ata’illah as-Sakandari:



ادفن وجودك في أرض الخمول، فما نبت مما لم يدفن لا يتم نتاجه
Maksudnya: “Tanamlah kewujudanmu (kemasyhuranmu) di bumi yang tidak terkenal (di sisi manusia) kerana sesuatu yang tumbuh sendiri tanpa ditanam tentu hasilnya tidak sempurna”




Mafhum: Sembunyikanlah kemasyhuranmu kerana ia akan membawa kepada kebaikan (keikhlasan). Sebaliknya keikhlasan yang wujud bersama-sama kemasyhuran berkemungkinan tidak sempurna.

Pujangga arab berkata:


“ Hiduplah berkeadaan biasa antara manusia dan redhalah, yang demikian itu lebih selamat di dunia dan juga di akhirat. Siapa yang tamakkan urusan manusia tidak
akan selamat, dan dia akan berserah ikut haluan orang lain”.



Apa yang dapat saya fahami dari kata pujangga tersebut bahawa apabila hidup kita hanya berasaskan rasa mahu dikenali dan masyhur di kalangan manusia, maka hidupnya hanya mengikut telunjuk dan kesukaan manusia. Sehingga dengan itu membawa kepada hilangnya agama. Keinginan untuk menjadi masyhur akan menerbitkan hasil dan natijah yang tidak sempurna (hilang agamanya) kerana ia hanya berserah mengikut arah haluan perancangan manusia, bukan kerana Allah dan agamanya.

Akhirnya
Merumuskan apa yang terkandung di dalam buku syarah al-Hikam tersebut membawa saya kepada erti kepentingan ikhlas. Saya akui tersangat sukar untuk memilikinya. Tentu anda juga merasakan apa yang saya fikirkan. Setiap kali mahu beribadah dan melakukan amalan-amalan, setiap kali itu jugalah sifat riyak dan mahu dikenali datang.

Setiap kali menanam benih ikhlas di tanah yang tidak masyhur, setiap kali itulah perasaan inginkan kemasyhuran datang. Sifat mahu dikenali inilah yang merosakkan benih ikhlas yang ditanam dalam hati.

Walalupun ikhlas sukar untuk dimiliki, namun kita boleh mendidiknya. Kerana itu, mujahadah dan pembaharuan niat perlu selalu dilakukan.

Saya kagum dengan penulis-penulis buku dan motivasi yang muncul ketika ini. Amat beruntung jika saya boleh menjadi seperti mereka, menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Tentu mujahadah mereka untuk mendapatkan rasa ikhlas tersangat tinggi. Ia memang sukar, lagi sekali saya katakan ia memang sukar. Justeru itu, kadang-kadang saya merasai kembali apakah timbal-balik terhadap semua yang saya lakukan. Kemasyhuran, pujian dan sebutan manusiakah? Sungguh jika saya kuat melawan perasaan-perasaan itu saya akan cuba mencapai impian tersebut.

Terima kasih kepada yang bertanya tentang rancangan untuk membuat buku. Serasanya memang masih tidak layak. Jika di blog ini juga boleh menjadi tempat perkongsian, mungkin saya akan teruskan menulis di sini sahaja. Jika diizinkan Allah s.w.t, saya juga mengimpikan untuk memiliki buku sendiri. (wa bi iznillah). Semoga apa sahaja yang kita lakukan dimulakan dengan niat kerana Allah dan diterima hendaknya. Amin..

Mari tashihkan dan sentiasa tajdid (perbaharui) niat kita bersama-sama.

Wallahu a’lam

______________________

Rujukan:
Buku :Syarah kitab al-Hikam Jilid 1
Penulis asal kitab al-Hikam : Imam Ibn Ata’illah as-sakandari
Disyarahkan : Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (USIM)
Terbitan : Telaga Biru


al-misk uiam


© Laman asal : jalan-sehala.blogspot.com

Saturday, October 3, 2009

Bersenang-senang: Yang Seketika atau Berpanjangan

Maksud firman Allah s.w.t:

“Bersenang-senanglah kamu dengan kekafiranmu itu untuk sementara waktu. Sungguh kamu termasuk penghuni neraka“. (Az-Zumar:8)

Peringatan ini ditujukan buat orang-orang kafir. Ketika pensyarah mengulas ayat ini, saya terpana dengan kata-kata yang sangat tajam dan penuh sindiran ini.


Mana Satu Pilihan Kita
Sedangkan kata-kata yang sesuai ditujukan kepada orang mukmin pula ialah:
تمتع بصبرك طويلا
"Bersenang-senanglah dengan kesabaranmu untuk waktu yang
panjang"

Saya bertanya kepada diri sendiri, yang mana satukah yang saya sukai jika dijanjikan dengan 2buah rumah hasil dari kerja saya? Adakah sebuah rumah yang sudah pasti menjadi milik saya, selesa dengan segala kemudahan ataupun sebuah pondok usang yang tiada apa-apa kemudahan, malah keadaannya yang sangat usang sentiada mengundang keresahan hati?

Tentu saya memilih untuk memiliki rumah yang besar dan selesa kerana saya boleh menetap di sana untuk waktu yang panjang.

Dan untuk memiliki rumah itu saya diberikan beberapa syarat yang perlu saya patuhi oleh pemberi hadiah. Di samping saya perlu bekerja keras untuk mendapatkannya saya perlu bersabar dengan segala dugaan dan cabaran sepanjang pekerjaan saya. Mustahil bukan untuk mendapatkan sebuah rumah yang lengkap dengan segala-galanya secara percuma melainkan setelah berusaha dan bekerja keras bersungguh-sungguh. Setelah saya bersabar dengan segala peraturan dan melaksanakan semua arahan, akhirnya saya diberikan rumah impian saya tersebut.

Adapun, jika saya tidak berusaha untuk memiliki rumah yang diimpikan tersebut ataupun saya tidak yakin dengan janji dari empunya rumah tersebut, tentu saya akan malas dalam melaksanakan apa yang disuruh. Tentu segala kerja dilewat-lewatkan sehingga mutu kerja saya pun berkurang. Akhirnya, adakah saya akan memiliki rumah yang selesa?

Tentu tidak kerana saya langsung tidak mengharapkan untuk memiliki rumah yang besar. Maka dapatlah saya sebuah pondok buruk dan tidak tahu selama mana ia dapat bertahan.

Analogi kehidupan dan balasan atas apa yang bakal kita perolehi adalah seumpama menagih janji dan impian untuk memiliki sebuah rumah besar yang dijanjikan. Jika kita melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan menjauhi larangan-Nya, pasti kita akan diberikan balasan yang sepatutnya.

Ganjaran Kesabaran
Pensyarah mengatakan, kepada orang mukmin pula dikatakan:
“Bersenanglah dengan kesabaranmu untuk waktu yang panjang.”

Subhanallah, ia memang betul-betul ditujukan buat kita. Adakah anda tidak merasakannya? Anda perlu merasakannya kerana saya dan anda adalah muslim dan juga mukmin.

Mengapa kita orang mukmin dikatakan sabar?
Tidakkah ketika tiba bulan Ramadhan, anda bersabar ketika melihat orang kafir makan di siang hari bulan Ramadhan?
Tidakkah anda wahai muslimah bersabar dalam menutup aurat dengan sempurna sedangkan orang kafir bebas mendedahkan aurat mereka?
Bukankah anda bersabar dari menghadirkan diri ke tempat-tempat maksiat sedangkan orang yang ingkar kepada Allah s.w.t mengikut jejak syaitan pergi pergi ke mana-mana tempat yang disukai?
Bukankah jika mengikut nafsu, banyak perkara yang saya dan anda mahu lakukan, namun Allah melarang-Nya?
Dan bukankah saya dan anda terkadang malas mahu beribadah, namun dengan kesabaran dalam menghadapi kepenatan kita melakukan sebagai tanda taat dan ta’abbud kita kepada Allah s.w.t.

Subhanallah...
Bersabar itu sungguh indah.. dan lihatlah balasan buat orang yang bersabar dalam ketaatan dan bersabar dalam menghalang diri dari larangan-larangan Allah s.w.t.


Tempat Yang Abadi
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“ Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan-Nya, mereka akan mendapat syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya sebagai kurnia dari Allah. Dan apa yang di sisi Allah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti” (Ali-Imran: 198)

Bersenang-senanglah untuk waktu yang panjang...
Indahnya jika saya selalu ingat tentang ini. Kesenangan yang tidak ditelan waktu. Muda selama-lamanya di sana. Mendapat apa sahaja yang dihajati tanpa perlu mencari dan menanti lama. Di mana kita akan perolehi sebenar-benar kesenangan nikmat ini melainkan di syurga Allah yang abadi. Indahnya bukan? Allahu Akbar.

Tempat yang tidak pernah dilihat oleh mata, dan tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia tentang keindahannya. Subhanallah.

Bersabarlah dalam kehidupan ini, menahan diri dari nafsu dan maksiat hanya di dunia. Bermujahadah untuk mendapatkan tiket dan tempat di syurga Allah itu lebih indah kerana balasan yang dijanjikan Allah s.w.t begitu besar.

Saya mahukannya. Anda pula bagaimana? Berdoalah semoga dengan rahmat Allah kita berada di kalangan para mujahidin dan mujahidat di jalan-Nya, menghuni syurga Allah s.w.t hendaknya. InsyaAllah.

Wallahu a’lam


© Laman asal : jalan-sehala.blogspot.com