Pages

Thursday, May 28, 2009

Memahami pengertian as-Sunnah dari pelbagai bidang

Dari segi bahasa: at-toriqah (jalan).

Dari segi istilah, pengertian as-sunnah berbeza mengikut bidang pengkhususan.

1-Ulama’ Hadith: Sunnah ialah apa-apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dari segi percakapan, perbuatan, pengakuan, sifat khuluqiyyah atau khilqiyyah atau sirah sama ada sebelum dilantik menjadi Rasul atau selepasnya.

:: as-sunnah adalah sama maksud dengan hadith di sisi ulama’ hadith.

2- ulama’ Usuliyyun (usul al-Fiqh):

Apa-apa yang di ambil dari perkataan nabi Muhammad s.a.w atau perbuatannya serta pengakuan di dalam salah satu daripada hukum tersebut: wajib, sunat, harus, haram dan makruh. Dan apa-apa yang terkeluar daripada hukum yang tersebut bukan sunnah di sisi mereka.

3-ahli Fiqh:

As-Sunnah lawan kepada wajib. Ia adalah khitab yang menunjukkan galakan untuk melakukannya tanpa paksaan.

4-al-Mutakallimin (ahli aqidah dan tauhid):

As-sunnah lawan kepada bid’ah.

Kesimpulan:

Pengertian as-sunnah yang berbeza mengikut bidang ilmu membawa kepada satu kesimpulan bahawa as-sunnah di sisi ulama hadith merangkumi perkara yang melibatkan hukum dan juga yang tidak melibatkan hukum. Adapun as-sunnah di sisi ulama usul al-fiqh khusus kepada perkara yang berkaitan dengan hukum. Kesimpulannya, sunnah di sisi ulama usul fiqh adalah sunnah di sisi ulama hadith. Sedangkan tidak semua sunnah di sisi ulama hadith adalah sunnah di sisi ulama’ usul al-fiqh.

wallahu a'lam


__________

Sumber:

1- ibn Manzur, Lisan al-Arab.

2- al-khair abadi, Abul laith, ittijahat fi dirasat as-sunnah qodimuha wahadithuha, research centre uiam.

3- al-khair abadi, Abul laith, Ulum al-hadith asiluha wa mua’siruha.

Pendahuluan tentang al-Quraniyyun

Sejak dahulu lagi lagi sudah berlaku fitnah terhadap hadith nabi s.a.w dan terdapat golongan yang mengingkarinya. Oleh kerana terlalu banyak dan bahayanya pergerakan ini, maka ulama’ Islam terdahulu mula mempelajari dan mengkaji tentang mustasyriqin dan kajian-kajian serta dakwaan batil golongan ini secara mendalam pada kurun ke 13hijrah.

Usaha ini juga ditumpukan di negara-negara di bahagian India dan beberapa buah negara arab. Di dapati di negara India dan Pakistan terdapat golongan yang menolak sunnah sebagai hujjah dalam syariat dan mereka ini dikenali sebagai “ahlul Quran” (anti hadith)- kerana mereka hanya mengambil hukum-hukum daripada al-Quran semata-mata dan menolak hadith secara total. [1]

Disebabkan mereka ini menolak hadith sebagai hujjah, mereka mula menimbulkan pelbagai keraguan dan kekeliruan terhadap hadith bagi menguatkan dakwaan mereka bahawa hadith bukan wahyu dan tidak wajib diikuti. Dan kita sebagai orang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan as-sunnah seharusnya tidak terpengaruh terhadap dakwaan dan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan anti hadith.

Dalam tag “Syubuhat al-Quraniyyun” kita akan mengetahui beberapa syubhat yang dicipta oleh golongan anti hadith yang telah dikaji oleh ulama’ kita seterusnya mengetahui bagaimana ulama kita menolak dakwaan mereka yang tidak mengambil hadith sebagai hujjah. insyaAllah.



[1] Khair abadi, abul laith, ittijahat fi dirasat as sunnah qadimuha wa hadithuha,research centre uiam, muka surat140.

Wednesday, May 27, 2009

Dakwaan mustashriqun :

ahli mustashriqin mendakwa bahawa Hadith adalah himpunan adat, ikutan dan warisan masyarakat arab yang kemudiannya menular ke dalam agama Islam. Kemudian timbullah masyarakat Islam yang mewariskan dari generasi terdahulu mazhab, perkataan, perbuatan dan adat kepada generasi yang terkemudian.

Menolak dakwaan:

Pertamanya, tidak terdapat satu hadith pun yang mengukuhkan dakwaan dan pendapat yang menegatakan hadith adalah kumpulan adat, ikutan dan warisan terdahulu. Ini kerana hadith an-nabawiyyah tidak terhad kepada perkara tersebut sahaja tetapi merangkumi soal kehidupan, aqidah, ibadah, muamalat, akhlak. Dan semua hadith ini datang berasas, bukan semata-mata ikutan dan warisan dari nenek moyang terdahulu.

Buktinya kita dapat lihat beberapa perkara:

1- hal keadaan Makkah ketika itu diselubungi Syirik, sedangkan islam (al-Quran dan as-sunnah) menentang syirik.

2- Solat dan Zakat tidak wujud dalam adat dan warisan mereka terdahulu.

3- Ibadah haji pula, walaupun memang ada sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w tetapi mereka melakukan ibadah haji dengan cara mereka sendiri, lalu Islam datang dengan menunjukkan cara yang sebenar.

Keduanya, dakwaan mereka ini hanya berasaskan kepada fahaman mereka melalui makna hadith dari segi bahasa. Yang makna jika dilihat di dalam kamus, hadith bererti adat dan jalan. Oleh itu, dakwaan mereka yang mengatakan hadith itu adalah adat dan warisan orang arab sebelum kedatangan Islam sama sekali tidak boleh diterima dan tidak berasas.

pengenalan tentang al-Mustasriqun

Pengenalan

Al-Mustashriqin adalah ahli ilmu dan cerdik pandai dari barat yang mengkaji Islam dan menguasai bahasa arab, bahasa-bahasa di negara-negara bahagian timur, agama serta peradaban mereka. Terdapat tujuan disebalik kajian mereka terhadap Islam. [1]

Mereka telah mengkaji semua aspek pengajian Islam daripada sejarah, Fiqh, tafsir, hadith, dan peradaban.

Dan mereka begitu mendalami sunnah nabawiyyah percaya bahawa sunnah merupakan sumber kedua selepas al-Quran dan ia menduduki tempat yang tertinggi di dalam Islam selepas al-Quran. Oleh kerana itu, mereka berusaha mengkaji kedua-dua sumber utama ini dan berusaha mewujudkan keraguan dan dakwaan yang sengaja direka-reka dengan harapan umat Islam akan meragukan sumber utama ini seterusnya berpecah belah.

Disebabkan wujudnya dakwaan yang menyeleweng dari al-mustashriqin ini, berlakulah perpecahan di mana adanya golongan yang menolak sunnah nabawiyyah dan berpegang pada al-Quran sahaja dalam hukum-hakam dan ibadah. Mereka dikenali sebagai al-Quraniyyun (anti hadith). InsyaAllah kita akan mengupas apakah dakwaan-dakwaan yang dikemukakan oleh ahli mustashriqin dari barat ini dan seterusnya kita akan mengulas bagaimanakah ulama’ kita menolak tuduhan dan dakwaan-dakwaan mereka melalui beberapa sumber rujukan.